Alhamdulillah tiba kembali ke hari Jumaat yang mulia. Masa memang pantas berlalu. Manusia terus berada dalam arus yang menghanyutkan. Beruntung bagi yang terus berpegang dengan dayung keimanan, merugi bagi yang berpaut di dahan kemaksiatan. Dalam kehidupan kita terus dikejar. Bak kata pepatah: "Rumah kata pergi, kubur kata mari". Hakikatnya kematian itu PASTI. Tiada siapa dapat mengelak atau melambatkannya. Malaikat Izrael tidak pernah alpa dan leka dalam menjalankan tugas. Hatta setiap makhluk di muka bumi ini ada janji kematian tersandar ke atasnya.
Sahabat-sahabatku,
Mengapa perlu kita berbicara tentang kematian? kita kan masih muda? jauh lagi perjalanan hidup ini, belum puas kita mengembara...renungilah Firman Allah dalam surah Al-Anbiya' (21: 34-35):
34. dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini). maka kalau Engkau meninggal dunia (Wahai Muhammad), Adakah mereka akan hidup selama-lamanya?
35. tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu Dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.
Jelaslah pada kita bahawa kehidupan manusia bukan abadi, kematian pasti akan dirasakan bagi setiap yang bernyawa, bagi yang tinggal ia adalah ujian untuk menghadapinya.
Sahabat-sahabatku,
Apakah kepentingan untuk kita mengingat kematian?.
1) Dapat menjadi muhasabah diri yang terbaik. Tidak pun disyaratkan bahawa kematian hanya pada orang yang lanjut usia atau yang menderita kesakitan. Hakikatnya, kematian mempunyai syarat umum, tanpa mengira usia, jantina, pangkat dan sebagainya.
2) Menjadi pemangkin untuk terus melakukan kebaikan. Hakikatnya, kita sering melakukan dosa sama ada kita sedar atau tidak. Andai kita mengira kita telah menggantikannya dengan amal kebaikan, persoalannya adakah amalan kita diterima-Nya? adakah amalan itu disertai keikhlasan?
3) Mengingatkan diri tentang matlamat utama kehidupan iaitu mardhatillah. Amal di dunia ini menjadi bekalan di akhirat. Seharusnya kita menyedari bahawa syurga itu mahal dan payah, tapi mampu untuk dicapai. Berbekal kesedaran ini, kita mampu bergerak dan bertindak ke arah mencapai matlamat itu.
4) Pernah saya mendengar bahawa untuk ke syurga tidak cukup dengan amal kebaikan. Hakikatnya terlalu jauh amalan kita jika hendak dibandingkan dengan para Anbiya' dan sollehin yang terdahulu. Perkara utama yang membantu kita ialah rahmat iaitu kasih sayang Allah kepada kita. Jadi, ingat mati membawa kepada amal baik yang InsyaAllah dipandang Allah sebagai amal soleh.
5) Setiap kematian yang kita dengari dan lihat sebenarya boleh membantu kita memperbaiki diri. Memanglah tidak seharusnya kita berbicara tentang hal keburukan si mati tetapi pada kejadian itu ada pengajaran yang boleh diambil. Bagaimana orang-orang soleh dimudahkan hal kematiannya, pergi dengan tenang dan mudah diuruskan jenazahnya. Ambillah ia sebagai pengajaran, kerana kematian adalah ilmu yang bermakna buat yang hidup.
Sahabat-sahabat sekalian,
Suka untuk saya mengingatkan diri agar bersedia menghadapi kematian dan berdepan dengan kematian orang sekeliling. Memang mudah untuk menasihatkan orang lain supaya bersebar menghadapi kematian, namun hakikatnya payah untuk merelakan permergian orang tersayang. Jadi marilah sama-sama kita pasakkan dalam diri bahawa kematian itu pasti. Ia menjadi misteri yang hanya Allah yang tahu, namun kita sudah diberi ingat diberi jalan untuk mengahadapinya, iaitu dengan melakukan amal soleh secara berterusan. Marilah kita tanamkan keazaman untuk berubah setiap hari ke arah kebaikan. InsyaAllah moga jalan kita diluruskan Allah dan kekal dalam kasih-sayang-Nya..amiin.
Wallahua'lam
wahai diri..ingati mati!
Doa memohon kesudahan penghiduan yang baik (sumber):
اللهم اختم لنا بحسـن الخاتمة ولا تختم علينا بسـوء الخاتمة
“Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan husnul-khatimah (akhir yang baik), dan jangan Kau akhiri hidup kami dengan suu-ul-khatimah (akhir yang buruk)”
cerah spring
salam..
ReplyDeleteperkongsian yg baik bagi mengingatkan kita-kita yg lupa..
sungguh la.. kematian itu suatu yg pasti.
dalam menghadapi setiap detik waktu, sibuk dgn urusan duniawi, kita kadang2 lupa yg maut semakin menghampiri.
mudah-mudahan pengakhiran hidup kita dgn Husnul Khatimah =)
Bismillah,
ReplyDeleteingatan keinsafan diri.