Sunday, 5 August 2012

Pesta ibadah vs pesta juadah






Bismillahiwalhamdulillah...

Syukur masih dihidupkan Allah di hari ketujuh belas Ramadhan. Bagaimana momentum ibadah kita ketika ini?. Meningkat, menurun atau mendatar. Hanya iman yang mampu memberi jawapan setepatnya. Apabila mula hendak masuk ke fasa terakhir Ramadhan ini pasti suasana persekitaran kita berbeza. Mungkin di tanah air sudah rancak pesta membeli belah untuk sambutan Eid. Mungkin, hanya sekadar pandangan saya yang jauh dari tanah air...

Makanan: perlu atau mahu?

Suka saya berkongsi perspektif tentang pemakanan kita sepanjang Ramadhan ini. Bila tiba bulan mulia ini, ramai peniaga mengambil kesempatan untuk memulakan perniagaan makanan. Kehidupan manusia yang sentiasa sibuk menyebabkan kebanyakan kita cenderung untuk membeli sahaja makanan di luar. Malahan saya pernah terdengar ada seorang Ustaz menyatakan; di bulan inilah segala jenis kuih yang sebelumnya asing dalam 11 bulan yang lepas, telah muncul pada bulan Ramadhan ini. Jelas, ini menunjukkan betapa puasa itu sering dikaitkan dengan makanan. Bukanlah saya ingin menyalahkan apabila kedua perkara ini saling dikaitkan, namun, apa yang ingin saya kongsikan ialah sejauh mana kita memanfaatkan makanan itu dalam meningkatkan amalan di bulan Ramadhan. Deretan kedai yang menjual pelbagai juadah berbuka menjadi satu daya tarikan buat si pembeli. Kadangkala bukanlah kita tidak pernah membeli atau merasa makanan tersebut dahulu, cuma bila berpuasa tentulah godaannya lebih kuat untuk membeli. Di sini timbullah persoalan utama, adakah pembelian makanan ini memenuhi keperluan atau hanya sekadar kemahuan kita sahaja?. Sama-samalah kita renungkan....

Makanan bungkus dan berkongsi makanan

Saya yakin kebanyakan kita tahu besarnya fadhilat memberi makan orang yang berpuasa. Jika di Makkah dan Madinah serta kebanyakan negara Arab, umat Islam berebut-rebut ingin mengajak orang lain berbuka puasa bersama-sama. Makanan yang dihidang dikongsi bersama kerana sedar besar ganjarannya menjamu orang berbuka puasa. Masjid di tempat saya tinggal selalu menghidangkan makanan dalam bungkusan sebagai juadah berbuka. Saiz bungkusan pula berbeza untuk orang dewasa dan kanak-kanak. Bagi saya ia cara yang terbaik untuk mengelakkan pembaziran kerana selalunya saiz hidangan dewasa tidak mampu dihabiskan oleh kanan-kanak. Selepas selesai berbuka puasa dengan juadah utama, terdapat sebahagian mereka yang berkongsi dengan juadah manisan dengan orang lain. Mereka bersungguh-sungguh mengajak orang lain makan bersama. Terasa sungguh ukhwwah yang ditunjukkan walaupun saya bukan sebangsa dengan mereka. Di sinilah ukhwwah Islam jelas terpancar merentasi batas bahasa dan bangsa. Islamlah yang menyatukan manusia, atas dasar aqidah yang sama ini kami mampu berkongsi nikmat dengan orang lain.

Pesta yang mana?...itu pilihan kita

Jika pesta makanan menjadi "trademark" bulan Ramadhan, maka kitalah yang perlu menjadikan bulan ini sebagai bulan pesta ibadah. Kesempatan hanya sekali ini terlalu berharga untuk disia-siakan hanya kerana beberapa jenis makanan "ekslusif Ramadhan". Makan yang terlalu banyak menyebabkan kita berat untuk beribadah. Ini kerana kebanyakan tenaga tubuh perlu ditumpukan untuk mencernakan makanan. Akhirnya, kita menjadi mengantuk dan badan semakin letih. Maka, di sini saya menyeru diri sendiri dan sahabat-sahabat yang lain untuk membuat pilihan yang tepat dalam memilih makanan. Moga makanan yang kita pilih itu mampu memberi kekuatan untuk kita meneruskan ibadah bukan sebaliknya, insyaAllah.

Akhirnya, marilah kita menilai amalan kita setakat ini, adakah ia melayakkan kita untuk bertemu dengan malam Al-Qadar? Adakah sempurna bacaan Al-Quran kita setakat ini? Sudah cukupkah amalan kebaikan seperti sadaqah, bantuan dan doa yang kita berikan kepada ummat Islam keseluruhannya.

Sahabat-sahabatku,

Jawapan kepada semua persoalan di atas bergantung pada keimanan kita, ya di hati tempat jatuhnya segala niat dan pemikiran kita. Tanyalah hati kita, di mana letaknya taqarub kita kepada Allah. Saya berdoa moga kita semua sentiasa dalam perlindungan-Nya, kekal istiqamah dalam kebaikan walaupun selepas berlalunya Ramadhan, insyaAllah.

Jom kejar malam Al-Qadar

Wallahua'lam

menunggu waktu iftar....



No comments:

Post a Comment