Monday 26 September 2011

Kembara alam

Bismillahirrahmanirrahim


Sedikit perkongsian semasa mengembara melihat alam, ciptaan indah Illahi...Subhanallah...

Allah Pencipta langit dan bumi, dan bila Dia berkehendak (untuk menciptakan) sesuatu, maka (cukuplah) Dia hanya mengatakan kepadanya: "Jadilah". Lalu jadilah ia. (Surah Al-Baqarah 2: 117)


Dia Pencipta langit dan bumi. Bagaimana Dia mempunyai anak padahal Dia tidak mempunyai istri. Dia menciptakan segala sesuatu; dan Dia mengetahui segala sesuatu. (Surah Al-An'am 6: 101)


"berlumba" dengan itik semasa bot rowing...


pemandangan dari atas bot


"reflection" atas air yang sangat cantik


bot pun ada nama-:)

walaupun hujan, masih indah!

Kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka. (Surah Ali-Imran 3: 189-191)


Sama-samalah menghargai dan paling penting mensyukuri setiap nikmat yang Allah berikan. Moga kita tergolong di kalangan orang-orang yang berakal, meggunakan pancaindera dan mata hati untuk berfikir....ingatan buat diriku jua

Wallahua'lam

sun shine bright day


Saturday 24 September 2011

Nilai syukur




sedih, rasa itu bertamu
menjemput dalam hatiku
lantaran tak mampu ku mensyukuri nikmatMu
aku belum usaha sesungguhnya
dalam senang aku lupa
dalam susah aku resah
dalam tegang aku radang

ya Allah
mana syukurku?
rasa malu dengan khilaf diri
hati jauh dari rasa menerima
makin banyak Kau beri
seakannya makin jauh diriku dari mensyukuri

aku melihat, mendengar dan menilai
sekitarku juga begitu
banyak mengungkit dan menyalahkan
aku takut ya Rabb
andai nikmat itu Kau uji
mungkin tak termampu untuk aku menghadapi
mungkin aku terduduk
hampa...sengsara

ya Allah
setiap detik milikMu masih tak mampu ku gunakan selayaknya
sedangkan masa itu makhluk yang bernilai
ibarah hidup ia terus berlalu

ya Allah
hambuMu ini malu
hambaMu kaku
bantulah aku untuk mencapai, merasa dan mengguna
setiap detik kurniaanMu
dengan selayaknya
dengan sepenuhnya
dengan sesungguhnya
demi hidup dunia yang sementara
bekalan hidup akhirat yang segalanya



Rabbi yassir wala tua'ssir, Rabbihkum bil haq, Rabbi sallim, sallim, sallim...Ameen

mood: muhasabah


Friday 23 September 2011

Soal hati



Bismillahirrahmanirrahim

Pernahkah anda bercinta? Pernahkah anda menghadapi masalah percintaan? Kepada siapa anda rujuk bila ada masalah cinta?

Soalan-soalan di atas relevan dengan perkongsian saya kali ini.


Kongsi masalah

Pagi itu saya baru mula buka komputer untuk memulakan kerja. Elok saya betulkan kedudukan kerusi datang seorang rakan wanita berbangsa Italy ke arah saya.

"Hi, good morning, how are you?" katanya.

"I'm good, how are you?" balas saya

Selepas berbalas khabar dia terus menarik kerusi duduk sebelah saya. Sahabat saya ini ceria orangnya. Rajin menolong orang dan ramah sungguh.

"Please can you help me and give some advice to me? I think only girls know how to help me" katanya.

Pelik. Kenapa saya? Tapi saya tidak kisah pun kalau dia nak bertanya.

Bila dia buka cerita, tahulah saya yang dia hendak bertanya tentang soal hati, soal CINTA.


Nasihat dan peringatan buat diri

Dari awal sudah saya katakan,

"I'm not expert on this, I can't give you a proper advice" jawab saya. Baik berterus terang, nanti kalau silap cakap, buruk padahnya.

Dia tetap teruskan bercerita.

Saya pun, setia mendengar. Secara kesimpulan isu pokok yang dia bertanya ialah tentang "expectation" dalam perhubungan.

....Macam mana kalau lepas kahwin tidak boleh tinggal bersama? macam mana kalau pasangan tak bagi saya bekerja? saya tak mahu jadi suri rumah, saya nak berkerjaya.....

...Macam mane ya? saya rasa saya sukakan dia, tapi saya takut kalau apa yang bakal terjadi adalah luar dari "expectation" saya....


Isi bicara

Macam-macam persoalan yang dia utarakan. Saya jawab dari kapasiti yang saya tahu. Lagipun dari awal sudah saya bagitahu yang saya tidak berpengalaman sangat. Antara isi bicara saya dengan dia ialah:

1. Kalau anda sudah yakin dengan pilihan anda (know that he is you Mr Right) maka anda harus terima dia seadanya.

2. Saya ada terangkan padanya yang sebelum perkahwinan kita boleh berbincang dengan bakal pasangan tentang apa "expectation" kita tentang kerjaya kita, rumah tangga kita. Sekurang-kurangnya ini boleh mengurangkan salah faham pada masa akan datang.

3. Beri penerangan secukupnya pada bakal pasangan anda tentang apa perancangan anda dan anda juga mendengar perancangan dari pihaknya. Ini boleh membantu untuk merancang rumahtangga.

4. Selidik bakal pasangan anda. Bukan hendak jadi "busy body", tapi ini penting untuk pastikan pelayaran hidup kita pada masa akan datang tidak dipenuhi dengan derita dan sengsara kerana salah faham di peringkat perkenalan.

5. Isi terakhir ini hanya tambahan buat kita yang yakin setiap qada' dan qadar itu telah ditetapkan oleh Allah. Berdoalah sebanyaknya kepada Allah moga diringankan jodoh pertemuan buat kita. Hanya Allah yang menggerakkan hati kita dan bakal pasangan kita. Berdoalah moga dipertemukan dengan cara terbaik dan berakhir dengan cara baik juga. Hidup berumahtangga untuk lahirlah generasi yang baik juga, InsyaAllah

Saya akhiri perbualan itu dengan ucapan selamat kepadanya. Moga dia berjumpa yang tebaik untuk dirinya.

Beri nasihat biar dengan kapasiti dan kefahaman diri, jangan memandai. Itu pengajaran yang saya dapat. Saya bukan pakar, cuma berkongsi dengan rakan yang dalam kekeliruan....

Anda ada soal hati? Tanyalah kepada pemilik hati...Allah SWT...

permudahkanlah ya Rabb, ameen

Wallahua'lam


Panggilan itu....




Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, dapat sampai ke penghulu segala hari. Dalam deras waktu yang berlalu ada banyak ibrah yang Allah sediakan buat hamba-Nya yang mahu berfikir. Saya berdoa agar kita semua digolongkan di kalangan orang yang dibuka mata hati untuk melihat setiap kurniaan-Nya.

Sambutan Eid

Hari ini 24 Syawal 1432 hijrah. Masih ada baki empat hari sebelum bulan Syawal melabuhkan tirai. Mungkin ada lagi sambutan Eid yang berbaki di tempat kalian. Begitu juga saya di sini, hujung minggu ini ada lagi sambutan Eid dianjurkan oleh segelintir kawan-kawan.

Sambutan Eid bersama rakan-rakan seagama dan dari latar belakang berbeza saya kira boleh menjadi satu peluang untuk berkongsi. Ada beberapa kawan-kawan yang bertanya tentang sambutan Eid, raya haji dan soalan-soalan lain berkaitan. Agak sukar juga hendak terangkan terutama bila bukan dalam bahasa ibunda. Tapi Alhamdulillah saya dan rakan-rakan lain cuba terangkan dalam bahasa yang mudah. Moga Allah beri hidayah kepada mereka.

Hidup sebagai golongan minoriti sebenarnya banyak mengajar saya untuk sentiasa bersedia dengan pelbagai persoalan dari bangsa lain. Mereka juga menjadi target untuk dakwah. Saya berdoa agar dapat menunjukkan contoh yang baik terutama dari segi akhlak. Bukankah Rasulullah SAW mampu menarik ramai mad'u hasil dari kemurniaan akhlak baginda? Jadi, menjadi seruan bagi kita untuk meneruskan tugas itu di muka bumi ini. Moga Allah beri kekuatan untuk kita berdakwah dengan kapasiti masing-masing.

Ramadhan di Makkah

Dalam ramai-ramai yang hadir dalam sambutan Eid itu sempat saya berborak dengan seorang teman yang berasal dari Makkah. Saya ada bertanya tentang bagaimana sambutan Ramadhan di sana.

"Tersangat ramai" katanya. Impresi yang sudah saya agak. Melihat rancaknya pakej Ramadhan di Makkah yang dianjurkan di Malaysia, pastinya jemaah yang mengerjakan umrah di bulan mulia juga ramai.

Kawan saya itu tinggal berhampiran tanah haram. Katanya hanya sejam dari rumahnya. MasyaAllah dekat sungguh! Beruntung sungguh dia.

Apa pun, saya yakin bila kita tinggal berjauhan dari tanah haram pastinya usaha yang kita letakkan untuk sampai ke sana akan dipermudah Allah, InsyaAllah. Mungkin ia boleh menjadi pembakar semangat untuk kita semua berusaha untuk sampai ke sana.

"Kenapa tidak pergi haji tahun ini?" tanya sahabat saya itu.

"Erm...saya pergi dari Malaysia rasanya" jawab saya ringkas.

Saya bertanya lagi, "Kalau penduduk asal Makkah boleh kerjakan haji berapa kali?"

"Untuk wanita lima tahun sekali, kalau lelaki boleh pergi setiap tahun" jawabnya.

Seronok sungguh, lima tahun sekali!

Panggilan itu

Panggilan untuk mengerjakan umrah dan haji itu wajib bagi semua umat Islam yang berkemampuan. Saya yakin sahabat-sahabat semua pasti turut merasainya. Ya Allah, saya berdoa agar diberi izin Allah untuk menjadi tetamunya. Saya berdoa kita semua terpilih menjadi tetamunya jua.

Bagaimana rakan-rakan semua? Jom rancang untuk mengerjakan ibadah ini dalam usia muda, dalam keadaan kita masih kuat dan mampu dari sudut kewangan. Bagi urusan haji, jangan lupa menabung, insyaAllah satu hari nanti sampai juga masa kita. Tanamkan azam untuk ke sana, tanah barakah tempat terbaik untuk berdoa dan beramal.

Ya Allah sampaikan aku ke sana, begitu juga semua keluargaku dan sahabat-sahabatku, ameen. Buat sesiapa yang akan ke tanah haram, doakan moga orang lain berkesempatan ke sana.

rindu Baitullah....

wallahua'alam

cerah cuaca


Wednesday 21 September 2011

Bukan milikmu




Bukan milikmu

Hidup, dalam genggaman-Mu
Semuanya milik-Mu
Namun, diriku, dirimu atau mungkin kita semua
asyik merasakan
leka memikirkan
sibuk merungsingkan
semua perkara yang hanya milik-Mu

kehilangan sedikit sangat dirasai
kekurangan sebentar jadi amat terkesan
kepayahan sementara jadi rungutan berpanjangan

adakah hanya hari ini nikmat-Mu yang luas datang menyinggah?
adakah hanya kini rahmat-Mu dirasai?
hingga setiap detik masa, degupan jantung,
pinjaman nafas yang tak terhitungkan dilupa
berlalu begitu, dilupa dan disiakan

hanya kerana duka
hanya kerana lara
hanya kerana perit
yang amat sedikit berbanding suka, jaya, gembira,
bahagia dan ceria yang Kau limpahkan

benarlah manusia
fikirnya hanya miliknya
sedangkan itu milik-Mu
cuma pinjaman buat sementara
ia pasti disoal
ia pasti ditagih oleh yang empunya

buat insan yang syukur, tunduknya makin patuh
buat yang enggan, hatinya kian menjauh
rasa kehambaan, rasa kesyukuran itulah yang membezakan
kita adalah siapa
kita adalah di mana
kita adalah bagaimana
di sisi yang Esa
di sisi yang Mencipta
yang pasti, di sisi yang Memilki semuanya



nasyid Rabbani: Mana Milik Kita : banyak pengajaran yang boleh ditimba

wallahua'lam

ingatan buat diriku jua



Belajar dari adik




Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulilah syukur pada-Nya atas segala percaturan hidup yang terbaik untuk setiap hamaba-Nya. Dalam melayari bahtera kehidupan pasti kita pernah tersadung lalu jatuh tersungkur ke bawah. Di kala kita berada di bawah itulah pentingnya untuk kita bangkit bagi memulihkan keyakinan diri sendiri.

Pertemuan itu

Saya bersyukur kerana ditemukan Allah dengan ramai sahabat dan adik-adik yang baik belaka di sini. Tidak terasa sunyi dan keasingan walaupun berada di bumi asing. Tidak terasa jauh walaupun jauh dari tanah air. Adik-adik yang saya anggap seperti adik sendiri sentiasa ringan membantu tanpa meminta balasan.

Saya kagum dengan semangat persaudaraan ini yang membawa kepada ukhwah yang berpanjangan. Masih teringat di kala saya mula-mula sampai di sini, selain seorang sahabat yang sudah saya hubungi adik-adik banyak membantu dalam mempercepat proses penyesuaian diri.

Pertemuan yang ingin saya kongsikan ialah pertemuan dengan seorang adik yang banyak mengajar saya tentang memberi...

Semua boleh

Untuk saya ceritakan tentang adik H cukuplah andai saya simpulkan sebagai seorang yang 'semuanya boleh'. Dia ringan tulang membantu dalam banyak perkara. Bila saya ingat kembali rasanya saya sering dipertemukan dengan manusia yang ringan tulang dan sangat tidak berkira dalam membantu orang lain. Mungkin ia tarbiyyah secara tidak langsung dari Allah untuk menggerakkan saya pula untuk menyumbang dan bukan hanya menerima...

"Akak, tak pe nanti saya tolong...", "Tak pe nanti saya bagitau pasal hal tu.." Banyak sungguh perkara yang adik H nak tolong, kesian juga melihatnya...saya yakin Allah yang berikan dia kekuatan unutk terus membantu.

Sedih

Satu hari adik H datang ke rumah, niat asalnya untuk mengambil barang. Sedang asyik berborak, tiba-tiba dia mula bercerita...

"Akak sebenarnya saya tengah sedih.."

"Kenapa?" tanya saya ringkas.

"Saya tahu saya banyak kekurangan, tapi sedih sangat bila orang kaitkan kekurangan saya kerana didikan keluarga saya yang kurang sempurna", luah adik H. Kelopak matanya mula berlinang..

Saya jadi empati, sedih, marah, macam-macam perasaan..

"Cuba ceritakan kat akak, apa terjadi sebenarnya?

Adik H bercerita panjang lebar, tapi apa yang dapat saya simpulkan dari perbualan kami berdua ialah:

1. Saya rasa tidak wajar andai seseorang menyalahkan atau menuduh kelemahan seseorang itu (contoh kesalahan kecil yang dilakukan) berpunca dari didikan keluarga yang tidak sempurna tanpa usul periksa.

2. Jujur dan bersifat adillah sesama manusia. Jangan tuduh melulu andai kita melihat seseorang melakukan kesalahan. Barangkali kesalahan itu dibuat atas dasar kejahilan, bukan kerana kehendaknya sendiri.

3. Jagalah hati orang sekeliling kita, jangan cakap lepas hingga melukakan hati seseorang. Ingat, andai kita cakap lepas dengan orang lain, mungkin pada masa akan datang kita juga mungkin mungkin dihina.

4. Andai orang lain berasalah tegurlah dengan cara berhikmah, jangan menghina atau melukakan hatinya. Jika kita terlalu mudah menyalahkan ertinya kita rasa diri kita terlalu hebat dan kebal dari buat silap. Ingatlah, hanya Allah yang Maha sempurna, kita manusia tidak terlepas dari melakukan kesilapan.

5. Jika orang lain buat salah, jangalah kesalahan itu asyik diungkitkan, kenanglah kebaikan mereka kepada kita.

6. Kelebihan yang ada pada kita hanya kerana Allah menutupi kelemahan kita. Segala pujian yang kita peroleh kerana kelebihan kita hakikatnya hanya milik Allah, kita tak layak menerimanya bulat-bulat.

7. Jangan asyik menyalahkan, jika ianya terjadi itu tanda anda ada masalah hati yang tidak pandai bersyukur.

8. Manifestasikan syukur dengan sikap sabar. Bila orang lain buat silap bersabarlah, pasti anda temui kemanisan setelah itu.

9. Memaafkan adalah langkah terbaik dalam kita menghadapi konflik engan orang lain. Moga Allah beri ganjaran kepada kita yang suka memaafkan kesalahan.

Perbualan kami berakhir dengan nasihat saya kepada adik H yang saya pasti amat berguna untuk diri saya sendiri..

"Dik, akak yakin ini satu ujian buat awak, andai kita boleh ambil setiap kritikan orang sebagai satu perkara yang membina pasti akan bertukar menjadi kekuatan buat kita"

"Betul kak, anggap ni semua sebagai tarbiyyah dari Allah" simpul adik H.

