Saturday 21 August 2010

Pengalaman: solat berjemaah di perantauan




Alhamdulillah diizinkan Allah untuk terus hidup di bulan penuh barakah, Ramadhan. Rasa bersyukur diberi peluang untuk merasa berpuasa di perantauan. Jadi, kali ini saya ingin berkongsi pengalaman berpuasa di perantauan. Kali ini fokusnya, tentang solat berjemaah di masjid.

Umum mengetahui, solat berjemaah di masjid ganjarannya sangat besar. Ada 3 ganjaran yang diberi kepada muslim yang bersolat jemaah di masjid iaitu:

1. Diberikan pahala
2. Diampunkan dosa
3. Diangkat darjat di sisi Allah

Subhanallah besar sungguh ganjaran Allah bagi orang yang bersolat di masjid. Namun, kadang kala saya mempunyai dilema bila bersolat jemaah di masjid, iaitu persoalan saff. Bila hendak mula solat kita pasti mendengar imam menyeru makmum merapatkan saff. Tapi sejauh mana kita benar-benar melaksanakannya sebagaimana dituntut? Sedang di zaman sahabat dahulu kepentingan merapatkan saff sangat ditekankan hingga pedang digunakan untuk meluruskan saff.

Berada di perantauan membantu saya untuk merenung dan menilai masyarakat di sini. Bukan tujuannya untuk membanding keadaan di Malaysia dengan keadaan di sini. Tapi yang paling penting mengambil ibrah pada setiap apa yang saya lihat. Setiap kejadian Allah itu pasti ada hikmah yang perlu dipelajari dan diambil pengajaran. Jemaah di masjid terdiri dari pelbagai latar belakang baik dari segi umur, budaya dan bangsa. Namun semuanya bersatu hati, Alhamdulillah. Dari segi solat berjemaah, saya lihat mereka begitu menekan hal merapatkan saff. Sesuai dengan Firman Allah dalam Surah As-Saff (61:4):

4. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela ugamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan Yang tersusun kukuh.


Allah mencintai hamba-Nya yang teratur dan tersusun. Begitulah yang saya lihat di sini, masalah saff tidak menjadi perkara utama.

Perkara kedua tentang membawa anak-anak bersolat di masjid. Apa yang saya perhatikan, pihak masjid menyediakan satu bilik khas yang "kalis bunyi" khusus untuk para ibu yang membawa anak kecil. Alhamdulillah ia memberi peluang kepada ibu untuk berjemaah di masjid. Bila difikirkan, jika di rumah, tentulah para ibu berasa penat untuk melakukan solat tarawikh bersendirian dan mungkin juga perlu menjaga anak-anak. Namun, bila ruang ini disediakan, bukan sahaja ibu malahan anak-anak diberi peluang untuk mendekatkan diri kepada masjid. Bila anak-anak ini telah terdedah dengan persekitaran masjid sejak kecil, tentu mereka sudah terbiasa apabila dewasa kelak.

Pendekatan kita di Malaysia mungkin berbeza. Anak-anak tidak dapat dikawal dengan baik. Kadang kala ada juga yang dimarahi kerana bising semasa jemaah sedang bersolat. Kanak-kanak itu tidak boleh disalahkan sepenuhnya kerana memang fitrah mereka sebagai kanak-kanak yang suka bermain. Mungkin pendekatan alternatif boleh dilakukan seperti menyediakan bilik khas untuk anak-anak ini. Di dalam bilik ini anak-anak boleh diajar tentang solat atau mengaji Al-Quran. Saya teringat tentang kisah adik Muhammad yang menjadi finalis Akademi Al-Quran 4. Adik Muhammmad menurut ayahnya telah dibiasakan untuk mengerjakan solat di masjid sejak umur 4 tahun lagi, lihatlah hasilnya apabila anak-anak dididik dengan kebaikan sejak kecil.


adik Muhammad dan keluarganya


Benarlah, bila dari kecil sudah terbiasa membuat kebaikan, ia akan menjadi tabiat. Saya pernah melakukan solat tarawikh yang diimamkan oleh adik Muhammad. Subhanallah lancar sungguh hafazan beliau. Moga beliau menjadi contoh terbaik kepada adik-adik yang lain.

Seterusnya, amalan bersedekah yang sangat digalakkan di sini. Setiap kali selepas solat tarawikh, AJK masjid akan mengumumkan pelancaran tabung untuk memberi peluang jemaah bersedekah. Dari tabung untuk Pakistan, hingga kepada tabung persatuan Islam universiti dan untuk penambahbaikan masjid. Anak-anak kecil diberi peluang untuk memasukkan duit ke dalam tabung. Secara tak langsung mengajar mereka untuk memberi bukan setakat menerima sahaja.

Semua pengalaman ini akan saya jadikan pengajaran, mana yang baik bolehlah dilaksanakan. Moga Allah berkati usaha kita semua yang suka dan menyokong kebaikan, InsyaAllah.

Wallahua'lam

hamba-Mu yang lemah



Penyelesaian atau penambah masalah?


adakah kemusnahan masyarakat yang kita inginkan?


InsyaAllah saya akan berkongsi berkenaan isu gejala zina dan isu buang bayi. Sebagai orang yang melihat dari jauh dan hanya membacanya dalam surat khabar menjadikan saya agak gerun dan sedih tiap kali membaca surat khabar. Melihat keadaan masyarakat kini yang masih dalam keadaan terumbang ambing dengan arus kehidupan yang makin mencabar. Saya yakin ada di kalangan kita yang sudah merasa jemu bila isu buang bayi ini sering kali dipaparkan di media massa.Banyak sungguh kes yang berlaku, dan kebanyakkannya melibatkan remaja-remaja di bawah umur. Kadangkala saya terfikir, mungkin bilangan kes yang dinyatakan itu sebenarnya tidak menggambarkan bilangan sebenar. Mungkin sahaja bilangannya adalah lebih lagi. Jika benar, maka sebenarnya masyarakat kita semakin parah.

