Sunday 26 February 2012

Syria...sabarlah saudaraku

teruskan rantaian doa buat mereka


Bismillahirrahmanirrahim,

Dalam bahagia ada derita, dalam gembira ada juga yang sengsara. Hakikat hidup manusia itu diselang seli antara manis dan pahit. Tujuannya apa? Bukankah lebih baik andai hanya manis yang kita alami tanpa pahit mengganggunya?.

Sahabat-sahabatku,

Allah itu Maha Mengetahui. Dia tahu apa yang terbaik buat makhluk ciptaan-Nya. Kidah keperitan saudara seagama kita di Syria menggamit hati saya untuk berkongsi apa yang sedang berlaku di negara itu. Rupanya selama ini saudara kita di sana tidak bahagia, namun akibat kekejaman pimpinan di sana, semuanya berjaya ditutup dengan mudah. Luar nampak bahagia, namun setia hari mereka terseksa dalam penjara seorang diktator bernama Basyar Al-Asad.

Kisah duka itu

Kisah duka yang meruntun hati manusia berlaku sejak sekian lama. Namun, selepas kebangkitan suara rakyat berlaku di Syria, lebih banyak pendedahan dibuat melalui media massa. Seperti mana perisitiwa "Arab Springs" yang bermula di Mesir, Libya dan negara-negara terdekat, begitu jualah yang terjadi di Syria. Bumi tempat kelahiran ramai ulama' itu terus menjadi medan berdarah angkara sikap manusia yang tamakkan kuasa.

Sebelum ini sejujurnya sayaLink benar-benar tidak mengetahui lanjut tentang negara-negara Arab. Sangkaan saya, negara-negara Arab semuanya mewah, rakyatnya hidup senang dan bahagia. Rupanya ada di sebalik imej yang dipaparkan.

Bukanlah saya orang yang selayaknya menceritakan tentang isu Syria kepada sahabat-sahabat semua. Jadi, di sini saya sertakan beberapa klip video beserta link yang boleh anda tonton untuk menambah kefahaman tentang isu di Syria. Moga usaha sedikit ini mampu melahirkan kesedaran buat kita.



Syria is calling.....Who's listening?

I weep for Syria - Nasheed by Sheikh Mishary - English Translation


Mari buka hati, minda dan gerakkan diri untuk membantu setakat yang termampu. Bangkitlah, wahai pejuang Allah. Takbir! Allahu Akbar!


Palestin itu kita!

isu itu isu kita, bangkitlah!
sumber



Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah syukur pada-Nya yang telah menciptakan alam penuh dengan kenikmatan buat manusia. Syukur juga masih dalam suasana tenang kehidupan tanpa sebarang ancaman keselamatan. Nikmat ketenangan yang mungkin kadang kala menjadikan kita lalai dan leka. Nikmat menghirup udara segar tanpa pencemaran bahan beracun.

Nikmat bahagia vs sengsara

Kali ini saya ingin berkongsi rasa yang saya alami apabila mendengar video tentang isu Palestin. Isu saudara kita di sana yang tidak pernah berkesudahan. Ia menyedarkan, mengingatkan dan membangkitkan rasa bahawa ia bukan hanya isu orang Islam tapi ia isu kemanusiaan.

Di sini link untuk sahabat-sahabat semua melihat video tersebut. Ambillah masa untuk memahami isu saudara kita. Mungkin dengan ini kita menjadi lebih faham lantas lebih prihatin pada nasib mereka di sana.

Di Palestin mereka mungkin sengsara pada pandangan mata kita, namun mereka bahagia kerana terpilih untuk menjadi syuhada di sisi Allah. Kita di sini mungkin tidak mampu mengerti nikmat penderitaan dan seksaan yang mereka alami. Namun, semua itu tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk terus berjuang ke jalan Allah.

Isu itu isu kita jua

Sedar atau tidak sebenarnya rakyat Palestin sedang memperjuangkan sesuatu yang sepatutnya kita semua sebagai ummat Islam perjuangkan. Tanggungjawab berat ini dipikul oleh saudara kita di Palestin. Usaha untuk mempertahankan kota suci Baitulmaqdis dilakukan oleh rakyat Palestin dengan penuh kesungguhan. Walaupun ada di kalangan mereka yang hanya menggunakan butiran batu untuk menghalang kemaraan tentera Zionis yang kejam, namun itu tetap mereka lakukan dengan penuh amanah.

Di sinilah sebenarnya persoalan utama perlu kita lontarkan buat diri sendiri;

"Di mana saya, anda, kita dan semuanya ketika ini?"

"Adakah kita turut membantu mereka dari segala sudut yang kita mampu lakukan?"

"Adakah kita hanya menjadi pemerhati bebas dan terus berpeluk tubuh melihat titisan darah terus mengalir di bumi suci Palestin?"


Cakap serupa bikin

Senarai persoalan boleh terus nyatakan, namun bukan itu tujuan saya menyuarakan. Tetapi yang lebih penting ialah'

"Apa TINDAKAN kita?"

Ya, "Whats next?"

Firman Allah SWT dalam Surah As-Saff (61: 2-3):

[61.2] Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat?


[61.3] Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tiada kamu kerjakan.

Tindakan. Itulah yang patut kita lakukan. Bukanlah semangat yang menjadi ukuran kefahaman kita tentang isu ini. Tapi tindakan kita yang lebih utama, supaya kita tidak menjadi hamba Allah yang cakap tidak serupa bikin.

Antara cara yang saya terfikir kita boleh lakukan sebagai tanda kita sedar dan prihatin dengan nasib saudara kita di Palestin ialah:

1. Membaca qunut Nazilah setiap kali kita berdoa.

2. Memberi bantuan kewangan setakat yang termampu. Berdasarkan video yang saya nyatakan di atas, bantuan berupa kewangan lebih baik supaya bantuan dapat diberi berdasarkan keperluan masyarakat di sana.

3. Menjadi sebahagian dari kumpulan sukarelawan yang menyumbang secara langsung kepada Palestin. Antara NGO yang boleh disertai ialah: Global Peace, Islamic Relief Malaysia, Muslim Care, MERCY dan pelbagai lagi.

4. Memberi kesedaran kepada keluarga, saudara mara dan rakan-rakan terdekat tentang isu ini.

5. Mendoakan kesejahteraan kepada seluruh ummat Islam terutamanya di Palestin.

6. Teruskan usaha memboikot barangan dari syarikat yang menyokong Israel.



Akhir kata, sama-samalah kita terus menambah kesedaran dan bertindak ke atas isu yang sangat relevan buat kita ummat Islam. Kekejaman yang tidak munasabah yang dilakukan oleh rejim Zionis ini mungkin tidak mampu kita hapuskan, namun kita ada senjata yang lebih kuat iaitu DOA. Teruskanlah berdoa, berusaha dan berikhtiar moga ada cahaya di hujung jalan ke atas krisis kemanusiaan ini. Moga Allah membantu saudara kita di sana, insyaAllah, biiznillah.

Doa buatmu saudara...


berhujung minggu di bilik


Link

Sunday 19 February 2012

Bersangka baiklah dengan-Nya

kecil atau besar ujian itu, pasti ada hikmahnya
sumber





Bismillahirrahmanirrahim,

Syukur dan puji selayaknya buat Allah, yang Maha Mengetahui segala sesuatu. Syukur masih terus diberi peluang untuk hidup dalam keadaan ramai orang yang berhempas pulas untuk terus hidup di muka bumi ini.

Setiap hari saya pasti kita terus diuji, sama ada ujian kesenangan apatah lagi kesusahan. Jadi, mengapa manusia perlu dan terus diuji?

