Sunday, 13 June 2010

Bila kamu marah

kawal marahmu
sumber:
Angry by ~Tarelkin


Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, bersyukur pada Allah atas segala nikmat kurniaan Allah. Apa khabar sahabat semua hari ini? Moga iman dan amal sahabat sentiada terpelihara dan meningkat seiring masa. Dalam hidup ini kita berdepan dengan banyak cabaran dan dugaan. Kadangkala cabaran itu menyulitkan kehidupan kita dan akhirnya menghasilkan perasaan marah. Kita sering marah dan kurang berpuas hati dengan apa yang kita miliki. Suka saya berkongsi isi ceramah Nouman Ali Khan bertajuk "Controlling anger" berkenaan mengawal perasaan marah. Dalam ceramah itu beliau menerangkan firman Allah dalam Surah Asy-Syura (42:36-37);

36. oleh itu, apa jua yang diberikan kepada kamu, maka ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja, dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah (dari pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang Yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya;

37. dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya;

Sahabat-sahabat sekalian,

Daripada ayat di atas ingin saya berkongsi beberapa pengajaran yang dapat saya kenalpasti:

  1. Nikmat hidup yang diberikan kepada manusia di dunia hanyalah pemberian sementara dan menjadi ujian buat manusia.
  2. Allah adalah sandaran terbaik buat manusia, apabila kita menjadi marah akibat kehilangan nikmat di dunia seperti tidak mendapat jawatan yang diidamkan, pegangan yang kuat kepada Allah adalah cara terbaik untuk menghadapinya.
  3. Allah mengingatkan kita bahawa amalan kebaikan yang membawa kepada pahala adalah lebih baik berbanding nikmat yang sementara di dunia. Secara tidak langsung ini menunjukkan adalah rugi jika kita menjadi kurang senang atau marah akibat nikmat sementara sedangkan pahala di akhirat adalah lebih baik dan kekal.
  4. Hanya orang yang beriman sahaja mampu menghadapi perasaan kurang senang akibat kesusahan di dunia dengan sabar kerana mereka sedar Allah menyukai orang yang bersabar kerana menahan marah.
  5. Insan yang sabar dengan dugaan di dunia mampu melahirkan rasa syukur dan senang memaafkan orang lain.
  6. Kita harus berusaha untuk meninggalkan dosa-dosa kecil dan memandangnya sebagai perkara yang besar, ibarat gunung yang menghempap diri.

Perasaan marah terhasil akibat perasaan tidak puas hati dan boleh membawa kepada masalah hati yang berat. Dalam Islam, apabila kita berhadapan dengan perasaan tidak puas hati, kita dinasihatkan agar menjauhi perkara tersebut dan berlapang dada dalam menghadapinya. Apabila kita berdiri perlulah kita duduk, bila duduk perlu berbaring. Tujuan utama tindakan ini ialah untuk mengurangkan perasaan marah itu.

Sahabat-sahabat sekalian,

Suka saya mengingatkan diri sendiri bahawa perasaan marah tidak membawa kita ke mana-mana. Ia hanya memudaratkan dan menyakitkan. Adakah anda sedar perkara ini? Kadangkala bila kita marah, kita hilang pertimbangan dan cenderung untuk menyakitkan hati orang lain bagi melepaskan amarah kita. Kesan yang mungkin berlaku ialah hubungan menjadi renggang dan orang di sekitar kita pun menjadi kurang senang berkawan dengan kita. Adakah kita akan hidup dengan gembira selepasnya?

Ingatlah apabila kita marah, syaitan sedang menguasai kita, api marah akan terus disemarakkan. Bukan sedikit kejadian ngeri yang terjadi berpunca dari nafsu marah ini. Satu persatu kematian berlaku akibat kegagalan mengawal sikap ini. Andai anda seorang yang pemarah, berdoalah sahabat, hakikatnya Dia pemegang hati, mengadulah pada-Nya selalu agar dibuang perasaan itu dalam hati kita.

Sebagai penutup saya mengajak diri untuk menjauhi perasaan marah, memang susah, namun ia mampu dilakukan. Banyakkan berlapang dada dan serahkan semua pada Allah sebagai tempat sandaran terbaik buat kita. Apa yang lebih kita harapkan selain Allah, Tuhan yang menentukan segala-galanya? Tidak ada satu kuasa pun mampu menandingi Allah. Marilah kita berusaha dan terus berdoa moga hati kita kekal dalam petunjuk-Nya. Hindari amarah, ia hanya menyakitkan namun tidak mampu menyelesaikan.

Wallahua’lam

Tenang dan sabar itu kunci..

Cerah dan ceria

No comments:

Post a Comment