Alhamdulillah, semoga Allah bukakan hati kita semua untuk sentiasa melihat kelebihan orang lain di samping menilai kekurangan diri. Saya doakan sifat baik adik H berkekalan dalam dirinya, moga peristiwa ini memberi ruang untuk saya belajar tentang manusia dan juga tentang hakikat kehidupan yang sebenar. Janganlah kita asyik menyalahkan, tapi muhasabahlah dan bersabarlah. Moga Allah berkati hidup kita semua, insyaAllah...


cold night

Saturday 17 September 2011

Teman berteman





Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah wal hamdulillah, pujian sebanyaknya buat Allah SWT atas kesempatan dan keizinan untuk masih hidup di muka bumi-Nya. Bersyukur kerana berkesempatan untuk mendengar tazkirah jumaat di masjid yang terletak di dalam kampus saya.

Teman (companion)

Isi penting yang telah disampaikan oleh pentazkirah ialah tentang hadith Nabi SAW yang menyatakan pentingnya untuk kita mencari teman yang baik. Ini kerana kebaikannya akan secara tidak langsung mempengaruhi kita. Sebagai contoh andai kita berkawan dengan pembawa minyak wangi, wanginya akan terpalit pada kita, begitu juga berkawan dengan si tukang besi menyebabkan bahang panas pasti terasa. Maka amat wajarlah untuk kita memilih teman yang mengingatkan bukan yang membawa kepada kelalaian diri.

Pokok utama tazkirah yang disampaikan ialah berkenaan teman. Selalunya bila kita berbicara tentang teman pasti kita merujuk kepada manusia, tapi pokok perbincangan tazkirah ini ialah teman yang bukan manusia. Ada 4 teman yang dikongsi oleh pentazkirah iaitu;

1) Al-Quran

Bulan Ramadhan, bulan turunkan Al-Quran kalamullah yang menjadi panduan untuk manusia. Pasti ramai di kalangan kita yang berjaya mengkhatam Al-Quran sepanjang Ramadhan yang lalu. Alhamdulillah bagi yang mampu istiqamah membacanya sepanjang bulan Ramdhan. Namun, persoalan yang lebih utama ialah apa yang berlaku selepas Ramadhan? Adakah Al-Quran masih menjadi teman pendamping yang setia? Atau hanya terletak kaku di atas meja? Sekadar peringatan buat diri, suka saya mengajak sahabat-sahabat untuk kembali membukanya, membacanya dan paling penting memahaminya.

"Recite and reflect"

Itulah pesanan pentazkirah. Jangan hanya membaca, tapi fahamkan maknanya. Guru mengaji saya pernah berpesan agar kita berdoa kepada Allah supaya kita diberi keupayaan untuk membaca Al-Quran seperti mana Rasullullah SAW kerana sesungguhnya itulah bacaan terbaik buat kita. Maka saya menyeru agar kita sama-sama memperbaiki bacaan Al-Quran kita dari segi makhraj, sifat huruf dan tajwid. Bacalah dengan bertartil dan penuh berhati-hati. Saya yakin banyak pusat pengajian atau orang perseorangan yang mengajar Al-Quran, maka gunakanlah peluang ini untuk menambah mutu bacaan Al-Quran kita. Moga Allah menolong kita untuk memperbaiki bacaan kita. Dalam masa yang sama carilah masa untuk mentadabbur makna dan tafsir pada ayat-ayat Allah. Moga hidayah Allah dapat kita peroleh melalui proses refleksi itu, insyaAllah.

2) Ramadhan

"Bulan Ramadhan sebagai teman"

Setelah berada dalam medan tarbiyyah selama sebulan, amat wajar bagi kita untuk menjadikan amalan yang dilakukan di bulan mulia itu sebagai kebiasaan dalam kehidupan seharian kita. Ambillah ibrah dan keseronakan beribadah dalam bulan Ramadhan sebagai perangsang untuk menambahbaik amalan kita. Cabarannya pasti besar, namun mohonlah kepada Allah agar kita diberi kekuatan untuk melawan tuntutan hawa nafsu dan kehendak diri yang tidak mungkin dapat dipuaskan. Moga haruman persekitaran Ramadhan dapat kita kekalkan buat sahaja buat diri sendiri tapi buat orang di sekitar kita terutamanya ahli keluarga kita. Seperti mana satu kata-kata yang pernah saya dengar:

"Tidak salah kita bersikap nepotisme (mengutamakan keluarga) dan kronisme (mengutamakan teman rapat) dalam perkara ibadah dan ketaatan kepada Allah"

Ini bersesuaian dengan firman Allah (Surah At-Tahrim: 66:6);

"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan"

3) Malaikat

Bagaimana menjadikan malaikat sebagai teman? Dua malaikat Raqib dan A'tid sentiasa mendamping kita saban hari. Kita sedia maklum makhluk Allah ini sangat setia mencatat setiap amal perbuatan kita. Maka, atas kesedaran ini jadikanlah malaikat ini sebagai teman yang mampu membenteng kita dari melakukan kejahatan. Dalam masa yang sama, gunakan peluang ini untuk meningkatkan motivasi untuk melaksanakan kebaikan. Ingatlah setiap amalan bergantung kepada apa yang diniatkan. Justeru, saya mengingatkan diri dan rakan-rakan sekalian supya kita menjaga niat kita dan kuatkan langkah untuk melakukan kebaikan dan manjauhi kejahatan.

4) Masjid

Teman kita yang seterusnya ini ialah masjid tempat segala urusan dijalankan semasa zaman Nabi SAW. Masjid yang penuh semasa Ramadhan menjadi kosong dan sepi selepasnya. Saya tidak tahu bagaimana situasi di tempat anda. Andai apa yang berlaku adalah sebaliknya, Alhamdulliah maka terbuktilah keberkesanan madrasah Ramadhan untuk menarik jemaah datang ke rumah Allah. Namun, apa yang saya lihat di sini ialah keadaanya jadi sama seperti sebelum Ramadhan dahulu. Barangkali stigma yang meletakkan masjid hanya sebagai tempat ibadah menyebabkan masjid jadi tidak hidup andai tiada program berkait keagamaan.

