Monday, 7 June 2010

Masamu..bagaimana?


ayuh rancang masa!
sumber: Time by ~Beautifl-Disastr


Alhamdulillah diizinkan sekali lagi untuk menyambung perkongsian dengan sahabat-sahabat semua. Hari ini saya akan berkongsi tentang masa. Seringkali kita berada dalam keadaan tidak cukup masa. Keadaan yang biasa berlaku terutama apabila kita banyak kerja yang perlu diselesaikan. Kita akan mengeluh atau mungkin tidak bersemangat untuk menyiapkan pekerjaan kerana tahu yang kita tidak cukup masa. Firman Allah yang sering kita bacakan selepas tamat sesuatu majlis iaitu Surah Al-Asr (103:1-3) menunjukkan pentingnya manusia memanfaatkan masa sebaik mungkin. Ini kerana antara nikmat Allah yang sering diabaikan ialah nikmat masa lapang, hingga akhirnya kita tersedar kita telah mensia-siakannya tanpa perbuatan yang bermanfaat.

1. Demi Masa!

2. Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian -

3. kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.



Sahabat-sahabatku,

Saya ingin membawa anda untuk menyedari bahawa Allah telah memberikan kita masa selama 24 jam di mana ini adalah sama bagi setiap indan, Jika kita fikirkan kembali model terbaik buat kita iaitu junjungan mulia Rasulullah SAW juga mempunyai nilai masa sehari yang sama seperti kita. Baginda mampu memainkan pelbagai peranan seperti pemimpin, suami, bapa, datuk dan sahabat yang baik. Hakikat yang perlu kita sedar kini ialah setiap manusia mampu melakukan pelbagai perkara dalam masa yang diberikan Allah ini.

Sekarang saya ingin berkongsi beberapa punca yang saya kenalpasti dapat menyebabkan kita berada dalam keadaan tidak cukup masa iaitu;

1) Tidak merancang penggunaan masa dari awal.

2) Melakukan kerja ad hoc (lebih kurang sama seperti point pertama, cuma lebih suka melakukan kerja yang baru diperoleh dan melambat-lambatkan kerja yang mempunyai deadline yang panjang).

3) Tidak berupaya meletakkan keutamaan bagi sesuatu pekerjaan (boleh rujuk post sebelum ini).

4) Telah merancang tapi kurang berjaya dalam melaksanakan perancangan.


Dari senarai yang telah saya sebutkan, dapat saya rumuskan bahawa perkara penting yang perlu diambilkira ialah DISIPLIN bagi memastikan penggunaan masa yang optimum. Jika anda bukan orang yang merancang, bolehlah mulakan sekarang. Tiada apa yang akan dirugikan jika anda mencuba untuk merancang. Satu kelebihan merancang ialah kita mampu menilai kejayaan atau hasil kerja kita. Secara tidak langsung ini dapat membantu menambahbaik diri kita.

Sahabat-sahabat sekalian,

Merancang merupakan strategi yang terbaik untuk memastikan kejayaan kita. Sejarah dari Nabi SAW semasa peristiwa hijrah membuktikan kepentingan merancang. Baginda SAW dan sahabat Saidina Abu Bakar As-Siddiq menggunakan jalan yang berbeza dari jalan kebiasaan untuk ke Madinah bagi tujuan mengelirukan pihak musuh. Segala perancangan yang telah difikirkan sejak awal dapat membantu kita untuk terus bergerak. Ia menjadi pushing factor buat kita.

Saya ingin berkongsi TUJUH perkara yang perlu diutamakan dalam pembahagian masa yang dapat membantu kita merancang iaitu;

1) Kesihatan
2) Masyarakat
3) Kewangan
4) Spiritual
5) Pelajaran
6) Pembanguan profesional (profesional development)
7) Keluarga

Saya tidak menyusun tujuh keutamaan ini mengikut aturan kerana keperluan untuk setiap perkara di atas adalah berbeza mengikut situasi dan keperluan semasa. Terpulang kepada anda untuk mengutamakan yang mana terlebih dahulu.

Saya ingin mengingatkan supaya kita semua menggunakan masa sebaik mungkin. Masa ibarat pedang, jika anda tidak memotongnya, ia akan memotong anda. Tinggalkan kesedihan, kerisauan tentang masa yang tidak mencukupi. Bergeraklah ke arah menghargai nikmat masa 24 jam yang dikurniakan Allah. Andai anda terus mengeluh, masa tidak akan bertambah, bahkan anda yang akan keletihan dan kurang berupaya untuk berusaha menyiapkan kerja-kerja anda.

Mari kita sama-sama refleksi diri sejauh masa kita gunakan? Ingatlah setiap nikmat yang diberikan akan disoal kelak oleh Allah termasuk nikmat masa. Sebelum terlewat ayuhlah mara, berusaha ke arah menjadi perancang masa yang hebat!. Ya, anda boleh!

Wallahua'lam

ingatan: masa + usaha = kejayaan

No comments:

Post a Comment