Ujian tanda iman

Saya yakin sahabat-sahabat semua pernah mendengar cerita para sahabat Nabi Muhammad SAW di zaman penyebaran Islam di Makkah. Ujian dan mehnah yang mereka tempuh kadang kala tidak terjangkau dek akal kita kini. Bukan hanya diuji dari segi fizikal dari segi penderaan dan kecederaan, namun lebih dari itu mereka diuji dari segi keimanan. Kisah Bilal bin Rabah yang dipukul di tengah panas terik padang pasir begitu menyentuh buat kita. Cuaca panas di tanah air pasti tidak terbanding dengan panas di negara timur tengah. Seorang guru kelas bahasa Arab pernah menyatakan yang cuaca di padang pasir boleh mencecah 50 darjah celcius atau lebih. Bayangkan pula kepayahan hijrah ummat Islam ke Madinah. Jarak perjalanan yang jauh tidak melunturkan semangat mereka untuk terus mempertahankan aqidah. Mereka sangguo meninggalakn tanah air tercinta demi Islam.

Jika kita fikirkan, mengapa perlunya ujian ini? Tidak cukupkah kita hanya beramal tanpa diuji oleh Allah? Jawapannya ialah, ujian itu tanda keimanan. Sejauh mana kita mampu redha dengan ujian yang menimpa kita itulah yang akan membezakan tahap keimanan kita kepada Allah. Ramai orang yang mampu mengaku yang mereka beriman dan tidak mensyirikkan Allah. Namun, bila ujian menimpa, bagaimana reaksi mereka? terduduk? mengeluh? menyalahkan? atau redha?. Firman Allah dalam Surah Al-Ankabut (29: 2-3):


Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?

Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.

Maka, mari sama-sama kita mengaudit diri, adakah kita benar-benar beriman kepada Allah?


Bila ditimpa ujian

Suka untuk saya mengajak rakan-rakan semua untuk mengingat kembali bagaimana reaksi kita bila ditimpa ujian? Mungkin ada di kalangan kita yang akan terus redha dan diikuti dengan muhasabah terhadap segala kekurangan diri sendiri. Di satu sisi yang lain, mungkin ada yang terus mengeluh dan tanpa sedar menyalahkan Allah di atas ujian yang menimpa kita. Adakah kita sedar apa yang telah kita ungkapkan di kala kesedihan menimpa diri?

Benar, bila emosi menguasai diri, mungkin kita jadi lupa tentang apa yang kita lafazkan atau lakukan. Tapi, mari kita renung sejenak, sebanyak mana ujian yang menimpa kita selama ini? Adalah ia sebanding dengan nikmat dan rahmat yang dikurniakan Allah?

Saya yakin, pasti jawapannya tidak bukan? Ujian yang menimpa kita barangkali hanya satu dalam seribu nikmat yang diberikan oleh Allah. Betapa sayangnya Allah kepada makhluknya, lantas ujian yang diturunkan terlalu sedikit berbanding rahmatnya.


Ujian tanda sayang

Pernahkah kalian mendengar kata-kata ini?

"Marah itu tandanya sayang"

Kita sering mendengar, ibu bapa yang marah anaknya bermain api itu sebenarnya tidak mahu anaknya mencederakan diri tanpa sedar. Guru yang menegur anak muridnya dia dalam kelas pasti sebenarnya mengharap kejayaan anak muridnya. Begitu jugalah Allah dalam menunjukkan kasih sayangNya pada makhluk. Ujian berupa "teguran" dari Allah. Boleh jadi ia sebagai peringatan buat kita mungkin terlalai dengan keseronokan dunia. Boleh jadi juga ia sebagai cara untuk Allah menyeru supaya kita kembali ingat padaNya dengan sebanyak-banyak ingatan.

Andai ibu bapa, guru atau sesiapa sahaja menegur kita kerana mereka sayang kepada kita, lebih-lebih lagilah Allah yang menciptakan kita. Pasti sang Pencipta mahu ciptaannya kekal dalam kebaikan dan kesejahteraan. Allah mahu kita terus istiqamah dalam kebaikan dan suka kepada kebaikan. Sebab itulah kita diuji....

