Saturday, 7 January 2012

Katakanlah tidak tahu

Apa? katakanlah tidak tahu




Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah...syukur terus dipanjatkan kepada Allah atas segala nikmat-Nya yang tidak terbilang. Syukur masih dalam iman, masih dalam Islam, syukur masihi dalam petunjuk dari-Nya. Hari ini saya ingin berkongsi tentang pendekatan yang boleh kia ambil bila kita ditanya sesuatu soalan dan bila ditanya tentang kesahihah sesuatu berita.

Sahabat-sahabatku,

Saya pasti kita pernah ditanyakan soalan oleh orang-orang sekeliling kita. Kadang kala soalan yang ditanya berbentuk umum dan mudah untuk kita berikan jawapan. Ada kala soalan yang diajukan mencabar minda kita. Pada masa ini kita mempunyai EMPAT pilihan dalam menghadapinya:

1. Memberi jawapan yang tepat berdasarkan fakta---> jawapan tepat

2. Memberi jawapan berdasarkan ilmu yang kita ada--> jawapan hampir pasti betul.

3. Cuba meneka dan memberi jawapan secara "cuba-cuba"---> jawapan kurang pasti betul.

4. Katakan tidak tahu---> tiada jawapan


Antara EMPAT pilihan

Antara keempat-empat pilihan ini, mana satukah yang akan anda pilih?. Di sini mungkin timbul sedikit konflik antara mahu menampakkan diri sebagai "Mr/Mrs/Miss Serba Tahu" atau mengaku kalah dengan menyatakan tidak tahu.

Sebenarnya, bukanlah cerdik itu dinilai hanya pada pendapat yang diberikan, namun lebih dari itu kebenaran jawapan yang diberikan itu yang menggambarkan kredibiliti penutur. Jawapan yang betul adalah jawapan yang pasti, bukan hanya"tembak" sahaja dengan harapan ia kena pada sasaran. Kalau tersalah tembak, "maut" menanti. Biarlah butir bicara kita itu bernas dan benar, moga memberi ia bermanfaat pada yang lain, insyaAllah.

Bahaya meneka

Bayangkan, andai soalan yang ditanya itu terkait soal aqidah dan ibadah, apa kesannya andai anda tersalah memberi "fatwa"?. Bukankah besar kesannya terhadap pegangan dan amalan seseorang?

Andaikan pula jika soalan itu tentang soal perasaan yang terkait dengan perhubungan berlainan jantina. Kalau tersalah menjadi "Dr Cinta", bukankah besar kesannya terhadap orang lain?. Silap-silap membawa kepada salah faham dalam berikhtilat sesama manusia.

Paling mudah andai ia berkait soal pelajaran. Kalau tersalah informasi tentu si penanya menjawab salah dalam peperiksaan.

Soalan-soalan ini perlu diperhati SEBELUM memberi jawapan. Andai anda punya jawapan yang tepat, maka pilihlah pilihan yang pertama, kerana ia hampir kepada kebenaran. Jika sebaliknya, katakanlah TIDAK TAHU. Walaupun nampak lemah dan bagai menyerah kalah, namun sebenarnya ia menggambarkan betapa anda pentingkan sumber yang sahih dalam menyampaikan, bukan hanya rekaan. Itu sebenarnya cerminan iman kepada Allah. Anda lebih pentingkan kebenaran lebih dari mendapat kredit dengan menyebar perkara yang salah apatah lagi fitnah.

Sumber maklumat

Dalam zaman teknologi tinggi kini, banyak sumber yang mampu kita gunakan untuk mendapatkan maklumat. Namun, saya pernah terdengar kata-kata ulamak bahawa betapa pentingnya untuk kita mengetahui kesahihan sumber yang kita gunakan. Jangan jadi ustaz atau ustazah facebook dengan memberi pautan (link) yang salah terhadap sesuatu perkara terutama berkaitan agama. Selidik dahulu perkara-perkara ini:

*Adakah ia dari penulis yang kredibel?. Mahir atau faqih dalam bidangnya?
*Adakah ia dari sumber orang pertama (primer), atau hanya rekaan untuk memburukkan? *Adakah ia sekadar berita untuk pelaris majalah atau akhbar?.

Andai anda ditanya tentang kesahihan sesuatu berita dan anda tidak pasti, katakanlah "Wallahua'alam", kerana sungguh, hanya Allah yang Maha Mengetahui segala yang zahir dan tersembunyi. Dia pemilik hati setiap manusia, maka hanya Dia tahu apa yang tersirat walau tidak dilafaz.

Neracanya iman

Akhirnya, saya menyeru diri dan rakan-rakan untuk menilai jawapan pada persoalan yang ditanya dan menilai kesahihan sumber berita yang diterima. Jangan kerana keculasan kita, akhirnya maruah orang lain tergadai, jangan kerana kelalaian kita orang lain terjebak dalam masalah yang membinasakan, nauzhibillah.

Akhir kalam, teruskan menuntut ilmu dan bertanya pada orang yang faqih dan tahu tentang soalan yang hendak ditanya. Moga Allah berkati usaha kita menuntut ilmu dan memberi kita kekuatan untuk mempertahankan kebenaran dalam dunia yang penuh dengan fitnah yang tersebar.

Wallahua'lam

tenang dingin pagi


yang remeh temeh: Pak Pandir

2 comments:

  1. salam,nak tanya pendapat saudari sekiranya tidak menyusahkan
    kalau kita ditanya oleh penceramah secara umum tetapi tiada siapa yang respons.Jadi apakah tindakan yang wajar dilakukan?
    A keberanian mencuba menjawab dgn ilmu yang ada or
    B terus berdiam diri sehingga penceramah mengalah trhdp soalan yg diberikan...

    ReplyDelete
  2. Waalaikumsalam wbt,

    InsyaAllah saya cuba jawab berdasarkan sedikit ilmu yang saya tahu. Pada pendapat saya, tidak salah andai saudari cuba jawab soalan tersebut. Andai betul, ia menjadi bounus yang bakal menambah kefahaman saudari. Andai salah, tidak mengapa, sekurang-kurangnya saudari dapat menambah ilmu baru.

    Belajar memberanikan diri dalam perkara yang benar ialah satu perkara yang wajar kita tanam. Memang, saya sendiri pun kadang-kala takut malu andai jawapan/ respons yang diberikan itu salah atau tidak tepat. Tapi, secara tidak langsung ia mampu tambah keyakinan kita untuk menyuarakan pandangan.

    wallahua'lam

    ReplyDelete