Monday, 5 July 2010

Solat: di mana kita?




Alhamdulillah masih diberi kesempatan oleh Allah untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat sekalian. Rasanya sudah lama tidak berkongsi. Kadangkala kelalaian menjadikan kita jauh dari jalan yang sebenar. Bersyukurlah andai kesedaran hadir di kala rasa alpa. Hari ini saya ingin berkongsi isi buku yang saya baru mula membacanya. Tajuknya sahaja membuatkan saya tertanya, apa kualiti ibadah yang selama ini saya lakukan iaitu, solat. Tajuk buku ini ialah: “ Menyukat solat diri”.





Sahabat-sahabat sekalian,

Saya yakin kebanyakan dari kita sedar dan faham tentang kewajipan ibadah yang menjadi salah satu rukun Islam ini. Yang menjadi tiang agama dan natijah yang sewajarnya dilahirkan dari ibadah ini ialah mencegah manusia dari perbuatan keji dan mungkar. Namun, satu persoalan yang ingin saya ajukan pada diri sendiri dan sahabat-sahabat sekalian ialah; sejauh mana kita menilai, bermuhasabah dan yang paing penting menambahbaik mutu solat kita?.
Sedikit petikan dari kata pengantar oleh penulis buku saudara Misbah Em Majidy:

“Solat adalah kunci utama keseimbangan hidup di ala mini, serta gerbang menuju keuntungan dan kebahagian di negeri abadi”.

Ya, solat adalah kunci kepada kebahagian dunia dan akhirat. Kadangkala kita melihat solat hanya sebagai ritual dan perbuatan yang melibatkan gerakan semata-mata. Sedangakan ianya lebih dari sekadar gerakan tetapi melibatkan hubungan hati dengan Maha Pencipta. Jika kita memahami bahawa solat menjadi kunci kebahagian, maka kita juga perlu sedar bahawa hanya Allah yang akan menilai mutu solat yang kita lakukan. Maka ukuran atau garis panduan solat yang perlu diikuti adalah berdasarkan apa yang Allah tetapkan. Seperti firmannya dalam Surah Al-Mu’minun (23:1-2):

1. Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang beriman,
2. Iaitu mereka Yang khusyuk Dalam sembahyangnya;

Khusyuk. Satu perkataan yang sering kita dengar, mudah disebut tapi sukar digapai. Namun yang pasti ianya tidak mustahil untuk dimiliki. Di sini ingin saya berkongsi kaedah-kaedah yang boleh dilakukan untuk membantu kita khusyuk di dalam solat (diambil dari tulisan Imam Khalid; saya terlupa sumber diambil dari mana):

1. Sebelum masuk bertakbiratul ihram, terlebih dahulu kita mestilah mempunyai kesedaran, bahawa kita bersembahyang, kita menghadap dan menyembah Allah yang Maha Besar.

2. Kosongkan hati dari mengingati urusan-urusan dunia. Ingat bahawa urusan-urusan itu tidak dapat dilakukan sama sekali masa kita sembahyang. Oleh itu, tunggulah selepas selesai sembahyang nanti. Tiada guna difikirkan masa sembahyang, hanya akan merosakkan sembahyang kita.

3. Hati hendaklah sentiasa mengingati. Hendaklah berusaha dengan bersungguh-sungguh hingga sampai ke maqam Ihsan. Maqam Ihsan bermaksud beribadat kepada Allah seolah-olah anda melihat-Nya. Walaupun pada hakikatnya anda tidak dapat melihat-Nya (dengan mata kasar), sesungguhnya Allah melihat anda.

4. Tanamkan rasa cinta kasih yang mendalam tanpa berbelah bahagi terhadap Allah. Perasaan ini tidak akan timbul kecuali kita kenal Allah. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta.

5. Menaruh perasaan takzim (agung, besar, tinggi, suci) kepada Allah yang sedang kita hadap dan sembah.

6. Menaruh perasaan al-haibatu wal khauf (gerun, takut, bimbang) kiranya sembahyang kita tidak diterima Allah, bahkan dimurkai-Nya. Allah berfirma di dalam surah Faatir ayat ke-28 yang bermaksud:

Sesungguhnya yang takut kepada Allah daripada segala hamba-Nya ialah para ulama.

7. Menaruh sepenuh harapan supaya Allah terima sembahyang kita. Ulangkan selalu dalam hati kita sebelum bertakbiratul ihram dengan ucapan para sufi yang bermaksud:

Tuhanku! Engkaulah jua maksud tujuanku, dan keredhaan-Mu jua tuntutanku.

8. Berasa malu kepada Allah, takut cacat cela, ada kekurangan, kelalaian yang berlaku dalam sembahyang samada dari segi bacaan, penghayatan pengertian bacaan, perlakuan perbuatan dan kekhusyukan hati terhadap Allah yang sedang kita sembah.

9. Memahami dan mengerti bacaan dalam sembahyang, sekurang-kurangnya tahu maksud-maksud dan tujuan-tujuannya.

10. Menghindarkan situasi-situasi dan keadaan-keadaan yang mengganggu serta memalingkan hati dari khusyuk seperti kebisingan, kerunsingan hati, keliaran pandangan mata, lintasan-lintasan hati, keletihan tubuh badan dan lain-lain lagi.

11. Mendengar cerita orang-orang yang khusyuk dalam sembahyang seperti sahabat nabi.

Sampai di sini dahulu perkongsian saya. Segala tips dan kaedah yang dikongsi hanya akan tinggal catatan tanpa perubahan yang dilakukan. Marilah kita sama-sama menilai, sejauh mana mutu solat kita. Kerana akhirnya ibadah itulah yang akan dihitung, dipandang oleh Allah. Berdoalah kepada-Nya dipermudahkan untuk merasa kemanisan taqarrub dengan Maha Pencipta, moga ia melahirkan rasa keinsafan dan menggerakkan ke arah penambahbaikan diri kita dan ummah secara keseluruhannya, Amiin. Hanya peringatan buat diri hamba yang lupa jua.
Wallahua’alam

Bright and shiny day

No comments:

Post a Comment