pergantungan biar utuh, jangan rapuh, hanya pada-Nya
Alhamdulillah dengan izin-Nya dapat saya berkongsi sedikit pandangan dengan sahabat-sahabat sekalian. Hari ini saya ingi berbicara tentang pergantungan kepada manusia dan pergantungan kepada Allah. Dalam masa yang sama saya ingin berbincang tentang kepentingan melihat perhitungan Allah dalam segala hal.
Rakan-rakan sekalian,
Dalam kehidupan harian, kita melihat sama ada diri kita atau orang di persekitaran cenderung untuk bergantung kepada manusia lebih dari pergantungan kepada Allah. Di sini timbul persoalan sejauh mana kita mengimani bahwa pergantungan kepada Allah adalah lebih aula berbanding bergantung kepada manusia?. Saya yakin bahawa kita semua menyedari hanya Allah pemegang hati manusia. Dia yang Maha Berkuasa memberi hidayah kepada manusia seperti maksud sebahagian ayat 142 dari Surah Al-Baqarah:
......"Kepunyaan Allah-lah Timur dan Barat; Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus"
Jelas dari ayat ini bahawa Allah berhak memberi hidayah pada insan yang dikehendaki-Nya. Begitulah sebaliknya, Allah mamou membiarkan kita dalam kesesatan. Dalam Al-Quran, kita melihat penceritaan tentang kaum Bani Israel yang sering diuji dengan ujian keimanan, yang mana mereka sering meminta untuk dibantu ketika ditimpa bencana dan berjanji untuk mentaati ajaran Nabi. Namun, akhirnya mereka kembali kufur. Di sini jelas menunjukkan mereke terlupa bahawa bukan manusia tapi pencipta manusia adalah lebih berkuasa.
Kembali kepada pegantungan kepada manusia yang melebihi pergantungan kepada Allah. Jika kita membaca akhbar atau menonton TV banyak dipaparkan gejala rasuah yang semakin berleluasa. Bukan setakat memberi dan mengambil rasuah, malahan sampai ke tahap membunuh kerana mahu menyembunyikan perbuatan terkutuk. Jelaslah kepada kita bahawa perbuatan jahat akan turut mendorong kepada perbuatan jahat yang lain. Anda boleh melihat berita-berita berkaitan rasuah di sini.
Jika kita mengambil gejala rasuah sebagai contoh, mengapa sebenarnya ia terjadi? Pada saya ia disebabkan hasrat untuk mencapai sesuatu matlamat dengan cara memuaskan tuntutan orang lain (penerima rasuah). Secara tidak langsung menunjukkan manusia lebih bergantung kepada manusia berbanding kepada Allah. Mereka menganggap manusia mampu memberi kesenangan yang hendak dicapai seperti harta, jawatan, tender perniagaan dan sebagainya. Di mana nilai diri manusia andai ia boleh dijual dengan harta? Sama-samalah kita fikirkan.
Berpeluang belajar di negara asing menungkinkan saya melihat pembangunan fizikal yang sangat pesat di negara ini. Namun, sayang sekali perkembangan fizikal ini tidak seiring dengan perkembangan rohani. Mereka maju dari segi luaran tapi tidak menjamin keadilan dan pembangunan sosial. Satu pengajaran yang boleh diambil ialah penghayatan agama sepatutnya selari dengan pembangunan luaran bukan tercicir atau dipinggirkan. Apabila kedua-duanya tidak selari, maka lahirlah manusia yang menjadi hamba kepada sistem, menjadi takut kepada manusia, melebihi takut dan harap kepada Allah, mementingkan tanggapan manusia lebih dari keredhaan Allah.
Akhir kata, marilah sama-sama kita menilai diri, pernahkah kita melakukan perbuatan yang melanggar syariatullah hanya untuk menyenangkan hati manusia sama ada kita sedar ataupun tidak? Mari kita sama-sama teguhkan pergantungan kita kepada Allah, kerana hakikatnya kita manusia yang akan kembali kepada Allahh. Di akhirat sana hanya penilaian Allah yang lebih utama, tiada lagi pangkat yang dikejar menjadi sandaran. Ingatlah di sisi Allah perhitungan-Nya hanya mengikut neraca iman dan amal yang menentukan nasib kita di hari tiada pergantungan pada yang lain.
ingatan buat diri jua...
No comments:
Post a Comment