Saturday, 24 July 2010

Marhaban ya Ramadhan



ya Allah sampaikan kami ke bulan barakah ini..ameen
sumber: Ramadan Kareem by *a2designs



Alhamdulillah dikurniakan Allah kesempatan untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat sedikit pengisian yang diterima dalam halaqah ilmu yang disertai. Pengisian bertajuk "Marhaban ya Ramadhan". Ramadhan, bulan yang penuh barakah, peluang untuk manusia menambah amal. Berada di perantauan menyebabkan saya rasa masa berlalu pantas. Dari bulan Rejab berganti Sya'ban. Mengingatkan diri sejauh mana sudah saya berusaha menggapai redha-Nya dalam tempoh dua bulan yang penuh baraqah ini. Ya sahabat, sejauh mana sudah kita beramal, peluang yang diberi Allah ini amat bermakna, maka marilah kita terus berusaha selagi masa masih ada.

Sahabat-sahabat sekalian,

Pengisian yang diterima bermula dengan perkongsian tentang ayat-ayat dalam Al-Quran yang bermula dengan "Ya Ayyuhallazhi naamanu" iaitu wahai orang-orang yang beriman. Ayat ini disebut sebanyak 83 kali dalam Al-Quran. Pentingnya bagi kita umat Islam untuk meneliti dengan bersungguh-sungguh ayat-ayat ini kerana ia menjadi titik tolak menentukan bagaimana keadaan kita apabila mengadap Allah nanti. Ayat-ayat ini menceritakan kriteria orang-orang beriman yang perlu diperhalusi oleh umat Islam.

Seterusnya, beberapa kesilapan semasa bulan Ramadhan telah dikongsi oleh penceramah, ini termasuk:

1. Kesalahan utama ialah tidak berpuasa. Inilah kesalahan yang paling besar kerana jelas ibadah puasa adalah kewajipan dan termaktub sebagai salah satu rukun Islam. Selain itu, puasa merupakan ibadah yang berkait langsung dengan keimanan kita kepada Allah.

2. Tidak bersolat. Kadangkala pelik bila memikirkan bagaimana sesetengah dari masyarakat yang tidak mengambil berat hal solat sedangkan di waktu siangnya mereka berpuasa. Sejauh mana keutamaan diletakkan? Ibadah solat merupakan tiang agama, iabadah pertama yang akan dihisab. Jadi, marilah kita melihat bagaimana orang sekeliling kita, adakah selesai solat lima waktu mereka? Begitu juga kita melihat solat sunat tarawikh yang sangat diutamakan sedangkan solat fardhu masih tidak dilengkapkan lima waktunya.

3. Tidak meletakkan keutamaan pada tempatnya. Penceramah memberikan contoh berikut: Seorang anak berusia 10 tahun telah berpuasa selama 10 jam dan meminta untuk berbuka puasa. Dalam keadaan biasa, mungkin sesetengah ibu bapa akan menyarankan agar anak tersebut bersabar menunggu hingga berbuka. Tetapi, sebaiknya dibiarkan anak itu berbuka supaya mereka tidak merasa berat dalam melaksanakan ibadah. InsyaAllah, dengan latihan yang berterusan pasti anak-anak ini akan terbiasa untuk berpuasa dengan rela hati.

4. Tidak menjaga tiga anggota iaitu mata, telinga dan lidah. Ketiga-tiga anggota inilah yang mampu mengurangkan pahala puasa kita. Penting untuk kita mengutamakan penggunaan anggota ini. Alangkah baiknya andai kita dapat mengawalnya dan memanfaatkan sebaiknya anggota ini. Mata digunakan untuk melihat ciptaan Allah dan mensyukurinya, telinga untuk mendengar perkataan yang baik dan lidah untuk membaca Al-Quran.

5. Memindahkan waktu makan. Maksud di sini ialah makan berlebihan semasa berbuka kerana tidak makan sarapan dan makan tengahari. Seperti dalam dalam hadis Nabi SAW yang isinya bermaksud: berapa ramai umatku yang berpuasa tidak mendapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga semata-mata. Apabila kita makan terlalu banyak, nafsu kita menjadi kenyang seterusnya menyukarkan kita untuk melaksanakan ibadah. Oleh sebab itu, kita digalakkan untuk berbuka dengan tamar yang mengandungi khasiat yang banyak serta memberi tenaga segera kepada kita yang berpuasa. Sekiranya kita dapat mengekang nafsu makan, ia menjadi kejayaan pertama kita di bulan Ramadhan.

Sahabat-sahabat sekalian,

Bulan Ramadhan hampir tiba, marilah kita merebut peluang yang masih ada di bulan Sya'ban untuk menambah amal. Hanya Allah yang tahu bila ajal kita tiba, ia tidak menunggu usia kita. Muda bukan jaminan untuk tidak dipanggil-Nya. Saya mengingatkan diri untuk bersedia, bila waktu tiba, apa yang tinggal hanya amalan kita. Berdoalah pada Allah moga akhir kita husnul khatimah bukan sebaliknya. Bersedialah!

Wallahua'lam

pagi summer

No comments:

Post a Comment