Teringat saya kata-kata dari Prof Muhaya Mohammad di IKIM.fm yang memuji sebuah masjid di Singapura. Dalam kunjungan sempena program di masjid itu beliau melihat setiap sudut masjid tersebut digunakan sepenuhnya oleh umat Islam di sana. Jadi, ayuh kita imarahkan masjid dan gunakan ia sepenuhnya untuk tujuan ibadah dan mengukuhkan lagi silaturrahim sesama umat Islam. Moga ikatan yang terbina ini mampu membawa kepada kemanisan dan kebahgian hidup kita, InsyaAllah.

Teman yang ditinggalkan

Menambah kepada empat tempat di atas penceramah turut menyatakan teman yang wajar kita tinggalkan ialah teman yang mendorong kita membawa kepada kejahatan. Nafsu, kehendak yang melampau serta syaitan wajar kita tinggalkan. Cubalah kita muhasabah perbuatan harian kita adakah ia dilakukan atas dorongan iman atau kehendak nafsu? Adakah kita lebih terdorong melakukan maksiat atau lebih ringan membuat kebaikan? Jawapannya hanya ada pada anda dan hanya anda yang tahu.

Akhirnya, saya berharap agar kita memanfaatkan empat teman ini sebagai motivasi terbaik buat kita dalam menambah kebaikan dan menjauhi kejahatan. Berdoalah, beristighfarlah dan berharaplah kepada Allah agar kita dapat menjadi hamba-Nya yang diredhai dan diterima amalannya, InsyaAllah.

Wallahua'alam

sejuk pagi







Monday 12 September 2011

Kaya untuk menyumbang




Bismillahirahmanirrahim

"Kita kena niat cari harta demi Islam"

Kata-kata itu bagai satu motivasi yang kuat buat umat Islam. Tapi kalau difikirkan, berapa ramai yang menggadaikan agama demi kekayaan? Isu riba, monopoli dan sebagainya sering berlaku di kalangan masyarakat dan umat Islam tidak terlepas dari menjadi mangsa atau terlibat dalam menindas.

Hormat syariat

Saya bukanlah orang yang banyak ilmu agama. Masih dan terus mencari ilmu, itulah status saya. Hakikatnya andai kita sudah berpuas hati dengan ilmu kita, sebenarnya kita tertipu dengan sangkaan itu. Jelas telah Allah berfirman bahawa ilmu-Nya maha luas. Tak mungkin cukup ilmu yang telah kita dapat...

Berbalik tentang mencari rezeki sepertimana yang disyariatkan oleh Islam. Teringat pengisian yang saya dengar semasa di bulan Ramadhan. Antaranya ialah tentang bazar Ramadhan. Saya yakin mungkin bagi yang berada di tanah air, bazar Ramadhan sering dikunjungi. Apalagi kalau yang bekerja, mungkin tak sempat nak menyediakan makanan di rumah kerana balik kerja pun sudah sampai lambat di rumah.

Dalam pengisian tersebut, ustaz itu ada membangkitkan beberapa persoalan, antaranya:

*Berapa ramai peniaga yang hormat syariat di saat mencari rezeki?
*Berapa ramai yang masih di bazar semasa azan Maghrib berkumandang?
*Berapa ramai pula yang berkesempatan untuk menunaikan solat Maghrib sebelum luput waktunya?

Bukanlah satu tuduhan, namun kadangkala agak jelas kita melihat ramai yangmasih di bazar dalam waktu kita sepatutnya terus-terusan berdoa sebelum waktu berbuka. Bagaimana sebenarnya kita menghormati syariah semasa mencari rezeki? Sama-sama kita fikirkan...

Rezeki milik Allah

"Saya tidak berniaga di bulan Ramadhan. InsyaAllah, cukup rezeki yang diperoleh 11 bulan lagi. Masa Ramadhan inilah masa untuk beribadah bersungguh-sungguh"

Itulah kata-kata peniaga yang yakin rezeki itu milik Allah, bukan manusia. Kagum. Itu sahaja yang mampu saya katakan. Bila ada keyakinan seperti itu tersemai dalam hati, maka lahirlah usahawan Islam yang berniaga hanya untuk sekadarnya bukan untuk bermewah-mewah. Letakkan dunia di tangan, bukan di hati

Dapat banyak, beri banyak

Saya terfikir memang benarlah berniaga punca rezeki yang terbaik. Sepertimana junjungan besar kita Nabi SAW yang berniaga semasa hayatnya. Isteri Baginda Siti Khadijah juga banyak memberi kerana rezekinya juga banyak. Inilah cara untuk menunjukkan kesyukuran atas pemberiaan Allah dengan memberi.

Jadi, saya ingin mengajak bagi rakan-rakan yang bijak dalam ilmu perniagaan mulakan langkah ini, mulakan perniagaan. Jadilah usahawan untuk menyumbang, bukan hanya untuk kaya sendiri-sendiri. InsyaAllah niatkan untuk menyumbang lebih banyak kepada Islam. Mohon doa kepada Allah moga rezeki kita diberkati-Nya, ameen.

teringin hendak mula berniaga.....










Sunday 11 September 2011

Ikitibar dari pertemuan




Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah...segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam selayaknya buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.

Bersyukur itu perlu dizahirkan buat hanya dari lafaz, namun perlu dicernakan melalui perbuatan dan hati. Saya bersyukur kerana walaupun duduk berjauhan dari keluarga namun diberi peluang oleh Allah SWT untuk bertemu dengan orang-orang yang baik-baik belaka.

Gotong royong

Jumaat lalu saya berpeluang untuk bersama-sama dengan komuniti di sini dalam acara bergotong-royong untuk jamuan pada keesokan harinya. Memang meriah, walaupun masing-masing sibuk di siang harinya, namun masih sempat meluangkan masa dalam menyumbang. Inilah manisnya bila hidup untuk memberi...

Dari jam 8 malam hinggalah hampir jam 12, kami sama-sama membantu dalam menyediakan makanan. Terasa semangat persaudaraan yang utuh tumbuh di kalangan komuniti di sini. Kami bertungkus-lumus mencucuk daging sate. Kami duduk dalam kelompok-kelompok kecil untuk memudahkan kerja.

Berbicara

Dalam kumpulan saya ada seorang kakak yang sangat saya hormati. Dalam kelompok itu dia banyak berkongsi ilmu-ilmu bermanfaat dengan kami. Antaranya beliau berbicara tentang hakikat kematian.

"Tahu tak tempat kita mati adalah sebenarnya adalah tempat atau tanah yang digunakan untuk menciptakan kita?" kakak itu memulakan berbicara...

"Maksudnya, kalau kita mati di luar Malaysia sebenarnya tanah itulah tanah kita dijadikan?" tanya seorang kawan saya lagi.

"Betul, sebab itu kalau kita mati di mana-mana pun adalah lebih baik kita dikebumikan di situ juga" tambah kakak itu lagi.

"Oh...begitu" tambah saya. Satu ilmu baru saya peroleh. Mungkin sebab itulah kita perlu berdoa agar dimatikan dalam keadaan husnul khatimah (penghujung yang baik) dan di tempat yang baik. Teringat pengisian dari Prof Muhaya di IKIM.fm:

"Saya selalu berdoa agar dimatikan dalam keadaan baik, pada hari Jumaat, di bulan puasa".

Begitulah lebih kurang kata Prof Muhaya. Pentingnya saat kematian kita, seperti mana maksud sebahagian hadith keempat (kejadian manusia) dalam himpunan hadith 40 oleh Imam Nawawi:

"......Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli
syurga lalu dia memasuki syurga."

Antara pengajaran hadith di atas ialah kepentingan amalan terakhir manusia sebagai penentu nasib seseorang di akhirat nanti. Atas dasar itulah kita memohon petunjuk Allah setiap kali dalam solat yang kita lakukan. Alangkah ruginya andai ada di kalangan umat Islam yang tidak mengerjakan solat sedangkan itulah medium kita meminta petunjuk dari Allah.

Angin kuat

Di sini cuaca sangat tidak menentu. Dalam cuaca cerah ceria, awan hitam datang membawa hujan. Angin kencang sering bertiup, bagai nak patah payung. Unpreditable wheather...begitulah cuaca di sini.

"Kuat betul angin malam minggu ni ye" ujar kakak itu.

"Ye kak, pintu bilik saya asyik berbunyi macam dihentam sebab angin dari luar rumah yang kuat" saya menambah.

"Sejuk betul...angin berbunyi kuat sangat, takut juga" tambah kawan saya seorang lagi.

"Akak cuma bayangkan masa hari kiamat nanti pasti lagi kuat anginnya, kencang dan orang semua kelam kabut menyelamatkan diri" kata kakak itu.

Saya terkedu...masyaAllah, tidak pernah saya terfikir begitu. Betul juga kata-katanya. Andai kiamat, pasti keadaan lebih huru hara.

"Apa yang ada buat kita hanya amalan..." kata-kata kakak itu melekat di hati.

Kejadian puting beliung sepertimana dalam filem Twister antara contoh bagaimana kejadian angin yang dahsyat mampu memusnahkan. Semuan dengan kekuasaan-Mu. Ya Allah, Kau jadikan kejadian angin buat kami berfikir...

Benarlah, hanya orang yang hatinya diberi petunjuk yang akan mampu berfikir. Mungkin bagi orang lain kejadian angin yang kencang itu hanya sebagai nilai tambah untuk tidur yang lebih nyenyak. Apa lagi di sini tidurnya di bawah duvet yang empuk...

Bersyukur

Dalam hati saya bersyukur pertemuan singkat dalam masa mencucuk sate itu banyak menjana minda saya untuk berfikir, bukan hanya tentang kehidupan, tapi yang paling penting untuk kematian...satu destinasi yang pasti. Di sini saya sedar pentingnya kita mencari sahabat yang selalu dapat mengingatkan kita untuk lebih taat kepada Allah, Alhamdulillah ya Robb atas pertemuan ini...

"Allahhummakhtim lana bihusnil khatimah, wala takhtim a'laina bisuil khatimah"

Ya Allah, matikanlah kami dalam iman dan Islam, panjangkanlah umur kami dalam ketaatan, ameen"

sejuk malam







Monday 5 September 2011

Belajar dari abah


Bismillahirrahmanirrahim,



Puji dan syukur selayaknya milik Allah swt yang menjadi kita semua. Selawat dan salam buat Nabi Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda.

Seringkali kita mengisahkan ibu dalam setiap penghargaan dan penceritaan. Memang ibulah yang banyak menyumbang bakti buat kita, namun, tidak dapat dinafikan figur seorang bapa juga penting dalam pendidikan anak-anak. Alhamdulillah saya bersyukur hari ini dapat menghubungi abah tersayang di tanah air. Bila berjauhan baru rasa menghargai. Begitulah hakikatnya kita, namun, syukur masih ada atas nikmat kesihatan yang masih Allah kurniakan buat insan yang banyak berjasa dalam kehidupan saya. Jadi, suka untuk saya berkongsi kisah saya dan abah....

Nasihat abah

Abah saya bukanlah orang yang banya bicaranya. Pendiam. Itu mungkin tafsiran buat orang yang kurang mengenalinya. Namun, pada saya ini bukanlah kekurangan buat dirinya, tapi kelebihan yang menampung sifat ramah mak saya pula.

Walaupun bicaranya kurang rabung, namun setiap sisi nasihat dari abah amat saya hargai. Abah seorang yang tidak berkira bila ia berkait wang ringgit. Bukan bermakna boros, tapi abah pentingkan keselesaan dan kebahagian buat kami sekeluarga. Bukan kemewahan yang abah tawarkan, tapi kesederhanaan itu rasanya amat menyenangkan.

