Friday 4 June 2010

Kata-kata Hikmah Saidina Ali bin Abi Talib K.W.H: bahagian 3


bersatulah, kita mampu mengubahnya
sumber: Unity by ~kalessaradan


Alhamdulillah masih diberi kesempatan menghirup udaramu ya Allah. Ku mohon ampun atas segala dosa-dosa yang telah dilakukan. Moga setiap hariku sentiasa berada dalam redha-Mu ya Allah.

InsyaAllah hari ini saya ingin menyambung perkongsian buku Kata-kata Hikmah Saidina Ali KWH. Bagi sahabat yang baru membaca boleh rujuk bahagian 1 dan 2. Hari ini saya ingin menyambung sedikit berkenaan keistimewaan Saidina Ali KWH seperti yang dicatatkan dalam buku yang saya rujuk:

1. Saidina Ali KWH adalah sahabat Nabi SAW yang paling mahir dalam pembahagian harta pusaka dan dalam memutuskan sesuatu hukum.

2. Saidina Ali KWH amat dikasihi oleh orang-orang mukmin dan paling dibenci oleh orang-orang munafiq.

3. Beliau merupakan sahabat Nabi SAW yang paling tinggi tahap keilmuannya sehingga digelar oleh baginda SAW sebagai "pintu ilmu".

4. Beliau merupakan manusia yang paling dikasihi Allah selepas Rasulullah SAW.

5. Beliau merupakan sahabat yang diamanahkan untuk memegang panji-panji Islam dalam setiap pertempuran.

...............................................................................................................................................................

Di sini saya akan menyambung kata-kata hikmah Saidina Ali KWH, masih lagi kata-kata hikmah yang bermula dengan huruf alif (dalam bahasa arab):

11. Orang yang paling dikasihimu ialah mereka yang paling banyak membantumu. Sekiranya tiada yang sedemikian maka orang yang paling dikasihimu ialah orang yang paling banyak dibantu olehmu.

12. Menanggung kemiskinan lebih baik daripada menanggung kehinaan kerana sabar menghadapi kemiskinan adalah sifat redha dengan apa yang ada manakala sabar menghadapi kehinaan adalah suatu kelemahan.

13. Sanggup menanggung kesusahan adalah kubur segala keaiban.

Ulasan: kerana orang yang sanggup menanggung kesusahan tidak meminta-minta daripada orang lain.

14. Berbuat baiklah kamu kepada keturunan orang lain, nescaya terjaga keturunan kamu.

15. Hendaklah engkau memuji sesiapa yang bertindak kasar (tidak beradab sopan) denganmu dan menyatakan kesalahanmu, dan janganlah engkau memuji sesiapa yang menyatakan kebaikanmu dan memujuk rayumu (pengampu).

Ulasan: pengampu berusaha sedaya upaya untuk tidak menyentuh kelemahan seseorang dan membesar-besarkan kebaikan demi mendapatkan balasan, sehingga diri terlupa dengan tipu helah yang dirancang.

16. Orang yang paling bodoh ialah apabila diceritakan sesuatu kepadanya maka dia lupa dan apabila dia bercakap dia gopoh dalam percakapannya dan apabila dia didorong melakukan keburukan maka dia terus melakukan perbuatan tersebut.

17. Pilihlah untuk menjadi mereka yang kalah sedang engkau adalah seorang yang adil, dan janganlah engaku pilih untuk menjadi pemenang sedang engkau zalim.

18. Cabutlah kejahatan daripada dada (hati) orang lain dengan cara menanggalkan kejahatan daripada dadamu terlebih dahulu.

19. Menunaikan amanah adalah kunci rezeki.

20. Apabila seseorang mukmin berasa malu kepada saudaranya, maka ketahuilah bahawa dia telah berpisah darinya.


Sahabat-sahabat sekalian,

dari kata-kata hikmah di atas, ingin saya menyeru diri dan sahabat semua untuk melihat kepentingan untuk kita mengasihi saudara kita, membantu mereka dan berdoa kepada mereka. Dalam kita hangat perkatakan isu Palestin, marilah kita sama-sama menilai diri, sejauh mana kita menyumbang kepada kejayaan Islam?. Bergeraklah ke arah itu, paling kurang perbaiki diri seperti kata hikmah ke-18, seterusnya kembangkan kebaikan kepada orang sekeliling. InsyaAllah usaha kecil ini dipandang Allah. Yakinlah...anda mampu melalukannya!

Wallahua'alam

tenang malam

1 comment: