Wednesday 2 October 2013

Ilmu di hujung jari


Ilmu itu sebagai pemandu...pilihlah yang tepat sumbernya


Bismillahi walhamdulillah...

Ilmu dari youtube

Sedikit perkongsian ringkas dari saya berkenaan beberapa "channel" youtube yang menjadi tempat saya menimba ilmu. Saya sedar cara terbaik dalam menuntut ilmu ialah pergi berguru secara personal. Namun, dalam keterbatasan saya sebagai seorang perantau di negara minoriti muslim, peluang menuntut ilmu secara bertalaqqi nampaknya terhad...

Platform youtube saya gunakan untuk menambah ilmu dan perbaiki diri yang serba kekurangan. Bagi sahabat-sahabat yang berada di tanah air, jangan lupa sertai pengajian di masjid atau majlis ta'lim sekitar tempat anda ya..

Saya gemar mendengar video-video ini sambil buat kerja, macam sambil menyelam minum air....

Channel bermanfaat

Saya ingin mencadangakan untuk kawan-kawan rujuk youtube channel Dr Abdul Basit (Abu Anas Madani). Ustaz Dr sangat tersusun dari segi pengajian yang beliau jalankan di pondok di Kelantan. Setiap video yang dimuat turun disusun seperti satu silibus. Jadi, kalau ada yang ketinggalan, boleh rujuk pada playlist kitab yang dibincangkan. Penyampaian Ustaz Dr. yang padat dan sesuai dengan waqi' atau keadaan semasa saya rasakan sangat berkesan. Paling saya suka ialah isi kandungan khutbah Jumaat yang beliau sampaikan...sangat terkesan dan sesuai dengan isu semasa dalam dan luar negara.

Berikut merupakan link channel Ustaz Dr (Abu Anas Madani):

http://www.youtube.com/channel/UCd-uh5vipgHyFUzsj_8RJeQ

Channel lain:

1) As Sohwah: Prof Dr Muhaya

2) Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Shah Alam)

3) Dokumentari Kuliah

4) Promediatajdid1 (koleksi kuiah Dr Asri, Ustaz Halim Hassan, dan lain-lain)

5) Koleksi dartaibah

6) Radioikim (koleksi ceramah di Radio Ikim)

Luar negara:

1) Zaytuna College

2) Zulfiqaar media

Oh ya, saya sukar dengar radio dari Indonesia. Namanya hang.fm, boleh didengar secara inline atau melalui tunein. Radio ini penuh dengan pengisian ilmu dan tiada lagu, hanya tazkirah dan bacaan surah. Saya yakin bahasanya mampu difahami semua, insya Allah. Ini adalah link untuk radio hang:

http://www.hang106.com/

Moga setiap anggota kita dimanfaatkan untuk kebaikan...sambil tangan buat kerja, telingan boleh dengar kuliah...moga Allah redha dan berkati ilmu kita. Walau tidak dapat berjumpa dan berdepan dengan asatizah, boleh juga timba ilmu bermanfaat dari mereka. Ilmu itu kini hanya di hujung jari. Terpulang pada kita untuk memanfaat atau menyiakannya. Moga Allah memberi hidayah untuk kita membuat pilihan channel yang betul.....Akhirnya, takkan rugi orang berusaha menuntut ilmu, selamat mendengar!

wassalam...

Belajarlah sabar untuk bersabar

Sabar itu indah...senyumlah!

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, syukur pada Allah atas nikmat hidup, kesihatan dan yang paling utama iman dan Islam. Syukur Allah masih memberi izin untuk kita memimjam nyawa dan udara milik-Nya...

Masa itu ujiannya...

Subhanallah...sudah lebih sembilan bulan saya tidak menulis sebarang post. Rasa malu kerana 'kesibukan' dunia melalalikan diri...Allah, malu dengan Rasulullah SAW Nabi junjungan mulia yang merupakan model insan yang sangat 'wholesome'. Baginda SAW sentiasa ada masa untuk berbuat kebaikan dengan orang sekeliling. Rasa kerdil dengan diri yang hanya diuji ujian kerja, lalu tidak mampu tsabat dalam menyumbang...Saya doakan semua sahabat-sahabat diberi kekuatan untuk kekal dalam melakukan amal kebaikan..

Masa dan nikmat kesihatan adalah dua nikmat yang sering dilalaikan atau mungkin dianggap remeh oleh umat manusia. Benarlah hidup manusia yang merupakan masa yang berjalan tanpa sedetik pun terlewat terus meninggalkan kita. Manusia makin tua, saya makin tua, namun persoalan yang lebih penting ialah bagaimana kita gunakan masa itu? Allah...malu rasanya, adakah sudah kita gunakan makhluk Allah ini (masa) ini selayaknya?. Setiap detik yang terbuang, tidak akan berulang.....

Sabar, ujian dan hikmah

Peluang yang Allah berikan untuk saya tinggal berjauhan dengan keluarga adalah peluang berharga yang Allah berikan kepada saya, Alhamdulillah. Saya belajar untuk berdikari dan yang paling penting mengenal diri sendiri...

Setiap manusia ada kelemahan tersendiri. Dalam banyak-banyak perkara, sabar adalah sifat yang saya rasakan paling perlu saya perbaiki. Saya pernah mendengar, ujian yang diberikan kepada manusia sebenarnya cara Allah untuk mengajar kita. Kini saya rasakan kebanyakan perasaan sedih dan sukar yang saya alamai sebenarnya cara Allah mengajar saya untuk bersabar....

Sabar memang mudah untuk diungkap, tetapi, kita hanya tahu yang kita benar-benar menghayatinya apabila kita diuji. Setiap manusia akan memberikan reaksi berbeza bila diuji ujian yang sama. Ada yang terus marah, ada yang bertenang, dan yang yang paling membanggakan apabila ada yang mampu bersabar dan tersenyum...

Sempurna

Kadang-kadang saya terfikir, kenapa manusia sering marah dan beraksi negatif dengan ujian yang menguji kesabaranya? Akhirnya jawapan yang saya temui ialah:

-->manusia sering menganggap yang kita mampu mengawal keadaan, kita sentiasa betul dan setiap perkara MESTI berlaku atas apa yang kita kehendaki...

Kesimpulan yang mampu saya nyatakan ialah, kebanyakan kita merasakan diri kita SEMPURNA! Sebab itu apabila kita diuji, kita rasa kita "hilang" kesempurnaan...

Tidak selayaknya manusia beranggapan kita sempurna, kerana ia hanyalah milik Allah semata-mata. Dengan menyedari kita tidak sempurna, maka kita "membenarkan" sebarang kekurangan untuk berlaku, dan yang paling utama redha dan sabar dengan ketentuan itu.

Bersabarlah untuk bersabar

Akhirnya, suka saya mengingatkan diri sendiri terutamanya dan sahabat-sahabat yang lain untuk belajar meningkatkan kesabaran. Sabar atas nikmat dan sabar atas ujian. Sungguh Allah itu Maha Baik dan hanya menguji kita dengan ujian yang selayak dengan kemampuan kita. Andai rasa diri tewas dan kandas, izinkan ia berlaku...rasa sedih jangan dipanjangkan kerana ia sebenarnya dari syaitan yang mahu umat manusia terus dirundung kesedihan. Bangkitlah dan senyum. Setiap senyuman itu adalah kekuatan, kerana hati yang redha pegangannya hanya satu...ALLAH.....

Sabar itu indah, senyumlah! jom sabar!

fall is about to begin...

p/s: sedikit perkongsian tentang doa yang elok kita amalkan..


اللَّهُمَّ إنِّي أسْألُكَ الهُدَى ، والتُّقَى ، والعَفَافَ ، والغِنَى
“Allahumma inni as-alukal huda wat tuqo wal ‘afaf wal ghina.” Artinya: Ya Allah, aku meminta pada-Mu petunjuk, ketakwaan, diberikan sifat ‘afaf dan ghina. (Sumber)

Monday 7 January 2013

Kenalilah penyakit hati...





Bismillah walhamdulillah

Syukur atas nikmat hidup yang Kau berikan ya Allah. Sungguh tidak ternilai atas segala pujian yang diberikan. Alhamdulillah setiap hari Allah beri pelajaran baru buat kita semua. Dugaan, ujian, nikmat...segalanya kerana dunia adalah tempat ujian. Hasil hanya akan diperoleh di negeri abadi, akhirat nanti.