Sahabat-sahabat sekalian,

Andai kita melihat kemalangan jalan raya berlaku di hadapan mata kita, tentu kita terfikir, apalah nasib orang yang cedera parah itu. Ada dua sahaja kemungkinannya. Sama ada hidup dan mati. Dua pilihan ini yang kita nampak. Tapi bagaimana jika rohani manusia itu rosak? Bolehkah kita samakan bahawa individu ini akan terus hidup atau pilihannya mati sahaja?

Berurusan dengan manusia perlukan sentuhan rohani. Saya sendiri pernah melawat tempat perlindungan remaja muslimat yang sudah terlanjur dan sedang menunggu masa untuk melahirkan bayi. Saya lihat wajah keanak-anakan pada mereka. Mereka masih terlalu muda untuk merasai fitrah menjadi seorang ibu. Di kala kawan-kawan yang lain sibuk belajar, mereka sedang bersedia untuk melahirkan anak. Kasihan. Itu yang mampu saya katakan. Mungkin mereka tidak merasakan apa yang saya rasa. Saya sedih memikirkan punca kejadian seumpanya.

Bila ada pihak yang mencadangkan agar remaja yang terlanjur ini dikahwinkan, saya hanya menggelengkan kepala. Penyelesaian kepada "presenting problem" mungkin tak akan menyelesaikan "root cause". Seakannya membelikan barang mainan kepada anak yang menangis di pasar malam hanya menjadikan mereka lebih suka menggunakan "trick" tersebut untuk mencapai keiginan mereka pada masa akan datang. Kahwin memang penyelesaian yang mudah, namun, adakah remaja ini bersedia dengan tanggungjawab yang bakal dipikul sesudah kelahiran bayi mereka nanti?

Persoalan kedua, andai tidak dikahwinkan, adakah si lelaki akan bertanggungjawab kepada bayi yang dikandung pasangan mereka?

Persoalan ketiga, adakah pembinaan rumah perlindungan memberikan kebaikan melebihi keburukan dengan memberi "ruang" untuk terus-terusan melakukan kesalahan? Adakah penyesalan yang dituntut selepas tinggal di rumah perlindungan ini benar-benar terzahir dari sudut perbuatan? adakah remaja-remaja ini benar-benar berubah?

Saya bukanlah orang yang layak menilai perbuatan orang lain. Saya sedar khilaf saya sebagai manusia biasa yang tak terlepas dari melakukan kesilapan. Namun, sewajarnya setiap pendekatan yang diambil terarah kepada penyelesaian masalah pokok. Ya, keimanan kepada Allah. Jika dilihat remaja kini, bagaimana mereka? adakah mencukupi ilmu aqidah yang diajar selama ini. Bukan niat saya untuk menyalahkan guru agama, jauh sekali tidak menghargai usaha mereka yang bersungguh -sungguh memahamkan pelajar tentang konsep ketuhanan. Namun, perkara ini perlu diletakkan sebagai perkara utama.

Keteguhan iman kepada Allah membendung manusia dari terhanyut dalam keseronokan dunia. Saya sedar bukan sedikit dugaan dan godaan dunia luar. Namun, saya percaya keimanan yang mantap dan yakin bahawa setiap tindakan kita akan dinilai itulah yang mampu membimbing kita melawan arus kemusnahan hidup. Jika semasa kecil kita sering diingatkan; "Jangan buat tu...nanti Allah marah" kenapa bila udah dewasa perkara tersebut tidak lagi dipercayai dan diimani? Pelik bukan?

Menjadi tanggungjawab kita sebagai ahli masyarakat untuk mendalami masalah ini. Mungkin kes ini tidak melibatkan ahli keluarga kita. Namun tak mustahil Allah akan menguji kita suatu hari nanti. Pendapat peribadi saya lebih cenderung untuk menilai kembali sistem kekeluargaan di Malaysia. Bagaimana ibu bapa memainkan peranan untuk mendekati dan memahami anak-anak mereka. Begitu juga dengan tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa. Betapa banyak kes menghantar ibu bapa ke pusat penjagaan orang tua. Semua isu ini sering berkait. Kita menjadi sebahagian daripadanya.

Sebagai generasi muda yang akan membina keluarga sendiri nanti. Kita juga akan mempunyai anak dan kita akan diuji dengan pelbagai dugaan. Bagaimana kita akan bertindak ketika itu? fikir-fikirkanlah. Jawapannya terletak kepada kebersediaan kita kini untuk melahirkan generasi Islam yang cemerlang bukan setakat di dunia tapi turut cemerlang di akhirat. Apa acuannya? tentulah syariatullah dan sunnah Nabi SAW. Senang diungkap namun, bersediakah kita?

Wallhua'lam



Tanda kiamat: kaitannya dengan isu semasa


hari kiamat: jalan pengakhiran yang pasti tiba




Alhamdulillah, diizinkan Allah untuk berkongsi sekali lagi. Ramadhan yang sudah masuk separuh masa kedua terasa berlalu begitu pantas. Moga Allah merahmati kita semua dan menerima amalan-amalan yang telah kita lakukan.

Sahabat-sahabat sekalian,

InsyaAllah saya ingin berkongsi satu hadis yang saya baca dari e-hadis JAKIM;

Nabi s.a.w sabdanya: "Tidak akan berlaku saat kiamat sehingga orang yang tidak tentu saka bakanya, yang buruk akhlaknya, dan yang bodoh bebal, menjadi sebahagia-bahagia manusia dengan kesenangan dunia."
Huzaifah r.a

Bila membaca hadis ini, jelaslah perkara yang dinyatakan memang sudah dijanjikan akan terjadi, dan kita melihatnya kini.
Sedarkah kita bahawa kiamat itu kian hampir?
Kiamat itu pasti, banyak surah-surah dalam Al-Quran yang menyebut berkenaan hari penentuan ini. Semuanya memberikan gambaran bagaimana manusia akan dihimpunkan dan yang paling utama bagaimana manusia akan dihisab amalannya. Sebagai contoh dalam Surah Az-Zalzalah (99:1-8):

1. apabila bumi digegarkan Dengan gegaran Yang sedahsyat-dahsyatnya,

2. serta bumi itu mengeluarkan Segala isinya,

3. dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); "Apa Yang sudah terjadi kepada bumi?"

4. pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya:

5. Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian).

6. pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka.

7. maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

8. dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!


Permulaan ayat menyatakan tentang goncangan yang kuat akan berlaku sebagai tanda kiamat telah datang. Seharusnya, andai hati kita dipenuhi dengan keimanan yang tinggi kepada Allah, ayat-ayat ini akan menyentak hati sanubari kita. Namun, kadang kala kita menjadi lalai dan leka dengan kehidupan dunia yang sementara. Kelompok manusia yang akan dibangkitkan terdiri dari golongan yang untung dan rugi. Marilah kita bermuhasabah sejauh mana kita layak menjadi golongan yang untung di hari perhitungan nanti. Sebaliknya, fikirkan juga adakah kita akan tergolong dalam golongan yang binasa dan rugi?

Kenapa saya mulakan dengan menyebut berkenaan hari kiamat? Ini kerana apabila saya membaca berita saya lihat banyak sungguh berita yang menunjukkan bahawa manusia sudah memandang hari pembalasan sebagai perkara yang enteng. Seakan-akan ia tak akan berlaku. Sebagai contoh:

1. Gejala rasuah semakin menjadi-jadi walaupun pelbagai plan integriti dan hukuman yang berat telah dilaksanakan.

2. Jenayah bunuh menjadi perkara biasa, seperti manusia tidak gentar dengan balasan di dunia apatah lagi di akhirat kelak.

3. Gejala sumbang mahram yang semakin meningkat. Manusia seakan hilang rasa kasih dan kasihan sesama makhluk.

4. Isu buang bayi yang semakin parah, walaupun sudah dimasukkan sebagai kesalahan membunuh atau cubaan membunuh dengan hukuman yang lebih berat, namun ia tetap berlaku.

5. Banyak lagi senarai masalah sosial yang semakin berpanjangan tanpa ada satu penyelesaian konkrit dalam menghadapi masalah tersebut.

Dalam hadith yang saya nyatakan di atas, memang perkara tersebut sudah pun berlaku kini. Keturunan yang tidak jelas bakanya memang ada. Bila perlakuan zina terjadi, anak-anak tidak jelas nasab keturunan, maka lahirlah generasi yang tidak terdidik dengan landasan syariah.

Saya menulis bukan untuk menyalahkan, tapi lebih kepada mengajak kita untuk sama-sama merenung dan menilai apa peranan kita dalam membendung masalah ini. Mungkin jika kita bersendirian kita tak mampu untuk mengubah apa yang terjadi. Tapi, yakinlah sedikit usaha kita pasti dilihat oleh Allah dan beri balasannya, sama seperi ayat ketujuh Surah Az-Zalzalah di atas.

Saya menyeru diri dan sahabat-sahabat semua untuk menyampaikan kebaikan kepada orang lain. Paling tidak, ambil lah berkat Ramadhan yang mulia ini dengan banyakkan berdoa untuk kesejahteraan ummah.

"Wahai Tuhan selamatkan umat ini, dari kecelakaan dan segala kecelaan. Dari kebimbangan dan keluh kesah. Perkenankan doa kami ya Allah"

Akhirnya, kita juga yang akan hidup dengan masyarakat, andai kita tidak kisah untuk terus berada di kalangan masyarakat yang "sakit" rohaninya, maka biarkanlah. Jika tidak, bergeraklah, bertindak dan menyumbang setakat yang mampu, hatta sekadar memberi email kebaikan kepada orang lain. Moga Allah memberkati usaha kecil kita, ameen...

Wallahua'lam

cerah summer





Friday 13 August 2010

Buku: Cinta di rumah Hassan Al-Banna_siri 1






Alhamdulillah sudah masuk hari ketiga umat Islam berpuasa. Cuaca di sini sejuk, mungkin tak terasa terlalu letih. Teringat bila masuk Ramadhan, pasti persoalan tentang berapa rakaat nak solat tarawikh muncul kembali. Soalan yang hanya hadir setahun sekali ini seringkali menjadi isu di kalangan ahli masyarakat. Ada satu peristiwa yang diceritakan di zaman Hassan Al-Banna (tokoh dakwah Islam moden). Ceritanya begini:

"Ada dua orang muslim yang datang bertemu Asy-Syahid Hassan Al-Banna dan bertanyakan persoalan tentang solat tarawikh. Mereka berdua berselisih pendapat tentang bilangan rakaat solaat tarawikh, mana yang lebih afdhal sama ada 8 atau 20 rakaat. Jadi, Asy-Syahid bertanya: "Apakah hukum solat tarawikh? Mereka menjawab sunat sunat muakkad (sangat dituntut). "Beliau bertanya lagi, "Apakah hukum menjaga silaturrahim?". Mereka menjawab wajib. Jadi, beliau membuat kesimpulan bahawa menjaga yang wajib itu lebih utama berbanding berbalah dengan perkara yang sunat. Maka, buatlah mengikut kemampuan masing-masing dan janganlah bertengkar tentang perkara itu"

Jelas, apa yang lebih utama ialah membuat ibadah dengan penuh ikhlas dan berkualiti tanpa menjadikan kuantiti sebagai perkara yang diutamakan. Tapi, andai dapat mampu beribadah dengan lebih banyak, sangat-sangat dialu-alukan. Ok, kembali kepada tajuk perkongsian hari ini iaitu tentang buku: "Cinta di rumah Hassan Al-Banna". Kenapa saya ingin berkongsi tentang buku ini? Sebab utama kerana keperibadian Asy-Syahid yang sangat baik. Saya mula mengenali tentang Hassan Al-Banna sejak sekolah menengah kerana di situlah saya diajar untuk membaca Al-Ma'thurat iaitu himpunan doa-doa yang diamalkan oleh Nabi SAW. Himpunan doa-doa ini telah dikumpul oleh Hassan Al-Banna dan terus diamalkan hingga kini.


