Saturday 25 September 2010

Damaikanlah saudaramu


satukanlah...ia sumber kekuatan



Dalam kehidupan seharian kita pasti tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Mungkin kesilapan kita mengundang resah dan kemarahan orang lain. Apabila perbezaan pendapat berlaku, maka bermulalah hubungan yang renggang. Itu lumrah, namun apa yang lebih penting bagaimana cara untuk mendamaikan. Jadi, kali ini saya berkongsi tentang tuntutan mendamaikan antara saudara yang bertelingkah dan cara untuk mengeratkan persaudaraan. Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat (49:10);

10. sebenarnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.


Sebelum itu, elok rasanya kalau kita mengenalpasti apa antara punca pergaduhan atau pertelingkahan. Allah telah menjelaskan dalam ayat seterusnya dalam surah yang sama (49: 11-12);

11. Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki Yang lain, (kerana) harus puak Yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan Yang lain, (kerana) harus puak Yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya Yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu Dengan Yang lain Dengan gelaran Yang buruk. (Larangan-larangan Yang tersebut menyebabkan orang Yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. dan (ingatlah), sesiapa Yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang Yang zalim.

12. Wahai orang-orang Yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan Yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya Yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya Yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan Yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.



Isi penting ayat ini menyeru agar kita tidak mencemuh orang lain dengan kata-kata kesat atau panggilan yang tidak menyenangkan. Pada saya sifirnya mudah, andai kita tidak suka jika orang mengejek kita dengan gelaran yang tidak kita sukai, maka begitulah juga dengan orang lain. Kata-kata kesat memang menyakitkan hati, jadi sama-samalah kita elakkan. Allah menekankan bahawa mungkin orang yang dicemuh itu lebih baik amalannya dari kita. Siasatlah terlebih dahulu sebelum menghukum. Penilaian manusia itu terbatas, maka jangan kita merendah-rendahkan orang lain.

Ingatan juga diberikan kepada kita supaya menjauhi dari sifat suka bersangka-sangka kerana kebanyakan sangkaan itu adalah dosa. Suka untuk saya berikan contoh situasi:

"Si A dan B berkawan rapat di unversiti. A sangat peramah dan disukai orang ramai. Berbeza dengan B yang pendiam. Disebabkan perasaan dengki terhadap persahabatan A dan B, ada seorang sahabat C yang menghasut B bahawa A telah bercerita keburukan B pada orang lain. Andai B bersangka buruk, pasti akan berlaku pergaduhan antara dua sahabat ini"

Jadi bagaimana hendak kita hindarkan pergaduhan dan perselisihan pendapat? Ini antara cara yang ingin saya kongsikan:

1) Banyakkan bersangka baik. Jelas dari ayat di atas sangkaan buruk hanya membawa kepada dosa. Jadi, positiflah dalam menyingkapi sesuatu isu. Mungkin banyak perkara tersirat yang tidak kita ketahui, tidak pantas untuk kita cepat menuduh orang lain tanpa usul periksa.

2) Ingat kembali tujuan persaudaraan iaitu untuk mendapat rahmat Allah, kasih sayang Allah yang sangat tidak ternilai harganya. Andai kita inginkan redha Allah, cubalah mengawal diri dari terlibat dalam sebarang pertengkaran. Begitu juga sebagai orang yang menyaksikan pergaduhan, damaikanlah saudaramu demi mendapat rahmat Allah, InsyaAllah.

3) Sentiasa cuba untuk memberikan yang terbaik bagi saudara kita. Saya yakin dengan cara ini kita akan saling menampung kelemahan sahabat kita dan tidak sanggup untuk mencela kekurangannya. Alangkah indah antara persaudaraan penuh dengan memberi dan diseimbangkan dengan menerima selayaknya.

4) Cuba untuk memahami saudara kita, fahami situasi mereka. Mungkin kita masih tidak cukup berta'aruf dengan sahabat kita. Ambillah masa kerana itulah tujuan kita berkenalan. Bila sudah berkenalan, jangan pula kita beza-bezakan diri kita dengan sahabat kita. Cuba jadi hamba Allah yang bertaqwa, kerana itulah yang akan membezakan bagaimana kita di sisi Allah, bagaimana akhirnya kehidupan kita nanti. Sepertimana sambungan ayat di atas (49:13);

13. Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).


5) Hargailah kelebihan saudara kita. Manfaatkan kelebihan mereka sebagai kekuatan untuk diri kita. Pasti sinergi yang hebat akan tercerna yang akhirnya membuahkan perasaan manis dalam bersaudara.


Sahabat-sahabatku,

Marilah kita cari titik persamaan,bukan mengeruhkan keadaan. Rintislah jalan peradamaian bukan jurang perbezaan. Satukan yang jauh dan leraikan kekusutan. Kita mampu menuju ke arah persaudaraan sejagat, mulakan dari orang sekitar kita kemudian kembangkan pada yang jauh. InsyaAllah moga Allah redha dengan usaha kecil yang signifikan ini. Ameen...

