Thursday 27 May 2010

Membaca...di mana kita?_bahagian 2


anda suka membaca? mari mulakan!
sumber: Love To Read by *YuriPanda


Assalamualaikum,


Alhamdulillah masih diberi Allah kesempatan untuk meneruskan hidup. Macam mana sahabat-sahabat semua?. Ramai adik-adik dan kawa-kawan saya di sini yang sedang sibuk menghadapi peperiksaan. Ada juga yang sudah selesai peperiksaan. Bagi mereka semua saya doakan moga mendapat keputusan yang cemerlang sesuai dengan usaha yang dilakukan. Sesudah usaha anda tanamkan, dibajai dengan doa dan tawakal, moga hasilnya berbuah kejayaan. Banyakkan doa kepada-Nya, sesuai dengan Firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah 2:186:

dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.

Ok, InsyaAllah kali ini saya akan menyambung tentang teknik membaca yang saya pelajari dari kursus. Kali ini tentang Kaedah 3Q dan 3R.

1. Question: tanyakan pada diri apa tujuan anda membaca artikel atau buku? apa yang anda sudah tahu dan apa yang anda ingin tahu dari pembacaan yang hendak dilakukan.

2. Quick-look: selak dengan cepat buku untuk mengetahui struktur atau susunan maklumat

dalam buku tersebut.

3. Quick-survey: baca dengan cepat bahan bacaan tersebut dan mula bina rangka konsep
bahan bacaan tersebut.
-cari kata kunci dan konsep yang cuba disampaikan
-mula buat nota ringkas dalam bentuk cabang (seperti peta minda)
-tentukan sama ada bahan tersebut perlu dibaca atau tidak, menarik atau tidak

4. Real read: baca perincian yang telah dipilih untuk dibaca pada langkah ketiga tadi.
Fahamkan apa yang dibaca, dan beri penambahan pada peta minda atau nota yang telah
dibuat tadi.

5. Review read: semak secara pantas kata kunci. Buat sejurus selepas menghabiskan
satu-satu bahagian buku atau artikel.

6. Revision: tentukan bila anda mahu mengulangkaji apa yang telah dibaca dan catatkannya
dalam diari atau organizer. Tentukan bagaimana anda ingin mengulangkaji.

Kaedah kedua yang saya ingin kongsikan ialah "Smash & Grab".

1. Quick question: sama seperti langkah pertama kaedah 3Q 3R tadi.

2. Baca secara cepat semua halaman buku tersebut. Dalam bahasa Inggeris ia dinamakan
skim
(atau melihat secara laju): masa yang diambil: 10-20 minit.

3. Bookmarking: tandakan bahagian yang anda rasakan penting menggunakan kertas (boleh
gunting kertas seperti bookmark). Sambil anda skim, boleh terus tanda atau ambil masa
selepas skim untuk menanda bahagian yang penting. Masa yang diambil: 5-10 minit.

4. Review, make notes: selepas memilih bahagian yang penting, terus buat mota ringkas apa
yang anda fahami an boleh beri perincian pada pembacaan anda. Masa yang diambil: 10-20 minit.

Cuba kita lihat kembali, jika dikira, dalam masa 1 jam kita boleh habis membaca buku setebal mana pun. Ajaibkan kebolehan otak kurniaan Allah? Mungkin sebelum ini kurang "mencabar" keupayaannya. Jadi, apa tunggu lagi, mari gunakan otak kita sepenuhnya. Tips penting ialah:

  • Jaga masa pembacaan anda. Jika anda sudah tetapkan 10 minit untuk skim, pastikan anda mempercepatkan skimming. Boleh rujuk artikel lepas untuk mengetahui cara membaca cepat.
  • Cuba displinkan diri untuk mencuba kaedah ini. Memang pada mulanya agak susah, tapi, yakinlah dengan kebolehan diri.
  • Andaikata anda tidak berjaya capai matlamat untuk membaca dalam masa yang ditetapkan, cuba lagi, anda pasti boleh!

