Alhamdulillah diizinkan Allah untuk berkongsi serba sedikit dengan sahabat-sahabat semua. Hari ini saya ingin berkongsi tentang masa. Mungkin kita semua sudah jemu diperingatkan tentang masa. Namun, hakikatnya kehidupan ini kita bermain dengan masa, kita hidup dengan masa yang Allah berikan. Sesuai dengan Firman Allah yang sering kita ulangi saban hari dalam Surah Al-Asr (103:1-3):
1. Demi Masa!
2. Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian -
3. kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.
Persoalan kini ialah adakah kita tergolong dalam golongan yang mengalami kerugian atau yang beruntung? sejauh mana kita menggunakan masa sebaiknya? Saya mengingatkan diri cuma. Kini, bila dilanda kesibukan kita sering merasakan masa sering tidak mencukupi.
Pernah saya mengikuti ceramah yang disampaikan oleh Dr Azhar Sarip (boleh rujuk blog beliau). Beliau bercerita perihal masa. Adakah kita menggunakan masa sepenuhnya. Kami peserta diminta menulis berapa lama masa yang kami ambil untuk bersolat, makan dan minum, dan beberapa aktiviti lain. Ternyata, jumlah masa yang digunakan amat sedikit berbanding baki masa yang tinggal untuk digunakan pada aktiviti-aktiviti yang lain. Menariknya, apabila saya bertanya pada Dr Azhar bagaimana nak siapkan kerja sedangkan banyak kerja-kerja lain yang tertanggguh. Ternyata, jawapan yang beliau berikan adalah jawapan yang sebenarnya kita tahu, cuma mungkin tak amalkan iaitu: pengurusan masa yang baik.
Di sini, dapatlah kita mengambil iktibar bahawa:
1. Masa yang kita miliki sebenarnya sangat mencukupi, cuma kita yang kurang pandai menggunakannya.
2. Belajarlah dari Rasulullah SAW yang hidupnya sangat sibuk dengan pelbagai urusan dunia, namun tidak pernah mengabaikan urusan akhirat.
3. Tanamkan dalam diri untuk jadi insan yang menepati masa. Percayalah dengan meletakkan sasaran untuk menyiapkan kerja dan bergerak ke arah melaksanakannya akan memberi kepuasan kepada anda. Cubalah!
4. Jangan bazirkan masa orang lain dengan membuatkan mereka menunggu anda. Ingat, mereka punya hak untuk menggunakan masa sendiri, jadi, jangan sia-siakan masa mereka.
5. Banyakkan berdoa kepada Allah, Tuhan yang empunya masa. Dialah yang selayaknya untuk dipinta jika kita merasa sempit dan tidak upaya menyiapkan kerja dalam tempoh yang ditetapkan. Berdoalah supaya dilorongkan jalan untuk menyiapkan kerja anda.
6. Gunakan masa dengan optimum, cuba buat kerja sebanyak mungkin dalam masa yang singkat.
7. Anda tentu tahu kelemahan anda dalam menguruskan masa. Kalau saya, masa seakan berlalu pantas kalau berborak-borak dengan kawan-kawan. Jadi saya perlu pastikan saya siapkan kerja lebih awal atau hadkan masa untuk berbual-bual.
Akhir kata, moga kita sama-sama tergolongan di kalangan yang diredhai Allah. Bergerak dan bertindaklah ke arah perubahan diri. InsyaAllah saya doakan kalian dan diri saya juga supaya dapat menggunakan masa dengan lebih baik. Amiin.
wallahua'lam
cerah summer
No comments:
Post a Comment