Sunday, 25 July 2010

Nikmat lisan


Awasi kata-katamu..ia mencerminkan dirimu

sumber: speech bomb by GreatNemo of Deviantart



Alhamdulillah syukur pada Allah atas limpah rahmatNya pada ummat manusia. Betapa banyak salah silap yang kita lakukan selama ini, namun atas kasih sayang Allah jualah kita masih diberi peluang untuk bernafas di bumi milik-Nya. Manusia adalah makhluk Allah yang istimewa, dibekalkan dengan pelbagai anggota yang memudahkan penghidupan seharian kita. Hari ini saya terfikir tentang sejauh mana saya menggunakan nikmat anggota yang satu ini iaitu lidah.

Mungkin kita sudah sedia maklum betapa pentingnya lidah dalam kehidupan kita. Setiap kata-kata yang terucap melahirkan perasaan dan gerak hati kita. Namun, kadangkala saya terfikir, banyak sudah saya berkata-kata, namun sebanyak mana pula kata-kata itu bermanfaat andai bukan untuk orang lain, untuk diri saya sendiri. Berapa peratusannya yang berguna, berapa pula yang hanya sia-sia. Seringkali kita banyak berbicara, terus petah dan rancak berborak, namun adakah perbualan itu melahirkan rasa taqarrub pada Allah? Pernahkah kita bermuhasabah memikirkan setiap kata-kata yang telah terungkap?

Marilah sama-sama merenung persoalan di bawah:

Sedarkah kita selama ini kita banyak berbicara?
Pernahkan kita terfikir adakaha kata-kata kita pernah menyakitkan hati orang lain?
Adakah kita pernah memburukkan orang lain?
Adakah kita berfikir terlebih dahulu sebelum berbicara?

Sahabat-sahabatku,

Apa yang kita ucapkan sebenarnya mencerminkan diri kita. Pemilihan kata-kata menunjukkan akhlak kita. Baginda Nabi SAW adalah contoh terbaik insan yang sopan berbicara dan bijak berkomunikasi. Baginda pandai menyesuaikan diri bukan sahaja ketika berbicara dengan orang dewasa, malahan bijak berbual dengan kanak-kanak. Kata-kata yang sopan itulah wajar kita contohi. Bila memikirkan banyaknya kata sia-sia yang terungkap menyebabkan saya malu dengan diri sendiri. Anggota yang sepatutnya basah dengan zikir kepada Allah, kadangakala tidak dimanfaatkan sebaiknya. Namun, saya bersyukur lahirnya kesedaran untuk membetulkan. Pastinya kita manusia sering lalai, maka bersyukurlah andai kesedaran lahir dalam diri. Lidah ciptaan Allah mampu menjadi medium untuk kita mencapai keredhaan-Nya dan pada masa yang sama mampu membawa kepada kemurkaan-Nya, nauzubillah. Berapa ramai ummat manusia yang tersalah menggunakan kurniaan ini contohnya dengan memfitnah dan mengumpat orang lain. Ada juga yang menggunakan kelebihan suara yang merdu untuk dipersembahkan kepada yang tidak selayaknya.

Di sini saya ingin mengajak diri sendiri dan sahabat-sahabat sekalian untuk sama-sama memanfaatkan lidah untuk kebaikan bagi diri sendiri dan orang lain. Antara amalan yang boleh dilakukan ialah:

1) berzikir, berselawat
2) membaca Al-Quran dan mentadabbur maknanya
3) menyampaikan ilmu yang bermanfaat; tidak semestinya ilmu agama sahaja
4) menyampaikan nasihat untuk kebaikan
5) berdoa sebanyak-banyaknya

Sahabat-sahabatku,

Berapa ramai di antara manusia yang akan dicampakkan ke dalam neraka akibat dosa lidah mereka. Jelas menunjukkan bahawa lidah ini bahaya andai tidak dijaga sebaiknya. Ia ibarat pedang yang mampu membunuh, maka wajar untuk kita menyarungnya dan meletakkannya pada tempat yang betul agar tidak mencederakan. Diam itu lebih mendamaikan andai berbicara hanya menyakitkan. Beruntunglah andai kita tergolong dalam golongan yang banyak berfikir berbanding berbicara yang sia-sia. Merugilah andai kita hanya petah berbicara, namun kata-kata yang terungkap tidak berisi dan tidak menambah keimanan kita kepada-Nya.

Akhirnya, saya menyeru agar kita berubah untuk menjadi insan yang setiap butir yang terluah itu menyenangkan dan mendamaikan orang di sekitar bukan melahirkan rasa benci dan menyakitkan hati semata-mata. Percayalah ucapan yang baik mampu melahirkan impresi yang baik kepada kita seterusnya melahirkan ukhwah sesama insan. Mulakan kini, gunakan perkataan yang sopan, guna pada tempat yang betul dan intonasi yang tepat. Jadikan lidah anggota yang dapat menambah keimanan kita kepada Allah, InsyaAllah. Sekadar mengingatkan diri yang lupa jua.

Diam lebih baik dari berbicara yang sia-sia!

Wallhua'lam.

sejuk malam


Saturday, 24 July 2010

Cerita: simpulan_4: la tahzan


terus melangkah ke arah yang satu


2008

"Isykh..isykh...." dengar tangisan dari dalam bilik. Rumah kami hanya dua bilik, tapi kami rasa cukup. Berkongsi bantal dan bilik bukan masalah buat kami. Terasa nikmat bila berkongsi, rezeki Allah itu memang mencukupi buat kami. Esak tangisan makin kuat, aku menghala ke arah bunyi itu. Dari belakang kulihat Achik.

"Achik, kenapa ni?" tanyaku lembut.

"Achik fail" jawabnya lirih.

"Fail apa?" tanyaku.

"Tesis, achik kena betulkan the whole tesis. Kena repeat lab work. Macam tak dapat konvo sekali dengan korang semua je" tambah Achik lagi.

Aku kaget. Masih teringat kenangan kami bertiga bersama Anjang di jalan TAR mencari baju konvo Ogos ini. Masing-masing sibuk memilih baju untuk dipadankan dengan tudung. Tak terasa panas tengahari dek kerana semangat mencari persalinan untuk konvo.

Aku terus memeluk Achik. Terasa kesedihannya menyelubungiku. Kami belajar bersama walaupun tidak sama kursus yang diambil.

"Tak pe Achik, Allah tak kan uji kita andai kita tak mampu. Yakinlah ada jalan penyelesaian untuk semua masalah" jawabku.

"Achik takut, macam mana nak bagitahu mak ayah. Kesian diorang, kami orang susah Ayong. Achik dah hancurkan harapan diorang" balas Achik dalam esak tangis.

"Tok tok, Assalamualaikum" kedengaran suara Darling.

Darling terus menghala ke arah kami. Aku menerangkan perihal Achik. Darling hanya mengangguk.


12 Ogos 2008. Tarikh konvo kami berempat. Aku, Angah, Anjang dan Darling. Kami tertinggal seorang, Achik. Hati hiba memikirkan kami tak dapat bergambar bersama. Semalam sempat kami berempat bertemu Achik. Memberi kata-kata perangsang buatnya. Bukan mudah baginya melihat rakan lain berjaya dalam diri sendiri yang hiba.

"Achik datang ke?" tanya Anjang.

"Tak kot" balas Darling.

Sebenarnya aku perasan Achik pagi tadi sebelum kami beratur masuk ke Dewan Canselor. Dari jauh kelihatan dia memerhatikan kami membetulkan mortar board di kepala. Dia hanya berlalu selepas itu. Ke mana agaknya dia....Rasanya aku tahu ke mana dia. Aku teringat kata-kata Achik.

"Kalau Achik sedih, Achik suka gi tepi tasik, tengok air, jadi tenang" katanya masa kami berjoging tak lama dahulu.

Aku terus menghala ke tasik selepas bergambar dengan keluarga. Sahabat yang lain turut mengikut.

"Assalamualaikum" kataku.

"Waalaikumsalam" Achik menoleh. Terkejut dia melihat kami.

"Jom makan!" kata Angah gembira.

Di bawah pohon itu kami berteduh, menjamah makanan bersama. Achik hanya memerhatikan.

"Mak ayah korang kat mane? tak cari korang ke nanti?" tanya Achik dalam nada bersalah.

"Tak pe, diorang faham. Bukan senang nak cari sahabat yang baik macam Achik ni. Tak best la kalau kitorang je gembira, Achik dok sorang-sorang kat sini" kataku.

"Korang terlalu baik..." kata Achik dalam esak tangisan.

"Kita kan dah janji, jadi kawan yang terbaik untuk kawan yang lain" kata Anjang. Tangan kami saling berpegangan. Eratnya terasa di sanubari. Simpulan terus kukuh di hati-hati kami.

Ini menjadi bukti, ikatan yang disemai. Bukan hanya sekadar ucapan, tapi dizahirkan dengan perbuatan.

2010

"Cikgu, saya gagal paper math, macam mane ni? saya takut nak bagitahu mak ayah. Habislah saya cikgu..." kata Haslinda.

Suara anak mentee ku mengejutkan aku dari lamunan. Tarikh 12 Ogos kembali lagi tahun ini. Kenangan seputar konvokesyen menyapa.

"Owh, jangan risau Lin, nanti cikgu buat kelas tambahan untuk kamu ye. Kamu baru gagal sekali tak bermakna gagal selamanya" balas ku.

Ya, aku pernah berhadapan dengan situasi ini, mungkin berbeza latar dan masanya. Tapi perkaranya tetap sama. Kegagalan. Sejauh mana kita melihat kegagalan akan menentukan sejauh mana kita boleh bangkit darinya. Aku yakin sepertimana Achik yakin melihat kegagalan sebagai batu loncatan untuk dia lebih berjaya menjadi pendorong buatku.

"Ada orang yang pernah gagal dan bangkit, akhirnya dia berjaya. Awak juga perlu begitu, ok!" kata ku pada Lin.

Nampak sinar di matanya. Aku hanya menyampaikan semangat itu yang ku belajar dari sahabatku, Achik. Konvo Achik lebih meriah dengan kehadiran kami semua. Kami luangkan banyak masa bersamanya. Menjadi "juru gambar peribadi" untuknya. Kami mahu dia gembira dan bahagia. Setahun yang dikorbankan itu mengajarnya, mengajar kami untuk bersabar dan berusaha sedayanya. Alhamdulillah kejayaan bersama orang-orang yang bersabar. Itu janji yang pasti dari Illahi.

"La tahzan, innallahama'ana" (jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita)

bersambung.....

Bersendirian


hakikatnya kita tak bersendiri...



Bulan ini ramai sahabat-sahabat dan adik-adik yang pulang "for good" ke tanah air. Kebanyakannya sudah habis belajar. Alhamdulillah saya gembira bagi pihak mereka. Setelah tiga hingga lima tahun di perantauan, akhirnya segulung ijazah menjadi bukti mereka berjaya menghabiskan kursus di sini. Saya yakin pengalaman yang ditimba di tempat orang mampu membentuk diri yang kuat menghadapi dugaan kelak, InsyaAllah.

Sekarang, tempat saya lengang, tiada lagi sahabat yang biasa menemani hari-hari saya. Sedih. Ya, saya merasakannya sekarang. Kepala asyik memikirkan kekosongan bakal dihadapi sementara menunggu bulan September nanti. Seorang..berkeseorangan. Andai difikir secara negatif, pasti perasaan sedih bakal menyelubungi. Namun, saya mahu melihatnya dari sudut positif.

  • Bila berseorangan, kita berpeluang berfikir dan bermuhasabah diri kita. Sebelum ini kita mempunyai teman untuk mengingatkan. Kini, kita perlu pupuk kesedaran untuk berubah, mencari cara terbaik untuk menambahbaik diri. Ya, we take charge of ourself!.
  • Keseorangan memungkinkan kita untuk taqarrub kepada-Nya. Menyelami diri sendiri. Bersendiri dan merenung diri. Nabi SAW sering bersendirian untuk merenung, berfikir. Jadi, ambil peluang ini untuk mendekatkan diri dengan-Nya.

Bagaimana hendak kita manfaatkan masa bersendiri?

1. Tambah amalan bila bersendiri. Jangan biarkan hati kosong dan asyik dengan perasaan sedih. Syaitan selalu akan menggoda andai kita melayan perasaan sedih tersebut. Berzikirlah moga hati kita terus hidup, InsyaAllah.

2. Gunakan masa bersendirian untuk merancang tindakan untuk masa depan. Apa yang perlu dilakukan untuk jangka masa pendek dan panjang.

3. Hubungi orang-orang tersayang seperti ibu bapa dan kawan-kawan. Bertanya khabar dan mengeratkan silaturrahim. Saya yakin, bila mendengar suara orang tersayang, kekuatan akan lahir dalam diri kita, InsyaAllah.

4. Belajar untuk menambah kemahiran. Contohnya, belajar memasak. Kita boleh cuba memasak beberapa resipi yang boleh kita manfaatkan pada masa akan datang. Kita boleh hidangkan masakan yang telah dipelajari bila berada bersama keluarga kita nanti.

5. Menulis. Tulislah apa sahaja yang bermanfaat. Email kepada rakan-rakan dan ahli keluarga anda. Untuk permulaan mungkin boleh menulis ringkasan dari buku yang anda baca. InsyaAllah ada kebaikannya kepada orang lain.

Sahabatku,

Sebenarnya kita tidak pernah bersendiri. Setiap saat amalan kita dicatat oleh malaikat, bekal untuk pulang ke pangkuan pencipta. Jangan biarkan diri terus sedih, Allah sentiasa berada di sisi kita. Moga bersendirian kita memberi manfaat, berseorang kita menambah iman dan amalan kebaikan. Bersujudlah, berzikirlah, moga ketenangan menjadi milik kita. InsyaAllah.

Wallahualam.

pagi-pagi

Marhaban ya Ramadhan



ya Allah sampaikan kami ke bulan barakah ini..ameen
sumber: Ramadan Kareem by *a2designs



Alhamdulillah dikurniakan Allah kesempatan untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat sedikit pengisian yang diterima dalam halaqah ilmu yang disertai. Pengisian bertajuk "Marhaban ya Ramadhan". Ramadhan, bulan yang penuh barakah, peluang untuk manusia menambah amal. Berada di perantauan menyebabkan saya rasa masa berlalu pantas. Dari bulan Rejab berganti Sya'ban. Mengingatkan diri sejauh mana sudah saya berusaha menggapai redha-Nya dalam tempoh dua bulan yang penuh baraqah ini. Ya sahabat, sejauh mana sudah kita beramal, peluang yang diberi Allah ini amat bermakna, maka marilah kita terus berusaha selagi masa masih ada.

Sahabat-sahabat sekalian,

Pengisian yang diterima bermula dengan perkongsian tentang ayat-ayat dalam Al-Quran yang bermula dengan "Ya Ayyuhallazhi naamanu" iaitu wahai orang-orang yang beriman. Ayat ini disebut sebanyak 83 kali dalam Al-Quran. Pentingnya bagi kita umat Islam untuk meneliti dengan bersungguh-sungguh ayat-ayat ini kerana ia menjadi titik tolak menentukan bagaimana keadaan kita apabila mengadap Allah nanti. Ayat-ayat ini menceritakan kriteria orang-orang beriman yang perlu diperhalusi oleh umat Islam.

Seterusnya, beberapa kesilapan semasa bulan Ramadhan telah dikongsi oleh penceramah, ini termasuk:

1. Kesalahan utama ialah tidak berpuasa. Inilah kesalahan yang paling besar kerana jelas ibadah puasa adalah kewajipan dan termaktub sebagai salah satu rukun Islam. Selain itu, puasa merupakan ibadah yang berkait langsung dengan keimanan kita kepada Allah.

2. Tidak bersolat. Kadangkala pelik bila memikirkan bagaimana sesetengah dari masyarakat yang tidak mengambil berat hal solat sedangkan di waktu siangnya mereka berpuasa. Sejauh mana keutamaan diletakkan? Ibadah solat merupakan tiang agama, iabadah pertama yang akan dihisab. Jadi, marilah kita melihat bagaimana orang sekeliling kita, adakah selesai solat lima waktu mereka? Begitu juga kita melihat solat sunat tarawikh yang sangat diutamakan sedangkan solat fardhu masih tidak dilengkapkan lima waktunya.

3. Tidak meletakkan keutamaan pada tempatnya. Penceramah memberikan contoh berikut: Seorang anak berusia 10 tahun telah berpuasa selama 10 jam dan meminta untuk berbuka puasa. Dalam keadaan biasa, mungkin sesetengah ibu bapa akan menyarankan agar anak tersebut bersabar menunggu hingga berbuka. Tetapi, sebaiknya dibiarkan anak itu berbuka supaya mereka tidak merasa berat dalam melaksanakan ibadah. InsyaAllah, dengan latihan yang berterusan pasti anak-anak ini akan terbiasa untuk berpuasa dengan rela hati.

4. Tidak menjaga tiga anggota iaitu mata, telinga dan lidah. Ketiga-tiga anggota inilah yang mampu mengurangkan pahala puasa kita. Penting untuk kita mengutamakan penggunaan anggota ini. Alangkah baiknya andai kita dapat mengawalnya dan memanfaatkan sebaiknya anggota ini. Mata digunakan untuk melihat ciptaan Allah dan mensyukurinya, telinga untuk mendengar perkataan yang baik dan lidah untuk membaca Al-Quran.

5. Memindahkan waktu makan. Maksud di sini ialah makan berlebihan semasa berbuka kerana tidak makan sarapan dan makan tengahari. Seperti dalam dalam hadis Nabi SAW yang isinya bermaksud: berapa ramai umatku yang berpuasa tidak mendapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga semata-mata. Apabila kita makan terlalu banyak, nafsu kita menjadi kenyang seterusnya menyukarkan kita untuk melaksanakan ibadah. Oleh sebab itu, kita digalakkan untuk berbuka dengan tamar yang mengandungi khasiat yang banyak serta memberi tenaga segera kepada kita yang berpuasa. Sekiranya kita dapat mengekang nafsu makan, ia menjadi kejayaan pertama kita di bulan Ramadhan.

Sahabat-sahabat sekalian,

Bulan Ramadhan hampir tiba, marilah kita merebut peluang yang masih ada di bulan Sya'ban untuk menambah amal. Hanya Allah yang tahu bila ajal kita tiba, ia tidak menunggu usia kita. Muda bukan jaminan untuk tidak dipanggil-Nya. Saya mengingatkan diri untuk bersedia, bila waktu tiba, apa yang tinggal hanya amalan kita. Berdoalah pada Allah moga akhir kita husnul khatimah bukan sebaliknya. Bersedialah!