Bersangka baiklah kepada Allah

Buat akhirnya, saya menyeru diri sendiri dan sahabat-sahabat sekalian untuk bersangka baik kepada Allah. Cubalah sama-sama kita menjadi orang yang diredhai Allah dengan bersyukur apabila menerima nikmat dan bersabar apabila diuji. InsyaAllah, moga Allah sentiasa memandu kita ke arah kebenaran. Dalam setiap ujian, pasti ada hikmah. Cepat atau lambat untuk kita menyedarinya itulah membezakan penerimaan kita bila diuji. Ingatlah ujian yang menimpa kita itu pasti sesuai dengan kemampuan kita. Andai kita buntu, mohonlah pada Allah moga diberi petunjuk.

Saya doakan urusan kalian dipermudah Allah. Doakan saya juga ya. Jazakillahukhayran kathira...

Wallahua'lam

cold night

Sunday 5 February 2012

Sollu A'la Muhammad

cahaya seluruh alam...
sumber



Sollua'la Muhammadh Wa'ala Ali Muhammad

12 Rabi'ul Awwal 1433 H...

Syukur Alhamdulillah masih diberi kesempatan untuk hidup di bumi Allah yang maha luas ini. Hari ini seluruh dunia meraikan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Kelahiran junjungan mulia ini memberi rahmat ke seluruh alam. Dunia gelap jadi cerah, dari kejahilan dalam aqidah berubah menjadi cahaya keimanan.

"wa ma arsalnaka illa rahmatan lil-`alamin"

Maksudnya, tidak aku jadikan Kamu (Nabi Muhammad SAW) kecuali sebagai rahmat ke seluruh alam.

Hari ini saya mengerti betapa pentingnya untuk kita terus menghidupkan rasa kasih dan cinta kepada junjungan mulia Nabi SAW. Sedikit perkongsia yang saya peroleh dari kuliah Ustaz Dusuki tentang cintanya Baginda SAW terhadap ummatnya. Untuk kuliah penuh boleh rujuk di sini.

Ustaz ada menyatakan enam cara untuk melahirkan rasa cinta kepada Nabi Muhammad SAW:

1. Berselawat ke atas Nabi SAW sebanyak-banyaknya

2. Menghidupkan sunnah Nabi Muhammad SAW sekurang-kurangnya tiga sunnah dalam sehari.

3. Belajar dan memahami sirah Nabi SAW.

4. Mempelajari hadith Nabi SAW.

5. Kasih kepada ulama' yang merupakan pewaris Nabi SAW dan memastikan kita berguru belajar dengan seorang ulama' dalam bidang agama.

6. Menziarahi maqam Nabi SAW di Madinah.

Mari sama-sama kita berusaha menyemai dan menyuburkan rasa cinta kita kepada Nabi SAW yang tidak pernah pudar cintanya kepada ummah. Janganlah kita menjadi bakhil kerana tidak mahu berselawat kepada Baginda SAW. Ingatlah, kita perlukan syafaat Nabi SAW di saat pengakhiran hidup kita. Baginda sangat sayang kepada ummatnya, namun bagaimana kita? Sudah cukupkah rasa sayang pada Baginda SAW kita tunjukkan? Saya turut mengingatkan diri, supaya terus-terus mengingat Baginda dan menghargai susah payah Baginda SAW dalam menyampaikan risalah Islam yang benar.

Moga Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk terus mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW dalam kehidupan kita, InsyaAllah.

gemilang dunia dengan cahaya hidayah...rindu pada Nabi Muhammad SAW

snowy day

wallahua'lam

Ujian di perantauan

jauh perjalanan, luas pemandangan, tambah pengalaman
sumber gambar: kredit buat seorang teman


InsyaAllah di sini saya ingin berkongsi serba sedikit pengalaman sepanjang hampir tiga tahun berada di bumi asing. Berpeluang menyambung pelajaran ke luar negara saya anggap sebagai nikmat yang berharga sepangjang lebih suku abad dihiduplan Allah di muka bumi. Negara Union Jack, bumi asing yang juga merupakan negara pertama yang saya kunjungi di luar Malaysia. Membuat keputusan menyambung belajar di kala sahabat lain sibuk membina kerjaya di keluarga merupakan keputusan besar yang saya fikir banyak hikmahnya kini. Di sini saya ingin berkongsi beberapa ujian sebagai saya rantau di bumi asing, insyaAllah.

1. Sejuk…gelap

Cuaca sejuk adalah cabaran yang pada saya sangat mencabar. Mungkin ada yang pelik kerana andai dibandingkan dengan cuaca panas dan lembap sepanjang tahun di Malaysia, pasti cuaca sejuk sangat dinant-nantikan. Ditambah pula, ramai sungguh rakyat Malaysia yang gemar melancong ke negara-negara beriklim sejuk untuk menikmati kedinginan ciptaan Illahi. Sebenarnya, musim sejuk berkait dengan perubahan waktu juga. Waktu siang menjadi pendek msayakala malam menjadi panjang. Cuba bayangkan, masuk waktu solat Subuh paling lewat hampir jam 7 pagi. Solat Isya’ pula jam 5.30 petang. Beza masa dan suassaya gelap yang lebih awal kadang kala menyebabkan perasaan “gloomy” sering dirasai. Namun, bukanlah niat saya untuk menyalahkan hukum alam yang diciptakan Allah, cuma beza adaptasi di tanah air dan di negara empat musim memang menguji ketahsayan minda dan fizikal bagi sayak rantau yang berjauhan dari keluarga. Hikmah tersembunyi di setiap penciptaan-Nya wajar disyukuri. Pasti Allah lebih tahu asbab kejadiaan alam seputar perubahan iklim empat musim ini. Kini, Alhamdulillah saya makin memahami keperluan fizikal dan diri bagi menghadapi cuaca ekstrim sejuk dingin ini.

2. Tinggal berjauhan

Ini bukanlah kali pertama saya tinggal berjauhan dari keluarga. Namun, kali ini jauhnya bukan setakat sejam perjalanan, namun memakan masa hampir dua hari untuk sampai ke bumi Malaysia tercinta. Andai bukan masa isunya, kos perjalanan yang sangat mahal menjadi penghalang untuk kerap pulang ke tanah air. Pada saya, tinggal berjauhan dari keluarga ini banyak dugaannya. Ada kala kita perlukan lebih dari kawan kita untuk mendengar masalah kita. Ada masa kita rindu untuk mendengar “leteran”, teguran dan nasihat dari ibu bapa. Rindu mendengar riuh rendah suara adik beradik dan sanak saudara. Pengalaman tinggal jauh dari keluarga pada saya menjadi ruang untuk terus dekat dan rapat dengan keluarga. Atas dasar keyakinan bahawa Allah jua yang memegang hati, saya yakin bahawa Allah pasti mengikat hati-hati orang Islam yang berkasih sayang kerana Allah.

3. Speaking, please!

Bahasa merupakan medium perhubungan yang sangat penting. Bila tinggal di negara asing, masalah bahasa menjadi satu ujian tinggal di perantauan. Sebenarnya, bukan isu kefasihan dalam berbicara yang menjadi isu, namun keyakinan untuk berbicara dalam bahasa asing kadang kala menjadi kekangan buat diri berbicara. Pada peringkat awal, saya jadi pendiam dan kurang pandai bergaul kersaya menjadi terlalu “conscious” dengan bahasa yang saya gunakan. Takut tersilap “grammar”, takut tersalah “vocabulary”, sering terfikir “fahamkah mereka dengan bahasa yang diucapkan?”. Pelbagai soalan berlegar sebelum keyakinan itu muncul dalam diri. Sebenarnya sekarang saya mula sedar, apa yang penting ialah mampu menggunakan bahasa mudah dan jelas bila berbicara, andai ada perkataan canggih yang digunakan itu adalah nilai tambah buat kita. Kini, bukanlah hendak dikatakan saya lebih lancar dan fasih berbahasa, namun keyakinan untuk berbicara dalam bahasa Inggeris sudah bertambah, Alhamdulillah.