Wallahua'lam

shiny day

Friday 24 September 2010

Mari koreksi diri!


berubahlah..bukan hanya luaran



Alhamdulillah atas nikmat-Mu ya Allah, kurniaan yang melimpah ini kadangkala terlupa untuk aku syukuri. Dalam kesibukan mengejar dunia ini, pernahkah kita terfikir untuk memperbaiki diri? Adakah cukup amalan kita? Bagaimana dengan perhitungan di akhirat yang pasti terjadi? Bersediakan kita? Mungkin kita biasa mendengar perkataan muhasabah, terutama apabila kita berada di akhir sesuatu program, kita diajak untuk bermuhasabah. Namun, sejauh mana penghayatan kita terhadap maksud muhasabah?

Muhasabah. Berasal dari perkataan hisab, iaitu menghitung. Mengapa kita perlu menghitung amalan kita? Firman Allah dalam Surah Al-Hasyr (59:18);

18. Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa Yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). dan (sekali lagi diingatkan): bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan Segala Yang kamu kerjakan.


Jelas dari ayat ini kita memang dituntut untuk menghitung amalan kita. Andai dalam kehidupan harian kita sibuk merancang dan menghitung bajet dan merancang untuk pelbagai perkara, mengapa kita lupa untuk menghitung bekal amalan di akhirat kelak?. Dalam ayat seterusnya (59:19) Allah memberi peringatan untuk kita tidak melupakan perintah-perintah-Nya.

19. dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang Yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal Yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. mereka itulah orang-orang Yang fasik - derhaka.


Perkaitan antara kedua-dua ayat ini menunjukkan cara untuk kita menghitung diri adalah dengan mengikuti perintah Allah. Islam sebagai agama petunjuk kepada penganutnya. Ia bukan hanya teori tapi praktikal untuk setiap urusan manusia. Yang membezakan seorang muslim dan mu'min adalah pada amalannya. Sepertimana Allah menekankan dalam ayat seterusnya (59:20):

20. tidaklah sama ahli neraka dan ahli Syurga; ahli Syurgalah orang-orang Yang beroleh kemenangan (mendapat Segala Yang diingini).


Memang berbeza antara dua golongan ini. Ibarat langit dan bumi, jurangnya sangat ketara antara penghuni syurga dan neraka. Satu dalam rahmat dan satu dalam laknat. Jadi timbanglah dengan neraca iman, ke mana lebihnya kita? ke jalan redha atau kebencian Allah?

Jadi di sini saya ingin berkongsi beberapa cara untuk bermuhasabah, moga memberi manfaat:

1) Mengingati mati. Ini cara terbaik untuk bermuhasabah. Mengingatkan diri tentang kematian yang pasti terjadi membantu kita mengkoreksi diri. Secara tidak langsung menjadi pendorong untuk kita menambah amal kebaikan.

2) Mengingati kelemahan diri. Dengan kita menilai kelemahan diri kita secara tidak langsung membantu dalam memperbaiki kelemahan diri. Cara lain ialah dengan menukar kelemahan itu menjadi kekuatan. Sebagai contoh kita cuba kurangkan sifat suka berkata perkara-perkara lagha dengan berzikir, mungkin nampak jauh sangat perbezaannya, namun andai cuba diamalkan, InsyaAllah akan jadi kekuatan akhirnya.

3) Tidak membesarkan kekurangan orang lain. Janganlah dibesar-besarkan kekurangan orang lain kerana hakikatnya Allah menutup-nutup kekurangan kita. Andai kita menutup kelemahan orang lain, Allah akan melindungkan kelemahan kita.

4) Menjadikan kebaikan orang sebagai kayu ukur untuk kita. Dalam hal amalan kebaikan, amatlah wajar untuk kita meniru orang lain. Jadikan ia sebagai penanda aras untuk kita dan letakkan sasaran untuk menjadi yang lebih baik dari orang lain.

5) Menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan utama. Sangat jelas bahawa Nabi junjungan mulia contoh terbaik buat kita. Mulakan dengan mengamalkan perkara-perkara yang menjadi sunnah baginda.

6) Berdoa sebanyak-banyaknya agar Allah mudahkan kita untuk berubah dan memperbaiki diri. Allah yang memegang hati kita dan Dia jugalah mampu membuka hati kita untuk suka kepada kebaikan dan membenci kejahatan. Hidayah itu milik-Nya jua.

Sahabat-sahabatku,

Marilah kita sama-sama bergerak dan bertindak ke arah perubahan yang InsyaAllah mengundang redha Allah, biiznillah. Doakan moga kita berjaya bermujahadah ke arah kebaikan dan kekal istiqamah dalam beramal..ameen.


wallahua'lam

tenang malam