Sunday, 20 June 2010

Kata-kata Hikmah Saidina Ali bin Abi Talib K.W.H: bahagian 4





Alhamdulillah diizinkan Allah bertemu sekali lagi, dalam kesibukan arus dunia, saya rasa malu jika tidak mampu meluangkan sedikit masa untuk bermuhasabah diri. Kadangkala kita menjadikan alasan sibuk sebab sebab utama untuk lupa mengingatkan diri. Moga kita tidak tergolong dalam golongan yang Allah tidak redha. Iman kalau tidak diperbaiki akan lemah juga ibarat kapak yang tidak diasah akhirnya akan tumpul dan berkarat.

InsyaAllah hari ini saya akan menyambung pengisian dari buku: Kata-kata Hikmah Saidina Ali bin Abi Talib K.W.H. Kali ini bermula dari kata-kata hikmah ke 21 (huruf alif). Bagi yang baru membaca boleh rujuk bahagian-bahagian sebelum ini dalam topik perkongsian buku:

21: Apabila Allah ingin menghilangkan sesuatu nikmat daripada hambanya, yang mula-mula sekali ditarik balik oleh Allah ialah akalnya.

22: Apabila Allah ingin menimpakan ujian ke atas seseorang hamba berbentuk musuh yang tiada sifat belas kasihan, maka Allah akan mengujinya dengan orang yang berhasad dengki.


23: Apabila terlalu banyak jawapan, maka akan hilanglah kebenaran.

24: Apabila engkau ingin mengambil seorang lelaki sebagai sahabat, maka hendaklah engkau melihat siapa musuhnya.


25: Apabila engkau tidak inginkan sesuatu maka hendaklah engkau tinggalkan dan hendaklah engkau ambil apa yang dihajati olehmu.


26: Apabila engkau ingin mengambil seorang lelaki sebagai sahabat, maka hendaklah engkau memarahinya, sekiranya dia masih memberi layanan yang baik ketika itu, maka bersahabatlah dengannya. Apabila berlaku sebaliknya maka tinggalkanlah dia.

Ulasan: kerana perangai seseorang hamba sama ada baik atau buruk akan zahir semasa dalam keadaan marah.

27: Apabila manusia memuliakanmu kerana harta dan kuasa, maka janganlah engkau berbangga kerana kemuliaan tadi akan hilang apabila hilang kedua-duanya. Akan tetapi hendaklah hendaklah engkau berbangga sekiranya manusia memuliakanmu kerana agama atau tingkah lakumu yang baik.

28: Apabila Allah ingin menghina seseorang, maka Allah akan mengharamlan ilmu ke atas dirinya.


29: Apabila Allah inginkan kebaikan bagi seseorang hamba, maka Allah akan menyekat dirinya daripada hawa nafsunya dan memisahkan dirinya daripada hatinya. Apabila Allah mahukan kejahatan baginya, maka Allah akan menyerahkan kejahatan kepada dirinya.


30: Apabila musuh engkau datang meminta pandangan, maka hendaklah engkau terus memberikan nasihat kepadanya, kerana kehadirannya untuk mendapatkan pandangan tersebut adalah tanda dia tidak lagi memusuhimu bahkan sudah hampir untuk mengasihimu.


Sahabat-sahabat sekalian,

kebanyakan kata-kata hikmah di atas melibatkan hal persahabatan. Betapa pentingnya untuk kita bijak dalam memilih sahabat. Jika baik sahabat, maka kita juga akan cenderung ke arah kebaikan, namun begitu jugalah jika sebaliknya. Marilah kita sama-sama membina ukhwah dan terus memperbaiki diri untuk menjadi sahabat yang terbaik untuk orang lain. InsyaAllah kebaikan akan terus bersama-sama kita.

Wallahua'lam

pagi yang cerah

No comments:

Post a Comment