Dan tidak ada pertanggungjawaban sedikit pun atas orang-orang yang bertakwa terhadap dosa mereka; akan tetapi (kewajiban mereka ialah) mengingatkan agar mereka bertakwa (Al-An'am 6:69)
Monday, 7 January 2013
Kenalilah penyakit hati...
Bismillah walhamdulillah
Syukur atas nikmat hidup yang Kau berikan ya Allah. Sungguh tidak ternilai atas segala pujian yang diberikan. Alhamdulillah setiap hari Allah beri pelajaran baru buat kita semua. Dugaan, ujian, nikmat...segalanya kerana dunia adalah tempat ujian. Hasil hanya akan diperoleh di negeri abadi, akhirat nanti.
Penyakit hati
InsyaAllah hari ini saya ingin berkongsi tentang pengisian yang diberikan oleh Habib Ali Zainal Abidin tentang penyakit hati. Ada LIMA penyakit hati yang yang berbahaya dalam kehidupan manusia. Jika penyakit kanser ada tahap yang tertentu, maka penyakit hati ini dikira tahap terminal.... Penyakit yang dinyatakan ialah:
*sombong
*bangga diri
*dengki
*riyak
*cintakan dunia
Antara kesemua penyakit hati ini, ada TIGA yang dianggap paling BAHAYA, iaitu bangga diri, sombong dan dengki.
Punca hati mati
Habib ada menjelaskan tentang beberapa sebab yang membawa kepada matinya hati. Beliau ada mengaitkan hal ini dengan dugaan dalam kehidupan manusia. Dikatakan bahawa dugaan terbesar dalam kehidupan manusia bukannya penyakit, kelaparan atau apa jua yang pada fizikalnya nampak menyusahkan. Tetapi, dugaan terbesar adalah apabila manusia LALAI dari mengingati Allah, wali'yadzubillah....
Penyakit ghaflah atau lalai ini turut Habib nyatakan di dalam EMPAT punca hati manusia mati:
1. Banyak berbuat dosa
2. Ghaflah atau lalai dengan kehidupan dunia
3. Berpaling dari kebenaran
4. Jauh dari Nabi Muhammad SAW, di mana manusia meninggalkan ajaran Baginda SAW kerana merasa jauh jaraknya Nabi dengan kita.
Kenali punca, rawati hati
Di sini suka untuk saya mengajak sahabat-sahabat untuk mengenali punca hati yang mati. Mungkin kita termasuk di kalangan orang yang dinyatakan di atas. Namun, janganlah sesekali merasa putus asa dengan rahmat Allah. Teruslah berdoa kepada Allah kerana Dia sangat suka mendengar rintihan hamba-Nya yang bertaubat. InsyaAllah pintu taubat luas terbuka untuk manusia selagi tidak melakukan dosa syirik kepada Allah.
Akhirnya, saya menyeru agar kita sama-sama mengamalkan doa di atas supaya Allah mengurniakan hati yang bersih kepada kita....ameen...
Wallahua'lam..
malam..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment