Sunday, 19 February 2012

Bersangka baiklah dengan-Nya

kecil atau besar ujian itu, pasti ada hikmahnya
sumber





Bismillahirrahmanirrahim,

Syukur dan puji selayaknya buat Allah, yang Maha Mengetahui segala sesuatu. Syukur masih terus diberi peluang untuk hidup dalam keadaan ramai orang yang berhempas pulas untuk terus hidup di muka bumi ini.

Setiap hari saya pasti kita terus diuji, sama ada ujian kesenangan apatah lagi kesusahan. Jadi, mengapa manusia perlu dan terus diuji?

Ujian tanda iman

Saya yakin sahabat-sahabat semua pernah mendengar cerita para sahabat Nabi Muhammad SAW di zaman penyebaran Islam di Makkah. Ujian dan mehnah yang mereka tempuh kadang kala tidak terjangkau dek akal kita kini. Bukan hanya diuji dari segi fizikal dari segi penderaan dan kecederaan, namun lebih dari itu mereka diuji dari segi keimanan. Kisah Bilal bin Rabah yang dipukul di tengah panas terik padang pasir begitu menyentuh buat kita. Cuaca panas di tanah air pasti tidak terbanding dengan panas di negara timur tengah. Seorang guru kelas bahasa Arab pernah menyatakan yang cuaca di padang pasir boleh mencecah 50 darjah celcius atau lebih. Bayangkan pula kepayahan hijrah ummat Islam ke Madinah. Jarak perjalanan yang jauh tidak melunturkan semangat mereka untuk terus mempertahankan aqidah. Mereka sangguo meninggalakn tanah air tercinta demi Islam.

Jika kita fikirkan, mengapa perlunya ujian ini? Tidak cukupkah kita hanya beramal tanpa diuji oleh Allah? Jawapannya ialah, ujian itu tanda keimanan. Sejauh mana kita mampu redha dengan ujian yang menimpa kita itulah yang akan membezakan tahap keimanan kita kepada Allah. Ramai orang yang mampu mengaku yang mereka beriman dan tidak mensyirikkan Allah. Namun, bila ujian menimpa, bagaimana reaksi mereka? terduduk? mengeluh? menyalahkan? atau redha?. Firman Allah dalam Surah Al-Ankabut (29: 2-3):


Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?

Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.

Maka, mari sama-sama kita mengaudit diri, adakah kita benar-benar beriman kepada Allah?


Bila ditimpa ujian

Suka untuk saya mengajak rakan-rakan semua untuk mengingat kembali bagaimana reaksi kita bila ditimpa ujian? Mungkin ada di kalangan kita yang akan terus redha dan diikuti dengan muhasabah terhadap segala kekurangan diri sendiri. Di satu sisi yang lain, mungkin ada yang terus mengeluh dan tanpa sedar menyalahkan Allah di atas ujian yang menimpa kita. Adakah kita sedar apa yang telah kita ungkapkan di kala kesedihan menimpa diri?

Benar, bila emosi menguasai diri, mungkin kita jadi lupa tentang apa yang kita lafazkan atau lakukan. Tapi, mari kita renung sejenak, sebanyak mana ujian yang menimpa kita selama ini? Adalah ia sebanding dengan nikmat dan rahmat yang dikurniakan Allah?

Saya yakin, pasti jawapannya tidak bukan? Ujian yang menimpa kita barangkali hanya satu dalam seribu nikmat yang diberikan oleh Allah. Betapa sayangnya Allah kepada makhluknya, lantas ujian yang diturunkan terlalu sedikit berbanding rahmatnya.


Ujian tanda sayang

Pernahkah kalian mendengar kata-kata ini?

"Marah itu tandanya sayang"

Kita sering mendengar, ibu bapa yang marah anaknya bermain api itu sebenarnya tidak mahu anaknya mencederakan diri tanpa sedar. Guru yang menegur anak muridnya dia dalam kelas pasti sebenarnya mengharap kejayaan anak muridnya. Begitu jugalah Allah dalam menunjukkan kasih sayangNya pada makhluk. Ujian berupa "teguran" dari Allah. Boleh jadi ia sebagai peringatan buat kita mungkin terlalai dengan keseronokan dunia. Boleh jadi juga ia sebagai cara untuk Allah menyeru supaya kita kembali ingat padaNya dengan sebanyak-banyak ingatan.

Andai ibu bapa, guru atau sesiapa sahaja menegur kita kerana mereka sayang kepada kita, lebih-lebih lagilah Allah yang menciptakan kita. Pasti sang Pencipta mahu ciptaannya kekal dalam kebaikan dan kesejahteraan. Allah mahu kita terus istiqamah dalam kebaikan dan suka kepada kebaikan. Sebab itulah kita diuji....

Bersangka baiklah kepada Allah

Buat akhirnya, saya menyeru diri sendiri dan sahabat-sahabat sekalian untuk bersangka baik kepada Allah. Cubalah sama-sama kita menjadi orang yang diredhai Allah dengan bersyukur apabila menerima nikmat dan bersabar apabila diuji. InsyaAllah, moga Allah sentiasa memandu kita ke arah kebenaran. Dalam setiap ujian, pasti ada hikmah. Cepat atau lambat untuk kita menyedarinya itulah membezakan penerimaan kita bila diuji. Ingatlah ujian yang menimpa kita itu pasti sesuai dengan kemampuan kita. Andai kita buntu, mohonlah pada Allah moga diberi petunjuk.

Saya doakan urusan kalian dipermudah Allah. Doakan saya juga ya. Jazakillahukhayran kathira...

Wallahua'lam

cold night

No comments:

Post a Comment