Bercerita tentang buku ini, saya amat tertarik untuk membaca kerana cara penceritaannya yang santai dan menunjukkan contoh sebenar kehidupan tokoh dakwah ini. Buku ini dimulakan denngan contoh "Like father like son" yang ditunjukkan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz. Contoh tauladan yang diberikan kepada anaknya melahirkan anak yang mulia sifatnya. Dalam buku ini saya melihat dimensi baru tentang peranan suami atau bapa dalam mendidik. Cerita-cerita yang terdapat dalam buku ini disampaikan sendiri oleh anak-anak dan keluarga terdekat Hassan Al-Banna. Selama ini saya hanya mengetahui bahawa tugas mendidik itu peranan seorang ibu. Namun selepas membaca buku ini jelas karakter seorang bapa yang baik dapat membentuk anak yang soleh dan solehah.

Antara contoh cara didikan anak yang diamalkan oleh Hassan Al-Banna ialah:

1) Makan bersama yang menjadi keutamaan. Perkara ini walaupun nampak remeh, tapi sebenarnya satu slot penting dalam kehidupan harian berkeluarga. Dalam kesibukan, beliau tetap meletakkan keutamaan untuk makan bersama anak-anak.

2) Tidak menggunakan nada suara yang keras di rumah. Anak-anak menjadi patuh terhadap perintah dan bukan takut.

3) Beliau sentiasa memerhatikan perkembangan anak-anak beliau di mana setiap anak fail masing-masing. Di situlah beliau meletakkan semua rekod kesihatan, pelajaran dan apa jua perkara penting yang berkaitan semua anak-anaknya.

3) Membawa bekal makanan ke sekolah. Beliau membawa sendiri makanan untuk diberikan kepada anak-anak di sekolah.

4) Beliau juga sentiasa memastikan bekalan makanan yang mencukupi untuk keluarga. Beliau mempunyai catatan keperluan bulanan rumah kerana beliau tahu isterinya sibuk menguruskan rumahtangga.

5) Anak-anak patuh tanpa perlu diperintah. Ini kerana cinta tulus yang diberikan oleh Hassan Al-Banna kepada anak-anak menjadikan mereka taat kepada perintah hanya dengan nasihat yang diberikan olehnya.

6) Beliau memperuntukkan 3 jenis wang saku untuk anak-anak iaitu, harian, mingguan dan bulanan. Ini dilakukan supaya keperluan kewangan anak-anak mencukupi. Dengan cara ini, kita mengajar anak-anak untuk menabung tanpa perlu memintanya kembali dari anak-anak.

7) Beliau menunjukkan tauladan yang baik kepada anak-anak. Contohnya dalam hal bersedekah, beliau sering memberikan duit kepada anaknya dan menyuruh anaknya memasukkan dutit tersebut di dalam tabung masjid. Secara tidak langsung, anak-anak terdidik untuk rajin bersedekah.

Ok, setakat ini dahulu perkongsian tentang buku ini. Moga memberi manfaat buat kita. Andai masih belum berkeluarga, amalkan dalam kehidupan harian, moga bila tiba masanya, kita tahu cara didikan anak yang sesuai mengikut syariat.

Wallahua'lam



Wednesday 11 August 2010

Ramadhan pertamaku di perantauan

Ramadhan pertama di perantauan
sumber: ramadhan al mubarak by ~spacemaggot



Bismillahirrahmanirrahim


Segala puji hanya layak bagi Allah, Tuhan pencipta alam maya. Alhamdulillah berpeluang bertemu bulan rahmat ini sekali lagi. Doa untuk terus dipanjangkan umur agar bertemu bulan ini dikabulkan Allah. Tahun ini tahun pertama saya berpuasa di perantauan. Sedih? Ada juga sikit-sikit perasaan itu. Jumaat lepas semasa solat Jumaat, banyak sungguh pengumuman dibuat berkaitan aktiviti yang bakal dijalankan di masjid di kawasan yang saya tinggal. Bersyukur kerana masjid digunakan dengan optimum. Sebelum Ramadhan lagi institusi masjid di sini sangat hidup dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan semua lapisan umur. Dari kelas mengaji hingga ke latihan bola. Kelas tajwid hingga kem untuk remaja.


Hari ini apabila saya ke sekolah seorang rakan dari Arab Saudi menegur saya dengan wajah gembira dan mengucapkan "Ramadhan Kareem, Ramadhan Mubarak". Jelas kegembiraan di wajahnya. Pelik saya pada mulanya. Budaya begini tak pernah saya lihat sebelum ini. Gembira untuk bertemu Ramadhan, masyaAllah sangat mengharukan. Saya terfikir baik juga andai budaya ini turut disemai di kalangan rakyat Malaysia. Bukan hanya gembira bila tiba Aidilfitri.


Puasa di sini agak mencabar, hampir 15 jam. Dari 5.30 pagi hingga 8.45 malam. Mungkin tak jauh berbeza dari Malaysia. Tapi, pada bulan Jun dan Julai pernah mencatatkan waktu Maghrib yang hampir pukul 10 malam!. Hakikatnya, Allah itu Maha Adil, cuaca di sini tak terlalu panas, jadi tak terasa penat sangat. Bila melihat kejadian empat musim yang Allah ciptakan jelas kebijaksanaan Allah dalam mengatur alam, Allahuakbar!. Di sini, kami solat tarawikh 8 rakaat beserta witir. Solat tarawikh agak lambat dalam pukul 10.20 malam, tapi tidak mengambil masa terlalu lama.