Wallahua'lam

pagi summer

Monday, 19 July 2010

kemanisan sebuah kejayaan

kau berjaya..tahniah!
sumber: Graduation Cap and Diploma by *JMarcDodsonJr


Khas buat adik-adik dan sahabat-sahabatku sempena hari konvokesyen:

Hari ini kau merasai kemanisan itu
Kemanisan sebuah kejayaan
Lama sudah rasanya kau menunggu
Saat itu berlaku

Hari ini kau berbeza
Kau berjaya
Di pentasmu sendiri
Di gelanggangmu sendiri
Bangga itu pasti terasa

Di sebalik kemanisan itu
Lihat apa di hadapanmu
Dugaan, pasti itu sunnah-Nya
Kau akan lebih banyak belajar
Dari kehidupan realiti
Berbanding apa yang kau dapat di kelasmu

Kematangan dan peningkatan usia
Itu akan mengajarmu
Untuk maju, untuk terus hadapi liku
Hadapi duri dan hadapi gembira cerah mentari

Aku bangga kau berjaya
Moga ini bukan yang terakhir buatmu
Ilmu itu luas untuk diterokai
Ayuh, bersama menuju dan memburu
Ilmu Illahi..Ilmu hakiki
Menuju redha Allah yang abadi
Kemanisan yang dicari


Tahniah! you're graduated!

menunggu konvo adik ku dan sahabatku

rindu mak abah


rindu pada abah dan mak




Alhamdulillah diizinkan-Nya untuk berkongsi sedikit rasa. Saya baru selesai menonton program Imam Muda episode 8. Episode kali ini berkaitan perkahwinan. Di permulaan episod peserta imam muda membaca sajak dan ayat-ayat Al-Quran yang berkaitan keibubapaan. Bila teringat memang saya terus teringat ayah ibu di rumah. Jadi, perkongsian kali ini berkaitan ibu bapa.

Firman Allah dalam Surah Al-Isra' (17:23):

23. dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua Dalam jagaan dan peliharaanMu, maka janganlah Engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah Engkau menengking menyergah mereka, tetapi Katakanlah kepada mereka perkataan Yang mulia (yang bersopan santun).



Di sini jelas menunjukkan tingginya darjat ibu bapa kita yang bersusah payah dalam membesarkan kita. Selayaklah dengan segala jasa mereka itu kita memelihara mereka dengan sebaiknya apabila mereka sudah tua.

Sahabat-sahabatku,

Melihat cabaran dunia yang semakin dahsyat, saya melihat masalah kurang hormat kepada orang tua di kalangan anak-anak semakin menjadi-jadi. Banyak kes ibu bapa menyaman anak-anak kerana tidak berpuas hati layanan anak terhadap mereka. Astagfirullah. Ibu bapa yang paling rapat dan meyanyangi anaknya tidak mungkin akan menyaman anak andai mereka dilayan dengan baik. Jadi, seharusnya kita berfikir sejauh mana kita melayan ibu bapa kita selama ini.

Saya bukanlah contoh anak yang baik. Namun, andai perkara tersebut berkait perhubungan dengan ibu bapa, sebaik mungkin saya cuba menjadi anak yang baik. Takut sungguh saya seandainya mak ayah tidak redha dengan perbuatan saya. Bagaimana kita? Adakah seringan perkataan "Ha" pernah terluah dari mulut kita? Sama-sama kita fikirkan. Satu hari kita juga akan bergelar ibu dan ayah. Sejauh mana kita melayan ibu bapa kini akan jua sedikit sebanyak mempengaruhi layanan anak-anak kita nanti kepada kita.

Sahabat-sahabatku,

Ingin saya mengajak diri dan kawan-kawan untuk sama-sama menilai diri, sejauh mana hubungan kita dengan ibu bapa kita. Eratkan dan mesrakan hubungan itu. Moga kita menjadi anak yang terbaik buat ibu bapa kita. Mohonlah pada mereka supaya mendoakan kita. Berkatnya pasti ada, itu perlu kita yakini. Bagi yang dekat, kunjungi mereka, ucapkan kata sayang, perhargaan atas segala jasa mereka. Bagi yang jauh, hubungi mereka selalu. Jangan biarkan hubungan hati itu terputus. Moga hidup kita sentiasa diredhai mereka kerana sesungguhnya "keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa".

Wallahua'alam

sejuk summer

lagu untuk ingatan buat kita, luahkan sayang kita pada mereka: "Lafaz yang tersimpan: UNIC"


Cerita: simpulan_3: jauh hati


jauh hati...jauhilah


alunan lagu itu mengingatkan aku lagi tentang rindu pada sebuah persahabatan...."sebiru hari ini..."

2006

"Bil elektrik dah bayar ke"? tanya angah.

"Erm..belum lagi" jawabku.

"Air"? tanya angah lagi.