Penyakit hati

InsyaAllah hari ini saya ingin berkongsi tentang pengisian yang diberikan oleh Habib Ali Zainal Abidin tentang penyakit hati. Ada LIMA penyakit hati yang yang berbahaya dalam kehidupan manusia. Jika penyakit kanser ada tahap yang tertentu, maka penyakit hati ini dikira tahap terminal.... Penyakit yang dinyatakan ialah:

*sombong
*bangga diri
*dengki
*riyak
*cintakan dunia

Antara kesemua penyakit hati ini, ada TIGA yang dianggap paling BAHAYA, iaitu bangga diri, sombong dan dengki.

Punca hati mati

Habib ada menjelaskan tentang beberapa sebab yang membawa kepada matinya hati. Beliau ada mengaitkan hal ini dengan dugaan dalam kehidupan manusia. Dikatakan bahawa dugaan terbesar dalam kehidupan manusia bukannya penyakit, kelaparan atau apa jua yang pada fizikalnya nampak menyusahkan. Tetapi, dugaan terbesar adalah apabila manusia LALAI dari mengingati Allah, wali'yadzubillah....

Penyakit ghaflah atau lalai ini turut Habib nyatakan di dalam EMPAT punca hati manusia mati:

1. Banyak berbuat dosa
2. Ghaflah atau lalai dengan kehidupan dunia
3. Berpaling dari kebenaran
4. Jauh dari Nabi Muhammad SAW, di mana manusia meninggalkan ajaran Baginda SAW kerana merasa jauh jaraknya Nabi dengan kita.

Kenali punca, rawati hati

Di sini suka untuk saya mengajak sahabat-sahabat untuk mengenali punca hati yang mati. Mungkin kita termasuk di kalangan orang yang dinyatakan di atas. Namun, janganlah sesekali merasa putus asa dengan rahmat Allah. Teruslah berdoa kepada Allah kerana Dia sangat suka mendengar rintihan hamba-Nya yang bertaubat. InsyaAllah pintu taubat luas terbuka untuk manusia selagi tidak melakukan dosa syirik kepada Allah.

Akhirnya, saya menyeru agar kita sama-sama mengamalkan doa di atas supaya Allah mengurniakan hati yang bersih kepada kita....ameen...

Wallahua'lam..

malam..



Saturday 29 December 2012

Nilaian harta

 Nilaian harta...biarlah iman jadi neracanya



Bismillah walhamdulillah..

InsyaAllah kali ini saya ingin berkongsi tentang pengalaman peribadi yang saya hadapi sebelum ini. Hikmahnya baru saya nampak dan rasakan ini. Ia cerita tentang benda, tentang benda yang kadang kala kita menganggap ia milik kita yang sempurna....

Bekas pai Tefal

Saya tidak pasti jika sahabat pernah mendengar atau membeli barang alatan memasak jenama Tefal. Jika di sini, jenama itu agak popular. Bukan semata-mata kerana harganya yang agak mahal di Malaysia, tetapi kerana kualitnya yang seiring dengan harga. Saya juga terlibat menjadi di kalangan orang yang membeli barang jenama Tefal. Alang-alang dapat membelinya dengan harga murah sedikit, jadi saya pun beli...

Antara barang yang saya miliki ialah bekas pai jenama Tefal. Pernah beberapa kali saya gunakan untuk membuat kuih tradisional dan kek. Ya, sungguh saya berpuas hati dengan bekas pai ini. Saya tidak berniat untuk mempromosikan jenama ini, tapi ingin berkongsi satu sisi berbeza tentang bagaimana kita beranggapan dengan harta benda, yang bukan milik kita yang abadi.

Perisitiwa di satu pertemuan

Ditakdirkan Allah, saya berkesempatan untuk berhimpun dengan rakan-rakan di sini untuk meraikan sebahagian dari mereka yang bakal pulang ke tanah air setelah menamatkan perjuangan di sini. Sempat saya menyediakan satu juadah menggunakan bekas pai Tefal. Alhamdulillah, mereka berpuas hati dengan juadah yang sediakan. Setelah hampir selesaikan perjumpaan pada hari yang ceria itu, kami semua berkemas untuk pulang. Dengan takdir Allah jua bekas pai Tefal saya hilang.....

Antara akal dan nafsu

Perkara pertama yang saya fikirkan masa itu ialah untuk mencari bekas pai itu sebaik mungkin. Habis semua plastik menyimpan barang saya buka. Satu persatu dibuka, tetapi hampa, ternyata ia hilang tanpa kesan. Perasaan saya ketika itu ialah kecewa kerana saya sangat suka bekas itu, lagi pula ia mahal. Saya perhatikan orang di sekeliling saya juga nampak panik kerana respons yang saya berikan dalam usaha mencari bekas itu.

Sepanjang perjalanan pulang, saya terasa sungguh ralat. Rasa sungguh kehilangan. Kerana kepenatan secara fizikal dan lebih-lebih lagi mental, saya tertidur...

Bangun dari tidur, tanpa diduga segala perasaan sedih, kecewa, marah yang saya rasakan kerana kehilangan bekas pai itu lenyap dengan tidur yang saya alami. Saya kembali rasional. Bahkan, saya sempat membalas kepada kawan saya yang bertanya tentang hal ini selepas itu dengan jawapan..."Tak apalah, bukan rezeki saya...."

Allah, nada pasrah ini sepatutnya saya ucapkan di saat mula saya ditimpa ujian tadi. Bukanlah selepas saya lepaskan emosi sedih, kecewa dan marah saya kepada kawan-kawan sekeliling. Khilaf sungguh rasa di hati. Itulah akhlak wahai sahabat. Ia dizahirkan tatkala kita diuji, di momen kita dihimpit. Itulah yang tercerna hasil nilai peribadi masing-masing.

Harta itu sementara

Setelah sekian lama saya terfikir tentang ibrah dari peristiwa ini. Ada kala kita diuji dengan kehilangan harta dunia yang fana'. Kita rasa kecewa dan yang sering kali berlaku ialah merasa kehilangan yang amat sangat seakan-akan harta itu tidak sepatutnya hilang. Tanpa sedar, kita meragui ketentuan Allah, menyanggah takdir yang ditentukan-Nya. Astaghfirullah.....saya ingin mengingatkan diri sendiri dan sahabat sekalian, boleh jadi apa yang kita kehilangan itu adalah yang terbaik untuk kita. Boleh jadi andai kita kekal dengan harta tersebut, kita jadi alpa dan jauh dari Allah. Fikirkanlah sewajarnya di setiap takdir yang kita rasakan buruk, namun ada hikmah yang Allah ajarkan kepada kita.

Akhirnya, suka untuk saya ingatkan kembali, hargailah apa yang kita ada, bukan apa yang kita pinta. Gunakanlah sewajarnya apa yang kita miliki dan redhakanlah andai ia hilang dari genggaman kita. Sungguh, semua harta yang kita ada sebenarnya bukan milik kita...semuanya pinjaman dari Allah. Maka, adatlah bagi orang yang meminjam perlu memulangkan barang yang dipinjam. Itulah kita manusia, hanya sebagai peminjam bukan pemilik yang abadi....

sama-samalah kita hayati lagu dari kumpulan Rabbani: Mana milik kita....

Wallahua'lam

sejuk malam Disember...

Tajuk Nasyid : Mana Milik Kita
Artis : Rabbani


Mana milik kita
Tidak ada milik kita
Semua yang ada
Allah yang punya
Tidak ada kita punya
Kita hanya mengusahakan saja
Apa yang kita dapat
Allah sudah sediakannya

Kita Allah punya
Dunia ini ciptaan-Nya
Miliklah apa saja
Tidak terlepas dari ciptaan-Nya

Mana kita punya
Tidak ada kepunyaan kita

Kita hanya mengusahakan
Apa yang telah ada

Mengapa kita sombong
Memiliki Allah punya
Mengapa tidak malu
Kepada Allah yang empunya

Patut bersyukur kepada Allah
Yang memberi segalanya

Malulah kepada Allah
Kerana milik Ia punya

Janganlah berbangga
Apa yang ada pada kita
Kalau Allah tidak beri
Kita tidak punya apa-apa

Janganlah mengungkit
Mengungkit jasa kita
Jasa kita di sisi-Nya
Yang sebenarnya Allah punya

Marilah kita bersyukur
Bukan berbangga
Bersyukur kepada Allah

Bukan mengungkit jasa
Gunakanlah nikmat Allah itu
Untuk khidmat kepada-Nya
Selepas itu lupakan saja
Agar tidak mengungkit-ungkitnya




2012....iktibar dan hikmah





 29 Disember 2012...

Bismillah walhamdulillah..., syukur atas nikmat yang tidak terhingga kurniaan Allah yang Maha Esa. Syukur masih berada dalam nikmat iman dan Islam. Alla....sudah tiga bulan blog ini ditinggalkan. Rasa khilaf dengan kekurangan diri yang tidak mampu untuk istiqamah menulis. Mohon doakan agar saya mampu terus menyumbang walau sekadar cuma.

Tahun ini tahun cabaran

2012 adalah tahun yang banyak mengajar saya erti hidup yang sebenar. Ujian ini adalah cara untuk ku kenal diriku. Itulah satu perkara yang saya fahami berlaku sepanjang tahun ini. Menyedari bahawa masa yang ada amatlah terhad, kekangan menyiapkan penyelidikan dan hambatan menyumbang kepada anak bangsa semuanya berlaku dalam satu arus deras yang tidak terkejarkan. Allah....sungguh saya sedar kelemahan diri dan amat-amat berharap pertolongan Allah dalam setiap detik dan langkah yang bakal saya tempuh. Mohon doakan agar semuanya dipermudah Allah...

Bagaimana dengan rakan-rakan sekalian?. Barangkali banyak peristiwa pahit manis yang dilalui sepanjang 2012. Apa pun yang berlaku sebenarnya tidaklah sepenting berbanding apa hikmah yang hendak kita pelajari darinya. Perkara yang sudah berlaku tidak mampu diulang, tapi apa yang mampu kita lakukan ialah belajar darinya. Bukankah setiap sirah yang kita pelajari dari Al-Quran dan Al-Hadith untuk kita hirup manis hikmahnya?. Belajarlah untuk fahami bahasa indah dari Allah buat kita. Walau pahit sekalipun itu sebenarnya manis bagi yang mahu mengambil iktibar. Andai jatuh, bangkitlah. Kerana kejatuhan itu bukan kesakitan yang sebenar, tapi kegagalan untuk bangun selepas jatuhlah lebih parah dan mencederakan fizikal dan minda manusia.

Resolusi

Saya pernah mendengar pengisian di radio ikim.fm berkaitan hikmah dan iktibar yang mampu kita kutip sepanjang tahun ini. Isi utamanya ialah: bergerak dan menujulah ke arah berbuat kebaikan walau di mana kita berada. Letaklah keredhaan Allah sebagai penanda aras dalam setiap gerak geri kita. Resolusi dan sebarang perancangan yang hendak kita rancangkan biarlah seiring dengan syariat, moga ada barakahnya di situ.

Kelahiran dan kematian

Saya yakin sepanjang tahun ini pasti banyak berita kelahiran anak yang kita terima. Syukur, bertambah lagi khalifah di muka bumi Allah. Saya doakan kepada sahabat yang mendapat anak dikurniakan hidayah dan kekuatan dalam mendidik anak masing-masing. Moga anak-anak kalian menjadi ummat Nabi Muhammad SAW yang baik luar dalamnya.

Dalam gembira ada juga berita kematian yang kita terima. Hakikatnya hidup manusia adalah saling pergiliran antara susah dan senang serta hidup dan mati. Mati adalah perkara yang pasti dan tidak mampu ditunda hatta sesaat pun. Bagi yang sudah kembali kita doakan moga ditempatkan di kalangan para solihin. Hakikat kematian adalah ingatan bagi yang hidup bukan yang mati. Tahun ini mungkin kita tidak termasuk dalam senarai yang bakal dicabut nyawa oleh Malaikat Izrail, namun siapa tahu tahun hadapan bagaimana pula?. Ini ingatan buat diri saya juga yang kadang kala lupa untuk secara sedar mengingati kematian.

Bergeraklah...berusahalah

Tahun 2013 bakal tiba tidak lama lagi. Ia akan jadi sekadar penambahan tahun bagi yang tidak mengambil peluang yang ada untuk memperbaiki diri. Ya, kita pasti pernah tersalah langkah dan berubah arah semasa menghadapi gelombang hidup 2012. Namun, apa yang penting kita, susunlah, aturkan hidup kita ke arah yang lebih baik untuk tahun hadapan, Perancangan itu penting, tapi apa yang lebih penting adalah untuk bersedia menghadapi sebarang ketidaksempurnaan dalam kita merancang. Yakinlah perancangan Allah adalah yang terbaik kerana Allah Maha Tahu apa yang kita perlu, bukan aoa yang kita mahu. Selepas merancang, berusahalah dan akhiri dengan tawakkal kepada Allah.

Akhir kata, suka untuk saya akhiri post kali ini dengan menebut ayat Allah dalam Surah Al-Baqarah (2): 216. Ingatlah, Allah Maha Baik dan mahukan yang terbaik buat hamba-Nya....

"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui".

Wallahua'lam

sejuk..hujan...Disember...

Thursday 6 September 2012

Sabarlah wahai hati

Bersabarlah wahai saudaraku...



Bismillahiwalhamdulillah,

Syukur atas nikmat kurniaan yang Allah berikan. Syukur masih diberi peluang untuk melihat dunia ciptaan-Nya. Madrasah tarbiyyah Ramadhan telah lama ditinggalkan dan kini kesan hasil tarbiyyah itu bakal menguji kita. 

Ujian itu ada hikmah

Setiap hari pasti ada saat suka dan duka yang kita lalui. Pasang surut kehidupan itu lumrah. Ada masa kita gembira dan ada masanya berduka. Kita sering diuji rasa sabar bila ada dugaan. Tapi setiap kali ia terjadi, adakah kita mengembalikannya kepada Allah. Mengenang dan memahami bahawa setiap ujian itu pasti mampu kita hadapi ada satu perkara yang perlu kita lakukan. Saya sendiri sering terlupa dan terleka bila diuji. Kadang kala terlupa dan menyalahkan taqdir yang terjadi, sedang Allah mengingatkan kita supaya bersyukur bila dikurniakan nikmat dan bersabar bila diuji. Sepertimana firman-Nya dalam Surah Yusuf (12:83):

"Jika demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, mudah-mudahan Allah mengembalikan mereka semua kepadaku. Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (83)"

Doa untuk menjadi orang yang sabar


Sabar itu buahnya redha

Redha itu buah hasil kesabaran. Menyebut sabar memang  mudah, tapi bila kita benar-benar berada dalam situasi yang memerlukan kesabaran, sering kali kita kalah dan akhirnya menyalahkan ketentuan-Nya. Di sini suka untuk saya mengingatkan diri untuk memperbanyak sabar dalam kehidupan kerana pasti buah redha untuk sangat manis. Moga Allah beri kekuatan untuk kita bersabar. Ya Allah mudahkanlah segala urusan setiap hamba-Mu, ameen.

Wallahua'lam

sisa-sisa summer...



Sunday 5 August 2012

Pesta ibadah vs pesta juadah






Bismillahiwalhamdulillah...

Syukur masih dihidupkan Allah di hari ketujuh belas Ramadhan. Bagaimana momentum ibadah kita ketika ini?. Meningkat, menurun atau mendatar. Hanya iman yang mampu memberi jawapan setepatnya. Apabila mula hendak masuk ke fasa terakhir Ramadhan ini pasti suasana persekitaran kita berbeza. Mungkin di tanah air sudah rancak pesta membeli belah untuk sambutan Eid. Mungkin, hanya sekadar pandangan saya yang jauh dari tanah air...

Makanan: perlu atau mahu?

