Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillah syukur pada-Nya yang telah menciptakan alam penuh dengan kenikmatan buat manusia. Syukur juga masih dalam suasana tenang kehidupan tanpa sebarang ancaman keselamatan. Nikmat ketenangan yang mungkin kadang kala menjadikan kita lalai dan leka. Nikmat menghirup udara segar tanpa pencemaran bahan beracun.
Nikmat bahagia vs sengsara
Kali ini saya ingin berkongsi rasa yang saya alami apabila mendengar video tentang isu Palestin. Isu saudara kita di sana yang tidak pernah berkesudahan. Ia menyedarkan, mengingatkan dan membangkitkan rasa bahawa ia bukan hanya isu orang Islam tapi ia isu kemanusiaan.
Di sini link untuk sahabat-sahabat semua melihat video tersebut. Ambillah masa untuk memahami isu saudara kita. Mungkin dengan ini kita menjadi lebih faham lantas lebih prihatin pada nasib mereka di sana.
Di Palestin mereka mungkin sengsara pada pandangan mata kita, namun mereka bahagia kerana terpilih untuk menjadi syuhada di sisi Allah. Kita di sini mungkin tidak mampu mengerti nikmat penderitaan dan seksaan yang mereka alami. Namun, semua itu tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk terus berjuang ke jalan Allah.
Isu itu isu kita jua
Sedar atau tidak sebenarnya rakyat Palestin sedang memperjuangkan sesuatu yang sepatutnya kita semua sebagai ummat Islam perjuangkan. Tanggungjawab berat ini dipikul oleh saudara kita di Palestin. Usaha untuk mempertahankan kota suci Baitulmaqdis dilakukan oleh rakyat Palestin dengan penuh kesungguhan. Walaupun ada di kalangan mereka yang hanya menggunakan butiran batu untuk menghalang kemaraan tentera Zionis yang kejam, namun itu tetap mereka lakukan dengan penuh amanah.
Di sinilah sebenarnya persoalan utama perlu kita lontarkan buat diri sendiri;
"Di mana saya, anda, kita dan semuanya ketika ini?"
"Adakah kita turut membantu mereka dari segala sudut yang kita mampu lakukan?"
"Adakah kita hanya menjadi pemerhati bebas dan terus berpeluk tubuh melihat titisan darah terus mengalir di bumi suci Palestin?"
Cakap serupa bikin
Senarai persoalan boleh terus nyatakan, namun bukan itu tujuan saya menyuarakan. Tetapi yang lebih penting ialah'
"Apa TINDAKAN kita?"
Ya, "Whats next?"
Firman Allah SWT dalam Surah As-Saff (61: 2-3):
[61.2] | Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat? |
[61.3] | Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tiada kamu kerjakan. |
Tindakan. Itulah yang patut kita lakukan. Bukanlah semangat yang menjadi ukuran kefahaman kita tentang isu ini. Tapi tindakan kita yang lebih utama, supaya kita tidak menjadi hamba Allah yang cakap tidak serupa bikin.
Antara cara yang saya terfikir kita boleh lakukan sebagai tanda kita sedar dan prihatin dengan nasib saudara kita di Palestin ialah:
1. Membaca qunut Nazilah setiap kali kita berdoa.
2. Memberi bantuan kewangan setakat yang termampu. Berdasarkan video yang saya nyatakan di atas, bantuan berupa kewangan lebih baik supaya bantuan dapat diberi berdasarkan keperluan masyarakat di sana.
3. Menjadi sebahagian dari kumpulan sukarelawan yang menyumbang secara langsung kepada Palestin. Antara NGO yang boleh disertai ialah: Global Peace, Islamic Relief Malaysia, Muslim Care, MERCY dan pelbagai lagi.
4. Memberi kesedaran kepada keluarga, saudara mara dan rakan-rakan terdekat tentang isu ini.
5. Mendoakan kesejahteraan kepada seluruh ummat Islam terutamanya di Palestin.
6. Teruskan usaha memboikot barangan dari syarikat yang menyokong Israel.
Akhir kata, sama-samalah kita terus menambah kesedaran dan bertindak ke atas isu yang sangat relevan buat kita ummat Islam. Kekejaman yang tidak munasabah yang dilakukan oleh rejim Zionis ini mungkin tidak mampu kita hapuskan, namun kita ada senjata yang lebih kuat iaitu DOA. Teruskanlah berdoa, berusaha dan berikhtiar moga ada cahaya di hujung jalan ke atas krisis kemanusiaan ini. Moga Allah membantu saudara kita di sana, insyaAllah, biiznillah.
Doa buatmu saudara...
berhujung minggu di bilik
No comments:
Post a Comment