Pagi ini saya terbaca tulisan twitter seorang yang saya ikuti, tentang cerita belakang orang-orang yang hadir ke masjid. Kisahnya berkait makanan iftar. Katanya, dek kerana ramainya orang Bangladesh yang datang makan, maka tidak cukup makanan untuk jemaah lain. Saya terfikir seketika, apa bezanya penilaian kita kepada orang seqaryah kita dengan orang di luar qaryah kita?. Dalam erti kata yang lain, apa bezanya layanan kita kepada umat Islam sebangsa dengan bangsa yang lain?. Membaca status twitter ini membuatkan saya terfikir, mungkin kadang-kala pemikiran rasism itu masih ada pada kita.
Isu kaum Rohingya
Semenjak sebulan dua ini kita dikejutkan dengan peristiwa penindasan kaum Rohinya di Myanmar. Isu ini pada dasarnya berkait penerimaan atau perspektif satu banga terhadap bangsa yang lain. Kegagalan memahami perbezaan ini menyebabkan berlaku krisis yang akhirnya mengundang tragedi. Pembunuhan manusia kini menjadi perkara biasa kini. Nilai nyawa manusia kini seakan murah dan tidak bermakna. Walau apa pun jua punca tragedi ini, perkara utama yang perlu diambilkira ialah di mana nilai kemanusiaan diletakkan merentasi sempadan bangsa?. Jika kita bersungguh-sungguh merasa marah kerana isu ini, maka seharusnya kita meletakkan konteks yang sama dalam memberi layanan yang baik kepada bangsa selain dari kita.
Apa bezanya dengan kita?
Saya suka menyorot isu ini dalam persepektif ummat Islam secara global. Bukankah Allah telah berfirman bahawa penciptaan manusia dari pelbagai bangsa dan kaum ini tujuannya untuk kita saling berkenalan?. Apabila tujuan utama ini tidak difahami, maka lahirlah perasaan rasis di kalangan manusia. Saya sendiri mengakui, jika dahulu pasti ada perasaan berlainan dalam melayan manusia yang tidak sebangsa. Saya tidak pasti perasaan ini lahir dari pemahaman yang saya tanam sejak kecil atau ia akibat persekitaran yang melahirkan rasa curiga kepada orang berlainan bangsa. Apa pun jua sebabnya, saya mengaku khilaf di dalam hal ini. Sepatutnya, bukan ukuran bangsa yang menjadi penentu beza layanan kita terhadap manusia lain, tetapi nilai manusia itulah yang perlu diutamakan.
Perspektif Barat
Kesempatan berkelana ilmu di luar negara menjadikan saya sedar bahawa penilaian terhadap manusia sepatutnya berlandaskan kasih sayang sesama manusia. Andai perasaan rasis ini dibiar menjalar dan mengakar dalam masyarakat, tentulah sukar buat musafir seperti saya untuk tinggal di negara asing ini. Oleh kerana sifat terbuka dan menerima yang diamalkan oleh orang Barat inilah akhirnya banyak peluang dibuka kepada bangsa yang sebelumnya dianggap asing menumpang hidup di negara mereka. Pasti dulu negara mereka hanya dipenuhi bangsa yang berkulit cerah, namun kini dengan izin Allah jua segala latar manusia berpeluang tinggal di bumi asing ini. Di sini, suka untuk saya berkongsi tagline yang saya pegang sejak saya mula berkelana di negara asing iaitu:
"Layan manusia seperti manusia. Layan manusia sepertimana kamu mahu dilayani"
Tagline ini saya pelajari apabila mula tiba di bumi Barat ini. Perasaan takut, curiga, bimbang apabila berdepan dengan bangsa yang bukan sahaja berbeza dari segi warna kulit, tetapi dari pelbagai aspek lain membuatkan saya jadi resah. Namun, apabila saya melayan mereka sama seperti saya melayan rakan sebangsa melahirkan perasaan memahami dan menerima. Rupanya, bahasa layanan bersuara lebih tinggi dari bahasa lisan. Benarlah sepertimana contoh yang ditunjukkan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad SAW yang mudah diterima hanya kerana sifat dan sikap Baginda SAW yang terpuji. Begitulah manusia, yang lebih mendengar bahasa tindakan berbanding lisan.
Action speaks louder
Kembali kepada isu asal yang saya bawa, marilah kita menilai, adakah masih ada rasa rasis terhadap kaum lain?
Adakah masih ada rasa berbangga dalam diri kerana dilahirkan sebagai sesuatu bangsa?
Masih adakah rasa diri kita lebih bagus berbanding orang lain?
Sahabat-sahabatku,
Saya mengajak diri dan rakan-rakan sekalian untuk sama-sama mengkoreksi diri. Lihatlah sedalam-dalamnya dalam diri. Penilaian Allah hanya pada taqwa bukan pada warna kulit atau mulianya bangsa kita. Hakikatnya bangsa dan keturunan hanya saduran luar yang ditetapkan Allah untuk kita. Namun, oleh kerana Adilnya Allah, maka hanya amalan kita yang dapat menentukan syurga atau neraka sebagai tempat pengakhiran kita. Marilah bergerak dan bertindak dalam menyayangi semua ummat manusia luar dari rentas bangsa dan agama. Lihatlah semua manusia hamba Allah, andai ada kesalahan yang dilakukan orang lain, maafkanlah dan teruskan berukhwwah. Moga dengan niat kita menyambung silaturrahim diberkati Allah. Pandanglah manusia dengan kasih sayang, moga begitu juga imbalannya manusia lain terhadap kita, insyaAllah.
Wallahua'lam
mendengar ikim.fm
No comments:
Post a Comment