Sunday, 9 May 2010

Kata-kata Hikmah Saidina Ali bin Abi Talib K.W.H: bahagian 1


Alhamdulillah bersyukur diberi peluang berada di bumi Allah pada hari ini. Moga sahabat-sahabat sentiasa dalam rahmat dan perlindungan Allah selalu.

InsyaAllah hari ini saya akan berkongsi Kata-kata Hikmah Saidina Ali bin Abi Talib K.W.H dari buku yang saya beli kedai buku Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir semasa berkesempatan berjaulah ke Mesir.



Sebelum saya bermula, eloklah kiranya kita membetulkan niat dalam setiap amalan yang kita lakukan, moga Allah sentiasa memberkati amalan yang kita lakukan. Amalan membersihkan hati atau tazkiyatun nafs amatlah dituntut supaya amalan yang dilakukan bersih dari unsur-unsur kejahatan kerana hawa nafsu sentiasa membelenggu hati manusia. Seperti firman Allah dalam Surah Yusuf (12:53):

"Dan tiadalah Aku berani membersihkan diriku; Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang Yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Pembersihan hati juga dapat membantu kita untuk melahirkan rasa takut untuk melanggar perintah Allah seperti firman-Nya dalam Surah An-Nazi'at (79:17-19):

17. (lalu diperintahkan kepadanya): "Pergilah kepada Firaun, Sesungguhnya ia telah melampaui batas (dalam kekufuran dan kezalimannya);

18. "Serta Katakanlah kepadanya: `Adakah Engkau suka hendak mensucikan dirimu (dari kekufuran)?

19. `Dan Mahukah, Aku tunjuk kepadamu jalan mengenal Tuhanmu, supaya Engkau merasa takut (melanggar perintahNya)? ' "

Sebelum bermula, marilah sama-sama kita kenali salah seorang khalifah Islam, iaitu Saidina Ali bin Abi Talib Karamallahuwajhah.

Merujuk kepada nasab keturunannya, Saidina Ali merupakan sepupu kepada Rasulullah SAW. Beliau juga merupakan menantu Nabi SAW kerana mengahwini puteri Nabi SAW iaitu Saiditina Fatimah Az Zahra RA. Hasil perkongsian hidup mereka berdua, lahirlah dua orang cahaya mata iaitu Muhammad Al-Hasan RA dan Abdullah Al-Husain RA.

Menurut pendapat kebanyakan ulama', Saidina Ali merupakan kanak-kanak pertama yang menganut Islam, iaitu pada hari kedua kerasulan Nabi SAW ketika berusia 10 tahun.

Saidina Ali juga merupakan Khalifah Ar-Rasyidin yang keempat dan khalifah pertama dari keturunan Bani Hasyim. Beliau dilantik menjadi khalifah selepas peristiwa pembunuhan Saidina Uthman RA pada bulan Zulhijjah, tahun 35 hijrah.


Buku 400 kata hikmah ini disusun mengikut huruf jawi dari Alif hingga Ya, jadi saya akan mulakan dengan kata-kata yang bermula dari huruf alif (tapi saya nyatakan terjemahan atau maksud sahaja ye) dan ulasan yang diberikan untuk kata-kata tersebut. Ok, sekarang saya akan berkongsi tentang kata-kata hikmah Saidina Ali bin Abi Talib Karamallahuwajhah:

Alif:

1) Perkara yang perlu ada bagi kepimpinan ialah sikap berlapang dada.

Ulasan: pemimpin yang tidak bersikap demikian merupakan pemimpin yang kurang bijak dan tidak layak memegang kepimpinan.
2) Orang yang paling bakhil dalam urusan hartanya ialah mereka yang terlalu pemurah dalam menggadaikan maruah dirinya.

Ulasan: tiada yang lebih berharga dalm hidupnya melainkan harta sehingga maruah dirinya sanggup digadaikan demi mempertahankan harta daripada jatuh ke tangan orang lain.

3) Orang yang paling jauh bermusafir ialah mereka yang sedang mencari seorang sahabat yang disukainya.

Ulasan: kerana sahabat sedemikian amat susah ditemui.

4) Seseorang hamba itu begitu jauh dari Allah SWT apabila ia mementingkan perut dan tuntutan nafsunya.

Ulasan: kerana orang yang hanya mementingkan perut dan nafsu tergolong dalam golongan haiwan yang tidak berakal.

5) Takutlah kamu daripada melakukan maksiat pada makhluk Allah SWT kerana sesungguhnya yang menyaksikan perbuatan adalah hakimya.

Ulasan: hakim di sini ialah Allah.


Ok, setakat ini dahulu, moga diizinkan Allah untuk berkongsi lagi tentang kata-kata hikmah ini. Terima kasih buat penulis buku: Hj. Nik Azran Muhamed kerana usaha yang dilakukan untuk mengumpulkan kata-kata hikmah ini untuk menjadi bacaan umum.

Sebelum berundur saya ingin berkongsi doa dengan sahabat-sahabat sekalian:

Doa Memohon Kecintaan Allah (antara doa Nabi Daud AS):

"Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu akan kecintaan-Mu dan kecintaan orang yang mencintai-Mu dan kecintaan amalan yang membawaku sampai kepada kecintaan-Mu. Ya Allah ya Tuhanku, jadikanlah cinta kepada-Mu sesuatu yang sangat aku cintai lebih daripada diriku, hartaku, keluargaku dan air yang dingin"

Wallahu'alam..

malam yang tenang...





2 comments: