Dan tidak ada pertanggungjawaban sedikit pun atas orang-orang yang bertakwa terhadap dosa mereka; akan tetapi (kewajiban mereka ialah) mengingatkan agar mereka bertakwa (Al-An'am 6:69)
Monday, 24 October 2011
Nota 1: Sitges
Bismillahirrahmanirrahim
Segala puji dan syukur hanya layak buat Allah subhanawata'ala. Syukur kerana hari ini masih dalam Islam dan iman. Sekadar ingatan buat diri jua bahawa setiap saat kurniaan Allah itu amat bermakna, moga setiap waktu itu sama-sama kita manfaatkan, insyaAllah. Setiap apa yang ditetapkan Allah pasti ada pengajaran di sebaliknya, itulah namanya hikmah bagi yang mahu berfikir. Sepertimana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah (2:164);
Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering) -nya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis hewan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; Sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan.
Jaulah ilmu
Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman mengembara seminggu ke Barcelona. Catatan pertama saya di Sitges. Saya berpeluang ke Sitges, Barcelona sempena satu persidangan yang berlangsung di sana. Sambil menyelam, minum air. Kiranya, selain menimba ilmu dari pembentang dari bidang saya, peluang ini diguna untuk bercuti juga. Spain belum pernah saya jejaki sebelum ini. Peluang pertama kali ini saya anggap sebagai hadiah untuk saya mengenal dan memerhati alam dan manusia ciptaan-Nya. Sitges adalah satu pekan kecil yang terletak di pesisir pantai Barcelona. Cuaca panas di Sitges menjadi gateway terbaik melarikan diri dari cuaca sejuk di tanah besar. Namun, panas itu hadir dengan bayu yang menyegarkan.
Being vegetarian
Ujian pertama di sini ialah bahasa. Kebanyakan mereka tidak mahir berbahasa Inggeris. Jadi, ia menjadi masalah bila hendak memilih makanan. Pasti, perkara pertama yang saya tanya ialah menu yang saya mahu itu ada daging atau tidak. Tetapi dengan kekangan bahasa saya jadi keliru untuk memilih. Alhamdulillah ada teman sekeliling yang "agak mahir dan faham" membantu saya membuat pilihan. Sepanjang berada di sini saya makan roti, keju, sayur dan buah. Boleh kata jadi vegetarian sekejap sepanjang jaulah ilmu ini. Saya jadi sangat rindu pada ayam dan daging. Tapi, tak mengapa, ujian ini tidaklah sebesar ujian yang mampu menguji iman kita.
Agama itu petunjuk
Kibaran bendera berwarna ceria itu saya lihat di beberapa premis perniagaan di sini. Mulanya, saya tidak perasan makna di sebalik bendera itu. Bila tiba di sebuah kedai aksesori, kawan saya menerangkan bahawa bendera itu memberi makna "gay friendly". Setiap premis yang mengibarkan bendera itu menyediakan bilik (bagi hotel) atau perkhidmatan yang mesra kepada golongan itu. Saya diberitahu bahawa Spain adalah negara yang menyokong perhubungan sesama jantina.
Bila menjadi golongan minoriti barulah saya sedar bahawa beruntungnya bila diberi hidayah dari Allah, bila kita dapat membezakan antara hak dan batil dengan penilaian iman, bukan hanya akal semata-mata. Di pantai Sitges ini ada tempat yang dinamakan "nude beach". Manusia tanpa segan silu berenang dan berjemur tanpa baju. Sungguh, iman itu amat berharga, Islam sebagai petunjuk yang jelas buat manusia.
Ketika saya berjalan di tepi pantai, saya terlihat replika kepala manusia terukir di atas batu. Saya bertanya kepada kawan saya, rupanya itu menggambarkan wajah Jesus. Pelik sungguh saya rasakan, Tuhan yang mereka sembah diletak di tanah.....
Bila akal hilang kewarasan
Seperti kebiasaan bagi masyarakat di sini dan mungkin kebanyakan negara barat ialah amalan minum arak selepas makan. Seakan perkara biasa, bergelas-gelas minuman itu diminum. Akal menjadi hilang kewarasan bila terlebih minum. Keseronokan mereka hanya sementara. Berseronok, bergembira, mabuk...itu hanya sementara. Namun, kesan jangka masa panjang mungkin lebih teruk. Berapa ramai mereka yang jadi papa hanya kerana tabiat minum minuman keras. Sungguh, keseronokan yang lebih bermakna ialah apabila kita dekat dengan Allah, bila kita merasai ketenangan kerana mengingati-Nya.
Serik?
Saya hanya pernah melawat dua negara Eropah. Namun, ada sedikit rasa serik untuk berjaulah lagi ke negara barat. Bukan kerana negara mereka tidak cantik atau kurang maju dari segi kemudahan dan pengangkutan, cuma terasa kesukaran untuk berkomunikasi dan mencari makanan halal. Saya berdoa agar berpeluang melawat negara Islam, bukan sahaja kerana makanannya, tapi untuk lebih memahami budaya masyarakat Islam di negara lain. Moga diberi keizinan oleh Allah untuk berjaulah lagi. Hakikatnya, saya menerima Islam juga dengan usaha mengembara oleh ulama' terdahulu. Moga jaulah membenarkan kita untuk berfikir, menilai dan mentafsir siapa kita di sisi-Nya dan ke mana tujuan hidup kita sebenarnya, insyaAllah
atas flight, pulang ke sarang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment