Monday, 24 May 2010

Merancang, pentingkah?




mulakan langkahmu

sumber: Step By Step by ~ofirk


Apa khabar sahabat semua? Moga sentiasa dalam redha-Nya yang seharusnya menjadi tujuan utama hidup kita. Alhamdulillah kali ini saya ingin berkongsi sedikit ilu yang saya peroleh semasa menghadiri kursus baru-baru ini.

Bila cakap tentang ilmu pengurusan, mungkin ada yang terfikir, apa pentingnya kepada manusia? Kenapa perlu kita ambil endah tentang ilmu ini. Bukankah orang-orang yang kerja bahagian pentadbiran sahaja yang perlu ambil tahu?

Sebelum bermula, saya menyeru sahabat-sahabat semua untuk kembali merenung dan melihat apa tujuan kita dihidupkan ke muka bumi ini. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah (2:30):

dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang Yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih Dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa Yang kamu tidak mengetahuinya".

Ayat ini menunjukkan Allah menjadikan manusia untuk menjadi khalifah. Jadi sahabatku, adakah pantas bagi seseorang yang perlu menjadi ketua sekurang-kurangnya kepada dirinya sendiri untuk tidak merancang? Hidup tanpa haluan? Mengikut arus deras dunia? Tidak sama sekali. Firman Allah dalam Surah As-Saff (61:4):

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela agamaNya, Dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh”.


Lihat sahabatku, Allah menyeru kita untuk sentiasa berperancangan, berpanduan bagi menghasilkan kualiti kerja yang cemerlang. Mungkin ada sahabat yang terfikir, buat perancangan memanglah mudah, tapi hendak ikut perancangan itu yang lebih mencabar. Macam kata orang masa kini “cakap tak serupa bikin”. Adakah kita termasuk dalam golongan ini? Nau’zubillahi min zalik. Ingatlah firman Allah dalam Surah As-Saff (61: 3):

“amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya”.


MasyaAllah, besarnya kebencian Allah bagi orang yang tidak melakukan apa yang dikatakan. Ini satu muhasabah yang sangat besar buat kita. Acap kali kita berazam semasa tahun baru. Namun, pernahkah kita menilai sejauh mana kita bergerak ke arah merealisasikan azam itu? Atau adakah ia hanya kiasan kata, hiasan terpampang di dinding bilik semata? Saya mengingatkan diri yang alpa ini juga. Kita banyak bercakap, banyak merancang, tapi mungkin kurang bertindak, bergerak, menilai dan mengubah apa yang salah.


Oleh itu, saya ingin berkongsi tentang pengajaran yang saya dapat dari hal merancang ini. Apa yang penting ialah tahu KEUTAMAAN. Tidak guna menyenaraikan 10 tugasan untuk dibuat dalam masa sehari. Pada hakikatnya kita sendiri tahu kita tidak mampu melaksanakannya. Namun, bukanlah tujuan saya untuk memperkecilkan kemampuan sahabat untuk menyiapkan banyak kerja dalam satu masa. Tetapi saya sekadar mencadangkan agar kita menilai apa yang utama dan bergerak untuk melaksanakan kerja kita sebaik mungkin.


Jadi dalam hal ini bolehlah kita membahagikan kerja kita kepada 4 bahagian iaitu:

Penting dan perlu segera (important & urgent)

-kerja yang melibatkan “deadline”, ada tarikh akhir untuk disiapkan

Penting dan tapi perlu segera

-kerja yang tidak ada deadline

Tidak penting tapi perlu segera

-deadline dari orang lain (contohnya: kawan minta tolong siapkan sesuatu kerja)

Tidak penting dan tidak perlu segera

-kerja yang tidak bantu kita capai matlamat, contohnya membeli belah barang yang tidak membantu kita dalam melaksanakan kerja yang telah dirancang.


contoh: perancangan mingguan


Dari keempat-empat kotak ini, kita boleh menumpukan perhatian kepada kotak pertama. Bekerja berdasarkan matlamat sangat membantu kerana kita boleh mengukur hasilnya nanti. Tetapkan matlamat anda setiap hari. Ya, setiap hari. Caranya ialah:

  1. Tulis dalam diari atau buku nota tentang perkara yang akan anda lakukan setiap hari sepanjang minggu.
  2. Ingat kembali perkara tersebut sebelum tidur atau pada waktu pagi supaya minda terarah untuk bergerak melaksanakannya.
  3. Nilai kembali pencapaian anda dalam seminggu.
  4. Jika kurang berjaya untuk menyiapkan tugasan, bawa tugasan tersebut ke minggu berikutnya. Tapi, jangan jadikan ia sebagai alasan untuk bermalas-malasan ye.
  5. Katakan pada diri anda boleh ikut apa yang anda rancangkan. Yakinlah anda mampu patuh pada diri sendiri.
  6. Minta bantuan kawan untuk jadi “reminder” buat kita, minta dia menggesa kita supaya kita siapkan juga kerja jita terutamanya jika kerja tersebut tergolong dalam kotak 1.
  7. Berdoalah kepada Allah yang memegang hati supaya kita istiqamah dalam beramal dan tetap dalam melaksanakan kerja yang telah dirancang. Ini penting supaya kita tidak tergolong dalam golongan yang dibencinya iaitu cakap tak serupa bikin.

Sekian dahulu perkongsian saya, moga sama-sama kita dapat berubah ke arah hidup yang berperancangan. Ingatlah sahabatku, masa depan itu semestinya milik Allah dan sentiasa di bawah pengetahuan-Nya, tapi kita dibekalkan akal untuk berusaha, bergerak, bertindak..maka gunakan ia, sekuat mungkin selagi terdaya..jadilah insan yang kuat dan mantap ibarat bangunan yang kukuh kerana asasnya terbina dengan berperancangan…

Wallahua’lam

Ilmu-iman-amal = redha Allah

No comments:

Post a Comment