Seingat saya jarang-jarang sekali abah menolak pemohonon orang yang meminta pertolongannya. Kata abah:

"Tok sah berkira aih..."

Ringkas. Tapi itulah abah. Ingatannya buat kami supaya jangan berkira dari apa jua sudut, tenaga, wang atau pandangan. Abah sudah pun pencen, namun saya bersyukur abah diberi peluang menyumbang tenaga sebagai ajk masjid. Kekuatan di sebalik peningkatan usianya saya yakin anugerah Allah buatnya. Sikap abah disenangi oleh ramai orang. Bak kata Ustaz Hasrizal: "Erti hidup pada memberi". Itulah yang saya perhatikan hasil dari sikap baik abah pada semua orang.

Ikut peraturan

Abah saya mula bawa kereta pada usia yang agak lewat. Tapi syukur, sekurang-kurangnya abah masih mampu belajar dan membawa kereta. Saya tidak pernah rasa kekurangan walaupun hanya mampu menaiki kereta milik keluarga pada usia 15 tahun. Berbeza dengan kawan-kawan lain yang sudah berkereta sejak kecil. Setiap kenangan menaiki motorsikal dengan abah menjadi memori manis buat saya. Teringat satu peristiwa semasa saya di sekolah asrama..

Seingat saya masa tu hujung minggu. Seperti biasa, ramai pelajar ambil peluang untuk balik ke rumah. Kalau tidak silap kami mesti pulang ke asrama sebelum pukul 6 petang (tidak berapa ingat). Tapi petang itu hujan sangat lebat...saya mula rasa tidak senang duduk sebab hujan lebat maknanya susah untuk saya pulang ke asrama dengan menaiki motorsikal....

"Abah, dah kena balik asrama dah, macam mane ye?"

"Tak pe, kita redah je dik"

Saya tau itu sahajalah caranya, memandangkan kami tiada pilihan lain...

Akhirnya saya dan abah meredah hujan lebat...dengan beg baju dan barang-barang makanan yang memenuhi raga motorsikal, kami bertawakal moga Allah mudahkan perjalanan.

Dalam hati saya berdoa moga perjalanan kami dipermudah Allah. Pastinya antara saya dan abah, tentulah abah yang paling basah kuyup sebab saya masih mampu berlindung di belakang abah.

Sejurus tiba di luar asrama perempuan, abah berhentikan motor. Saya segera mengalihkan barang-barang ke tempat teduh. Dalam hujan lebat itu saya lihat wajah abah, mata abah merah...mungkin kerana menahan air hujan yang terus menghala ke matanya....
Hati saya terus sayu, abah sanggup menahan kepedihan matanya dan kesejukan semata-mata untuk menghantar anaknya ke sekolah. Kenangan itu amat mendalam diri saya, saya sedar saya perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk membalas jasa abah.

Sejurus saya mendapat lesen memandu abah selalu ingatkan saya untuk mengikut peraturan jalan raya. Kadang-kala terasa abah macam "skema" tapi, bila difikirkan memang benar katanya. Kata abah:

"Tok sah nak laju sangat, ikut peraturan..."

Sampai sekarang pun, walaupun sudah lama memegang lesen penuh, abah tetap menjadi peneman setia dalam mengingatkan saya untuk memandu dengan berhemah...terima kasih abah!

Hormat orang lain

Pernah satu ketika masa di alam universiti, abah menghantar saya ke asrama. Masa itu kami berlalu di hadapan pondok pengawal. Abah memperlahankan kereta untuk menyapa pengawal. Saya yang duduk di sebelah buat tidak tahu sahaja. Sejurus melepasi pondok pengawal abah terus menegur saya:

"Dik, kita kena hormat orang lain. Walaupun pakcik tu kerja sebagai pengawal pun kita perlu hormat pekerjaan dia. Lain kali tegur mereka..."

Kata-kata abah ada benarnya, kadangkala bukanlah niat kita untuk memperkecil orang lain, tapi mungkin kita tak rasa perbuatan menghormati orang lain itu sebagai perkara yang signifikan. Dalam kehidupan harian kita pasti kita pernah bertemu makcik atau pakcik yang bekerja sebagai pencuci atau mengangkut sampah. Tapi sejauh mana kita menghargai mereka, menghormati mereka? sama-samalah kita menilai diri...

Ingatan itu

Hari ini mungkin saya tidak dapat mendengar nasihat secara langsung dari abah kerana berjauhan. Namun, InsyaAllah saya cuba mengamalkan apa yang abah titipkan.

*Jangan berkira: berilah sebanyaknya, jangan hanya menjadi orang yang meminta
*Ikutlah peraturan: hakikat hidup ini ada landasannya, Islam telah menggariskan semua peraturan buat manusia yang mahu berfikir
*Hormati orang lain, nanti kamu juga bakal dihormati.

Saya terfikir mungkin jasa abah tak dapat saya balas sepenuhnya, kerana pengorbanan seorang ayah atas landasan kasih sayang yang tak bertepi. Mungkin tidak datang dari luahan kata-kata sayang, namun sokongan, dorongan dan perlindungan yang diberi itu amat mendalam kesannya bagi seorang anak. Saya berdoa agar diizikan saya memberi sepenuh ketaatan dan bakti buat abah selagi hayatnya masih ada.

Ya Allah, hamba memohon agar memanjangkan umur abah dalam ketaatan, moga Allah panjangkan umur buat semua abah, ayah, papa, abi atau apa jua gelaran yang kalian gunakan untuk panggilan insan yang banyak berjasa dalam hidup kita...Ameen...



Maksudnya : "Ya Allah! Ampunilah bagiku segala dosaku dan juga dosa dua ibu bapaku dan kasihanilah mereka keduanya sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku di masa kecil." (
Sumber)






Sunday 4 September 2011

Mencari titik permulaan


Bismillahirrahmanirrahim



satu titik di garisan, penentu penghujungnya



Alhamdulillah, dengan izin-Nya jua saya masih dapat bernafas. Dengan kasih sayang-Nya jua seluruh makhluk di muka bumi masih terus bertasbih kepada-Nya.

