azam baru, semangat baru
sumber
sumber
Bismillahirrahmanirrahim
Tahun Baru 2012
Syukur, Alhamdulillah atas nikmat-Nya dan keizinan untuk masuk ke tahun baru masihi. Walaupun sudah lebih sebulan tahun baru hijrah kita lalui, namun kerana umur kita sering dikaitkan dengan tahun baru masihi, maka ingatan tentang tahun baru masihi kadang kala "lebih popular" berbanding tahun hijrah. A'la kulli hal, datangnya tahun baru sebenarnya muhasabah terbaik buat manusia. Bertambah usia biarlah seiring dengan amal, kebaikan dan iman, InsyaAllah.
Bagaimana pencapaian kita?
Setahun sudah berlalu. Tirai 2011 sudah berlabuh. Titik mula 2012 mula muncul. Mungkin saya lewat sikit dalam hal tahun baru ini kerana di tanah air sudah pun masuk 2 Januari, tapi di tempat saya masih 1 Januari. Setahun berlalu adakah sudahkah kita capai visi, misi dan objektif hidup kita? Adakah kita masih dalam proses mencari diri? Atau sudah kenalkah kita pada kelebihan, kekurangan dan potensi diri yang boleh dikembangkan?
Soalan-soalan di atas wajar direnungkan. Hakikat hidup itu perlu penambahbaikan. Alangkah rugi andai hari ini kita lebih teruk dari semalam. Beruntunglah andai penambahbaikan itu bagaikan usaha kita menaiki tangga yang tidak pernah henti untuk capai ke matlamatnya.
Lama vs Baru
Azam sering dikaitkan bila tiba tahun baru. Pada pendapat saya, tidak semestinya setiap kali tiba tahun baru, azam pun perlu baru. Tiada salahnya untuk"renew" azam yang lama. Bak kata orang masa kini, kita "upgrade" azam lama dengan "software" baru. Guna pendekatan baru kepada azam lama yang tidak kesampaian. Mungkin dengan cara ini kita mampu menjayakan azam kita dengan lebih efisyen.
Akhirnya, apa yang seharusnya kita lakukan ialah terus berdoa kepada Allah moga apa jua azam yang kita tetapkan itu akhirnya mendekatkan diri kita kepada Allah. Mardhatillah lah yang kita cari, setinggi mana pun azam kita, kita tetap hamba-Nya. Kita masih dan akan selalu mengharap kasih sayang Allah untuk berjaya. Mohonlah kepada orang-orang di sekitar kita untuk turut mendoakan kesejahteraan kita. Dalam masa yang sama kita pun mendoakan mereka. Moga ukhwwah dan kasih sayang ini mampu mendorong kita untuk mendapat keberkatan hidup, InsyaAllah.
Jom gerak!
"Move on, please!", "Jangan malas, berusahalah!"
Setiap duka, lara, sengsara yang berlaku sepanjang tahun lepas biarkan sebagai kenangan. Jangan disimpan dalam hati yang bakal membekas menjadi dendam yang membinasakan. Teruskan hidup dengan positif, yakinlah Allah itu Maha Adil. Seperti mana dalam firman-Nya dalam Surah Al-Insyirah:
[94.5] | Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, |
[94.6] | sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. |
[94.7] | Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain, |
[94.8] | dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap. |
Tiga pengajaran dari Qalamullah ini:
1. Setiap kesusahan itu pasti diikuti dengan kemudahan
2. Bersungguhlah dalam setiap amal perbuatan kita
3. Pergantungan yang pasti adalah hanya kepada Allah, maka bertawakkalah selepas berusaha
Motivasi ini harus sentiasa kita ingat, demi menjalani kehidupan yang lebih positif dan penuh keyakinan dengan rahmat dan kasih sayang Allah. Jadi, jom gerak dan bertindak!
Bismillahirrahmanirrahim,
Rabbi Yassir Wala Tua'ssir, Rabbihkum Bilhaq Rabbi Sallim, Sallim, Sallim
tenang malam
No comments:
Post a Comment