Alhamdulillah, dapat sampai ke penghulu segala hari. Dalam deras waktu yang berlalu ada banyak ibrah yang Allah sediakan buat hamba-Nya yang mahu berfikir. Saya berdoa agar kita semua digolongkan di kalangan orang yang dibuka mata hati untuk melihat setiap kurniaan-Nya.
Sambutan Eid
Hari ini 24 Syawal 1432 hijrah. Masih ada baki empat hari sebelum bulan Syawal melabuhkan tirai. Mungkin ada lagi sambutan Eid yang berbaki di tempat kalian. Begitu juga saya di sini, hujung minggu ini ada lagi sambutan Eid dianjurkan oleh segelintir kawan-kawan.
Sambutan Eid bersama rakan-rakan seagama dan dari latar belakang berbeza saya kira boleh menjadi satu peluang untuk berkongsi. Ada beberapa kawan-kawan yang bertanya tentang sambutan Eid, raya haji dan soalan-soalan lain berkaitan. Agak sukar juga hendak terangkan terutama bila bukan dalam bahasa ibunda. Tapi Alhamdulillah saya dan rakan-rakan lain cuba terangkan dalam bahasa yang mudah. Moga Allah beri hidayah kepada mereka.
Hidup sebagai golongan minoriti sebenarnya banyak mengajar saya untuk sentiasa bersedia dengan pelbagai persoalan dari bangsa lain. Mereka juga menjadi target untuk dakwah. Saya berdoa agar dapat menunjukkan contoh yang baik terutama dari segi akhlak. Bukankah Rasulullah SAW mampu menarik ramai mad'u hasil dari kemurniaan akhlak baginda? Jadi, menjadi seruan bagi kita untuk meneruskan tugas itu di muka bumi ini. Moga Allah beri kekuatan untuk kita berdakwah dengan kapasiti masing-masing.
Ramadhan di Makkah
Dalam ramai-ramai yang hadir dalam sambutan Eid itu sempat saya berborak dengan seorang teman yang berasal dari Makkah. Saya ada bertanya tentang bagaimana sambutan Ramadhan di sana.
"Tersangat ramai" katanya. Impresi yang sudah saya agak. Melihat rancaknya pakej Ramadhan di Makkah yang dianjurkan di Malaysia, pastinya jemaah yang mengerjakan umrah di bulan mulia juga ramai.
Kawan saya itu tinggal berhampiran tanah haram. Katanya hanya sejam dari rumahnya. MasyaAllah dekat sungguh! Beruntung sungguh dia.
Apa pun, saya yakin bila kita tinggal berjauhan dari tanah haram pastinya usaha yang kita letakkan untuk sampai ke sana akan dipermudah Allah, InsyaAllah. Mungkin ia boleh menjadi pembakar semangat untuk kita semua berusaha untuk sampai ke sana.
"Kenapa tidak pergi haji tahun ini?" tanya sahabat saya itu.
"Erm...saya pergi dari Malaysia rasanya" jawab saya ringkas.
Saya bertanya lagi, "Kalau penduduk asal Makkah boleh kerjakan haji berapa kali?"
"Untuk wanita lima tahun sekali, kalau lelaki boleh pergi setiap tahun" jawabnya.
Seronok sungguh, lima tahun sekali!
Panggilan itu
Panggilan untuk mengerjakan umrah dan haji itu wajib bagi semua umat Islam yang berkemampuan. Saya yakin sahabat-sahabat semua pasti turut merasainya. Ya Allah, saya berdoa agar diberi izin Allah untuk menjadi tetamunya. Saya berdoa kita semua terpilih menjadi tetamunya jua.
Bagaimana rakan-rakan semua? Jom rancang untuk mengerjakan ibadah ini dalam usia muda, dalam keadaan kita masih kuat dan mampu dari sudut kewangan. Bagi urusan haji, jangan lupa menabung, insyaAllah satu hari nanti sampai juga masa kita. Tanamkan azam untuk ke sana, tanah barakah tempat terbaik untuk berdoa dan beramal.
Ya Allah sampaikan aku ke sana, begitu juga semua keluargaku dan sahabat-sahabatku, ameen. Buat sesiapa yang akan ke tanah haram, doakan moga orang lain berkesempatan ke sana.
rindu Baitullah....
wallahua'alam
cerah cuaca
No comments:
Post a Comment