Suka saya berkongsi perspektif tentang pemakanan kita sepanjang Ramadhan ini. Bila tiba bulan mulia ini, ramai peniaga mengambil kesempatan untuk memulakan perniagaan makanan. Kehidupan manusia yang sentiasa sibuk menyebabkan kebanyakan kita cenderung untuk membeli sahaja makanan di luar. Malahan saya pernah terdengar ada seorang Ustaz menyatakan; di bulan inilah segala jenis kuih yang sebelumnya asing dalam 11 bulan yang lepas, telah muncul pada bulan Ramadhan ini. Jelas, ini menunjukkan betapa puasa itu sering dikaitkan dengan makanan. Bukanlah saya ingin menyalahkan apabila kedua perkara ini saling dikaitkan, namun, apa yang ingin saya kongsikan ialah sejauh mana kita memanfaatkan makanan itu dalam meningkatkan amalan di bulan Ramadhan. Deretan kedai yang menjual pelbagai juadah berbuka menjadi satu daya tarikan buat si pembeli. Kadangkala bukanlah kita tidak pernah membeli atau merasa makanan tersebut dahulu, cuma bila berpuasa tentulah godaannya lebih kuat untuk membeli. Di sini timbullah persoalan utama, adakah pembelian makanan ini memenuhi keperluan atau hanya sekadar kemahuan kita sahaja?. Sama-samalah kita renungkan....

Makanan bungkus dan berkongsi makanan

Saya yakin kebanyakan kita tahu besarnya fadhilat memberi makan orang yang berpuasa. Jika di Makkah dan Madinah serta kebanyakan negara Arab, umat Islam berebut-rebut ingin mengajak orang lain berbuka puasa bersama-sama. Makanan yang dihidang dikongsi bersama kerana sedar besar ganjarannya menjamu orang berbuka puasa. Masjid di tempat saya tinggal selalu menghidangkan makanan dalam bungkusan sebagai juadah berbuka. Saiz bungkusan pula berbeza untuk orang dewasa dan kanak-kanak. Bagi saya ia cara yang terbaik untuk mengelakkan pembaziran kerana selalunya saiz hidangan dewasa tidak mampu dihabiskan oleh kanan-kanak. Selepas selesai berbuka puasa dengan juadah utama, terdapat sebahagian mereka yang berkongsi dengan juadah manisan dengan orang lain. Mereka bersungguh-sungguh mengajak orang lain makan bersama. Terasa sungguh ukhwwah yang ditunjukkan walaupun saya bukan sebangsa dengan mereka. Di sinilah ukhwwah Islam jelas terpancar merentasi batas bahasa dan bangsa. Islamlah yang menyatukan manusia, atas dasar aqidah yang sama ini kami mampu berkongsi nikmat dengan orang lain.

Pesta yang mana?...itu pilihan kita

Jika pesta makanan menjadi "trademark" bulan Ramadhan, maka kitalah yang perlu menjadikan bulan ini sebagai bulan pesta ibadah. Kesempatan hanya sekali ini terlalu berharga untuk disia-siakan hanya kerana beberapa jenis makanan "ekslusif Ramadhan". Makan yang terlalu banyak menyebabkan kita berat untuk beribadah. Ini kerana kebanyakan tenaga tubuh perlu ditumpukan untuk mencernakan makanan. Akhirnya, kita menjadi mengantuk dan badan semakin letih. Maka, di sini saya menyeru diri sendiri dan sahabat-sahabat yang lain untuk membuat pilihan yang tepat dalam memilih makanan. Moga makanan yang kita pilih itu mampu memberi kekuatan untuk kita meneruskan ibadah bukan sebaliknya, insyaAllah.

Akhirnya, marilah kita menilai amalan kita setakat ini, adakah ia melayakkan kita untuk bertemu dengan malam Al-Qadar? Adakah sempurna bacaan Al-Quran kita setakat ini? Sudah cukupkah amalan kebaikan seperti sadaqah, bantuan dan doa yang kita berikan kepada ummat Islam keseluruhannya.

Sahabat-sahabatku,

Jawapan kepada semua persoalan di atas bergantung pada keimanan kita, ya di hati tempat jatuhnya segala niat dan pemikiran kita. Tanyalah hati kita, di mana letaknya taqarub kita kepada Allah. Saya berdoa moga kita semua sentiasa dalam perlindungan-Nya, kekal istiqamah dalam kebaikan walaupun selepas berlalunya Ramadhan, insyaAllah.

Jom kejar malam Al-Qadar

Wallahua'lam

menunggu waktu iftar....