Itu sahaja perkongsian tentang puasa semasa musim summer ini. Mungkin tak ada bazar ramadhan yang menyediakan pelbagai makanan lazat, namun Alhamdulillah dengan rezeki yang ada. Bersyukur dapat peluang untuk memasak sendiri untuk juadah berbuka. Moga amalan kita diterima, mari muhasabah hasil amalan di hari pertama. Moga amalan kita berkadar langsung dengan pertambahan bilangan hari berpuasa dan akhirnya menjadikan diri insan yang bertaqwa. taqwa itu di hati dan terlahir dari perbuatan. Mari rebut peluang keemasan ini!


Wallahua'lam


Tuesday 10 August 2010

Adakah Ramadhan dirindui?

bulan yang istimewa buat manusia dari Pencipta
sumber: Ramadhan Mubarak. by `FaMz




Bismillahirrahmanirrahim..


Alhamdulillah diizinkan Allah untuk bertemu kembali dengan 1 Ramadhan. Jarak masa setahun dirasakan sangat pantas. Kini, bulan penuh baraqah menemui kita. Saya yakin ramai di antara kita yang merindui amalan yang biasanya dilakukan di bulan Ramadhan seperti bersahur dan solat sunat tarawikh. Alhamdulillah jika msih dicampakkan rasa rindu untuk terus menambah amal.


Sahabat-sahabatku,


Dalam kehidupan ini, kita bertemu dengan berbagai-bagai jenis manusia. Dalam konteks menyambut Ramadhan, tidak terkecuali kita melihat pelbagai ragam manusia dalam menghadapinya, antaranya;


1. Gembira: bulan penuh rahmat kembali, bersedia untuk menambah amal. Alhamdulillah jika kita tergolong dalam golongan ini.


2. Gembira: dapat menambah lebih pendapat melalui perniagaan di bazar Ramadhan. Perlu difikirkan kembali tujuan asal kewajipan puasa ditetapkan kepada manusia. Tapi, andai betul caranya seperti tak tinggal waktu solat dan tutup kedai bila Magrib tiba dan tidak tinggalkan solat tarawikh, Alhamdulillah.


3. Gembira: seronok membeli-belah di bazar Ramadhan di mana keluar menu-menu istimewa yang jarang-jarang ditemui sebelumnya.


4. Sedih: terpaksa menahan lapar dan rasa lemah tak bermaya sepanjang hari.


5. Sedih: tak dapat melakukan amalan yang biasanya dibuat 11 bulan yang lain contohnya clubbing, berseronok-seronok tanpa batasan sampai pagi.


Jadi, antara lima kategori ini, anda di mana? tanyalah iman, akan anda ketemu jawapan yang anda mahu. Hakikat iabdah puasa itu inputnya amalan dan outputnya taqwa. Seperti dalam Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah (2):183:


"Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu sekalian puasa, sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu sekalian bertaqwa "


Jelas di sini matlamat output puasa adalah taqwa. Seharusnya selepas sebulan berpuasa, insan yang lahir dari tarbiyyah puasa ialah orang yang bertaqwa. Taqwa yang dapat membezakan muslim dan mu'min, membezakan martabat ibadah kita. Bezanya itu di pandangan Allah. Taqwa yang memungkinkan kita meletakkan tapisan dalam diri ktia sendiri, tanpa perlu pantauan dari orang lain. Sudah 11 bulan bulan kita dibelenggu nafsu dan hasutan syaitan, maka mari buktikan yang kita tidak menjadi "anak didik" syaitan di bulan Ramadhan.


Sahabat-sahabatku,


Pernah saya mendengar di negara Arab bila tiba Ramadhan, rumah akan dikemas supaya lebih banyak ruang untuk ibadah disediakan. Ruang tamu ditukar menjadi tempat solat. Bilik tidur yang mewah dengan perabot akan diatur menjadi 'kurang mewah', tilam diangkat supaya mudah bangun malam dan beribadah. Andai benar, MasyaAllah, sehingga ke tahap itu bersungguhnya mereka dalam menyediakan diri untuk taqarrub kepada Illahi.


Marilah kita sama-sama menilai. Saya mengingatkan diri juga. Setakat mana Ramadhan dirindui? adakah sama seperti seorang kekasih yang saling merindu? andai tak jumpa sehari bagai setahun? terasa resah andai ada amalan yang tertinggal? Itu semua penilaian iman, dan hanya mata hati kita dapat menilai. Terpulang pada diri kita, ya, kita yang menentukan. mari kejar nikmat Ramadhan, bak kata Ustaz Syed (Murabbi Imam Muda):


"Ramadahan adalah cheap sale dari Allah, rebut jualan murah ini untuk bekalan akhirat"


Wallahua'alam


ingatan diri yang lemah


sejuk summer

Monday 9 August 2010

Ubat dan kuasa penyembuh

ubat hanya alat, penyembuhnya hanya Allah


Bismillahirrahmanirrahim...

Di sini sedang musim panas. Namun, sejuknya macam sama seperti musim sejuk. Dalam cuaca macam ni, ramailah kawan-kawan saya termasuk saya sendiri dilanda kesakitan. Bila sebut tentang sakit, pasti ubat yang dicari. Jadi, hari ini saya nak berkongsi tentang ubat dan kuasa penyembuh. Jadi kali ini saya ingin berkongsi tentang ubat dan kuasa penyembuh.


Apabila kita ditimpa sakit, kita jadi bergantung kepada ubat-ubatan. Memang tak salah, cuma setakat mana pergantungan kita kepada ubat melebihi kepada Allah dalam hal menyembuhkan penyakit?


Sahabat-sahabat sekalian,


Saya ingin mengajak untuk kita sama-sama menilai diri agar kita tidak terlalu meletakkan keyakinan kepada benda atau makhluk melebihi keyakinan pada Allah. Kadangkala bila kita ditimpa kesakitan, kita merungut. Rasa tak selesa, lemah badan dan kurang bertenaga. Pernah kita melihat sakit dari sudut yang positif? Contohnya masa sakitlah menjadi ruang untuk kita merintih dan mengadu kepada Allah. Ini masanya untuk kita mengenang dosa kita yang telah lalu. Menanggap bahawa masa sakit adalah masa 'cuti' dari segala hal keduniaan. Boleh sama-sama muhasabah dari video ini.

Video ini menceritakan Allah suka jika hamba-Nya 'berleter' atau 'nagging' kepada-Nya. Lebih kita mengingat Allah dalam rungutan dan rintihan kita, lebih dekat kita dengan Allah. Seperti itulah sepatutnya kita apabila diuji dengan ujian kesakitan. Seperti mana contoh Nabi Ayyub AS yang diuji dengan ujian yang bukan sahaja kepada dirinya malahan terhadap keluarganya. Namun Baginda tetap sabar dan tetap dalam ibadah.

Bila orang sekeliling kita sakit sebenarnya kita juga diuji untuk menjaga mereka, keihklasan kita turut diuji. Moga kita tetap sabar dan sama-sama menyabarkan orang yang sakit. Banyak ingatkan mereka untuk terus berdoa dan berharap kepada Allah. Walau berapa lama pun jangaka hidup yang ditetapkan oleh dokotr, yakinlah Allah yang memegang nyawa manusia. Apabila kita berziarah, ingatkan orang yang sakit supaya jangan tinggalkan solat dan ajarkan mereka bertayamum andai air yang menjadi kesulitan mereka untuk berwudhu'.

Saya mengingatkan diri dan rakan-rakan untuk memberi keyakinan yang tinggi kepada Allah sebagai kuasa penyembuh yang paling utama berbanding apa jua ubat yang paling mujarab dalam dunia ini. Sementara kita dalam keadaan sihat, bersyukurlah kerana ia susah berbanding untuk bersabar. Bila diuji bersabarlah. Seperti Firman Allah dalam Surah Ibrahim (52): 7;

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".

Rasa syukur, jika tidak cuba dihayati akan sukar untuk dizahirkan melalui tindakan. Marilah sama-sama mengarahkan hati mengarahkan kepada rasa kesyukuran..

ingatan buat diri, sakit itu ujian, bersabarlah, moga ada ganjaran di sebalik kesabaran itu. Teruskan merintih, Allah suka hamba-Nya yang terus-terusan berdoa..kemudian bertawakallah.

Wallahua'lam

Pergantungan pada manusia vs perhitungan Allah



pergantungan biar utuh, jangan rapuh, hanya pada-Nya


Alhamdulillah dengan izin-Nya dapat saya berkongsi sedikit pandangan dengan sahabat-sahabat sekalian. Hari ini saya ingi berbicara tentang pergantungan kepada manusia dan pergantungan kepada Allah. Dalam masa yang sama saya ingin berbincang tentang kepentingan melihat perhitungan Allah dalam segala hal.


Rakan-rakan sekalian,


Dalam kehidupan harian, kita melihat sama ada diri kita atau orang di persekitaran cenderung untuk bergantung kepada manusia lebih dari pergantungan kepada Allah. Di sini timbul persoalan sejauh mana kita mengimani bahwa pergantungan kepada Allah adalah lebih aula berbanding bergantung kepada manusia?. Saya yakin bahawa kita semua menyedari hanya Allah pemegang hati manusia. Dia yang Maha Berkuasa memberi hidayah kepada manusia seperti maksud sebahagian ayat 142 dari Surah Al-Baqarah:



......"Kepunyaan Allah-lah Timur dan Barat; Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus"



Jelas dari ayat ini bahawa Allah berhak memberi hidayah pada insan yang dikehendaki-Nya. Begitulah sebaliknya, Allah mamou membiarkan kita dalam kesesatan. Dalam Al-Quran, kita melihat penceritaan tentang kaum Bani Israel yang sering diuji dengan ujian keimanan, yang mana mereka sering meminta untuk dibantu ketika ditimpa bencana dan berjanji untuk mentaati ajaran Nabi. Namun, akhirnya mereka kembali kufur. Di sini jelas menunjukkan mereke terlupa bahawa bukan manusia tapi pencipta manusia adalah lebih berkuasa.



Kembali kepada pegantungan kepada manusia yang melebihi pergantungan kepada Allah. Jika kita membaca akhbar atau menonton TV banyak dipaparkan gejala rasuah yang semakin berleluasa. Bukan setakat memberi dan mengambil rasuah, malahan sampai ke tahap membunuh kerana mahu menyembunyikan perbuatan terkutuk. Jelaslah kepada kita bahawa perbuatan jahat akan turut mendorong kepada perbuatan jahat yang lain. Anda boleh melihat berita-berita berkaitan rasuah di sini.


Jika kita mengambil gejala rasuah sebagai contoh, mengapa sebenarnya ia terjadi? Pada saya ia disebabkan hasrat untuk mencapai sesuatu matlamat dengan cara memuaskan tuntutan orang lain (penerima rasuah). Secara tidak langsung menunjukkan manusia lebih bergantung kepada manusia berbanding kepada Allah. Mereka menganggap manusia mampu memberi kesenangan yang hendak dicapai seperti harta, jawatan, tender perniagaan dan sebagainya. Di mana nilai diri manusia andai ia boleh dijual dengan harta? Sama-samalah kita fikirkan.


Berpeluang belajar di negara asing menungkinkan saya melihat pembangunan fizikal yang sangat pesat di negara ini. Namun, sayang sekali perkembangan fizikal ini tidak seiring dengan perkembangan rohani. Mereka maju dari segi luaran tapi tidak menjamin keadilan dan pembangunan sosial. Satu pengajaran yang boleh diambil ialah penghayatan agama sepatutnya selari dengan pembangunan luaran bukan tercicir atau dipinggirkan. Apabila kedua-duanya tidak selari, maka lahirlah manusia yang menjadi hamba kepada sistem, menjadi takut kepada manusia, melebihi takut dan harap kepada Allah, mementingkan tanggapan manusia lebih dari keredhaan Allah.


Akhir kata, marilah sama-sama kita menilai diri, pernahkah kita melakukan perbuatan yang melanggar syariatullah hanya untuk menyenangkan hati manusia sama ada kita sedar ataupun tidak? Mari kita sama-sama teguhkan pergantungan kita kepada Allah, kerana hakikatnya kita manusia yang akan kembali kepada Allahh. Di akhirat sana hanya penilaian Allah yang lebih utama, tiada lagi pangkat yang dikejar menjadi sandaran. Ingatlah di sisi Allah perhitungan-Nya hanya mengikut neraca iman dan amal yang menentukan nasib kita di hari tiada pergantungan pada yang lain.

ingatan buat diri jua...




Sunday 1 August 2010

Cerita: simpulan_5: hati itu


keseronokan sementara..hati kembalilah
sumber: by mk87



Ogos 2010

"Murid-murid, negara kita bakal menyambut Hari Kemerdekaan ke 57 hujung bulan ini. Cikgu nak tanya, apa yang biasanya murid-murid buat mada hari merdeka?" tanyaku pada murid kelas 5 Hijau.

"Pergi KLCC cikgu, tengok bunga api. Ada konsert juga, best!" jawab Zila jujur.

"Ok, apa lagi yang kamu biasa buat?" tanyaku lagi.

"Kalau tak keluar, saya tengok TV cikgu. Banyak filem-filem best masa tu" jawab Remy.

Kepalaku melayang pada kenangan itu, Ogos 2007....



Ogos 2007

"Best jugak ni" kata Kak Ann sampai memegang sekeping kertas di tangannya.

"Ada apa tu Kak Ann?" tanya Anja dari dapur.

"Ni ha, program anjuran NGO Islam. Ada gempur malam merdeka" jawab Kak Ann.

"Program apa tu?" tanya Anja lagi.

"Progran dekati remaja malam merdeka kat hot spot sekitar KL" jawab Kak Ann.

"Takut la, biasa diorang ni mabuk kan, bila malam merdeka atau malam new year" kata Angah.

"Isykh...tak de apalah, kita pergi dekati remaja ni ramai-ramai, bukan sorang-sorang. Lagipun Kak Sal dah pergi tahun lepas. Dia cakap best, tengak life kehidupan kota KL ni" tambah Kak Ann.

Semua ahli rumah ada petang itu. Masing-masing dengan urusan tersendiri. Anja dan Anjang di dapur. Yang lain menghadap laptop masing-masing. Kadangkala aku terfikir, teknologi pun mampu memisahkan kita. Mana taknya, duduk satu rumah, tapi masing-masing sibuk melayari internet. Bercakap pun jarang-jarang je.

"Adik-adik, malam ni akak nak buat pengisian boleh?" kata Kak Ainul lembut.

"Boleh!" jawabku semangat. Macam tahu-tahu pula aku sedang terfikir isu komunikasi yang kurang di kalangan kami semua.

Malam itu lepas solat Maghrib kami berkumpul. Kak Ainul mulakan dengan zikir memuji Illahi.

"Ada apa-apa tak yang sahabat-sahabat perasan berlaku di kalangan kita?" kak Ainul memula bicara.

Masing-masing saling memandang. Aku pun segan nak bercakap.

"Ok je kak. Masing-masing sibuk dengan assignment" balas Darling.

"Betul tu Ling, tapi di sebalik kesibukan tu, akak rindu sangat saat kita boleh berborak, berkongsi rasa dan berukhwah bersama" tambah Kak Ainul.

"Betul juga tu, bila semua orang dah sibuk, tak sempat je nak bertegur sapa" balas Anjang.

"Ha, apa kata kita semua join progran kat KLCC tentang gempur remaja ambang merdeka tu?" cadang Kak Ann.

"Ok juga tu, at least kita dapat tambah ilmu untuk sampaikan kebaikan" tambahku.

"Baiklah, memandangkan kita akan berjumpa dengan sahabat-sahabat kita yang mungkin ada masalah tersendiri masa malam merdeka nanti, apa kata kita brainstorm pendekatan yang boleh dilakukan untuk mendekati diorang. Ok tak?" soal Kak Ainul.

"Setuju!" balas Kak Long.

Hampir sejam kami berbincang. Rupanya musyawarah memang berkesan dalam menjana idea. Ada yang pelik dan ada yang lebih praktikal. Itulah buahnya ukhwah, terasa kemanisannya bila bersama meluahkan dan memberi pandangan.

Malam yang dinanti telah tiba. Ribuan penduduk kota raya berkumpul di KLCC. Penuh taman KLCC dengan manusia. Di kala riuh konsert berjalan di taman utama, masjid KLCC juga menyediakan acara alternatif buat pengunjung. Namun, seperti yang dijangka jumlah yang menyertai program di masjid sangat sedikit berbanding yang asyik mendengar konsert.

"Hati manusia perlu dibersihkan. Jika tidak ia akan karat dengan dosa dan noda. Jangan biarkan diri hanyut dalam keseronokan sementara. Hari ini anda akan berjumpa sendiri dengan remaja-remaja ini. Jangan sesekali marahkan mereka. Gunakan pendekatan yang berhikmah. Senyum dan sapalah mereka dengan baik. Ingat, hanya Allah pemegang hati manusia. Andai bila disampaikan mereka terima, bersyukurlah. Jika sebaliknya, sabarlah. Kita akan bergerak secara berkumpulan dan akan dimulakan di sekitar taman KLCC dahulu. Pamplet turut disediakan untuk diedarkan" terang Ustaz Halim panjang tentang program gempur malam merdeka.