"Belum" aku menjawab dengan perasaan bersalah.

Riak wajah angah berubah, mungkin sedikit kecewa. Memang kami ada giliran untuk membuat bayaran bil-bil di rumah. Namun, selalunya angah yang bayar juga akhirnya.

"Perasan tak perubahan angah?" tanya achik.

"Berubah? apa maksudnya?" tanyaku.

"Alah..dia cam suka menyendiri, tak ajak achik pun nak keluar beli barang" jawab achik.

"Mungkin dia sibuk, tak sempat nak ajak orang lain" kata anja.

Aku hanya mendengar perbualan mereka. Namun, aku tahu mungkin angah terasa, angah jauh hati dengan kami. Mungkin dia terfikir seperti dia saja yang ambil tahu tentang hal rumah, sedangkan orang lain tidak.

"Angah, jom makan" ajak anjang.

"Tak pe la, makan dulu, dah kenyang" jawab angah.

Dah kenyang? aku jadi pelik. Setahu aku angah baru sahaja pulang dari buat kerja makmal. Belum sempat dia menjamah apa pun terus dia memasak untuk rumah. Aku jadi tak senang. Terus jadi tidak berselera nak makan.

Malam itu, aku berborak dengan kak Ainul. Aku suka meluahkan perasaan dengan kak Ainul sebab dia memahamiku. Hubungan sebagai naqibah usrah yang berakhir dengan persahabatan yang erat. Itu kuasa Allah yang menyatukan hati-hati kami, Alhamdulillah.

"Kakak..." kataku.

"Ye adik..." balas kak Ainul sambil tersenyum manis.

"Kakak perasan tak angah macam lain?" kataku.

"Maksudnya macam mana" balas kak Ainul.

"Ayong rasa dia sedih, dia terasa hati. Ye lah, nampaknya seakan dia je yang sibuk uruskan hal rumah. Orang lain nampak macam tak kisah." jawabku.

"Itu anggapan ayong ke memang betul? kita sebagai orang Islam perlu jauhkan bersangka-sangka ni. Sebab sangkaan kita mungkin tak tepat dan boleh membawa kebinasaan" jawab kak Ainul.

"Nanti saya cuba tanya dia, tapi macam tak berani je" jawabku.

"Tak pe, esok kita buat meeting rumah ye, lagipun akak ada perkara nak bagitahu" balas kak Ainul.

"Apa yang akak nak cakap?" tanya ku

"Surprise!" kata kak Ainul.

Aku hanya terdiam, geram pulak ada surprise ni. Tak apa aku cuma mengahrap agar hal ini diselesaikan. Tak nak berpanjangan. Jangan sampai berlarutan sampai menyakitkan pula.

Malam itu...

Setelah bermula dengan sedikit tazkirah dari kak Cik, kami memulakan mesyuarat rumah. Angah hanya diam. Satu perkara yang bukan kebiasaan baginya. Aku rindu keriuhannya.

"Akak harap kita berterus terang, nyatakan kebenaran, untuk kebaikan. Andai ada yang tidak berpuas hati, tolong nyatakan. Akak yakin kita pasti tak rasa gembira andai sahabat kita bersedih. Jadi tolong suarakan rasa hati masing-masing. Kita nak bina ukhwah yang ada tautan hati, bukan hanya ucapan bibir sahaja" terang kak Ainul.

setelah berlalu seorang demi seorang berbicara, jelas kelihatan wajah angah yang muram.

"Angah nak minta maaf. Angah tahu semua orang mungkin nampak perubahan angah. Angah jadi diam,kurang bercakap. Angah cuma terkilan" kata angah.

"Kenapa angah? sebab kami tak ambil tahu pasal rumah ye?" kataku.

Angah hanya tunduk dan mengaku.

"Maafkan kami angah sebab biar angah buat semua" balas anja.

"Tak sepatutnya angah rasa jauh hati sedangkan sahabat semua sibuk, patutnya angah perlu lebih memahami. Angah je yang terlampau ikut perasaan" terang angah sendiri.

"Tak pe angah. Angah berhak nak terasa hati. Kita manusia, cuma kalau boleh lepas ni jangan kita memendam perasaan. Kalau kita nampak sahabat kita bersusah hati, bertanayalah, jangan banyak bersangaka, apatah lagi dengan sangkaan buruk." terang kak Ainul.

"Apa surprise kakak ni" tanya ku, teringat perbualan kami semalam.

"Akak akan berpindah" balas kak Ainul.

"Kenapa? tak cakap pun" kata Darling.

"InsyaAllah akak akan berkahwin lagi dua bulan" jawab kak Ainul.

"Ha? cepatnye, kenapa tak bagitahu awal?" balas anjang.

"Itu la surprise" kata kak Ainul

kami jadi sugul, bukan sedih kerana kak Ainul akan berkahwin, tapi memikirkan dia akan meninggalkan kami nanti...

