Monday, 24 October 2011

Nota 2: Barcelona

pemandangan dari luar Sagrada Familia



Bismillahirahmanirrahim

Saya ingin sambung sedikit pengalaman jaulah ke Barcelona. Selepas empat hari di Sitges, saya dan rakan-rakan berjalan pula ke bandar Barcelona. Pasti, perkara pertama yang sering dikaitkan dengan tempat ini ialah pasukan bola sepaknya yang terkenal. Bagi saya, itu bukanlah tarikan utama ke sini. Katanya reka bentuk bangunan di sini sangat menarik dan indah sekali. Jadi, hari yang berbaki banyak saya gunakan untuk meninjau sendiri bangunan di Barcelona.

Antonio Gaudi


Sebelum berlepas ke Barcelona, saya ada bertanya dengan teman yang pernah mengembara ke Barcelona. Perkara pertama yang dinyatakan ialah tentang seni bina bangunan di sini yang agak unik dan pelik. Nama Gaudi telah saya dengar beberapa kali. Jadi, ketika berada di sini saya telah melawat beberapa bangunan yang dicipta olehnya.

biografi Antonio Gaudi di muzium dalam Sagrada


Agama dan seni bina


Saya sempat singgah di Sagrada Familia. Mulanya, saya ingat ia hanya bangunan biasa. Dari jauh, ia nampak kukuh dan tinggi mencakar awan. Rupanya ia adalah gereja yang masih dalam proses pembinaan. Bangunan ini dijangka siap pada 2026 sempena 100 tahun kematian Antonio Gaudi. Saya melihat ketaatan Gaudi dalam agamanya telah mendorong beliau untuk mengabdikan masanya untuk membina rumah ibadat mereka. Melihat keadaan ini saya terfikir adakah seni bina bangunan masjid atau surau kita direka oleh orang Islam sendiri? sejauh mana unsur Islamik dimanifestasi oleh arkitek Islam dalam seni bina bangunan? Jika di Malaysia, arkitek Raja Baharin sangat dikenali dengan seni bina berunsur Islami. Fotografer dan jurnalis Peter Gould juga begitu, menyebarkan unsur Islami dalam karyanya. Moga lebih banyak lagi usaha seperti ini diteruskan. Namun, apa yang penting adalah apa isinya, tidak guna juga andai banyak masjid atau surau tapi sunyi dari jemaah yang hadir mengimarahkannya. Lebih baik sedikit kuantiti masjid, namun penuh dengan program kebaikan.

pemandangan dalam Sagrasa, hasil kerja tangan Gaudi


ukiran gambaran Gaudi semasa peristiwa kelahiran Jesus


Sabar atas ujian


Berjaulah bersama teman yang bukan seagama mengajar saya unutk bersabar dan menerima mereka sebaiknya. Saya kerap ditanya tentang Islam, saya jadi malu bila terasa gagal menyampaikan jawapan terbaik bagi beberapa soalan mereka kerana batasan bahasa. Agak sukar bagi saya untuk menjelaskan sesuatu tentang isitlah dalam Islam dalam bahasa yang mudah. Kelemahan itu saya rasakan amat perlu saya atasi, bukan sahaja untuk tujuan menjawab persoalan teman, tetapi sebagai medan dakwah buat mereka. Bila saya bertanya kepada mereka tentang kepercayaan mereka, jawapan yang saya terima kadang kala tidak memuaskan. Mungkin kerana terlalu banyak versi cerita tentang Tuhan yang mereka percaya.

pemandangan dari atas Sagrada, setinggi 50 meter


Jaulah iman


Saya berdoa kepada Allah jika diberi peluang mengembara lagi moga ia mampu menambah dekat kepada Allah. Biarlah ia mengubah sempadan iman seperti mana pengalaman Prof Muhd Kamil Ibrahim, itulah yang saya harapkan. Berjalan bukan hanya untuk mencatat kenangan, tapi juga menambah pengalaman dan kematangan dalam mendepani kehidupan....

hampir tiba ke destinasi yang dituju, home sweet home-:)

No comments:

Post a Comment