Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillah wal hamdulillah, pujian sebanyaknya buat Allah SWT atas kesempatan dan keizinan untuk masih hidup di muka bumi-Nya. Bersyukur kerana berkesempatan untuk mendengar tazkirah jumaat di masjid yang terletak di dalam kampus saya.
Teman (companion)
Isi penting yang telah disampaikan oleh pentazkirah ialah tentang hadith Nabi SAW yang menyatakan pentingnya untuk kita mencari teman yang baik. Ini kerana kebaikannya akan secara tidak langsung mempengaruhi kita. Sebagai contoh andai kita berkawan dengan pembawa minyak wangi, wanginya akan terpalit pada kita, begitu juga berkawan dengan si tukang besi menyebabkan bahang panas pasti terasa. Maka amat wajarlah untuk kita memilih teman yang mengingatkan bukan yang membawa kepada kelalaian diri.
Pokok utama tazkirah yang disampaikan ialah berkenaan teman. Selalunya bila kita berbicara tentang teman pasti kita merujuk kepada manusia, tapi pokok perbincangan tazkirah ini ialah teman yang bukan manusia. Ada 4 teman yang dikongsi oleh pentazkirah iaitu;
1) Al-Quran
Bulan Ramadhan, bulan turunkan Al-Quran kalamullah yang menjadi panduan untuk manusia. Pasti ramai di kalangan kita yang berjaya mengkhatam Al-Quran sepanjang Ramadhan yang lalu. Alhamdulillah bagi yang mampu istiqamah membacanya sepanjang bulan Ramdhan. Namun, persoalan yang lebih utama ialah apa yang berlaku selepas Ramadhan? Adakah Al-Quran masih menjadi teman pendamping yang setia? Atau hanya terletak kaku di atas meja? Sekadar peringatan buat diri, suka saya mengajak sahabat-sahabat untuk kembali membukanya, membacanya dan paling penting memahaminya.
"Recite and reflect"
Itulah pesanan pentazkirah. Jangan hanya membaca, tapi fahamkan maknanya. Guru mengaji saya pernah berpesan agar kita berdoa kepada Allah supaya kita diberi keupayaan untuk membaca Al-Quran seperti mana Rasullullah SAW kerana sesungguhnya itulah bacaan terbaik buat kita. Maka saya menyeru agar kita sama-sama memperbaiki bacaan Al-Quran kita dari segi makhraj, sifat huruf dan tajwid. Bacalah dengan bertartil dan penuh berhati-hati. Saya yakin banyak pusat pengajian atau orang perseorangan yang mengajar Al-Quran, maka gunakanlah peluang ini untuk menambah mutu bacaan Al-Quran kita. Moga Allah menolong kita untuk memperbaiki bacaan kita. Dalam masa yang sama carilah masa untuk mentadabbur makna dan tafsir pada ayat-ayat Allah. Moga hidayah Allah dapat kita peroleh melalui proses refleksi itu, insyaAllah.
2) Ramadhan
"Bulan Ramadhan sebagai teman"
Setelah berada dalam medan tarbiyyah selama sebulan, amat wajar bagi kita untuk menjadikan amalan yang dilakukan di bulan mulia itu sebagai kebiasaan dalam kehidupan seharian kita. Ambillah ibrah dan keseronakan beribadah dalam bulan Ramadhan sebagai perangsang untuk menambahbaik amalan kita. Cabarannya pasti besar, namun mohonlah kepada Allah agar kita diberi kekuatan untuk melawan tuntutan hawa nafsu dan kehendak diri yang tidak mungkin dapat dipuaskan. Moga haruman persekitaran Ramadhan dapat kita kekalkan buat sahaja buat diri sendiri tapi buat orang di sekitar kita terutamanya ahli keluarga kita. Seperti mana satu kata-kata yang pernah saya dengar:
"Tidak salah kita bersikap nepotisme (mengutamakan keluarga) dan kronisme (mengutamakan teman rapat) dalam perkara ibadah dan ketaatan kepada Allah"
Ini bersesuaian dengan firman Allah (Surah At-Tahrim: 66:6);
"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan"
3) Malaikat
Bagaimana menjadikan malaikat sebagai teman? Dua malaikat Raqib dan A'tid sentiasa mendamping kita saban hari. Kita sedia maklum makhluk Allah ini sangat setia mencatat setiap amal perbuatan kita. Maka, atas kesedaran ini jadikanlah malaikat ini sebagai teman yang mampu membenteng kita dari melakukan kejahatan. Dalam masa yang sama, gunakan peluang ini untuk meningkatkan motivasi untuk melaksanakan kebaikan. Ingatlah setiap amalan bergantung kepada apa yang diniatkan. Justeru, saya mengingatkan diri dan rakan-rakan sekalian supya kita menjaga niat kita dan kuatkan langkah untuk melakukan kebaikan dan manjauhi kejahatan.
4) Masjid
Teman kita yang seterusnya ini ialah masjid tempat segala urusan dijalankan semasa zaman Nabi SAW. Masjid yang penuh semasa Ramadhan menjadi kosong dan sepi selepasnya. Saya tidak tahu bagaimana situasi di tempat anda. Andai apa yang berlaku adalah sebaliknya, Alhamdulliah maka terbuktilah keberkesanan madrasah Ramadhan untuk menarik jemaah datang ke rumah Allah. Namun, apa yang saya lihat di sini ialah keadaanya jadi sama seperti sebelum Ramadhan dahulu. Barangkali stigma yang meletakkan masjid hanya sebagai tempat ibadah menyebabkan masjid jadi tidak hidup andai tiada program berkait keagamaan.
Teringat saya kata-kata dari Prof Muhaya Mohammad di IKIM.fm yang memuji sebuah masjid di Singapura. Dalam kunjungan sempena program di masjid itu beliau melihat setiap sudut masjid tersebut digunakan sepenuhnya oleh umat Islam di sana. Jadi, ayuh kita imarahkan masjid dan gunakan ia sepenuhnya untuk tujuan ibadah dan mengukuhkan lagi silaturrahim sesama umat Islam. Moga ikatan yang terbina ini mampu membawa kepada kemanisan dan kebahgian hidup kita, InsyaAllah.
Teman yang ditinggalkan
Menambah kepada empat tempat di atas penceramah turut menyatakan teman yang wajar kita tinggalkan ialah teman yang mendorong kita membawa kepada kejahatan. Nafsu, kehendak yang melampau serta syaitan wajar kita tinggalkan. Cubalah kita muhasabah perbuatan harian kita adakah ia dilakukan atas dorongan iman atau kehendak nafsu? Adakah kita lebih terdorong melakukan maksiat atau lebih ringan membuat kebaikan? Jawapannya hanya ada pada anda dan hanya anda yang tahu.
Akhirnya, saya berharap agar kita memanfaatkan empat teman ini sebagai motivasi terbaik buat kita dalam menambah kebaikan dan menjauhi kejahatan. Berdoalah, beristighfarlah dan berharaplah kepada Allah agar kita dapat menjadi hamba-Nya yang diredhai dan diterima amalannya, InsyaAllah.
Wallahua'alam
sejuk pagi
No comments:
Post a Comment