Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillah masih diberi kesempatan untuk berkongsi. Suasa sejuk beserta angin kencang di sini sedikit sebanyak mempengaruhi tahap kesihatan segelintir sahabat. Tidak terkecuali saya sendiri, turut diuji dengan ujian kesihatan. Namun, apa pun yang Allah jadikan buat kita tentunya sebagai ujian untuk melihat keimanan kita. Saya doakan moga semua yang diuji dengan ujian yang sama agar terus bersabar dan moga Allah meredhai kesabaran kita sepanjang kita berada dalam kesakitan.
Cuba perkara baru
Setiap hari sebenarnya banyak perkara baru yang kita pelajari. Sama ada perkara tersebut terancang atau secara tidak sengaja kita terus diberi izin menambah ilmu. Saya sendiri berpeluang mencabar diri untuk membuat perkara baru dalam kehidupan. Peluang untuk membantu pelajar lain yang terdiri dari pelbagai bangsa telah mencabar kebiasaan yang saya lakukan.
Saya pasti kawan-kawan pun pernah mengalami perkara yang sama. Kadang-kala bila kita melakukan perkara di luar kebiasaan ia membantu kita menyedari kelebihan yang kita miliki. Jika tidak dicabar diri kita, tentu kelebihan itu kekal berada dalam diri dan tidak terserlah. Begitulah perancangan yang terbaik yang Allah tetapkan buat kita. Kerana itu wajarlah untuk kita meyakini kesusahan dari tindakan kita mencabar diri untuk melakukan perkara di luar kebiasaan pasti akan dituruti dengan kemudahan, insyaAllah. Ini jelas seperti mana firman Allah dalam Surah Al-Insyirah (94: 5-6):
"Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan."
Surah ini diakhiri dengan petunjuk Allah supaya kita melakukan sesuatu pekerjaan dengan bersungguh-sungguh. Jelas sekali saranan ini pasti memberi kebaikan bagi yang mahu menurutinya.
Cubaan pertama
Cubaan pertama saya unutk menulis telah saya mulakan dengan terbentuknya blog ini. Secara jujur, saya bukanlah penulis yang terbaik. Dengan ilmu yang sedikit, saya ingin berkongsi ilmu yang saya tahu. Pendekatan yang saya ambil ialah berkongsi setakat yang mampu. Saya mohon pada Allah moga saya tidak silap dalam menyampaikan dari secebis ilmu Allah yang maha luas.
Langkah seterusnya
Setelah saya bermula menulis di blog, saya terfikir pula untuk menulis buku. Tapi, saya mula terfikir buku apa yang boleh saya tulis? Genre novel pasti mendapat tempat di kalangan pembaca, namun saya bukanlah orang yang bijak menggunakan bahasa dan mengilah bahasa dengan baik.
Teringat saya semasa berpeluang mendengar ceremah seorang ustaz yang terkenal di sini. Katanya, buku kanak-kanak amat kurang di pasaran tanah air. Beliau sendiri mencadangkan isterinya untuk mula menulis buku kanak-kanak. Mengambil inspirasi dari nasihatnya, saya memulakan langkah pertama dalam penulisan buku untuk kanak-kanak.
Sebagai permulaan saya membaca beberapa panduan untuk menulis buku kanak-kanak. Secara umumnya, buku untuk golongan ini sebenarnya menyampaikan apa yang ingin disampaikan oleh golongan dewasa kepada kanak-kanak. Secara logiknya, tentu orang dewasa yang menulis buku ini, jadi ia merupakan medium pendidikan kepada anak-anak dari orang dewasa.
Hantar manuskrip
Bagi yang berminat untuk menulis, anda boleh mulakan dengan menulis proposal dan hantar ke penerbitan yang bersesuaian. Anda boleh berbincang dengan editor tentang genre yang mempunyai permintaan tinggi di kalangan pembaca. Sekarang saya masih dalam peringkat menulis proposal. Moga Allah mudahkan agar ia diterima. Saya juga ingin menggalakkan kawan-kawan untuk menulis jika itu mampu menjadi medium menyampaikan ilmu. Besar peranan ilmu dalam kehidupan, jadi tidak salah kita mencuba. Banyaklah berdoa moga niat kita dipermudah Allah untuk berkongsi ilmu dengan orang lain.
Akhir kalam, banyakkanlah berdoa moga setiap percubaan kita dalam membuat kebaikan sentiasa dipermudah Allah. Paling penting moga kita terus istiqamah dalam beramal, insyaAllah. Beranikah anda mencuba?
dingin malam
No comments:
Post a Comment