Sunday, 11 July 2010

Jangan kamu marah


Jangan marah, bersabarlah


Alhamdulillah dengan izin-Nya, dapat saya berkongsi sedikit ilmu yang saya peroleh semasa menonton rancangan "Semanis Kurma" secara online. Tajuk perbincangannya sangat menarik iaitu "Angkara marah". Sebelum ini saya pernah berkongsi tentang hal marah ini. Namun, hari ini saya ingin menambah sedikit tentang perkara ini. Saya merasakan perasaan marah ini amat mudah untuk kita alami. Cabaran yang menimpa kita kadangkala melemahkan bentang kesabaran yang telah dibina. Hakikatnya perasaan marah itu dari syaitan. Memang tugas syaitan untuk mengapi-apikan percikan kemarahan kita hingga kadangkala berakhir dengan perkara yang tidak diingini.




Beberapa perkara yang saya peroleh dari pengisian ini ialah:

Menurut Imam Al-Gahazali terdapat TIGA peringkat marah iaitu:

1. Marah yang disia-siakan: tidak marah pada tempat yang sepatutnya. Sebagai contoh seorang bapa yang tidak marah anaknya yang tidak bersolat. Sepatutnya, perkara kemungkaran wajar ditegur. Jika masih diulangi, marah di sini perlu diluahkan untuk memberi pengajaran.

2. Marah yang tidak terkawal: marah yang diluahkan hingga membawa kepada perkara yang tidak elok seperti memukul. Jika tidak dikawal dengan akal fikiran yang waras mampu membawa kepada pembunuhan, nauzubillahiminzalik.

3. Marah yang sederhana: marah yang dapat dikawal dan dibuat atas dasar tuntutan agama. Marah ini dianjurkan dalam Islam. Sebagai contoh, seorang suami yang marah kepada isterinya kerana tidak menutup aurat.

Sahabat-sahabatku,

Menahan marah merupakan kunci kepada syurga. Ya, ia dapat membantu kita mencapai syurga Allah yang abadi. Terdapat satu kisah sahabat Nabi SAW, iaitu Abu Darda yang bertanya apakah amalan yang dapat membawa ke syurga Allah. Nabi SAW telah menyatakan "La tardhab" sebanyak tiga kali. Ia bermaksud "jangan kamu marah". Jelaslah di sini betapa perlunya kita mengawal perasaan marah ini. Jika difikirkan, siapakah makhluk Allah yang paling banyak diuji selain golongan Nabi dan Rasul junjungan mulia?. Para Nabi dan Rasul sering diuji dengan ujian yang menyakitkan hati dan fizikal mereka. Banyak kisah para Nabi dan Rasul yang dipulaukan, dicederakan dan diancam bunuh oleh kaum mereka. Namun, mereka tetap bersabar dan tidak melatah dan marah.

Apabila kita diuji dengan cabaran yang mengundang perasaan marah, Nabi SAW menganjurkan agar kita beristighfar. Ini kerana marah itu datangnya dari syaitan, maka kita perlulah berdoa agar kita dilindungi dari hasutan syaitan yang direjam. Selain itu, jika boleh mengambil wudhu' supaya dapat menenangkan jiwa kita. Adalah lebih baik jika menjauhkan diri kita dari tempat yang membawa kita kepada marah. Jangan hampiri kawasan tersebut, kerana pastinya ia akan menyemarakkan amarah kita. Nabi SAW juga menggalakkan agar kita berdiri apabila marah, jika tidak reda kita perlu duduk, jika masih tidak hilang perasaan marah, perlulah kita berbaring. Di sini disenaraikan doa yang dapat diamalkan untuk membantu kita mengawal marah (dikongsi semasa rancangan tersebut):

1. Surah Al-Hasyr: Ayat 10
2. Surah Ali-Imran: Ayat 200
3. Surah As-Syura: Ayat 19


Sahabat-sahabatku,

Hati itu ibarat kubu, yang mengawal segala perasaan yang hadir dalam diri kita. Ia adalah benteng yang menentukan sejauh mana kita kuat menghadapi apa jua yang terjadi. Jauhilah sifat yang boleh membawa kepada marah. Antaranya ialah sifat suka berburuk sangka, berdendam, dengki dan ego. Ingatlah, hidup kita hanya sementara. Andai amarah menguasai diri kita dan membawa kepada kehancuran sebuah ukhwah dan persaudaraan, pastinya hidup kita tidak bahagia. Bagaimana kita mampu tenang untuk meneruskan hidup andai hati kita dibelenggu dengan rasa bersalah akibat telah memarahi orang lain?

Saya menyeru sahabat-sahabat semua dan diri saya sendiri untuk bergerak ke arah perubahan. Ambil peluang terbaik untuk mencapai redha Allah dan syuga yang abadi dengan mencuba sedaya upaya untuk menahan marah. Banyak baiknya andai marah dapat dikawal. Jangan pincangkan perhubungan dengan sifat buruk ini. Ingatlah syaitan sentiasa menunggu peluang terbaik untuk menghancurkan manusia, biar jauh dari landasan yang sepatutnya. Banyakkan berdoa supaya kita kuat untuk menahan marah. Bersabarlah..ia memang payah, namun harganya tak ternilai, ganjarannya pasti di sisi Allah.


Sekian dulu perkongsian saya setakat ini, moga dapat dimanfaatkan bersama, InsyaAllah.

Wallahua'lam

gelap malam

No comments:

Post a Comment