Friday, 3 August 2012

Al-Quran dan kita






Bismillah walahamdulillah

Syukur pada Allah atas nikmat iman dan Islam yang masih ada dalam diri manusia. Syukur masih diberi nafas untuk berada dalam bulan penuh barakah, Ramadhan. Lama sungguh blog saya bersawang tanpa terisi. Allah...sungguh cabaran dunia kadangkala menyesakkan dan menghanyutkan. Khilaf diri saya sendiri kerana tidak mampu menggunakan masa diberi sebaiknya.

Perkongsian dari ikim.fm

Hari ini saya berkesempatan mendengat radio kegemaran saya, ikim.fm. Sungguh bermanfaat setiap pengisian yang diterima. Setiap hari Jumaat ada slot Ad-Daurah yang selalunya diberi pengisian oleh Al-Fadhil Dr Zulkifli Al-Bakri. Tetapi, pada kali ini slot ini digantikan oleh Ustaz Dusuki. A'la kulli hal, saya memang menggemari penyampaian oleh Ustaz Dusuki yang mula saya kenali melalui program Kuliah POP (Persatuan Orang Pencen) yang dianjurkan oleh masjid negeri Selangor. Syukur dengan adanya teknologi, walaupun tinggal di luar negara, saya masih mampu mendengar kuliah agama. Pengisian yang diberikan oleh Ustaz Dusuki adalah berkaitan "Ramadhan bulan Al-Quran"

Nuzul Al-Quran

Umum mengetahui bahawa penurunan Al-Quran berlaku pada 17 Ramadhan. Oleh sebab itu, andai manusia ada tarikh hari lahirnya, begitu jugalah Al-Quran. Ramadhan sepatutnya menjadi bulan penghayatan Al-Quran sesuai dengan hari penurunannya. Al-Quran adalah mukjizat terbesar buat umat Nabi Muhammad SAW. Besar pahala pada Al-Quran bukan setakat membacanya, malahan melihatnya juga menambah pahala. Penurunan Al-Quran menjadi bukti kasih sayang Allah kepada manusia, adanya panduan hidup lengkap yang tidak mungkin mampu ditandingi. Ustaz ada menyatakan, kaum musyrikin semasa zaman Rasul SAW pernah membuat cubaan untuk merekacipta ayat yang setanding Al-Quran. Dengan kuasa Allah jualah usaha mereka mencapai kegagalan. Lebih teruk lagi pereka cipta ayat ini ditertawakan oleh orang ramai kerana serba tidak kena laras bahasa ayat yang direka. Maha Suci Allah jualah sebaik-baik pemelihara mukjizat terbesar ini.

Perumpamaan Al-Quran-anak kecil

Satu perumpamaan menarik telah diberi oleh Ustaz berkenaan Al-Quran. Menurut ustaz, Al-Quran umpama anak kecil yang sentiasa mengharapkan manusia mendakapnya. Diibaratkan bagai anak kecil yang akan berlari ke arah ibu bapa yang mendepakan tangan kepada mereka. Begitulah Al-Quran yang mendambakan kita membelek, menilai, mentadabbur setiap isi kandungannya. Bayangkanlah andai perkara demikian berlaku kepada kanak-kanak, dan kita sendiri tidak menyambut pelukan itu, pasti anak kecil itu menjadi hampa. Begitulah Allah memberikan kita petunjuk, cuma tinggal kita sendiri sama ada mahu menyahutnya atau tidak. Hidayah itu mahal dan kita perlu berusaha mencarinya. Kata-kata seperti "tidak sampai seru" jelas menunjukkan kita lemah dalam berusaha mendapat rahmat Allah. Jadi, saya mengingatkan diri sendiri dan rakan-rakan semua untuk terus istiqamah dalam mendalami Al-Quran, moga Allah memberi kekuatan untuk kita semua memahami ayat-ayat Allah.

Surat cinta dari kekasih

Ustaz ada menyatakan bahawa Al-Quran bagaikan surat cinta dari kekasih untuk kekasih. Masakan tidak, satu naskhah Al-Quran itu penuh dengan petunjuk, pengajaran, ingatan dan segala jenis maklumat yang sangat penting buat manusia melayari kehidupan. Itulah tanda Allah sangat sayang pada makhluknya. Seperti sang kekasih yang rindu dan gembira membaca surat kekasihnya, seperti itulah sepatutnya kita memanfaatkan Al-Quran. Jangan sesekali kita sia-siakan surat cinta ini, jangan sampai kita jauh dari Allah yang sangat menyayangi kita, nauzubillah...

Separuh masa kedua

Ramadhan kini tiba di separuh masa kedua. Seperti dalam perlawanan sukan, masa ini sangat kritikal untuk menambah mata kemenangan. Begitulah kita, gunakanlah masa ini untuk menambah amal, antaranya dengan memperbanyakkan bacaan Al-Quran dan mentadabbur maknanya. Andai kita masih belum lancar membaca Al-Quran, gunakan masa ini untuk memperbaiki bacaan. Jika tajwid belum sampai ke tahap yang memuaskan, tambahlah ilmu berkaitannya. Moga barakah bulan Ramadhan memudahkan kita memahami Al-Quran. Bulan Ramadhan ini penuh dengan masa barakah, maka mohonlah pada-Nya supaya diberi kefahaman Al-Quran. Sungguh, orang yang diberi kebaikan adalah orang yang diberikan kefahaman agama. Banyakkanlah berdoa dengan doa Rasulullah SAW kepada Ibnu Abbas:

"Allahumma faqihna fiddin wa 'allimna takwil"

Akhirnya, saya menyeru diri dan sahabat-sahabat sekalian untuk meningkatkan lagi kualti bacaan Al-Quran kita, moga dengannya dapat mendekatkan diri kita kepada Allah, insyaAllah.

Wallahua'lam

mode: tambah bacaan Al-Quran

sejuk summer



No comments:

Post a Comment