Friday, 24 September 2010

Melindungi saudaramu


lindungilah dirimu dan saudaramu..ia memberikan kekuatan
protect you by ~dane358




Alhamdulillah bersyukur pada Allah atas nikmat-Nya yang terlalu banyak untuk dihitung. Bersyukur masih diberi peluang untuk terus berada di bumi yang hanya pinjaman buat kita. Saya baru selesai mendengar khutbah Jumaat di masjid tempatan. InsyaAllah saya ingin berkongsi serba sedikit berkenaan isi khutbah tadi.

Isi khutbah yang disampaikan tadi menekankan pentingnya untuk kita sebagai umat Islam untuk melindungi saudara seagama kita. Melindungi di sini mencakupi pelbagai maksud, antaranya ialah:

1) Secara fizikal: kita bertindak memastikan keselamatan komuniti Islam di tempat kita. Mengambil sebarang langkah yang mampu memelihara kesejahteraan hidup mereka.

2) Melindungi peribadi saudara seagama kita. Ini bermaksud kita tidak menyebarkan perkara-perkara yang tidak elok tentang saudara kita kepada orang lain seperti mengumpat atau mencela.

3) Memelihara hati kita supaya tidak bersifat benci atau dengki terhadap orang lain. Melalui cara ini kita melindungi saudara kita dari sebarang tindakan yang boleh memudaratkan mereka kesan dari perasaan benci tersebut.

Sahabat-sahabat sekalian,

Suka saya mengingatkan diri tentang sejauh mana kita mengambil berat terhadap komuniti Islam di kawasan kita. Adakah kita sudah memainkan peranan yang sepatutnya? Adakah kita hanya menjadi ahli masyarakat yang diam tanpa menyumbang apa pun?. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah (2:224):

224. (dan janganlah kamu jadikan nama) Allah Dalam sumpah kamu sebagai benteng Yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertaqwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa mengetahui.


Ayat ini menegaskan tentang pentingnya kita mendamaikan saudara kita. Sering kita mendengar pergaduhan dan perbalahan terjadi di kalangan ahli masyarakat. Kadangakala lebih dekat, ia berlaku dalam keluarga kita sendiri. Jadi, adakah kita sudah berperanan dalam mendamaikan kedua-duanya? Tanyalah diri masing-masing. Moga kita tidak tergolong di kalangan orang yang menjadi api dalam sekam, musuh dalam selimut yang hanya memarakkan api kebencian. Tindakan ini akhirnya membahayakan kesejahteraan ummah seluruhnya.

Hakikat kehidupan kita pasti ada pasang surutnya. Begitu jugalah dengan persahabatan dan persaudaraan. Apabila berlaku pertelingkahan, ingatlah tujuan persaudaraan sesama Islam sepertimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radiyallahuanhu:

"Tidak sempurna iman kamu sehingga kamu sukakan sesuatu untuk saudaramu sepertimana kamu sukakan perkara itu untuk dirimu"

Sahabat-sahabatku,

Jelas dari hadis di atas tentang kepentingan untuk kita mengutumakan saudara kita. Kasih kepada saudara seagama akan menyempurnakan iman kita. Allah memberi peluang kepada kita untuk meningkatkan iman kita melalui amalan baik yang boleh kita lakukan kepada orang lain. Lihatlah, betapa kasihnya Allah kepada hamba-Nya. Perkara ini sebenarnya bukanlah terlalu teori, dan mampu dipraktikkan oleh semua orang. Berikut adalah beberapa contoh yang boleh kita sama-sama amalkan:

1) Menyediakan atau memasak makanan buat saudara kita yang sibuk dengan urusan kerjanya. Secara tidak langsung kita melindungi mereka dari kelaparan an mungkin jatuh sakit jika tidak makan mengikut masa yang ditetapkan.

2) Menolong jiran tetangga membeli barangan keperluan harian. Kadangkala ada di kalangan ahli masyarakat yang tidak mampu membeli barangan rumah, jadi tidak salah andai kita mendahulukan duit kita. InsyaAllah, ada barakahnya di situ. Adalah tidak wajar andai kita membiarkan jiran kita kelaparan sedangkan kita kekenyangan dan berlebihan makanan.

3) Bagi yang masih belajar, mungkin kita kurang menyedari peranan kita sebagai ahli masyarakat. Tapi sebenarnya kita juga boleh menyumbang terutamanya apabila kita bercuti dan balik ke kempung masing-masing. Antaranya dengan melakukan kelas tambahan untuk anak-anak jiran ataupun membantu dalam kerja-kerja amal di masjid.

Sahabat-sahabat sekalian,

Saya menyeru diri dan semua untuk sama-sama bertindak dan bergerak. Pandanglah sekelilingmu, mungkin ada yang memerlukan. Berilah sumbangan dalam apa jua bentuk pun. Walaupun pada pandangan manusia ianya kecil, namun hanya Allah yang mampu menilai baraqah setiap amalan kita. Jadi, mari tanamkan azam untuk melindungi saudara seagama kita. Moga natijahnya nanti lahirlah generasi Islam yang sejahtera dan hidup aman bersama-sama, InsyaAllah.

peringatan buat diriku jua...

shiny and windy day...

No comments:

Post a Comment