Wednesday 25 January 2012

walimah....sekali biar selamanya

ikatan suci jangan dicemari





Bismilahirrahmanirrahim...

Syukur atas nikmat dan limpah rahmat Allah yang Maha Kaya. Alhamdulillah pujian selayaknya hanya untuk Allah. Syukur kerana masih diberi pinjaman nyawa dan nikmat dari Allah.

Tumpang gembira

Saya sebenarnya rasa gembira dan bahagia melihat kegembiraan dan kebahagiaan orang lain. Bila tinggal berjauhan dari keluarga memang medium facebook jadi tempat untuk "update" perkembangan terkini keluarga dan sahabat-sahabat. Melihat senyuman gembira rakan-rakan semasa majlis pertunangan, perkahwinan, mendapat anak dan sebagainya baut saya rasa bahagia juga. Walaupun tidak berada bersama untuk berkongsi gembira tapi saya tetap mendoakan moga rasa sakinah itu kekal di samping mereka.

Bukan sekadar majlis walimah

Dalam banyak-banyak upacara, perkahwinan menjadi upacara yang dinantikan oleh kebanyakan orang. Sudah menjadi adat masyarakat Malaysia kita untuk bergambar untuk pre wedding, outdoor shooting, wedding video dan sebagainya. Senarai panjang ini saya lihat sebagai tekanan dan mungkin sebagai panduan bagi sesetengah pihak. Ada juga yang mengupah wedding planner untuk memastikan kelancaran hari bersejarah mereka. Persoalannya kini adakah senarai ini sahaja yang perlu ditekankan oleh bakal pengantin? bagaimana pula senarai selepas majlis walimah?

Apa yang saya lihat kini seakan-akan orang sibuk memastikan majlis walimah yang bakal berlangsung menjadi majlis yang bakal dikenang orang kerana gahnya majlis tersebut. Tapi bagaimana perkahwinan itu sendiri? Adakah asasnya sudah cukup mantap untuk memastikan perkara selepas walimah itu berjalan lancar?

Soalan-soalan seperti ini, wajar dipertimbangkan bakal pengantin:

1. Ilmu tentang pengurusan rumahtangga, cukupkah?

2. Ilmu psikologi tentang sikap jantina berlainan (seperti dalam buku "Men from Mars, Women from Venus"), cukupkah?

3. Bajet kewangan untuk hidup bersama (rumah, belanja makan dan sebagainya) sudahkah dirancang?

Senarai ini akan berterusan.....andai difikirkan, amat menakutkan andai kurangnya persediaan yang rapi.


Sekali biar yang terakhir

Bak kata kebanyakan orang, berkahwin biar sekali. Benar, semua orang mahukan perkahwinan yang dibina kekal selamanya. Namun, permulaan usaha ke arah itu bermula dari pemilihan calon pasangan itu sendiri. Selepas pasti calon yang sesuai, usaha ke arah walimah perlu diperhatikan agar adanya barakah sepanjang proses ini.

Dalam merancang majlis walimah juga saya mencadangkan agar kita memastikan tiada unsur yang tidak diredhai Allah berlaku. Antara yang perlu diperhatikan ialah tentang susun atur tempat walimah, atur cara majlis dan sebagainya.

Ada kala terdapat percampuran yang tidak terkawal antara muslimin dan muslimat terutamanya ketika bergambar. Ada juga yang meletakkan DJ untuk memeriahkan majlis. Andai lagu yang yang diutarakan itu membawa kebaikan dan mengingatkan kita kepada Allah, Alhamdulillah. Tapi, andai lebih banyak unsur hiburan yang melalaikan, sangat merugikan. Ada juga trend terkini yang menjemput para ustaz memberi tazkirah ringkas semasa majlis walimah, pada saya usaha ini sangat murni dan memberi kebaikan bukan sahaja kepada pengantin, tapi juga buat semua tetamu yang hadir.

Pada saya, perkahwinan yang hanya sekali ini biarkan barakahnya berkekalan. Mulakanlah dengan perkenalan yang baik, majlis perkahwinan yang sederahana dan mengikut syariat dan terajulah bahtera rumahtangga mengikut panduan Islam. Bila mulanya penuh kebaikan, moga akhirnya nanti kekal dalam kebaikan. Jangan hanya "grand" yang lebih diutamakan, tapi biarkan mawaddah dan rahmah selepas akad yang diusahakan. Biar sederhana asal matlamat untuk menghebahkan walimah tercapai.

Ingatan buat diri

Bukanlah saya orang yang selayaknya memberi nasihat tentang perkahwinan. Apatah lagi saya pun belum melaluinya sendiri. Namun, dari pemerhatian dan pengamatan saya dari status facebook keluarga dan teman, hanya ini yang ingin saya kongsikan. Moga syariat Islam terus ditegakkan. Ungkapan "biar mati anak jangan mati adat" mungkin kurang relevan kerana syariat lebih utama dari adat, dan syariatlah yang memandu kita dalam kehidupan ini.

Moga kita semua diberi kekuatan untuk mendaulatkan Islam dalam setiap amalan harian. Akhirnya, buat sahaba-sahabat yang bakal mengecap hari bahagia, doa ini saya titipkan....

"Barakallahu lakuma wabaraka 'alaikuma wajamaa bainakuma fikhair"...ameen

Wallahua'lam

dingin malam

Saturday 7 January 2012

Katakanlah tidak tahu

Apa? katakanlah tidak tahu




Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah...syukur terus dipanjatkan kepada Allah atas segala nikmat-Nya yang tidak terbilang. Syukur masih dalam iman, masih dalam Islam, syukur masihi dalam petunjuk dari-Nya. Hari ini saya ingin berkongsi tentang pendekatan yang boleh kia ambil bila kita ditanya sesuatu soalan dan bila ditanya tentang kesahihah sesuatu berita.

Sahabat-sahabatku,

Saya pasti kita pernah ditanyakan soalan oleh orang-orang sekeliling kita. Kadang kala soalan yang ditanya berbentuk umum dan mudah untuk kita berikan jawapan. Ada kala soalan yang diajukan mencabar minda kita. Pada masa ini kita mempunyai EMPAT pilihan dalam menghadapinya:

1. Memberi jawapan yang tepat berdasarkan fakta---> jawapan tepat

2. Memberi jawapan berdasarkan ilmu yang kita ada--> jawapan hampir pasti betul.

3. Cuba meneka dan memberi jawapan secara "cuba-cuba"---> jawapan kurang pasti betul.

4. Katakan tidak tahu---> tiada jawapan


Antara EMPAT pilihan

Antara keempat-empat pilihan ini, mana satukah yang akan anda pilih?. Di sini mungkin timbul sedikit konflik antara mahu menampakkan diri sebagai "Mr/Mrs/Miss Serba Tahu" atau mengaku kalah dengan menyatakan tidak tahu.

Sebenarnya, bukanlah cerdik itu dinilai hanya pada pendapat yang diberikan, namun lebih dari itu kebenaran jawapan yang diberikan itu yang menggambarkan kredibiliti penutur. Jawapan yang betul adalah jawapan yang pasti, bukan hanya"tembak" sahaja dengan harapan ia kena pada sasaran. Kalau tersalah tembak, "maut" menanti. Biarlah butir bicara kita itu bernas dan benar, moga memberi ia bermanfaat pada yang lain, insyaAllah.

Bahaya meneka

Bayangkan, andai soalan yang ditanya itu terkait soal aqidah dan ibadah, apa kesannya andai anda tersalah memberi "fatwa"?. Bukankah besar kesannya terhadap pegangan dan amalan seseorang?

Andaikan pula jika soalan itu tentang soal perasaan yang terkait dengan perhubungan berlainan jantina. Kalau tersalah menjadi "Dr Cinta", bukankah besar kesannya terhadap orang lain?. Silap-silap membawa kepada salah faham dalam berikhtilat sesama manusia.

Paling mudah andai ia berkait soal pelajaran. Kalau tersalah informasi tentu si penanya menjawab salah dalam peperiksaan.

Soalan-soalan ini perlu diperhati SEBELUM memberi jawapan. Andai anda punya jawapan yang tepat, maka pilihlah pilihan yang pertama, kerana ia hampir kepada kebenaran. Jika sebaliknya, katakanlah TIDAK TAHU. Walaupun nampak lemah dan bagai menyerah kalah, namun sebenarnya ia menggambarkan betapa anda pentingkan sumber yang sahih dalam menyampaikan, bukan hanya rekaan. Itu sebenarnya cerminan iman kepada Allah. Anda lebih pentingkan kebenaran lebih dari mendapat kredit dengan menyebar perkara yang salah apatah lagi fitnah.

Sumber maklumat

Dalam zaman teknologi tinggi kini, banyak sumber yang mampu kita gunakan untuk mendapatkan maklumat. Namun, saya pernah terdengar kata-kata ulamak bahawa betapa pentingnya untuk kita mengetahui kesahihan sumber yang kita gunakan. Jangan jadi ustaz atau ustazah facebook dengan memberi pautan (link) yang salah terhadap sesuatu perkara terutama berkaitan agama. Selidik dahulu perkara-perkara ini:

*Adakah ia dari penulis yang kredibel?. Mahir atau faqih dalam bidangnya?
*Adakah ia dari sumber orang pertama (primer), atau hanya rekaan untuk memburukkan? *Adakah ia sekadar berita untuk pelaris majalah atau akhbar?.

Andai anda ditanya tentang kesahihan sesuatu berita dan anda tidak pasti, katakanlah "Wallahua'alam", kerana sungguh, hanya Allah yang Maha Mengetahui segala yang zahir dan tersembunyi. Dia pemilik hati setiap manusia, maka hanya Dia tahu apa yang tersirat walau tidak dilafaz.

Neracanya iman

Akhirnya, saya menyeru diri dan rakan-rakan untuk menilai jawapan pada persoalan yang ditanya dan menilai kesahihan sumber berita yang diterima. Jangan kerana keculasan kita, akhirnya maruah orang lain tergadai, jangan kerana kelalaian kita orang lain terjebak dalam masalah yang membinasakan, nauzhibillah.

Akhir kalam, teruskan menuntut ilmu dan bertanya pada orang yang faqih dan tahu tentang soalan yang hendak ditanya. Moga Allah berkati usaha kita menuntut ilmu dan memberi kita kekuatan untuk mempertahankan kebenaran dalam dunia yang penuh dengan fitnah yang tersebar.

Wallahua'lam

tenang dingin pagi


yang remeh temeh: Pak Pandir

Sunday 1 January 2012

Berlapang dada

persahabatan tak kenal rupa, hanya hati yang mengikatnya




Bismillhirahmanirrahim


لايؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفس


"Tiada beriman seorang kamu hingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya."


Moga sahabat semua sentiasa berada dalam kebaikan. Moga hari ini menjadi hari terbaik buat kita semua. Berilah gambaran (vision) terbaik pada setiap hari yang mendatang, moga dengan ingatan itu bakal memangkin kita untuk berjaya, insyaAllah.

Persahabatan

Saya yakin ramai di kalangan kita yang mempunyai sahabat sendiri. Mungkin juga dalam ramai-ramai kawan itu kita mempunyai beberapa orang sahabat baik. Hakikat kehidupan ini kita perlukan teman untuk berbicara. Maka erti persahatan itu menjadi rahmat yang dicampakkan Allah untuk manusia. Saya pernah meilhat beberapa orang yang sangat kasih kepada sahabatnya hingga sanggup berkorban apa sahaja demi kebahagian sahabatnya. Syukur andai kita sampai kepada tahap tersebut seperti mana hadith di atas. Marilah sama-sama kita mengukur sejauh mana iman kita berbanding iman para sahabat Nabi sebagai contoh kasih sayang dan persahabatan yang terbaik. Para Ansar yang rela berkorban segalanya demi muhajirin. Adakah kita mampu berkorban sejauh itu?

Perselisihan faham

Hakikat hidup bila berurusan sesama manusia pasti ada perselisihan. Masalah komunikasi adalah lazim dalam hubungan persahabatan. Dari sekecil perkara hinggalah besar kadang-kala masalah berlaku. Berkecil hati, merajuk, berdengki, berdendam dan sebagainya boleh menggugat ukhwah sesama muslim. Dalam menghadapi ujian ini, apa yang penting ialah untuk kembali ke tujuan asal persahabatan itu. Jika niat kita benar, maka pasti kita jadi insan yang memaafkan.

Berlapang dada

Pernahkah anda berkecil hati dengan sahabat anda? Sejauh mana kita perlu berlapang dada andai kita terasa hati dengan sahabat kita?. Berlapang dada merupakan sekecil perkara yang boleh dilakukan kepada sahabat kita andai. Memaafkan merupakan perkara mulia yang wajar dilakukan andai kita berkecil hati atau terasa dengan sahabat kita. Andai ada perasaan marah, cubalah untuk memaafkan dan teruskan kembali persahatan itu. Mengukuhkan ukhwah adalah perkara yang dituntut dan meleraikannya sangat dilarang.

