Saturday, 25 September 2010

Damaikanlah saudaramu


satukanlah...ia sumber kekuatan



Dalam kehidupan seharian kita pasti tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Mungkin kesilapan kita mengundang resah dan kemarahan orang lain. Apabila perbezaan pendapat berlaku, maka bermulalah hubungan yang renggang. Itu lumrah, namun apa yang lebih penting bagaimana cara untuk mendamaikan. Jadi, kali ini saya berkongsi tentang tuntutan mendamaikan antara saudara yang bertelingkah dan cara untuk mengeratkan persaudaraan. Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat (49:10);

10. sebenarnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.


Sebelum itu, elok rasanya kalau kita mengenalpasti apa antara punca pergaduhan atau pertelingkahan. Allah telah menjelaskan dalam ayat seterusnya dalam surah yang sama (49: 11-12);

11. Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki Yang lain, (kerana) harus puak Yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan Yang lain, (kerana) harus puak Yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya Yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu Dengan Yang lain Dengan gelaran Yang buruk. (Larangan-larangan Yang tersebut menyebabkan orang Yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. dan (ingatlah), sesiapa Yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang Yang zalim.

12. Wahai orang-orang Yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan Yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya Yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya Yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan Yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.



Isi penting ayat ini menyeru agar kita tidak mencemuh orang lain dengan kata-kata kesat atau panggilan yang tidak menyenangkan. Pada saya sifirnya mudah, andai kita tidak suka jika orang mengejek kita dengan gelaran yang tidak kita sukai, maka begitulah juga dengan orang lain. Kata-kata kesat memang menyakitkan hati, jadi sama-samalah kita elakkan. Allah menekankan bahawa mungkin orang yang dicemuh itu lebih baik amalannya dari kita. Siasatlah terlebih dahulu sebelum menghukum. Penilaian manusia itu terbatas, maka jangan kita merendah-rendahkan orang lain.

Ingatan juga diberikan kepada kita supaya menjauhi dari sifat suka bersangka-sangka kerana kebanyakan sangkaan itu adalah dosa. Suka untuk saya berikan contoh situasi:

"Si A dan B berkawan rapat di unversiti. A sangat peramah dan disukai orang ramai. Berbeza dengan B yang pendiam. Disebabkan perasaan dengki terhadap persahabatan A dan B, ada seorang sahabat C yang menghasut B bahawa A telah bercerita keburukan B pada orang lain. Andai B bersangka buruk, pasti akan berlaku pergaduhan antara dua sahabat ini"

Jadi bagaimana hendak kita hindarkan pergaduhan dan perselisihan pendapat? Ini antara cara yang ingin saya kongsikan:

1) Banyakkan bersangka baik. Jelas dari ayat di atas sangkaan buruk hanya membawa kepada dosa. Jadi, positiflah dalam menyingkapi sesuatu isu. Mungkin banyak perkara tersirat yang tidak kita ketahui, tidak pantas untuk kita cepat menuduh orang lain tanpa usul periksa.

2) Ingat kembali tujuan persaudaraan iaitu untuk mendapat rahmat Allah, kasih sayang Allah yang sangat tidak ternilai harganya. Andai kita inginkan redha Allah, cubalah mengawal diri dari terlibat dalam sebarang pertengkaran. Begitu juga sebagai orang yang menyaksikan pergaduhan, damaikanlah saudaramu demi mendapat rahmat Allah, InsyaAllah.

3) Sentiasa cuba untuk memberikan yang terbaik bagi saudara kita. Saya yakin dengan cara ini kita akan saling menampung kelemahan sahabat kita dan tidak sanggup untuk mencela kekurangannya. Alangkah indah antara persaudaraan penuh dengan memberi dan diseimbangkan dengan menerima selayaknya.

4) Cuba untuk memahami saudara kita, fahami situasi mereka. Mungkin kita masih tidak cukup berta'aruf dengan sahabat kita. Ambillah masa kerana itulah tujuan kita berkenalan. Bila sudah berkenalan, jangan pula kita beza-bezakan diri kita dengan sahabat kita. Cuba jadi hamba Allah yang bertaqwa, kerana itulah yang akan membezakan bagaimana kita di sisi Allah, bagaimana akhirnya kehidupan kita nanti. Sepertimana sambungan ayat di atas (49:13);

13. Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).


5) Hargailah kelebihan saudara kita. Manfaatkan kelebihan mereka sebagai kekuatan untuk diri kita. Pasti sinergi yang hebat akan tercerna yang akhirnya membuahkan perasaan manis dalam bersaudara.


Sahabat-sahabatku,

Marilah kita cari titik persamaan,bukan mengeruhkan keadaan. Rintislah jalan peradamaian bukan jurang perbezaan. Satukan yang jauh dan leraikan kekusutan. Kita mampu menuju ke arah persaudaraan sejagat, mulakan dari orang sekitar kita kemudian kembangkan pada yang jauh. InsyaAllah moga Allah redha dengan usaha kecil yang signifikan ini. Ameen...

Wallahua'lam

shiny day

No comments:

Post a Comment