Di sini ingin saya kongsikan serba sedikit tentang pandangan saya berkenaan pencarian titik permulaan...yang akhirnya membawa kepada titik perubahan dengan izin-Nya.

Pernahkah sahabat-sahabat mendengar cerita tentang pemotong kayu dengan kapaknya? Bagi yang tidak mengetahuinya, suka untuk saya ringkaskan cerita tersebut.

Seorang pemotong kayu setia dengan tugasnya memotong kayu saban hari. Setiap hari hasil kayu yang dipotong meningkat dengan bilangan hari. Barangkali kejayaan ini berpunca dari pengalaman yang bertambah seiring usia.

Namun, si pemotong kayu mendapati pada suatu hari yang dia memerlukan lebih masa untuk mendapatkan hasil potongan kayu yang sama. Dicubanya juga untuk terus memotong, namun, hasilnya hampa. Cuma penat dan peluh yang membasahi bajunya.

Akhirnya, dia duduk termenung..bila difirkan kembali, bukan isu pengalaman yang menjadi punca kegagalan dia mendapat hasil kayu yang banyak, tetapi kegagalan dia untuk berhenti dan berfikir menjadi penghalangnya untuk berjaya...iaitu kapak yang semakin tumpul.

Ya, berfikir untuk mencari titik permulaan yang membawa perubahan besar.

Mencari punca

Pada pendapat saya, kadang-kala kita sering terlupa isu kecil yang berlaku di sekeliling kita boleh menjadi faktor penghalang kejayaan kita. Seperti cerita di atas, kegagalan untuk mengasah kapak menjadi punca si tukang kayu kurang penghasilannya. Bagaimana kita? Sudahkah diasah nilai kecil yang mungkin signifikan buat kita?

Ingin saya memberi contoh dengan melihat kepada aspek kebahagian hidup. Berapa ramai antara kita yang mencari bahagia? saya yakin pasti jawapannya ramai. Tapi, pernahkah kita menilai apakah aspek dalam diri kita yang menghalang kita dari bahagia?

Teringat saya pada tazkirah yang diberi oleh Prof Muhaya di radio IKIM:

"Bahagialah dari dalam dan hasilnya akan terlihat di luar. Bahagialah dengan Allah. Jangan mencari bahagia dari luar"

Jelas di sini, dengan menjadikan material sebagai ukuran bahagia menjadikan kita manusia yang tidak pernah puas, lantas tidak bahagia. Duit, pangkat, harta, kecantikan...semuanya fitrah manusia. Kadangakala-kala perkara-perkara ini menjadi keperluan dan kebanyakan masa kita meletakkannya sebagai kehendak.

Titik permulaan...titik penentu

Saya pasti kita semua pernah melihat pertandingan larian. Sama ada jarak dekat atau jauh, semuanya bermula pada tidak permulaan yang sama. Namun, setiap peserta larian punya visi, motivasi dan kekuatan yang berbeza. Tapi akhirnya, hanya ada satu titik penentu iaitu garis penamat di hujung trek.

Begitu jugalah kita sebagai manusia, kita ada seribu satu titik untuk dipilih. Setiap satunya datang dengan cabaran untuk menguji keimanan. Tinggal kita untuk memilih titik mana yang mampu mengubah mimpi jadi realiti.

Jadi saya menyeru diri dan sahabat-sahabat semua untuk:

1. Mencari apakah pushing factor yang mampu menjadi titik permulaan kita untuk berubah ke arah kebaikan.

2. Tetapkan titik penentu dalam setiap permulaan kita. Yang pastinya mardhatillah juga menjadi ultimate goal kita.

3. Gerakkan diri dan persekitaran untuk berubah sama ke arah kebaikan. Sebarkan kebaikan, moga dengan izin Allah ia mampu membentuk masyarakat yang cemerlang.

4. Teruskan mengasah "kapak" anda. Andai tiada "pengasah", rujuklah pada pakarnya. Banyakkan bertanya pendapat orang yang faqih dan carilah ilmu sebagai pemangkin anda.

5. Mohon petunjuk dari Allah. Hakikatnya Dia jugalah penggerak hati kita, maka selayaknya kepada Allah kita mengadu dan berharap.

6. Teruskan bahagia dengan Allah. Rasakanlah kesyukuran itu sebagai penguat terbaik kita untuk terus berusaha.

D + U + I + T

Doa, usaha, ikhtiar dan tawakal...itu penutupnya. Moga Allah redha dengan titik permulaan yang kita pilih. Moga diberi petunjuk terbaik buat kita semua. Apa lagi ditunggu? carilah titik itu...mulakan dengan Bismillahirrahmanirrahim.


damai malam








Alam dan pemerhatianku



Bismillahirrahmanirrahim


Alam dan pemerhatianku


biru langit, kehijauan ini milik Mu



Berdiri sendiri...
di tengah ciptaan-Mu ya rabb,
terasa kerdil, rasa asing


lama sudah tak melihat kecantikannya...
di tengah alam ciptaan-Nya
hijau mendamaikan,
warna warni ceria menenangkan

lama sudah mata tidak ku buka
melihat luas dan indah ciptaan-Mu

mengapa jarang sekali hati bertasbih memuji melihat coretan
dan lakaran-Nya di dada kanvas yang maha luas?

adakah hati sudah dibawa lari?

adakah dunia sudah mengikat kemas dan kuat? lantas aku terjerat?

Ya Rabb, ku mohon jangan kau kuncikan hatiku..
izinkan aku untuk terus bersujud dan bersyukur atas nikmatMu yang infiniti
bukakan hati, minda, fikiranku untuk terus menatap, memerhati,
lantas terus mensyukuri....Ameen



ceria warna anugerahMu


"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal,

(yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka".

Surah Ali-Imran (3:190-191)

coretan di taman menghijau

cerah ceria