Thursday, 17 June 2010

Mengambil ibrah dari musibah


Bebaskan diri dari kesedihan, teruskan melangkah!
sumber: Giant leap by `gilad


Alhamdulillah dapat berkongsi lagi dengan sahabat-sahabat semua. Baru-baru ini saya diberitahu tentang berita kegagalan sahabat saya dalam peperiksaan. Sedih, it sudah pasti. Walaupun tidak mengalaminya sendiri, saya turut terasa juga, kerana mengetahui usaha yang telah mereka berikan. Namun, hakikatnya Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya. Allah memberi motivasi terbaik buat kita semua seperti mana Firman-Nya (Surah Ali-Imran 3: 139):


139. dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa Yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang Yang tertinggi (mengatasi musuh Dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang Yang (sungguh-sungguh) beriman.


Seringkali kita bersedih bila ditimpa ujian, itu naluri manusia dan tidak mampu dikekang. Namun persoalannya, setakat mana? sejauh mana harus kita bersedih? Kita sering melihat insiden buruk seperti membunuh diri berlaku akibat kekecewaan yang amat sangat dari kegagalan.

Di sini ingin saya mengajak sahabat untuk berfikir;

"pernahkah kita bersedih apabila kita tidak melakukan ibadah dengan bersungguh-sungguh? pernahkah kita bersedih apabila melihat maksiat semakin berleluasa? pernahkah kita bersedih bila diri kita tidak mampu meninggalkan perkara lagha?"

Kita sering sedih bila kehilangan nikmat dunia, tapi lupa untuk beringat tentang perkara akhirat yang pasti. Ujian itu sunnatullah, ketetapan pasti dari Illahi seperti mana firman-Nya (Surah Al-Baqarah 2: 155);


155. Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar.


Allah sering mengingatkan bahawa hanya orang yang sabar akan mendapat kegembiraan. Ini menunjukkan betapa tingginya nilai sabar kerana susahnya untuk kita menggapainya. Kadangkala untuk redha dengan sesuatu musibah yang menimpa juga amat rumit untuk dilakukan.

Sahabat-sahabatku,

Ingin saya mengajak diri untuk melihat ibrah atau pengajaran di sebalik musibah yang melanda. Hikmah itu bukanlah sesuatu perkara yang mudah dilihat oleh mata. Tapi perlu dilihat dengan mata hati, dengan akal kurniaan Illahi. Hanya hati yang mengharap kepada Allah dapat menggapai hikmah dari-Nya. Seperti mana Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah (2:269);


269. Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu Yang berguna) kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut aturan Yang ditentukanNya). dan sesiapa Yang diberikan hikmat itu maka Sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan Yang banyak. dan tiadalah Yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang Yang menggunakan akal fikirannya.


Antara langkah yang boleh diambil apabila kita diuji ialah dengan redha dengan kejadian yang berlaku. Ini akan membawa kita kepada sabar. Lihatlah setiap ujian sama ada kegagalan, kehilangan, kerugian atau apa juga kekurangan nikmat yang terjadi itu ujian. Setiap ujian itu untuk menguji keimanan, mengutuhkan keyakinan kita kepada Allah, peluang mendidik dan bermuhasabah diri . Sahabatku, yakinlah bahawa rezeki setiap makhluk di dunia ini di genggaman Allah, semuanya telah ditetapkan, seperti firman-Nya (Surah Hud 11:6);


6. dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk Yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah Yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. semuanya itu tersurat di Dalam Kitab (Lauh Mahfuz) Yang nyata (kepada malaikat-malaikat Yang berkenaan).


Andai hari ini kita gagal, esok hanya Allah yang tahu ke mana kita, di mana kita. Mungkin kita akan berjaya, lebih dari kejayaan orang sekeliling kita. Sahabtaku yakinlah, keyakinan itu akan membuahkan semangat dan keazaman untuk terus mengubah nasib diri. Merayu dan merintihlah, Allah Maha Mendengar, mengakulah kesalahan diri. Kesedihan tidak membawa kita ke mana, hanya menyakitkan dan menghilangkan kewarasan. Selagi masih berpeluang, teruskan usahamu. Moga kita semua terus berjaya di dunia dan akhirat.


Wallahua'lam


Ingatan: jangan sedih lagi, kita sentiasa berpeluang perbaiki diri!

No comments:

Post a Comment