Sunday, 23 May 2010

Kata-kata Hikmah Saidina Ali bin Abi Talib K.W.H: bahagian 2




Alhamdulillah syukur atas kurniaan-Nya yang terhingga, diberi kesempatan buat saya berkongsi dengan sahabat-sahabat semua. InsyaAllah kali ini saya akan menyambung kata-kata hikmah Saidina Ali bin Abi Talib K.W.H yang telah dihantar dalam post sebelum ini.

Sebelum itu, suka saya berkongsi sedikit maklumat tentang keistimewaan Saidina Ali seperti yang dicatatkan dalam buku yang saya baca. Antaranya ialah:

1. Saidina Ali KWH adalah kanak-kanak Islam yang pertama memeluk Islam. Sebelum itu, beliau tidak pernah menyembah berhala walaupun masyarakat Quraisy ketika itu melakukan penyembahan. Gelaran "Karamallahuwajhah" bermaksud Allah SWT telah memuliakan wajahnya.

2. Beliau adalah orang pertama memasuki syurga selepas Rasulullah SAW sebagaimana sabda Baginda SAW:

Maksudnya: "Wahai Ali, sesungguhnya engkau adalah orang pertama mengetuk pintu syurga, kemudian engkau masuk ke dalamnya tanpa sebarang perhitungan".

3. Beliau merupakan orang yang diamanahkan oelh Nabi SAW untuk mengembalikan barang-barang orang Makkah yang diamanahkan kepada Baginda SAW. Selepas tiga hari, Saidina Ali berhijrah ke Madinah.

4. Saidina Ali adalah saudara Baginda SAW di dunia dan akhirat seperti sabda Nabi SAW:
Maksudnya: "Engkau adalah saudaraku, juga sahabatku di dunia dan akhirat"

5. Beliau mendapat jolokan "ketua" oleh Rasulullah SAW. Pada suatu ketika, Nabi SAW pernah berkata kepada puterinya Fatimah Az Zahra:
Maksudnya: "Suamimu (Saidina Ali) adalah ketua di dunia dan akhirat".

Ok, sekarang saya akan sambung kepada kata-kata hikmah (huruf alif):


6. Memberikah hujjah kepada si jahil adalah mudah, pun begitu apa yang susah ialah bagi si jahil tadi menerima hujjah tersebut.


Ulasan: orang jahil tidak mudah menyerah kalah kepada kebenaran atau berpaling tadah daripada kesalahannya.


7. Letakkan rahsiamu pada seorang individu sahaja manakala mesyuarat (perbincangan) hendaklah dimaklumkan kepada seribu orang.


Ulasan: kerana seorang individu pun belum tentu dapat menyimpan rahsia apatah lagi sekiranya rahsia tersebut diletakkan pada beberapa orang individu.

8. Jadikanlah umurmu ibarat wang yang diberikan kepadamu. Sekiranya engkau tidak suka apa yang engkau belanjakan hilang begitu sahaja, maka hendaklah engkau tidak menghabiskan umur engkau dengan sia-sia.

9. Orang yang paling jahil dari kalangan orang-orang jahil ialah mereka yang terjatuh ke dalam lubang binatang dua kali.

10. Orang mu'min yang sebenar tidak akan terkena sengatan binatang yang berada di dalam lubangnya dua kali.

....................................................................................................................................................................

Sahabat-sahabat sekalian,

Saya ingin membawa perhatian anda semua untuk melihat kata-kata hikmah ke-9 dan ke-10 tentang perlunya kita berhati-hati dan belajar dari kesalahan serta tidak mengulangi kesilapan yang sama. Lihatlah sahabatku, gagal dan kalah itu lumrah..kita perlu "membenarkan" diri untuk mengalaminya. Namun, apa yang penting ialah mengambil ibrah atau pengajaran dari kesilapan tersebut. Oleh itu saya ingin berkongsi doa ketika ditimpa musibah. Doa ini selalu kita baca, tapi konsepnya sering dilihat hanya untuk kematian iaitu doa beristirja';

Innalillahi wainnailaihi raji'un

maksudnya: "Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan".

Saya mengingatkan diri sendiri untuk sama-sama beristirja' apabila ditimpa musibah, supaya dengan itu kita sedar, apa jua yang terjadi itu kehendak-Nya, kepada-Nya jualah kita akan dikembalikan..pada hari harta, pangkat, kepandaian tidak berguna lagi..

Wallahua'alam

makhluk milikmu, ya Khalik

Ketenangan itu

sumber: dead calm by `foureyes



Merantau melihat alam..

Kecantikan ciptaan-Mu mengasyikkan

Matahari bersinar, mengikut aturan-Nya..

