Dan tidak ada pertanggungjawaban sedikit pun atas orang-orang yang bertakwa terhadap dosa mereka; akan tetapi (kewajiban mereka ialah) mengingatkan agar mereka bertakwa (Al-An'am 6:69)
Monday, 3 October 2011
Memberilah...
Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillah masih diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan di bumi mu ya Allah. Hari ini saya ingin berkongsi tentang memberi. Bagi yang sering singgah ke laman web milik Ustaz Hasrizal pasti mengetahui tagline yang sering disebutkan:
"Erti hidup pada memberi"
Dahulu saya tidak berapa mendalami maksud tagline ini. Tapi bila diri sendiri cuba memberi, sememangnya rasa mendamaikan itu jelas terasa. Sering kita melihat ramai orang yang suka memperoleh sesuatu kebaikan dari orang lain dalam pada yang sama kurang gemar memberi. Bagaimana anda?
Barang percuma
Pernahkah anda mendengar tentang isu mengambil barang percuma yang berlaku di sesetengah tempat di Malaysia? Cerita tentang orang ramai mengambil beras "percuma" selepas lori beras terbalik, isu kutip duit "percuma" dari lori yang bawa duit, dan pelbagai lagi.
Bagaimana pula dengan situasi terjumpa duit di perjalanan? Rezaki terpijak bak kata orang, ambil kah atau tidak?
Keadaan ini semua menguji iman kita, kekuatan diri kita untuk menghalang diri dari menerima sesuatu yang kurang jelas sumbernya atau haram sumbernya.
Memberi banyak vs sedikit
Suka saya mengingatkan diri sendiri dan sahabat sekalian, sejauh mana sifat memberi berakar umbi dalam diri kita? Cuba kita senaraikan dalam sehari amalan kita berapa banyakkah sudah kita memberi? Pengiraan yang boleh kita buat mungkin seperti di bawah:
1. menerima lebih dari memberi = boleh muhasabah dan buat perubahan
2. menerima sama banyak dengan memberi = baik
3. memberi lebih dari menerima = terbaik
Pertimbangan antara pilihan kedua dan ketiga perlukan kita fikir-fikirkan. Kadangkala kita "kedekut" kepada perkara yang tidak sepatutnya. Contohnya, kedekut untuk memberi senyuman, kedekut untuk berkongsi ilmu dan sebagainya.
Kadangkala kita menjadi "pemurah" kepada perkara yang tidak sepatutnya. Contohnya, terlalu pemurah dalam berkongsi video atau link yang melalaikan. Pemurah dalam membeli pakaian atau hadiah yang melanggar syariatullah.
Sahabatku,
Setiap hari kita sebenarnya berapa dalam pertimbangan antara dosa pahala, syurga neraka, dan semuanya tertumpu antara memilih antara yang baik dan buruk.
Ingin saya memberi sedikit saranan yang boleh kita sama-sama amalkan untuk menjadikan hidup ini lebih bererti dengan memberi:
1. Cuba cari cara untuk memberi, bermulalah dengan sekecil perkara seperti senyum, membantu rakan yang berada dalam kesusahan atau meringankan beban tugasan orang lain. Bagi yang sudah berkeluarga, sama-samalah menyumbang dalam menyiapkan kerja rumah pasangan masing-masing.
2. Bersedekah. Ia boleh dilakukan secara berkala atau secara "one shot". Contohnya, sumbanglah seadanya kepada tabung masjid atau surau setiap kali anda datang bersolat atau beribadah. Berilah sumbangan kepada ma'ahad atau badan kebajikan yang melancarkan tabung kutipan derma di tempat anda.
3. Sematkan dalam hati bahawa Rasul SAW merupakan orang yang paling suka memberi walaupun Baginda sendiri dalam keadaan kekurangan. Baginda sangat suka memberi dan jadikanlah perbuatan memberi itu sebagai cara kita mengikuti sunnah Baginda.
4. Bagi yang bekerja, jangan lupa bayar zakat pendapatan. Potongan gaji bulanan boleh dibuat dan ini merupakan cara terbaik untuk mengelakkan kiat dari terlupa untuk membayarnya nanti. Bersihkanlah harta kita dengan cara berzakat. Ingat setiap dari harta kita ada hak orang lain di dalamnya.
5. Sempena dengan musim haji yang makin hampir ini, marilah kita gunakan kesempatan ini untuk turut menyertai ibadah qurban. Mulakan dengan satu bahagian, moga Allah memberi peluang untuk kita menyumbang seekor lembu atau binatang lain pada satu masa nanti, InsyaAllah,
6. Berilah apa yang termampu kepada mana-mana anak yatim yang anda kenali. Antara yang perlu diutamakan ialah saudara mara anda sendiri.
Marilah kita sama-sama cuba memberi dan lihat sendiri kesannya pada diri kita. Moga Allah mudahkan jalan buat kita semua untuk mula memberi dan bukan hanya menerima. Bagi yang sudah biasa memberi, moga terus istiqamah dalam melawan nafsu dan hasutan syaitan yang menghalang anda dari terus memberi.
Give and you will receive, thats nature's order: Sami Yusuf (lagu: Healing)
sejuk malam
ingatan buat diriku jua....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment