Puji dan syukur selayaknya milik Allah swt yang menjadi kita semua. Selawat dan salam buat Nabi Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda.
Seringkali kita mengisahkan ibu dalam setiap penghargaan dan penceritaan. Memang ibulah yang banyak menyumbang bakti buat kita, namun, tidak dapat dinafikan figur seorang bapa juga penting dalam pendidikan anak-anak. Alhamdulillah saya bersyukur hari ini dapat menghubungi abah tersayang di tanah air. Bila berjauhan baru rasa menghargai. Begitulah hakikatnya kita, namun, syukur masih ada atas nikmat kesihatan yang masih Allah kurniakan buat insan yang banyak berjasa dalam kehidupan saya. Jadi, suka untuk saya berkongsi kisah saya dan abah....
Nasihat abah
Abah saya bukanlah orang yang banya bicaranya. Pendiam. Itu mungkin tafsiran buat orang yang kurang mengenalinya. Namun, pada saya ini bukanlah kekurangan buat dirinya, tapi kelebihan yang menampung sifat ramah mak saya pula.
Walaupun bicaranya kurang rabung, namun setiap sisi nasihat dari abah amat saya hargai. Abah seorang yang tidak berkira bila ia berkait wang ringgit. Bukan bermakna boros, tapi abah pentingkan keselesaan dan kebahagian buat kami sekeluarga. Bukan kemewahan yang abah tawarkan, tapi kesederhanaan itu rasanya amat menyenangkan.
Seingat saya jarang-jarang sekali abah menolak pemohonon orang yang meminta pertolongannya. Kata abah:
"Tok sah berkira aih..."
Ringkas. Tapi itulah abah. Ingatannya buat kami supaya jangan berkira dari apa jua sudut, tenaga, wang atau pandangan. Abah sudah pun pencen, namun saya bersyukur abah diberi peluang menyumbang tenaga sebagai ajk masjid. Kekuatan di sebalik peningkatan usianya saya yakin anugerah Allah buatnya. Sikap abah disenangi oleh ramai orang. Bak kata Ustaz Hasrizal: "Erti hidup pada memberi". Itulah yang saya perhatikan hasil dari sikap baik abah pada semua orang.
Ikut peraturan
Abah saya mula bawa kereta pada usia yang agak lewat. Tapi syukur, sekurang-kurangnya abah masih mampu belajar dan membawa kereta. Saya tidak pernah rasa kekurangan walaupun hanya mampu menaiki kereta milik keluarga pada usia 15 tahun. Berbeza dengan kawan-kawan lain yang sudah berkereta sejak kecil. Setiap kenangan menaiki motorsikal dengan abah menjadi memori manis buat saya. Teringat satu peristiwa semasa saya di sekolah asrama..
Seingat saya masa tu hujung minggu. Seperti biasa, ramai pelajar ambil peluang untuk balik ke rumah. Kalau tidak silap kami mesti pulang ke asrama sebelum pukul 6 petang (tidak berapa ingat). Tapi petang itu hujan sangat lebat...saya mula rasa tidak senang duduk sebab hujan lebat maknanya susah untuk saya pulang ke asrama dengan menaiki motorsikal....
"Abah, dah kena balik asrama dah, macam mane ye?"
"Tak pe, kita redah je dik"
Saya tau itu sahajalah caranya, memandangkan kami tiada pilihan lain...
Akhirnya saya dan abah meredah hujan lebat...dengan beg baju dan barang-barang makanan yang memenuhi raga motorsikal, kami bertawakal moga Allah mudahkan perjalanan.
Dalam hati saya berdoa moga perjalanan kami dipermudah Allah. Pastinya antara saya dan abah, tentulah abah yang paling basah kuyup sebab saya masih mampu berlindung di belakang abah.
Sejurus tiba di luar asrama perempuan, abah berhentikan motor. Saya segera mengalihkan barang-barang ke tempat teduh. Dalam hujan lebat itu saya lihat wajah abah, mata abah merah...mungkin kerana menahan air hujan yang terus menghala ke matanya....
Hati saya terus sayu, abah sanggup menahan kepedihan matanya dan kesejukan semata-mata untuk menghantar anaknya ke sekolah. Kenangan itu amat mendalam diri saya, saya sedar saya perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk membalas jasa abah.
Sejurus saya mendapat lesen memandu abah selalu ingatkan saya untuk mengikut peraturan jalan raya. Kadang-kala terasa abah macam "skema" tapi, bila difikirkan memang benar katanya. Kata abah:
"Tok sah nak laju sangat, ikut peraturan..."
Sampai sekarang pun, walaupun sudah lama memegang lesen penuh, abah tetap menjadi peneman setia dalam mengingatkan saya untuk memandu dengan berhemah...terima kasih abah!
Hormat orang lain
Pernah satu ketika masa di alam universiti, abah menghantar saya ke asrama. Masa itu kami berlalu di hadapan pondok pengawal. Abah memperlahankan kereta untuk menyapa pengawal. Saya yang duduk di sebelah buat tidak tahu sahaja. Sejurus melepasi pondok pengawal abah terus menegur saya:
"Dik, kita kena hormat orang lain. Walaupun pakcik tu kerja sebagai pengawal pun kita perlu hormat pekerjaan dia. Lain kali tegur mereka..."
Kata-kata abah ada benarnya, kadangkala bukanlah niat kita untuk memperkecil orang lain, tapi mungkin kita tak rasa perbuatan menghormati orang lain itu sebagai perkara yang signifikan. Dalam kehidupan harian kita pasti kita pernah bertemu makcik atau pakcik yang bekerja sebagai pencuci atau mengangkut sampah. Tapi sejauh mana kita menghargai mereka, menghormati mereka? sama-samalah kita menilai diri...
Ingatan itu
Hari ini mungkin saya tidak dapat mendengar nasihat secara langsung dari abah kerana berjauhan. Namun, InsyaAllah saya cuba mengamalkan apa yang abah titipkan.
*Jangan berkira: berilah sebanyaknya, jangan hanya menjadi orang yang meminta
*Ikutlah peraturan: hakikat hidup ini ada landasannya, Islam telah menggariskan semua peraturan buat manusia yang mahu berfikir
*Hormati orang lain, nanti kamu juga bakal dihormati.
Saya terfikir mungkin jasa abah tak dapat saya balas sepenuhnya, kerana pengorbanan seorang ayah atas landasan kasih sayang yang tak bertepi. Mungkin tidak datang dari luahan kata-kata sayang, namun sokongan, dorongan dan perlindungan yang diberi itu amat mendalam kesannya bagi seorang anak. Saya berdoa agar diizikan saya memberi sepenuh ketaatan dan bakti buat abah selagi hayatnya masih ada.
Ya Allah, hamba memohon agar memanjangkan umur abah dalam ketaatan, moga Allah panjangkan umur buat semua abah, ayah, papa, abi atau apa jua gelaran yang kalian gunakan untuk panggilan insan yang banyak berjasa dalam hidup kita...Ameen...
Maksudnya : "Ya Allah! Ampunilah bagiku segala dosaku dan juga dosa dua ibu bapaku dan kasihanilah mereka keduanya sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku di masa kecil." (Sumber)
entry yg menarik
ReplyDeletenice sharing :-)