Kami akhiri mesyuarat itu dengan satu janji. Janji untuk jadi lebih memahami. Moga hati kami terus menyatu walaupun akan berpisah jua nanti, itu hakikat yang perlu kami terima. Teringat kata Stephen Covey:

"Seek first to understand then to be understood"

Ya...bait lagu edcoustic menyapa lagi...hati menyatu..dalam tali persahabatan..moga bertemu kembali...

kenangan itu, menyatukan hati kami

Friday, 16 July 2010

Demi masa!


masa ibarat pedang, jangan biar ia memotong anda!



Alhamdulillah diizinkan Allah untuk berkongsi serba sedikit dengan sahabat-sahabat semua. Hari ini saya ingin berkongsi tentang masa. Mungkin kita semua sudah jemu diperingatkan tentang masa. Namun, hakikatnya kehidupan ini kita bermain dengan masa, kita hidup dengan masa yang Allah berikan. Sesuai dengan Firman Allah yang sering kita ulangi saban hari dalam Surah Al-Asr (103:1-3):

1. Demi Masa!

2. Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian -

3. kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.


Persoalan kini ialah adakah kita tergolong dalam golongan yang mengalami kerugian atau yang beruntung? sejauh mana kita menggunakan masa sebaiknya? Saya mengingatkan diri cuma. Kini, bila dilanda kesibukan kita sering merasakan masa sering tidak mencukupi.

Pernah saya mengikuti ceramah yang disampaikan oleh Dr Azhar Sarip (boleh rujuk blog beliau). Beliau bercerita perihal masa. Adakah kita menggunakan masa sepenuhnya. Kami peserta diminta menulis berapa lama masa yang kami ambil untuk bersolat, makan dan minum, dan beberapa aktiviti lain. Ternyata, jumlah masa yang digunakan amat sedikit berbanding baki masa yang tinggal untuk digunakan pada aktiviti-aktiviti yang lain. Menariknya, apabila saya bertanya pada Dr Azhar bagaimana nak siapkan kerja sedangkan banyak kerja-kerja lain yang tertanggguh. Ternyata, jawapan yang beliau berikan adalah jawapan yang sebenarnya kita tahu, cuma mungkin tak amalkan iaitu: pengurusan masa yang baik.

Di sini, dapatlah kita mengambil iktibar bahawa:

1. Masa yang kita miliki sebenarnya sangat mencukupi, cuma kita yang kurang pandai menggunakannya.

2. Belajarlah dari Rasulullah SAW yang hidupnya sangat sibuk dengan pelbagai urusan dunia, namun tidak pernah mengabaikan urusan akhirat.

3. Tanamkan dalam diri untuk jadi insan yang menepati masa. Percayalah dengan meletakkan sasaran untuk menyiapkan kerja dan bergerak ke arah melaksanakannya akan memberi kepuasan kepada anda. Cubalah!

4. Jangan bazirkan masa orang lain dengan membuatkan mereka menunggu anda. Ingat, mereka punya hak untuk menggunakan masa sendiri, jadi, jangan sia-siakan masa mereka.

5. Banyakkan berdoa kepada Allah, Tuhan yang empunya masa. Dialah yang selayaknya untuk dipinta jika kita merasa sempit dan tidak upaya menyiapkan kerja dalam tempoh yang ditetapkan. Berdoalah supaya dilorongkan jalan untuk menyiapkan kerja anda.

6. Gunakan masa dengan optimum, cuba buat kerja sebanyak mungkin dalam masa yang singkat.

7. Anda tentu tahu kelemahan anda dalam menguruskan masa. Kalau saya, masa seakan berlalu pantas kalau berborak-borak dengan kawan-kawan. Jadi saya perlu pastikan saya siapkan kerja lebih awal atau hadkan masa untuk berbual-bual.

Akhir kata, moga kita sama-sama tergolongan di kalangan yang diredhai Allah. Bergerak dan bertindaklah ke arah perubahan diri. InsyaAllah saya doakan kalian dan diri saya juga supaya dapat menggunakan masa dengan lebih baik. Amiin.

wallahua'lam

cerah summer

Tuesday, 13 July 2010

Cerita: simpulan_2: bermula cerita


ia baru bermula...


2004

"Assalamualaikum..." Aliyah memberi salam.

"Waalaikumsalam" jawabku.

"Maaf, Nina takde kat bilik ye?" tanya Aliyah

"Owh..dia pergi kafe, beli makanan" jawabku.

"Erm..saya biasa nampak muka awak, student fizik ye?" tanya Aliyah

"A'ah, saya Husna, course mate Nina" jawabku ringkas.

"Apa khabar? Saya Aliyah. Selamat berkenalan" kata Aliyah ringkas.

Kami bersalaman..itu permulaan. Perkenalan yang membawa kepada persefahaman. Bukan kerana belajar dalam kursus yang sama, tapi kerana minat yang sama.

Sejak perkenalan yang pertama itu, aku dan Aliyah selalu bertemu. Sejak itu aku berkenalan dengan kawan-kawannya yang lain, termasuk Wardah. Aku pun bertambah rapat dengan coursemate ku Nina.

"Nak jogging kat tasik x?" sms ringkas kuterima dari Wardah.

"Boleh juga, pukul 6 petang ye" balasku.

"InsyaAllah" balas Wardah.

Gembira. Itu perasaanku kini. Kawanku bertambah, bukan setakat yang sama course tapi course yang lain juga. Ini satu permulaan kepada sebuah perkenalan.

Petang itu dapat juga aku berjoging. Lama juga tak bersenam. Maklumlah sibuk dengan persiapan masuk universiti dan minggu orientasi. Aku bersyukur dapat menikmati pemandangan alam yang indah sambil beriadah. Mataku memandang keindahan alam. Kami berehat sebentar lepas 30 minit berjoging.

"Uiskh..boleh tahan penatnya, maklumlah lama sangat tak bersenam" kata Wardah.

"Betul tu" jawabku sambil mengesat peluh di dahi.

"Husna, awak ada join usrah x?" soal Wardah.

"Erm..kadang-kadang..tengoklah kalau rajin" jawabku jujur.

Memang benar, sejak dibahagikan mengikut kumpulan usrah masing-masing hanya sekali aku ikut serta. Malas. Itu alasan utamaku. Satu lagi, aku tak nampak sangat kepentingannya untuk berusrah ni.

"Ooo...macam tu. Tak seronok ke usrah awak?" tanya Wardah lagi.

Aku terbayang wajah Kak Ainul yang lembut. Peribadinya sangat baik. Bersungguh-sungguh dia menyampaikan isi usrah pada pertemuan pertama usrah kami.

"Usrah ni adik-adik ibarat keluarga. Adik-adik jauh dari rumah dan keluarga masing-masing. Akak sangat-sangat berharap agar ahli usrah ini kita dapat anggap seperti keluarga sendiri. Bila ada masalah sama-sama dikongsikan. Jangan pendam. Lagi pula adik-adik masih baru di universiti ni" terang Kak Ainul.

Ya. Aku tahu. Aku pun dah terbiasa dengan usrah sejak sekolah dan matrikulasi. Entahlah cuma kini aku teringin untuk bebas. Nak fokus belajar.

"Eh..tak la. Best je usrah tu. Saya ni ha yang malas" terus terang aku menjawab.

Wardah hanya tersenyum.

"Husna, saya cakap ni sebab nak ingatkan diri saya juga ye. Hati kita ni ibarat kubu pertahanan. Perlu selalu diperhatikan, dikukuhkan sebab mudah je syaitan nak tembus. Antara caranya melalui pengisian rohani. Kita boleh bina kekuatan dari dalam, barulah musuh tak boleh menyerang" kata Wardah lembut.

Hatiku tersentak. Hati ibarat kubu pertahanan. Aku mengerti, aku fahami.

"Tok, tok" bunyi pintu bilik ku diketuk.

"Siapa?" kataku.

"Zaza, kawan Wardah"

Aku buka pintu. Aku kenal Zaza, dia sama usrah denganku. Kami berbalas salam.

"Ya, ada apa ye Zaza?" soalku.

"Nak tanya esok awak nak join usrah Kak Ainul x?

Hatiku berbolak balik...

"Erm, saya bagitau kemudian boleh?" kataku

"Ok, saya cuma ajak je, tapi harapnya awak dapat datang la ye" kata Zaza.

Aku memandang Zaza yang berlalu pergi. Terharu dengan kesungguhannya mengajakku. Aku jadi malu. Tapi wajarkah aku menurutinya hanya kerana aku malu?

Teringat kata-kata Ustazah Salmah tentang godaan syaitan. Ayat 16 hingga 17 Surah Al-A'raf terus kuperhatikan.

16. Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) Demi Sesungguhnya Aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu Yang lurus;

17. "Kemudian Aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur".


Aku tak nak jadi orang yang disesatkan. Aku tekad. Berubah. Teringat kata-kata Ustaz Hasrizal dalam satu rancangan TV:

"Perubahan bukan pilihan tapi KEMESTIAN"

Doa dari Surah Ali Imran ayat 8 terus kubaca, mendoakan kekuatan dan petunjuk dari-Nya:

Rabbana la tuzigh quloobana ba'da idh hadaytana wa hab lana milladunka rahmah innaka antal Wahhab

perubahan ini sejarah bagiku, ia juga menjadi titik pertemuan dan permulaan sebuah ukhwah...

bersambung....