4. Don’t become an anti-social!

Sudah menjadi kebiasaan rakan-rakan saya (sama ada penduduk tempatan atau pelajar antarabangsa yang lain) untuk keluar minum dan makan bersama. Saya menjadi salah seorang yang sering menolak ajakan mereka. Bukanlah faktor makanan halal yang menjadi isu utama. Kebanyakan mereka, Alhamdulillah, sangat mengambil berat tentang keperluan pemakanan halal untuk kaum muslim. Mereka sering kali bertanya tentang hal makanan yang dibolehkan dalam Islam. Pada saya, mereka sangat menghormati sempadan yang perlu dipatuhi oleh orang Islam. Cuma, yang menjadi masalah bagi saya ialah untuk “melarikan” diri dari perbualan mereka yang sering kali panjang lebar dan bagaikan tidak berkesudahan. Dari satu topik, ke satu topik, mereka bagai tidak kering idea untuk bercakap. Itu yang menjadi masalah bagi saya untuk mencari alasan untuk keluar dari perbincangan mereka. Disebabkan kekangan inilah saya mencari jalan tengah untuk tidak menyertai perjumpaan mereka dan digelar sebagai “anti social”. Namun, pada saya biarlah digelar begitu asal saya terhindar dari terjebak ke dalam perkara yang tidak diredhai-Nya. Sebagai gantinya, saya sering menyertai mereka tatkala makan tengahari dan mengambil peluang untuk berbual dengan mereka bila berkelapangan. dari segi satu sudut, saya melihat kemampuan orang Barat untuk berinteraksi dengan baik adalah satu perkara ayng boleh diambil pengajaran. Saya belajar untuk beradaptasi dengan keadaan ini dan cuba jadi lebih "ramah" melalui pengalaman ini.

5. Lima kali sehari

Persoalan yang sering kali ditanyakan di kalangan sahabat bukan muslim pada saya ialah:

“How many times do you pray in a day? It’s difficult if you have to do it so many times in a day”.

Cabaran untuk menerangkan dengan ringkas dan tidak pula menunjukkan Islam agama yang menyusahkan merupakan pengalaman yang saya peroleh bila berkelana. Saya mengambil pendekatan untuk menerangkan yang kita sebagai hamba sangat perlukan Allah setiap masa. Sebab itulah kita perlu sentiasa menghadapnya dan berdoa kepadanya. Alhamdulillah, pada saya kini mereka jadi lebih terbuka dalam isu ibadah dalam Islam.

Sebagai kesimpulan, sukalah saya untuk mengingatkan diri dan orang lain untuk terus membawa Islam tidak kira di msaya pun. Setiap dari kita membawa imej Islam di mata orang asing. Walau di mana pun letaknya kita, ingatlah kita masih di bumi ciptaan Allah. Jangan kerana sifat buruk kita, nama baik agama dari Allah ini tercemar. Bawalah Islam, iman dan ihsan itu dalam hati dan peganglah dengan erat sampai mati. Moga Allah memberi kekuatan untuk kita menegakkan dan mengamalkan Islam sepanjang hayat. Moga mati kita nanti dalam husnul khatimah, insyaAllah. Sekian perkongsian ringkas dari saya, moga ada manfaatnya buat kita semua sebagai da’ie di bumi Illahi.

snow...sejuk yang mencengkam

Berjalanlah di bumi Allah...lihatlah setiap ciptaan-Nya yang indah.....

Wallahua’alam