Akhirnya, marilah kita menyahut seruan untuk mengukuhkan persaudaraan dan membantu untuk menghubungkan persaudaraan. Amalkan membaca doa Rabitah sebagai pengikat hati kita dengan membayangkan wajah-wajah sahabat yang kita sayangi. Moga ingatan melalui doa merapatkan perhubungan sesama sahabat. Moga Allah memberkati hidup kita dan menemukan kita dengan sahabat sejati yang bisa menegur kita jika kita melakukan kesalahan dan berada bersama kita di kala kita gembira, insyaAllah.Link
lagu riang persahabatan....-:)


wallhua'lam

dingin winter







Azam baru atau "renew" yang lama?

azam baru, semangat baru
sumber



Bismillahirrahmanirrahim

Tahun Baru 2012

Syukur, Alhamdulillah atas nikmat-Nya dan keizinan untuk masuk ke tahun baru masihi. Walaupun sudah lebih sebulan tahun baru hijrah kita lalui, namun kerana umur kita sering dikaitkan dengan tahun baru masihi, maka ingatan tentang tahun baru masihi kadang kala "lebih popular" berbanding tahun hijrah. A'la kulli hal, datangnya tahun baru sebenarnya muhasabah terbaik buat manusia. Bertambah usia biarlah seiring dengan amal, kebaikan dan iman, InsyaAllah.

Bagaimana pencapaian kita?

Setahun sudah berlalu. Tirai 2011 sudah berlabuh. Titik mula 2012 mula muncul. Mungkin saya lewat sikit dalam hal tahun baru ini kerana di tanah air sudah pun masuk 2 Januari, tapi di tempat saya masih 1 Januari. Setahun berlalu adakah sudahkah kita capai visi, misi dan objektif hidup kita? Adakah kita masih dalam proses mencari diri? Atau sudah kenalkah kita pada kelebihan, kekurangan dan potensi diri yang boleh dikembangkan?

Soalan-soalan di atas wajar direnungkan. Hakikat hidup itu perlu penambahbaikan. Alangkah rugi andai hari ini kita lebih teruk dari semalam. Beruntunglah andai penambahbaikan itu bagaikan usaha kita menaiki tangga yang tidak pernah henti untuk capai ke matlamatnya.

Lama vs Baru

Azam sering dikaitkan bila tiba tahun baru. Pada pendapat saya, tidak semestinya setiap kali tiba tahun baru, azam pun perlu baru. Tiada salahnya untuk"renew" azam yang lama. Bak kata orang masa kini, kita "upgrade" azam lama dengan "software" baru. Guna pendekatan baru kepada azam lama yang tidak kesampaian. Mungkin dengan cara ini kita mampu menjayakan azam kita dengan lebih efisyen.

Akhirnya, apa yang seharusnya kita lakukan ialah terus berdoa kepada Allah moga apa jua azam yang kita tetapkan itu akhirnya mendekatkan diri kita kepada Allah. Mardhatillah lah yang kita cari, setinggi mana pun azam kita, kita tetap hamba-Nya. Kita masih dan akan selalu mengharap kasih sayang Allah untuk berjaya. Mohonlah kepada orang-orang di sekitar kita untuk turut mendoakan kesejahteraan kita. Dalam masa yang sama kita pun mendoakan mereka. Moga ukhwwah dan kasih sayang ini mampu mendorong kita untuk mendapat keberkatan hidup, InsyaAllah.

Jom gerak!

"Move on, please!", "Jangan malas, berusahalah!"

Setiap duka, lara, sengsara yang berlaku sepanjang tahun lepas biarkan sebagai kenangan. Jangan disimpan dalam hati yang bakal membekas menjadi dendam yang membinasakan. Teruskan hidup dengan positif, yakinlah Allah itu Maha Adil. Seperti mana dalam firman-Nya dalam Surah Al-Insyirah:


[94.5] Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan,


[94.6] sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.


[94.7] Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain,


[94.8] dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.


Tiga pengajaran dari Qalamullah ini:

1. Setiap kesusahan itu pasti diikuti dengan kemudahan

2. Bersungguhlah dalam setiap amal perbuatan kita

3. Pergantungan yang pasti adalah hanya kepada Allah, maka bertawakkalah selepas berusaha

Motivasi ini harus sentiasa kita ingat, demi menjalani kehidupan yang lebih positif dan penuh keyakinan dengan rahmat dan kasih sayang Allah. Jadi, jom gerak dan bertindak!

Bismillahirrahmanirrahim,

Rabbi Yassir Wala Tua'ssir, Rabbihkum Bilhaq Rabbi Sallim, Sallim, Sallim

tenang malam