Friday, 13 August 2010

Buku: Cinta di rumah Hassan Al-Banna_siri 1






Alhamdulillah sudah masuk hari ketiga umat Islam berpuasa. Cuaca di sini sejuk, mungkin tak terasa terlalu letih. Teringat bila masuk Ramadhan, pasti persoalan tentang berapa rakaat nak solat tarawikh muncul kembali. Soalan yang hanya hadir setahun sekali ini seringkali menjadi isu di kalangan ahli masyarakat. Ada satu peristiwa yang diceritakan di zaman Hassan Al-Banna (tokoh dakwah Islam moden). Ceritanya begini:

"Ada dua orang muslim yang datang bertemu Asy-Syahid Hassan Al-Banna dan bertanyakan persoalan tentang solat tarawikh. Mereka berdua berselisih pendapat tentang bilangan rakaat solaat tarawikh, mana yang lebih afdhal sama ada 8 atau 20 rakaat. Jadi, Asy-Syahid bertanya: "Apakah hukum solat tarawikh? Mereka menjawab sunat sunat muakkad (sangat dituntut). "Beliau bertanya lagi, "Apakah hukum menjaga silaturrahim?". Mereka menjawab wajib. Jadi, beliau membuat kesimpulan bahawa menjaga yang wajib itu lebih utama berbanding berbalah dengan perkara yang sunat. Maka, buatlah mengikut kemampuan masing-masing dan janganlah bertengkar tentang perkara itu"

Jelas, apa yang lebih utama ialah membuat ibadah dengan penuh ikhlas dan berkualiti tanpa menjadikan kuantiti sebagai perkara yang diutamakan. Tapi, andai dapat mampu beribadah dengan lebih banyak, sangat-sangat dialu-alukan. Ok, kembali kepada tajuk perkongsian hari ini iaitu tentang buku: "Cinta di rumah Hassan Al-Banna". Kenapa saya ingin berkongsi tentang buku ini? Sebab utama kerana keperibadian Asy-Syahid yang sangat baik. Saya mula mengenali tentang Hassan Al-Banna sejak sekolah menengah kerana di situlah saya diajar untuk membaca Al-Ma'thurat iaitu himpunan doa-doa yang diamalkan oleh Nabi SAW. Himpunan doa-doa ini telah dikumpul oleh Hassan Al-Banna dan terus diamalkan hingga kini.


Bercerita tentang buku ini, saya amat tertarik untuk membaca kerana cara penceritaannya yang santai dan menunjukkan contoh sebenar kehidupan tokoh dakwah ini. Buku ini dimulakan denngan contoh "Like father like son" yang ditunjukkan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz. Contoh tauladan yang diberikan kepada anaknya melahirkan anak yang mulia sifatnya. Dalam buku ini saya melihat dimensi baru tentang peranan suami atau bapa dalam mendidik. Cerita-cerita yang terdapat dalam buku ini disampaikan sendiri oleh anak-anak dan keluarga terdekat Hassan Al-Banna. Selama ini saya hanya mengetahui bahawa tugas mendidik itu peranan seorang ibu. Namun selepas membaca buku ini jelas karakter seorang bapa yang baik dapat membentuk anak yang soleh dan solehah.

Antara contoh cara didikan anak yang diamalkan oleh Hassan Al-Banna ialah:

1) Makan bersama yang menjadi keutamaan. Perkara ini walaupun nampak remeh, tapi sebenarnya satu slot penting dalam kehidupan harian berkeluarga. Dalam kesibukan, beliau tetap meletakkan keutamaan untuk makan bersama anak-anak.

2) Tidak menggunakan nada suara yang keras di rumah. Anak-anak menjadi patuh terhadap perintah dan bukan takut.

3) Beliau sentiasa memerhatikan perkembangan anak-anak beliau di mana setiap anak fail masing-masing. Di situlah beliau meletakkan semua rekod kesihatan, pelajaran dan apa jua perkara penting yang berkaitan semua anak-anaknya.

3) Membawa bekal makanan ke sekolah. Beliau membawa sendiri makanan untuk diberikan kepada anak-anak di sekolah.

4) Beliau juga sentiasa memastikan bekalan makanan yang mencukupi untuk keluarga. Beliau mempunyai catatan keperluan bulanan rumah kerana beliau tahu isterinya sibuk menguruskan rumahtangga.

5) Anak-anak patuh tanpa perlu diperintah. Ini kerana cinta tulus yang diberikan oleh Hassan Al-Banna kepada anak-anak menjadikan mereka taat kepada perintah hanya dengan nasihat yang diberikan olehnya.

6) Beliau memperuntukkan 3 jenis wang saku untuk anak-anak iaitu, harian, mingguan dan bulanan. Ini dilakukan supaya keperluan kewangan anak-anak mencukupi. Dengan cara ini, kita mengajar anak-anak untuk menabung tanpa perlu memintanya kembali dari anak-anak.

7) Beliau menunjukkan tauladan yang baik kepada anak-anak. Contohnya dalam hal bersedekah, beliau sering memberikan duit kepada anaknya dan menyuruh anaknya memasukkan dutit tersebut di dalam tabung masjid. Secara tidak langsung, anak-anak terdidik untuk rajin bersedekah.

Ok, setakat ini dahulu perkongsian tentang buku ini. Moga memberi manfaat buat kita. Andai masih belum berkeluarga, amalkan dalam kehidupan harian, moga bila tiba masanya, kita tahu cara didikan anak yang sesuai mengikut syariat.

Wallahua'lam



No comments:

Post a Comment