Bismillahirrahmanirrahim
Segala puji hanya layak bagi Allah, Tuhan pencipta alam maya. Alhamdulillah berpeluang bertemu bulan rahmat ini sekali lagi. Doa untuk terus dipanjangkan umur agar bertemu bulan ini dikabulkan Allah. Tahun ini tahun pertama saya berpuasa di perantauan. Sedih? Ada juga sikit-sikit perasaan itu. Jumaat lepas semasa solat Jumaat, banyak sungguh pengumuman dibuat berkaitan aktiviti yang bakal dijalankan di masjid di kawasan yang saya tinggal. Bersyukur kerana masjid digunakan dengan optimum. Sebelum Ramadhan lagi institusi masjid di sini sangat hidup dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan semua lapisan umur. Dari kelas mengaji hingga ke latihan bola. Kelas tajwid hingga kem untuk remaja.
Hari ini apabila saya ke sekolah seorang rakan dari Arab Saudi menegur saya dengan wajah gembira dan mengucapkan "Ramadhan Kareem, Ramadhan Mubarak". Jelas kegembiraan di wajahnya. Pelik saya pada mulanya. Budaya begini tak pernah saya lihat sebelum ini. Gembira untuk bertemu Ramadhan, masyaAllah sangat mengharukan. Saya terfikir baik juga andai budaya ini turut disemai di kalangan rakyat Malaysia. Bukan hanya gembira bila tiba Aidilfitri.
Puasa di sini agak mencabar, hampir 15 jam. Dari 5.30 pagi hingga 8.45 malam. Mungkin tak jauh berbeza dari Malaysia. Tapi, pada bulan Jun dan Julai pernah mencatatkan waktu Maghrib yang hampir pukul 10 malam!. Hakikatnya, Allah itu Maha Adil, cuaca di sini tak terlalu panas, jadi tak terasa penat sangat. Bila melihat kejadian empat musim yang Allah ciptakan jelas kebijaksanaan Allah dalam mengatur alam, Allahuakbar!. Di sini, kami solat tarawikh 8 rakaat beserta witir. Solat tarawikh agak lambat dalam pukul 10.20 malam, tapi tidak mengambil masa terlalu lama.
Itu sahaja perkongsian tentang puasa semasa musim summer ini. Mungkin tak ada bazar ramadhan yang menyediakan pelbagai makanan lazat, namun Alhamdulillah dengan rezeki yang ada. Bersyukur dapat peluang untuk memasak sendiri untuk juadah berbuka. Moga amalan kita diterima, mari muhasabah hasil amalan di hari pertama. Moga amalan kita berkadar langsung dengan pertambahan bilangan hari berpuasa dan akhirnya menjadikan diri insan yang bertaqwa. taqwa itu di hati dan terlahir dari perbuatan. Mari rebut peluang keemasan ini!
Wallahua'lam
No comments:
Post a Comment