Saturday, 21 August 2010

Pengalaman: solat berjemaah di perantauan




Alhamdulillah diizinkan Allah untuk terus hidup di bulan penuh barakah, Ramadhan. Rasa bersyukur diberi peluang untuk merasa berpuasa di perantauan. Jadi, kali ini saya ingin berkongsi pengalaman berpuasa di perantauan. Kali ini fokusnya, tentang solat berjemaah di masjid.

Umum mengetahui, solat berjemaah di masjid ganjarannya sangat besar. Ada 3 ganjaran yang diberi kepada muslim yang bersolat jemaah di masjid iaitu:

1. Diberikan pahala
2. Diampunkan dosa
3. Diangkat darjat di sisi Allah

Subhanallah besar sungguh ganjaran Allah bagi orang yang bersolat di masjid. Namun, kadang kala saya mempunyai dilema bila bersolat jemaah di masjid, iaitu persoalan saff. Bila hendak mula solat kita pasti mendengar imam menyeru makmum merapatkan saff. Tapi sejauh mana kita benar-benar melaksanakannya sebagaimana dituntut? Sedang di zaman sahabat dahulu kepentingan merapatkan saff sangat ditekankan hingga pedang digunakan untuk meluruskan saff.

Berada di perantauan membantu saya untuk merenung dan menilai masyarakat di sini. Bukan tujuannya untuk membanding keadaan di Malaysia dengan keadaan di sini. Tapi yang paling penting mengambil ibrah pada setiap apa yang saya lihat. Setiap kejadian Allah itu pasti ada hikmah yang perlu dipelajari dan diambil pengajaran. Jemaah di masjid terdiri dari pelbagai latar belakang baik dari segi umur, budaya dan bangsa. Namun semuanya bersatu hati, Alhamdulillah. Dari segi solat berjemaah, saya lihat mereka begitu menekan hal merapatkan saff. Sesuai dengan Firman Allah dalam Surah As-Saff (61:4):

4. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela ugamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan Yang tersusun kukuh.


Allah mencintai hamba-Nya yang teratur dan tersusun. Begitulah yang saya lihat di sini, masalah saff tidak menjadi perkara utama.

Perkara kedua tentang membawa anak-anak bersolat di masjid. Apa yang saya perhatikan, pihak masjid menyediakan satu bilik khas yang "kalis bunyi" khusus untuk para ibu yang membawa anak kecil. Alhamdulillah ia memberi peluang kepada ibu untuk berjemaah di masjid. Bila difikirkan, jika di rumah, tentulah para ibu berasa penat untuk melakukan solat tarawikh bersendirian dan mungkin juga perlu menjaga anak-anak. Namun, bila ruang ini disediakan, bukan sahaja ibu malahan anak-anak diberi peluang untuk mendekatkan diri kepada masjid. Bila anak-anak ini telah terdedah dengan persekitaran masjid sejak kecil, tentu mereka sudah terbiasa apabila dewasa kelak.

Pendekatan kita di Malaysia mungkin berbeza. Anak-anak tidak dapat dikawal dengan baik. Kadang kala ada juga yang dimarahi kerana bising semasa jemaah sedang bersolat. Kanak-kanak itu tidak boleh disalahkan sepenuhnya kerana memang fitrah mereka sebagai kanak-kanak yang suka bermain. Mungkin pendekatan alternatif boleh dilakukan seperti menyediakan bilik khas untuk anak-anak ini. Di dalam bilik ini anak-anak boleh diajar tentang solat atau mengaji Al-Quran. Saya teringat tentang kisah adik Muhammad yang menjadi finalis Akademi Al-Quran 4. Adik Muhammmad menurut ayahnya telah dibiasakan untuk mengerjakan solat di masjid sejak umur 4 tahun lagi, lihatlah hasilnya apabila anak-anak dididik dengan kebaikan sejak kecil.


adik Muhammad dan keluarganya


Benarlah, bila dari kecil sudah terbiasa membuat kebaikan, ia akan menjadi tabiat. Saya pernah melakukan solat tarawikh yang diimamkan oleh adik Muhammad. Subhanallah lancar sungguh hafazan beliau. Moga beliau menjadi contoh terbaik kepada adik-adik yang lain.

Seterusnya, amalan bersedekah yang sangat digalakkan di sini. Setiap kali selepas solat tarawikh, AJK masjid akan mengumumkan pelancaran tabung untuk memberi peluang jemaah bersedekah. Dari tabung untuk Pakistan, hingga kepada tabung persatuan Islam universiti dan untuk penambahbaikan masjid. Anak-anak kecil diberi peluang untuk memasukkan duit ke dalam tabung. Secara tak langsung mengajar mereka untuk memberi bukan setakat menerima sahaja.

Semua pengalaman ini akan saya jadikan pengajaran, mana yang baik bolehlah dilaksanakan. Moga Allah berkati usaha kita semua yang suka dan menyokong kebaikan, InsyaAllah.

Wallahua'lam

hamba-Mu yang lemah



No comments:

Post a Comment