Matlamatnya hanya satu..itu membawa hati itu kembali pada fitrahnya. Mungkin satu tindakan tidak mampu untuk membawa perubahan, tapi moga hati yang didekati itu subur, kembali ke arah yang benar..

Hati itu, kembalilah...

bersambung...

Pendekatan alternatif


mari imarahkan masjid


Alhamdulillah diizinkan Allah untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat sekalian. Bersyukur kerana diberi kekuatan dan kesempatan untuk bernafas di muka bumi Allah. Saya baru sahaja melihat program Imam Muda peringkat final semalam. Saya sebenarnya mengikuti program ini secara online. Konsep programnya pada saya sangat baik. Pada saya konsep yang dibawa adalah contoh pendekatan alternatif yang mampu mengajak penonton berfikir. Selama ini, kita sering dihidangkan dengan program hiburan yang hanya mengetengahkan bakat semata-mata. Tiada ciri-ciri intelektual yang dibawa dalam program. Sangat rugi andai hanya rasa seronok dan fanatik dalam meminati peserta program sahaja yang mampu disemai dalam program hiburan. Program ini mengajak peserta untuk melihat cara pendekatan terbaik untuk menyampaikan kebaiakan.

Sahabat-sahabatku,

Cubalah kita berfikir sejenak, selama mana masa diperuntukkan untuk program yang berunsur agama atau nasihat yang dipaparkan di dalam media massa? Baik dalam surat khabar, televisyen, internet dan pelbagai media lain, hanya sedikit ruang dan peluang yang diberikan untuk mengajak manusia bergerak ke arah kebaikan. Jadi, tak perlulah kita menjadi pelik apabila kita sering mendengar peningkatan dalam gejala sosial yang berlaku di negara kita. Dalam buletin utama dipaparkan tentang gejala seks bebas di kalangan remaja. Generasi yang diharapkan menjadi pelapis kepimpinan negara nampaknya lemah dari dalaman, mudah digoyahkan dalam keseronakan yang sementara. Sebenarnya saya sedih bila memikirkan hal ini, lebih-lebih lagi bila memerhatikan ramainya remaja Muslim yang terlibat dalam masalah sosial. Di mana silapnya? marilah kita bertanya pada diri sendiri.

Berpeluang belajar di negara asing mengajar saya erti kehidupan. Melihat pergaulan bebas di kalangan penduduk setempat membuatkan saya terfikir, goyangnya iman manusia tanpa berpegang pada agama. Itu tiang kita. Bila roboh atau tidak dibangunkan, buruk padahnya. Melihat kesannya pada sakhsiah manusia membuktikan bahawa Islam sahajalah yang mampu membentuk manusia menjadi manusia yang sebenar, sesuai dengan tujuan hidup sebagai khalifah.

Kembali kepada program Imam Muda yang baru berakhir semalam. Imam Muda Asyraf berjaya mendapat tempat pertama. Di sebalik program ini saya melihat pentinganya generasi muda didekati dengan pendekatan alternatif yang dekat dengan diri mereka. Cara Imam Muda Asyraf yang bermain futsal dengan anak-anak muda dan bersolat di gelanggang futsal adalah pendekatan terbaik untuk masuk dengan anak muda. Sebenarnya, masyarakat perlu diajar untuk berfikir dengan lebih kritikal. Bukan hanya pemikiran mudah dan singkat. Program Imam muda membuktikan bahawa adanya golongan muda yang bersemangat menyampaikan kebaikan. Penyertaan di kalangan orang muda memberi peluang kepada mereka bukan sahaja untuk menimba ilmu tapi terjun terus untuk mendekati masyarakat. Ruang lingkup tugasan imam juga telah diperluas bukan sahaja di dalam masjid tetapi terus mendekati masyarakat.

Sebenarnya kalau difikirkan semasa zaman Nabi SAW masjid menjadi one stop point untuk pelbagai program, bukan sekadar yang berunsur agama semata-mata. Urusan perniagaan, mesyuarat, majlis ilmu dan pelbagai lagi diadakan di masjid. Andai kita dapat melakukan perkara yang sama, pasti kesatuan ummah akan tercapai, InsyaAllah. Masjid boleh menjadi medium untuk bermasyarakat, menjadi gedung ilmu pada pelajar bukan sekadar tempat untuk bersolat. Imam-imam muda yang ada di Malaysia sebenarnya berperanan penting untuk mengubah paradigma tradisional tentang fungsi masjid. Gunakan kekuatan minda dan idea yang bernas untuk mengajak lebih ramai umat Islam ke masjid. Sesungguhnya jika hati generasi muda ini terikat dengan masjid, InsyaAllah pertahanan dalaman mereka pasti akan kukuh dan mampu membendung diri mereka dari terjebak dengan perkara yang buruk.

Sahabat-sahabatku,

Saya menyeru pada kalian, andai ada idea atau pendekatan alternatif yang mampu membawa kebaikan pada orang lain, lakukanlah! Walaupun sedikit usaha yang kita lakukan hatta menghantar email kebaikan kepada orang lain mampu mengubah kehidupan orang lain. Ingatlah, Allah sahaja pemegang hati kita, hanya Dia pemberi hidayah. Allah tidak melihat hasil perbuatan kita tapi usaha yang kita titipkan untuk menyampaikan kebaikan. Kita akan dipertanggungjawabkan atas perbuatan kita. Moga kita tergolong dalam kumpulan yang diberkati bukan yang dimurkai Allah..ameen.

mari sama-sama sampaikan dan sebarkan kebaikan!

malam summer