Sunday 28 November 2010

Kickstart untuk berjaya



mulakan langkahmu...jangan mundur

step by step by *M-a-e-e


Kick start untuk berjaya

Seringkali persoalan tentang penggunaan masa dan usaha bermain dalam kehidupan harian kita terutamanya bagi yang masih belajar. Namun, persoalan yang sama bukanlah asing bagi yang sudah bekerja atau yang sibuk menguruskan rumah tangga. Pernahkah kita sedari bahawa penggunaan masa yang berkesan banyak menyumbang kepada kejayaan?Pernahkan kita terfikir mengapa sejak dari kecil kita terperangkap dengan persoalan yang sama walaupun pengalaman kita semakin bertambah seiring peningkatan usia?

Kita diuji

Setiap makhluk yang dicipta Allah akan merasakan pahit dan manis kehidupan. Itu sunnatullah yang ditetapkan Allah. Sepertimana firman-Nya:

Adakah patut kamu menyangka Bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti Yang telah berlaku kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang Yang beriman Yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" ketahuilah Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah). Surah Al-Baqarah (2: 214)

Jelas bahawa hidup manusia itu penuh dengan ujian. Hakikatnya ujian itulah sumber kekuatan, membantu kita untuk taqarrub kepada Allah. Ujian masa adalah salah satu cara kita diuji-Nya. Begitu jugalah masa, hanya yang mampu lepas ujian itu mampu memanfaatkan masa sebaiknya. Setiap manusia mempunyai cara berbeza untuk beradapatasi dengan kekangan masa. Ada yang menjadi positif dan lebih menguruskan masa bila tahu masanya hampir tiada. Namun, ada juga yang terus leka dan sambil lewa dalam menghadapi kesuntukan masa. Kelapangan masa juga ujian, ke mana kita gunakan? Ke arah keredhaan atau kemurkaan? Bagaimana anda? Bagaimana saya? tanyalah diri, andai kita masih “selesa” dengan kelapangan masa, fikir-fikirkanlah kembali.

Putaran masa

“Hidup ibarat roda, kadangkala kita di atas, ada masanya di bawah”.

Hakikat masa juga selari dengan ungkapan di atas. Kita meilhat setiap detik terus berlalu dengan helaan nafas pinjaman Illahi. Saya yakin kita semua pernah mengalami “zaman keemasan” masing-masing. Mungkin ia berlaku semasa masih di sekolah rendah, atau bila menjejak sekolah menengah. Ada juga yang baru merasai saat-saat manis itu di zaman unversiti atau semasa bekerja. Hakikatnya, kita pasti pernah merasa. Bukankah indah jika saat itu berulang? Namun, wajarlah untuk kita menyedari bahawa Allah itu maha Adil, sedangkan malam dan siang sering di pergilirkan, begitu jugalah dengan kejayaan dan kegagalan.

Sahabat-sahabatku,

Di sini saya ingin mengajak agar kita semua berfikir tentang hikmah setiap kejadian yang menimpa kita. Pahit manis kehidupan itu menyumbang kepada pengalaman dan akhirnya menjadi pengajaran buat kita. Allah memberi ruang untuk kita berfikir sejauh mana kita menggunakan nikmat masa yang diberikan dengan sebaiknya. Bila berjaya, pernahkah kita terfikir satu masa kita akan jatuh dan tenggelam dalam kesedihan?

Kickstart buat kita

“Kesenangan yang datang tak akan selamanya, begitulah selepas susah ada kesenangan..”

Bait lagu “Kehidupan” ini boleh kita ambil pengajaran tentang peri pentingnya menghargai nikmat masa kurniaan Illahi. Sahabat-sahabat sekalian, setelah kita menyedari tentang masa yang akan terus berlalu meninggalkan kita, marilah kita bergerak dan bertindak ke arah kebaikan dan perubahan. Saya bukanlah orang yang paling baik untuk menasihatkan. Hakikatnya, saya masih belajar dan terus belajar memformulasi teknik penggunaan masa yang berkesan. Namun, di sini ingin saya berkongsi sedikit tips yang boleh diamalkan:

  • Kenali kelemahan diri anda yang membawa kepada penggunaan masa yang kurang efektif; contohnya, suka tengok video dalam jangka masa yang lama.
  • Cuba fikirkan cara terbaik untuk mengatasi kelemahan di atas. Contohnya, hadnya masa yang digunakan untuk perkara tesebut (kurang masa tengok video kepada satu sahaja)
  • Minta tolong sahabat atau saudara untuk ingatkan dateline atau ingatkan anda untuk menggunakan masa sebaiknya.
  • Perhatikan kawan anda yang bijak menguruskan masa. Cuba contohi mereka.
  • Pastikan anda berada dalam persekitaran yang membina dan mendorong untuk menggunakan masa sebaiknya. Contohnya, pergi ke perpustakaan di mana persekitarannya sangat membantu anda untuk mentelaah pelajaran.
  • Yakin anda mampu berubah untuk menggunakan masa sebaiknya.
  • Jangan putus asa jika cubaan tidak berjaya. Bagi peluang untuk diri anda berubah.
  • Jangan terlalu selesa dengan kelapangan masa. Sediakan diri untuk menghadapi saat-saat kesuntukan masa.
  • Berdoalah selalu kepada Allah, Dialah pemilik hati kita. Allah itu dekat, mungkin kita yang menjauhkan diri dari-Nya.

…dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (Surah Ali-Imran: 2: 286)

Akhirnya, yakinlah bahawa kita mampu berubah dan mampu memulakan “kick start” untuk diri kita sendiri. Jangan tunggu masa berlalu, kejayaan hanya pinjaman, jadikan kegagalan sebagai satu kemanisan dengan mengambil pengajaran. Kita makhluk yang dikurniakan akal, gunakanlah untuk menilai dan memerhati bukan sekadar menanti mengharap simpati. Ayuh gunakan masa sebaiknya untuk mencipta kejayaan. Ya, anda boleh!

Wallahua'lam


ingatan buat diri sendiri yang turut diuji

sejuk malam

Ciptaan-Mu

indah ciptaan-Mu ya Rabb
Cold by *DavidVogt



Ciptaan-Mu

Sedar dari lena, terjaga dari lamunan

Rasa itu menyapa

Lama, lama sudah tidak menyelami

Hakikat ciptaan-Mu

Musim itu tiba lagi

Titisan yang jatuh memutihkan bumi

Alam bagai terhenti

Melihat keindahan itu menjadikan asyik

Biar sejuk itu mencengkam..namun hikmah itu tetap terfikirkan

Engkau ya Allah memiliki segala kekuasaan

Andai bumi mampu disirami salju

Ia juga mampu membeku dan kaku

Bisa juga jadi gersang

Akibat panas terus membahang

Ciptaan-Mu itu indah ya Allah

Namun ramaikah yang berfikir?

Adakah yang mentafsir dan terus mencari hakikat ciptaan-Mu?

Ayuh bawalah diri, berfikir dengan mati hati

Jangan kita alpa

Kerana Dia yang menjadikan salju itu

Mampu juga mengeluarkan lahar yang panas

Lihatlah ciptaan Allah yang mampu membinasakan

Hendaknya kita tidak tergolong dalam orang yang tidak mampu dan tidak mahu berfikir

Ya Rabb jadikan kami cerah mata hati

Tinggi akhlak dan peribadi

Mampu menilai setiap ciptaan-Mu Illahi…amin



Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal,

(yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.

(Surah Ali-Imran (3): 190-191)

musim salju bermula..hamba di perantauan