mari imarahkan masjid
sumber: Mosque by ~polatsamuk
Sahabat-sahabatku,
Cubalah kita berfikir sejenak, selama mana masa diperuntukkan untuk program yang berunsur agama atau nasihat yang dipaparkan di dalam media massa? Baik dalam surat khabar, televisyen, internet dan pelbagai media lain, hanya sedikit ruang dan peluang yang diberikan untuk mengajak manusia bergerak ke arah kebaikan. Jadi, tak perlulah kita menjadi pelik apabila kita sering mendengar peningkatan dalam gejala sosial yang berlaku di negara kita. Dalam buletin utama dipaparkan tentang gejala seks bebas di kalangan remaja. Generasi yang diharapkan menjadi pelapis kepimpinan negara nampaknya lemah dari dalaman, mudah digoyahkan dalam keseronakan yang sementara. Sebenarnya saya sedih bila memikirkan hal ini, lebih-lebih lagi bila memerhatikan ramainya remaja Muslim yang terlibat dalam masalah sosial. Di mana silapnya? marilah kita bertanya pada diri sendiri.
Berpeluang belajar di negara asing mengajar saya erti kehidupan. Melihat pergaulan bebas di kalangan penduduk setempat membuatkan saya terfikir, goyangnya iman manusia tanpa berpegang pada agama. Itu tiang kita. Bila roboh atau tidak dibangunkan, buruk padahnya. Melihat kesannya pada sakhsiah manusia membuktikan bahawa Islam sahajalah yang mampu membentuk manusia menjadi manusia yang sebenar, sesuai dengan tujuan hidup sebagai khalifah.
Kembali kepada program Imam Muda yang baru berakhir semalam. Imam Muda Asyraf berjaya mendapat tempat pertama. Di sebalik program ini saya melihat pentinganya generasi muda didekati dengan pendekatan alternatif yang dekat dengan diri mereka. Cara Imam Muda Asyraf yang bermain futsal dengan anak-anak muda dan bersolat di gelanggang futsal adalah pendekatan terbaik untuk masuk dengan anak muda. Sebenarnya, masyarakat perlu diajar untuk berfikir dengan lebih kritikal. Bukan hanya pemikiran mudah dan singkat. Program Imam muda membuktikan bahawa adanya golongan muda yang bersemangat menyampaikan kebaikan. Penyertaan di kalangan orang muda memberi peluang kepada mereka bukan sahaja untuk menimba ilmu tapi terjun terus untuk mendekati masyarakat. Ruang lingkup tugasan imam juga telah diperluas bukan sahaja di dalam masjid tetapi terus mendekati masyarakat.
Sebenarnya kalau difikirkan semasa zaman Nabi SAW masjid menjadi one stop point untuk pelbagai program, bukan sekadar yang berunsur agama semata-mata. Urusan perniagaan, mesyuarat, majlis ilmu dan pelbagai lagi diadakan di masjid. Andai kita dapat melakukan perkara yang sama, pasti kesatuan ummah akan tercapai, InsyaAllah. Masjid boleh menjadi medium untuk bermasyarakat, menjadi gedung ilmu pada pelajar bukan sekadar tempat untuk bersolat. Imam-imam muda yang ada di Malaysia sebenarnya berperanan penting untuk mengubah paradigma tradisional tentang fungsi masjid. Gunakan kekuatan minda dan idea yang bernas untuk mengajak lebih ramai umat Islam ke masjid. Sesungguhnya jika hati generasi muda ini terikat dengan masjid, InsyaAllah pertahanan dalaman mereka pasti akan kukuh dan mampu membendung diri mereka dari terjebak dengan perkara yang buruk.
Sahabat-sahabatku,
Saya menyeru pada kalian, andai ada idea atau pendekatan alternatif yang mampu membawa kebaikan pada orang lain, lakukanlah! Walaupun sedikit usaha yang kita lakukan hatta menghantar email kebaikan kepada orang lain mampu mengubah kehidupan orang lain. Ingatlah, Allah sahaja pemegang hati kita, hanya Dia pemberi hidayah. Allah tidak melihat hasil perbuatan kita tapi usaha yang kita titipkan untuk menyampaikan kebaikan. Kita akan dipertanggungjawabkan atas perbuatan kita. Moga kita tergolong dalam kumpulan yang diberkati bukan yang dimurkai Allah..ameen.
mari sama-sama sampaikan dan sebarkan kebaikan!
malam summer
No comments:
Post a Comment