Tuesday, 4 May 2010

Usah tertipu..

Syukur kepada Allah Tuhan yang Maha Agung dan Maha Mengetahui segala sesuatu di muka bumi. Tidak satu makhluk pun terlepas dari pemerhatian-Nya. Seharus dan selayaknya segala puji-pujian diberikan kepada Allah. Sahabat-sahabatku, hari ini saya ingin berkongsi tentang terpedaya atau tertipu. Saya berkesempatan mendengar ceramah dari Ustaz Aa Gym berkenaan "jangan tertipu". Oleh itu, saya ingin berkongsi sedikit tentang isi kandungan ceramah tersebut.


Mungkin ada di antara kita yang pernah ditipu atau diperdaya. tetapi perkongsian hari ini ingin membawa anda kepada perspektif tertipu atau terpedaya. Pertama sekali sebelum saya berbicara lebih lanjut berkaitan hal ini, saya ingin melontarkan beberapa pertanyaan:

1) Adakah anda berasa gembira apabila dipuji?

2) Adakah anda berasa sedih apabila dihina?

3) Adakah anda berasa cukup dengan kebaikan yang telah kita lakukan?

4) Adakah anda berasa hubungan kita dengan Allah sudah cukup baik?


Apakah jawapan anda? Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Bila kita dipuji, adakah itu bermakna kita telah melakukan sesuatu dengan baik? Adakah pujian itu layak buat kita?. Sedarkah kita bahawa mungkin Allah menutupi keaiban kita?. Ya, Allah menutupi keaiban kita di hadapan orang. Maka, adalah selayaknya apabila kita dipuji, pujian itu kita pulangkan kepada Allah, sesuai dengan firman-Nya (Surah At-Taghaabut: 64:1):


Segala Yang ada di langit dan Yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah; bagiNyalah Kuasa pemerintahan, dan bagiNyalah Segala pujian; dan ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.



Oleh sebab itu, apabila kita melakukan kebaikan, janganlah kita merendah-rendahkan orang lain. Sebagai contoh dalam bersedekah, Allah telah mengingatkan kita supaya tidak menunjuk-nunjuk kerana itu adalah sifat yang dibenci Allah (Surah An-Nisaa' 4:38).


dan juga orang-orang Yang membelanjakan hartanya Dengan menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan mereka tidak pula beriman kepada Allah dan tidak juga beriman kepada hari akhirat. dan sesiapa Yang (mengambil) Syaitan itu menjadi kawannya, maka seburuk-buruk kawan ialah syaitan.



Pujian yang kita terima sebenarnya membawa kepada amanah yang harus dipikul. Sebagai contoh, apabila kita dipuji bagus dalam berceramah, semua ilmu yang kita sampaikan akan dipertanggungjawabkan kepada kita. Oleh sebab itu, kita dianjurkan supaya beristighfar dan banyak-banyak berdoa moga apa yang kita ucapkan dapat kita amalkan dengan ikhlas. Ini kerana ilmu tidak berguna tanpa amal, dan amal tidak berguna tanpa keikhlasan. Perbuatan "cakap tak serupa bikin" tidak disukai Allah seperti dalam firman-Nya (As-Saff 61:3):


amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu Yang kamu tidak melakukannya.



Sahabat-sahabat sekalian,

InsyaAllah berkat doa yang berterusan agar kita dihindarkan perasaan riya' dapat menjauhkan kita dari tergolong dalam golongan yang Allah murka. Janganlah kita lengah-lengahkan dari berdoa kerana bimbang dosa yang kecil yang berterusan kan terus menggelapkan hati dan akhirnya akan menjadi orang yang menyangka amalan buruk yang dilakukan sebagai perkara kebaikan. Firman Allah dalam Surah Al-Fatir (35:8):

maka (fikirkanlah) Adakah orang Yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh Syaitan) lalu ia memandangnya dan mempercayainya baik, (bolehkah disifatkan sebagai orang Yang menjalankan peraturan Yang ditetapkan Allah untuk memberi hidayah kepadaNya, atau sebaliknya) ? kerana Sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa Yang dikehendakiNya, dan ia juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa Yang dikehendakiNya. oleh itu, janganlah Engkau membinasakan dirimu (Wahai Muhammad) kerana menanggung dukacita terhadap kesesatan mereka. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan apa Yang mereka kerjakan


Sebagai penutup, marilah kita sama-sama jujur dengan diri sendiri, jujur mengakui kelemahan diri. Persoalan yang harus difikirkan kini ialah:

1) Adakah amalan kita akan diterima Allah?

2) Adakah hati kita bersih dari dosa?

Sama-samalah kita mengkoreksi diri. Hakikatnya orang yang mengingatkan juga akan diamanahkan terhadap apa yang disampaikan. Justeru, saya mengingatkan diri yang sangat lemah ini juga supaya kembali..kembali kepada khalik..Tuhan yang Maha Agung...sedarlah sahabat-sahabatku, usah terpedaya!

Wallahua'alam..

serene and calm night..




No comments:

Post a Comment