sumber: Colors of Life by =perfectmortal
Alhamdulillah, Alhamdulillah masih berpeluang berada di muka bumi Allah. Bersyukur itu perkara yang senang diungkap, namun agak sukar untuk dihayati. Setiap hari kita menikmati rahmat yang Allah berikan, kadangkala kita kurang berpuas hati dengan kehidupan. Hari yang berlalu dibiarkan sahaja. Masa yang diamanahkan dibiarkan tanpa terkesan tentang pemergiannya. Mungkin kerana nikmat yang Allah berikan adakala bukan perkara zahir, maka kita sering terlupa.
Sahabat-sahabat sekalian,
Suka saya berkongsi satu ayat dari Surah Ibrahim (14:7):
7. dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan Demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar Sesungguhnya azabKu amatlah keras".
Lihatlah, betapa kasihnya Allah kepada kita, Allah berjanji akan menambah nikmat-Nya kepada kita dengan syarat kita bersyukur. Atas kasih-Nya jugalah Dia mengingatkan kita agar tidak kufur dan ingkar supaya tidak mendapat azab yang pedih. MasyaAllah betapa besarnya kasih sayang Allah kepada makhluknya. Alangkah rugi jika kita tidak dapat merasai sendiri kasih sayang ini.
Sahabatku,
Suka saya menyeru diri dan rakan-rakan supaya kepada kepada hakikat penciptaan kita di dunia ini. Bukan harta menjadi matlamat. Bukan pangkat yang wajar dikejar. Tapi hakikat kita ini HAMBA yang secara asalnya perlu patuh pada tuannya, Allah SWT. Ya, kita sudah berjanji kepada Allah, bahkan setiap kali solat kita mengulanginya dalam doa Iftitah:
"sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah Tuhan semesta alam"
Janganlah kita tergolong dalam golongan yang dimurkai-Nya, nauzubillahi min zalik. Hidup kita ini amat memerlukan Allah sedang Allah tidak memerlukan kita. Tidak berkurang satu pun dari milik Allah apabila kita mendapat rahmat. Namun kita, jika tidak diberi hidayah, maka jauhlah kita dari jalan-Nya. Berdoalah, merayulah, kembalilah ke dalam diri. Kenali diri, asal dan tujuan penciptaan kita. Saya doakan agar kita sentiasa berusaha menambahbaik amalan dan ibadah seharian. Belajarlah untuk menghargai hidup dan bersyukur setiap waktu. Moga tergolong dalam golongan yang Allah redha, kerana itulah matlamat utama hidup kita.
Wallahua'alam
summer night
sama-sama kita hayati lagu ini: Opick feat Amanda "Alhamdulillah"
No comments:
Post a Comment