Bulan ini ramai sahabat-sahabat dan adik-adik yang pulang "for good" ke tanah air. Kebanyakannya sudah habis belajar. Alhamdulillah saya gembira bagi pihak mereka. Setelah tiga hingga lima tahun di perantauan, akhirnya segulung ijazah menjadi bukti mereka berjaya menghabiskan kursus di sini. Saya yakin pengalaman yang ditimba di tempat orang mampu membentuk diri yang kuat menghadapi dugaan kelak, InsyaAllah.
Sekarang, tempat saya lengang, tiada lagi sahabat yang biasa menemani hari-hari saya. Sedih. Ya, saya merasakannya sekarang. Kepala asyik memikirkan kekosongan bakal dihadapi sementara menunggu bulan September nanti. Seorang..berkeseorangan. Andai difikir secara negatif, pasti perasaan sedih bakal menyelubungi. Namun, saya mahu melihatnya dari sudut positif.
- Bila berseorangan, kita berpeluang berfikir dan bermuhasabah diri kita. Sebelum ini kita mempunyai teman untuk mengingatkan. Kini, kita perlu pupuk kesedaran untuk berubah, mencari cara terbaik untuk menambahbaik diri. Ya, we take charge of ourself!.
- Keseorangan memungkinkan kita untuk taqarrub kepada-Nya. Menyelami diri sendiri. Bersendiri dan merenung diri. Nabi SAW sering bersendirian untuk merenung, berfikir. Jadi, ambil peluang ini untuk mendekatkan diri dengan-Nya.
Bagaimana hendak kita manfaatkan masa bersendiri?
1. Tambah amalan bila bersendiri. Jangan biarkan hati kosong dan asyik dengan perasaan sedih. Syaitan selalu akan menggoda andai kita melayan perasaan sedih tersebut. Berzikirlah moga hati kita terus hidup, InsyaAllah.
2. Gunakan masa bersendirian untuk merancang tindakan untuk masa depan. Apa yang perlu dilakukan untuk jangka masa pendek dan panjang.
3. Hubungi orang-orang tersayang seperti ibu bapa dan kawan-kawan. Bertanya khabar dan mengeratkan silaturrahim. Saya yakin, bila mendengar suara orang tersayang, kekuatan akan lahir dalam diri kita, InsyaAllah.
4. Belajar untuk menambah kemahiran. Contohnya, belajar memasak. Kita boleh cuba memasak beberapa resipi yang boleh kita manfaatkan pada masa akan datang. Kita boleh hidangkan masakan yang telah dipelajari bila berada bersama keluarga kita nanti.
5. Menulis. Tulislah apa sahaja yang bermanfaat. Email kepada rakan-rakan dan ahli keluarga anda. Untuk permulaan mungkin boleh menulis ringkasan dari buku yang anda baca. InsyaAllah ada kebaikannya kepada orang lain.
Sahabatku,
Sebenarnya kita tidak pernah bersendiri. Setiap saat amalan kita dicatat oleh malaikat, bekal untuk pulang ke pangkuan pencipta. Jangan biarkan diri terus sedih, Allah sentiasa berada di sisi kita. Moga bersendirian kita memberi manfaat, berseorang kita menambah iman dan amalan kebaikan. Bersujudlah, berzikirlah, moga ketenangan menjadi milik kita. InsyaAllah.
Wallahualam.
pagi-pagi
No comments:
Post a Comment