Saturday, 21 August 2010

Tanda kiamat: kaitannya dengan isu semasa


hari kiamat: jalan pengakhiran yang pasti tiba




Alhamdulillah, diizinkan Allah untuk berkongsi sekali lagi. Ramadhan yang sudah masuk separuh masa kedua terasa berlalu begitu pantas. Moga Allah merahmati kita semua dan menerima amalan-amalan yang telah kita lakukan.

Sahabat-sahabat sekalian,

InsyaAllah saya ingin berkongsi satu hadis yang saya baca dari e-hadis JAKIM;

Nabi s.a.w sabdanya: "Tidak akan berlaku saat kiamat sehingga orang yang tidak tentu saka bakanya, yang buruk akhlaknya, dan yang bodoh bebal, menjadi sebahagia-bahagia manusia dengan kesenangan dunia."
Huzaifah r.a

Bila membaca hadis ini, jelaslah perkara yang dinyatakan memang sudah dijanjikan akan terjadi, dan kita melihatnya kini.
Sedarkah kita bahawa kiamat itu kian hampir?
Kiamat itu pasti, banyak surah-surah dalam Al-Quran yang menyebut berkenaan hari penentuan ini. Semuanya memberikan gambaran bagaimana manusia akan dihimpunkan dan yang paling utama bagaimana manusia akan dihisab amalannya. Sebagai contoh dalam Surah Az-Zalzalah (99:1-8):

1. apabila bumi digegarkan Dengan gegaran Yang sedahsyat-dahsyatnya,

2. serta bumi itu mengeluarkan Segala isinya,

3. dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); "Apa Yang sudah terjadi kepada bumi?"

4. pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya:

5. Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian).

6. pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka.

7. maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

8. dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!


Permulaan ayat menyatakan tentang goncangan yang kuat akan berlaku sebagai tanda kiamat telah datang. Seharusnya, andai hati kita dipenuhi dengan keimanan yang tinggi kepada Allah, ayat-ayat ini akan menyentak hati sanubari kita. Namun, kadang kala kita menjadi lalai dan leka dengan kehidupan dunia yang sementara. Kelompok manusia yang akan dibangkitkan terdiri dari golongan yang untung dan rugi. Marilah kita bermuhasabah sejauh mana kita layak menjadi golongan yang untung di hari perhitungan nanti. Sebaliknya, fikirkan juga adakah kita akan tergolong dalam golongan yang binasa dan rugi?

Kenapa saya mulakan dengan menyebut berkenaan hari kiamat? Ini kerana apabila saya membaca berita saya lihat banyak sungguh berita yang menunjukkan bahawa manusia sudah memandang hari pembalasan sebagai perkara yang enteng. Seakan-akan ia tak akan berlaku. Sebagai contoh:

1. Gejala rasuah semakin menjadi-jadi walaupun pelbagai plan integriti dan hukuman yang berat telah dilaksanakan.

2. Jenayah bunuh menjadi perkara biasa, seperti manusia tidak gentar dengan balasan di dunia apatah lagi di akhirat kelak.

3. Gejala sumbang mahram yang semakin meningkat. Manusia seakan hilang rasa kasih dan kasihan sesama makhluk.

4. Isu buang bayi yang semakin parah, walaupun sudah dimasukkan sebagai kesalahan membunuh atau cubaan membunuh dengan hukuman yang lebih berat, namun ia tetap berlaku.

5. Banyak lagi senarai masalah sosial yang semakin berpanjangan tanpa ada satu penyelesaian konkrit dalam menghadapi masalah tersebut.

Dalam hadith yang saya nyatakan di atas, memang perkara tersebut sudah pun berlaku kini. Keturunan yang tidak jelas bakanya memang ada. Bila perlakuan zina terjadi, anak-anak tidak jelas nasab keturunan, maka lahirlah generasi yang tidak terdidik dengan landasan syariah.

Saya menulis bukan untuk menyalahkan, tapi lebih kepada mengajak kita untuk sama-sama merenung dan menilai apa peranan kita dalam membendung masalah ini. Mungkin jika kita bersendirian kita tak mampu untuk mengubah apa yang terjadi. Tapi, yakinlah sedikit usaha kita pasti dilihat oleh Allah dan beri balasannya, sama seperi ayat ketujuh Surah Az-Zalzalah di atas.

Saya menyeru diri dan sahabat-sahabat semua untuk menyampaikan kebaikan kepada orang lain. Paling tidak, ambil lah berkat Ramadhan yang mulia ini dengan banyakkan berdoa untuk kesejahteraan ummah.

"Wahai Tuhan selamatkan umat ini, dari kecelakaan dan segala kecelaan. Dari kebimbangan dan keluh kesah. Perkenankan doa kami ya Allah"

Akhirnya, kita juga yang akan hidup dengan masyarakat, andai kita tidak kisah untuk terus berada di kalangan masyarakat yang "sakit" rohaninya, maka biarkanlah. Jika tidak, bergeraklah, bertindak dan menyumbang setakat yang mampu, hatta sekadar memberi email kebaikan kepada orang lain. Moga Allah memberkati usaha kecil kita, ameen...

Wallahua'lam

cerah summer





No comments:

Post a Comment