Saturday, 29 December 2012

2012....iktibar dan hikmah





 29 Disember 2012...

Bismillah walhamdulillah..., syukur atas nikmat yang tidak terhingga kurniaan Allah yang Maha Esa. Syukur masih berada dalam nikmat iman dan Islam. Alla....sudah tiga bulan blog ini ditinggalkan. Rasa khilaf dengan kekurangan diri yang tidak mampu untuk istiqamah menulis. Mohon doakan agar saya mampu terus menyumbang walau sekadar cuma.

Tahun ini tahun cabaran

2012 adalah tahun yang banyak mengajar saya erti hidup yang sebenar. Ujian ini adalah cara untuk ku kenal diriku. Itulah satu perkara yang saya fahami berlaku sepanjang tahun ini. Menyedari bahawa masa yang ada amatlah terhad, kekangan menyiapkan penyelidikan dan hambatan menyumbang kepada anak bangsa semuanya berlaku dalam satu arus deras yang tidak terkejarkan. Allah....sungguh saya sedar kelemahan diri dan amat-amat berharap pertolongan Allah dalam setiap detik dan langkah yang bakal saya tempuh. Mohon doakan agar semuanya dipermudah Allah...

Bagaimana dengan rakan-rakan sekalian?. Barangkali banyak peristiwa pahit manis yang dilalui sepanjang 2012. Apa pun yang berlaku sebenarnya tidaklah sepenting berbanding apa hikmah yang hendak kita pelajari darinya. Perkara yang sudah berlaku tidak mampu diulang, tapi apa yang mampu kita lakukan ialah belajar darinya. Bukankah setiap sirah yang kita pelajari dari Al-Quran dan Al-Hadith untuk kita hirup manis hikmahnya?. Belajarlah untuk fahami bahasa indah dari Allah buat kita. Walau pahit sekalipun itu sebenarnya manis bagi yang mahu mengambil iktibar. Andai jatuh, bangkitlah. Kerana kejatuhan itu bukan kesakitan yang sebenar, tapi kegagalan untuk bangun selepas jatuhlah lebih parah dan mencederakan fizikal dan minda manusia.

Resolusi

Saya pernah mendengar pengisian di radio ikim.fm berkaitan hikmah dan iktibar yang mampu kita kutip sepanjang tahun ini. Isi utamanya ialah: bergerak dan menujulah ke arah berbuat kebaikan walau di mana kita berada. Letaklah keredhaan Allah sebagai penanda aras dalam setiap gerak geri kita. Resolusi dan sebarang perancangan yang hendak kita rancangkan biarlah seiring dengan syariat, moga ada barakahnya di situ.

Kelahiran dan kematian

Saya yakin sepanjang tahun ini pasti banyak berita kelahiran anak yang kita terima. Syukur, bertambah lagi khalifah di muka bumi Allah. Saya doakan kepada sahabat yang mendapat anak dikurniakan hidayah dan kekuatan dalam mendidik anak masing-masing. Moga anak-anak kalian menjadi ummat Nabi Muhammad SAW yang baik luar dalamnya.

Dalam gembira ada juga berita kematian yang kita terima. Hakikatnya hidup manusia adalah saling pergiliran antara susah dan senang serta hidup dan mati. Mati adalah perkara yang pasti dan tidak mampu ditunda hatta sesaat pun. Bagi yang sudah kembali kita doakan moga ditempatkan di kalangan para solihin. Hakikat kematian adalah ingatan bagi yang hidup bukan yang mati. Tahun ini mungkin kita tidak termasuk dalam senarai yang bakal dicabut nyawa oleh Malaikat Izrail, namun siapa tahu tahun hadapan bagaimana pula?. Ini ingatan buat diri saya juga yang kadang kala lupa untuk secara sedar mengingati kematian.

Bergeraklah...berusahalah

Tahun 2013 bakal tiba tidak lama lagi. Ia akan jadi sekadar penambahan tahun bagi yang tidak mengambil peluang yang ada untuk memperbaiki diri. Ya, kita pasti pernah tersalah langkah dan berubah arah semasa menghadapi gelombang hidup 2012. Namun, apa yang penting kita, susunlah, aturkan hidup kita ke arah yang lebih baik untuk tahun hadapan, Perancangan itu penting, tapi apa yang lebih penting adalah untuk bersedia menghadapi sebarang ketidaksempurnaan dalam kita merancang. Yakinlah perancangan Allah adalah yang terbaik kerana Allah Maha Tahu apa yang kita perlu, bukan aoa yang kita mahu. Selepas merancang, berusahalah dan akhiri dengan tawakkal kepada Allah.

Akhir kata, suka untuk saya akhiri post kali ini dengan menebut ayat Allah dalam Surah Al-Baqarah (2): 216. Ingatlah, Allah Maha Baik dan mahukan yang terbaik buat hamba-Nya....

"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui".

Wallahua'lam

sejuk..hujan...Disember...

No comments:

Post a Comment