Sekian dulu untuk pengisian kali ini, moga perkongsian yang sedikit ini dapat membantu sahabat-sahabat semua dalam pembelajaran. Sekadar mengingatkan diri juga. Selamat berjaya!

sejuk malam



Tuesday 25 May 2010

Membaca...di mana kita?_bahagian 1


Iqra'


Assalamualaikum sahabat semua. Bagaimana anda hari ini? Moga hari ini lebih baik dari semalam dan moga kita sentiasa berada dalam peningkatan iman dan amal, InsyaAllah. InsyaAllah hari ini saya akan berkongsi berkaitan MEMBACA. Apa yang penting tentang tajuk ini? Hari-hari kita melakukannya, tapi sejauh mana tahap kita? Ya, persoalan tentang kualiti bacaan serta impak dari pembacaan.


Sahabat-sahabat sekalian,

Ingin saya membawa sahabat semua tentang membaca ini. Setakat yang kita tahu, membaca mungkin hanya melibatkan aktiviti satu hala, iaitu kita melihat dan faham apa yang kita baca. Namun, sedarkan kita membaca sebenarnya lebih dari itu. Mari kita lihat Firman Allah dalam ayat pertama yang diturunkan kepada Nabi SAW iaitu Surah Al-A’laq (96:1);

“bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk)”


Lihat sahabat, membaca adalah adalah ruang pertama untuk kita mengenal hakikat penciptaan manusia serta hubungan kita dengan Maha Pencipta. Jika kita fikir kembali bagaimana kita boleh mendekatkan diri dengan Allah jika kita tidak mengetahui? Bagaimana kita boleh menjadi yakin terhadap apa jua keputusan yang bakal kita ambil jika kita tidak cukup ilmu?

“tetapi orang-orang Yang teguh serta mendalam ilmu pengetahuannya di antara mereka dan orang-orang Yang beriman, sekaliannya beriman Dengan apa yang telah diturunkan kepadamu (Al-Quran), dan kepada apa yang telah diturunkan dahulu daripadamu, - khasnya orang-orang Yang mendirikan sembahyang, dan orang-orang Yang menunaikan zakat, serta yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; mereka itulah Yang Kami akan berikan kepadanya pahala (balasan) yang amat besar.”


Firman Allah dalam Surah An-Nisa’ (4:162) menunjukkan betapa orang yang mendalami ilmu itu dan melakukan ibadah yang diwajibkan akan diberikan pahala besar oleh Allah. Jadi apalagi yang kita tunggu? Ayuh bergerak ke arah perubahan!


Kadangkala kita terfikir bagaimana untuk kita menjadi orang yang suka membaca sedangkan suasana untuk menggalakkan tabiat itu masih kurang? Jadi, saya sarankan sahabat-sahabat semua untuk mewujudkan suasana suka membaca itu. Ajak sahabat lain untuk membaca. Andaikata kita kurang semangat untuk membaca, mungkin kita boleh cadangkan supaya kita berkongsi ilmu dari buku yang kita baca. Saya cadangkan untuk kita buat book review.


Kali ini saya akan kongsikan bagaimana hendak buat book review dengan cara yang lebih efektif melalui kaedah “Speed reading” yang saya pelajari semasa kursus baru-baru ini. Sebelum itu mari kita lihat apa ciri-ciri speed reader:


  1. Do preview on what you going to read (buat bacaan awal tentang bahan bacaan kita sebelum kita membacanya)
  2. Keep eye moving forward (terus membaca ke hadapan secara laju)
  3. Use peripheral vision (penglihatan yang bermula dari tengah atau titik fokus ke kanan dan kiri atau atas dan bawah)
  4. Grouping words while reading (contohnya perkataan-perkataan yang mengumpulkan maksud yang sama)
  5. Be confident with your brain ability (InsyaAllah otak ciptaan Allah sangat ajaib untuk membaca laju)
  6. Use guide while reading (contohnya: pen, pensil; jangan guna pembaris kerana ia akan menutupi perenggan bawah bahan bacaan yang dibaca)


Sekarang, kita perhatikan pula apa ciri-ciri slow reader:

  1. Back reading (kerap berpatah balik ke tempat asal kita mula membaca, jadi lambat habis membaca)
  2. Lack of concentration (kurang fokus, kerap terganggu semasa membaca)


Perkara penting yang kita perlu beri perhatian ialah memastikan kita benar-benar bersedia untuk membaca. Maksudnya, kita perlu buat persiapan bukan sahaja bahan yang hendak dibaca, tapi juga fikiran, dan perhatian kita. Alangkah rugi jika kita sebenarnya boleh menghabiskan bacaan dalam masa 1 jam, tetapi akibat kita tidak bersedia fizikal dan mental kita akhirnya membaca selama 2 jam. Jadi, langkah yang boleh kita ambil ialah:


  1. Pastikan meja anda kemas, letak semua buku atau barang lain yang tidak berkaitan di tempat lain.
  2. Pastikan bahagian depan tempat anda membaca tidak semak dan tidak diletakkan bahan-bahan yang boleh mengganggu tumpuan anda.
  3. Sediakan alat tulis dan kertas untuk mencatat review anda.
  4. Sebaiknya gunakan 45 minit untuk sesi pertama, kemudian berhenti untuk rehatkan minda.
  5. Anda digalakkan untuk buat senaman semasa rehat. Contohnya menarik nafas dalam-dalam atau melakukan senaman atas kerusi.
  6. Gunakan pen atau pensil untuk membaca, gerakkan alat tulis itu dalam bentuk garisan lurus atau zig zag semasa membaca.


Ok, setakat ini dahulu, InsyaAllah akan saya kongsikan teknik speed reading di masa akan datang dengan izin-Nya. Mari sahabat, saya mengajak diri juga untuk bergerak, tingkatkan bacaan moga bertambah ilmu menyedarkan kita bahawa kita ini masih sangat-sangat kekurangan dalam ilmu. Sesungguhnya ilmu Allah sangat luas..bukalah minda dan hati..doa moga ilmu kita sentiasa diberkati-Nya.


Wallahua’alam


Ingatan buat diri: Berubah itu bukan pilihan tapi kemestian!

Monday 24 May 2010

Merancang, pentingkah?




mulakan langkahmu

sumber: Step By Step by ~ofirk


Apa khabar sahabat semua? Moga sentiasa dalam redha-Nya yang seharusnya menjadi tujuan utama hidup kita. Alhamdulillah kali ini saya ingin berkongsi sedikit ilu yang saya peroleh semasa menghadiri kursus baru-baru ini.

Bila cakap tentang ilmu pengurusan, mungkin ada yang terfikir, apa pentingnya kepada manusia? Kenapa perlu kita ambil endah tentang ilmu ini. Bukankah orang-orang yang kerja bahagian pentadbiran sahaja yang perlu ambil tahu?

Sebelum bermula, saya menyeru sahabat-sahabat semua untuk kembali merenung dan melihat apa tujuan kita dihidupkan ke muka bumi ini. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah (2:30):

dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang Yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih Dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa Yang kamu tidak mengetahuinya".

Ayat ini menunjukkan Allah menjadikan manusia untuk menjadi khalifah. Jadi sahabatku, adakah pantas bagi seseorang yang perlu menjadi ketua sekurang-kurangnya kepada dirinya sendiri untuk tidak merancang? Hidup tanpa haluan? Mengikut arus deras dunia? Tidak sama sekali. Firman Allah dalam Surah As-Saff (61:4):

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela agamaNya, Dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh”.


Lihat sahabatku, Allah menyeru kita untuk sentiasa berperancangan, berpanduan bagi menghasilkan kualiti kerja yang cemerlang. Mungkin ada sahabat yang terfikir, buat perancangan memanglah mudah, tapi hendak ikut perancangan itu yang lebih mencabar. Macam kata orang masa kini “cakap tak serupa bikin”. Adakah kita termasuk dalam golongan ini? Nau’zubillahi min zalik. Ingatlah firman Allah dalam Surah As-Saff (61: 3):

“amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya”.


MasyaAllah, besarnya kebencian Allah bagi orang yang tidak melakukan apa yang dikatakan. Ini satu muhasabah yang sangat besar buat kita. Acap kali kita berazam semasa tahun baru. Namun, pernahkah kita menilai sejauh mana kita bergerak ke arah merealisasikan azam itu? Atau adakah ia hanya kiasan kata, hiasan terpampang di dinding bilik semata? Saya mengingatkan diri yang alpa ini juga. Kita banyak bercakap, banyak merancang, tapi mungkin kurang bertindak, bergerak, menilai dan mengubah apa yang salah.


Oleh itu, saya ingin berkongsi tentang pengajaran yang saya dapat dari hal merancang ini. Apa yang penting ialah tahu KEUTAMAAN. Tidak guna menyenaraikan 10 tugasan untuk dibuat dalam masa sehari. Pada hakikatnya kita sendiri tahu kita tidak mampu melaksanakannya. Namun, bukanlah tujuan saya untuk memperkecilkan kemampuan sahabat untuk menyiapkan banyak kerja dalam satu masa. Tetapi saya sekadar mencadangkan agar kita menilai apa yang utama dan bergerak untuk melaksanakan kerja kita sebaik mungkin.


Jadi dalam hal ini bolehlah kita membahagikan kerja kita kepada 4 bahagian iaitu:

Penting dan perlu segera (important & urgent)

-kerja yang melibatkan “deadline”, ada tarikh akhir untuk disiapkan

Penting dan tapi perlu segera

-kerja yang tidak ada deadline

Tidak penting tapi perlu segera

-deadline dari orang lain (contohnya: kawan minta tolong siapkan sesuatu kerja)

Tidak penting dan tidak perlu segera

-kerja yang tidak bantu kita capai matlamat, contohnya membeli belah barang yang tidak membantu kita dalam melaksanakan kerja yang telah dirancang.


contoh: perancangan mingguan


Dari keempat-empat kotak ini, kita boleh menumpukan perhatian kepada kotak pertama. Bekerja berdasarkan matlamat sangat membantu kerana kita boleh mengukur hasilnya nanti. Tetapkan matlamat anda setiap hari. Ya, setiap hari. Caranya ialah:

  1. Tulis dalam diari atau buku nota tentang perkara yang akan anda lakukan setiap hari sepanjang minggu.
  2. Ingat kembali perkara tersebut sebelum tidur atau pada waktu pagi supaya minda terarah untuk bergerak melaksanakannya.
  3. Nilai kembali pencapaian anda dalam seminggu.
  4. Jika kurang berjaya untuk menyiapkan tugasan, bawa tugasan tersebut ke minggu berikutnya. Tapi, jangan jadikan ia sebagai alasan untuk bermalas-malasan ye.
  5. Katakan pada diri anda boleh ikut apa yang anda rancangkan. Yakinlah anda mampu patuh pada diri sendiri.
  6. Minta bantuan kawan untuk jadi “reminder” buat kita, minta dia menggesa kita supaya kita siapkan juga kerja jita terutamanya jika kerja tersebut tergolong dalam kotak 1.
  7. Berdoalah kepada Allah yang memegang hati supaya kita istiqamah dalam beramal dan tetap dalam melaksanakan kerja yang telah dirancang. Ini penting supaya kita tidak tergolong dalam golongan yang dibencinya iaitu cakap tak serupa bikin.

Sekian dahulu perkongsian saya, moga sama-sama kita dapat berubah ke arah hidup yang berperancangan. Ingatlah sahabatku, masa depan itu semestinya milik Allah dan sentiasa di bawah pengetahuan-Nya, tapi kita dibekalkan akal untuk berusaha, bergerak, bertindak..maka gunakan ia, sekuat mungkin selagi terdaya..jadilah insan yang kuat dan mantap ibarat bangunan yang kukuh kerana asasnya terbina dengan berperancangan…

Wallahua’lam

Ilmu-iman-amal = redha Allah