Setiap dedaun, bunga dalam keriangan kepanasan

Namun, pelik sungguh…

Keriangan luar jangkauan

Atas dasar apakah?

Kenapa tidak melihat, jauh dalam hatimu

Bila diri di luar batasan yang ditetapkan

Manusia lupa, alpa..

Tawa hilai manusia..menyesakkan,

Aku di sini kaku, malu dan lesu


Tapi aku di mana?

Tenang..riang..senang

Aku mahu ketenangan itu..

Hadirlah…

Moga dalam hilai pekik manusia

Aku masih mampu tersenyum

Mendengar deruan ombak walau jauh

Melihat riak kicauan burung walau tidak tersampaikan


Dalam lautan manusia,

dalam sesak suasana

Manusia itu aku juga…

Namun kenapa terus biar masa berlalu..

Wahai Pencipta,

Bantuku ya Rabb..

Beri kekuatan, biar kukuh menjadi azimat

Biar badai merempuh

Aku tetap di jalan-Mu

Renunglah..selamilah..

Jangan akal di luar aturan

Kitakan manusia juga

Sampai masa..akhirnya

Kita…di dalam tanah juga..pasti kembali


Ingatan buat diriku yang turut leka


Spring yang memancar

Wednesday, 19 May 2010

pemegang hati..

sumber: elderoftimes


Hati..

bagaimanakah aku kini?

berbolak balikkah? tenangkah?

jauh atau dekat dengan-Mu?
terasa seksa bila tiada ikatan terikat..menyeksakan?
tidak jika dengan-Mu ya Rabbi

terasa sukar bila berjauhan dengan-Mu
halangan itu hanya dariku,
sedang Engkau dekat dengan hamba-Mu

melihat, menilai, berjalan..

jauh sudah..tapi masih di mana?

tapi bagaimana kini?
apakah nanti?
ke mana harus melangkah
lesu..kelu..
tanpa pimpinan-Mu
ya Rabbi..

aku jadi malu dengan khilafku..

ampuniku...

seluas alam nikmat-Mu,

namun sekadar mana usahaku untuk terus lurus,
telus
, dekat dan rapat dengan redha-Mu?

ya Rabbi..

luruskanlah..terangilah..
tunjukkanlah..
biar hati ini pasti,
biar hati ini mengerti..
hanya Engkau pemegang hati


(Mereka berdoa Dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati Kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. (Surah Ali-Imran: 3:8)


Wallahua'lam..



tenang malam

Monday, 17 May 2010

Perubatan cara Rasulullah SAW_1

penyakit..dari mana asalnya?
sumber:alucinogenus

InsyaAllah saya akan berkongsi isi buku yang saya baca iaitu: Healing with the medicine of the Prophet SAW karangan Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyah (diterjemah oleh Jalal Abual Rub).
Saya akan mulakan dengan penerangan tentang jenis-jenis penyakit: Terdapat dua jenis penyakit yang dialami manusia iaitu:
  • was-was dan berbuat kesalahan (doubt and error)
  • nafsu dan kemahuan (lust and desire)

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah (2:10):

Dalam hati mereka (golongan Yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa Yang tidak terperi sakitnya, Dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).


Firman Allah dalam Surah Al-Muddatstsir (74: 31)

….”Dalam hatinya dan orang-orang kafir berkata: "Apakah Yang di maksudkan oleh Allah Dengan menyebutkan bilangan ganjil ini?" Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan tiada Yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia lah sahaja. dan (ingatlah, Segala Yang diterangkan berkenaan dengan) neraka itu tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia.”


Penyakit fizikal yang menyerang tubuh manusia

Firman Allah dalam Surah An-Nur (24:61):

“tidak ada salahnya bagi orang buta, dan tidak ada salahnya bagi orang tempang, dan tidak ada salahnya bagi orang sakit (jika masing-masing tidak menjalankan sesuatu perintah disebabkan keuzurannya menghendaki ia berlaku demikian)……”

Ayat ini menerangkan tentang penyakit-penyakit yang mungkin dialami oleh individu semasa menunaikan ibadah haji, berpuasa atau semasa berwudhu’. Ayat ini mengandungi rahsia dan hikmah Al-Quran bagi orang yang cuba memahami.

Sains dalam perubatan mengandungi TIGA prinsip asas iaitu:

· Menjaga kesihatan yang baik

· Mengelak perkara yang boleh menyebabkan bahaya (contohnya dengan meningkatkan imuniti tubuh)

· Menyingkirkan bahan yang membahayakan dari tubuh

Allah menerangkan 3 prinsip asas ini yang berkait dengan ibadah haji, puasa dan berwudhu’ di dalam firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah (2: 184):

… (Puasa Yang Diwajibkan itu ialah beberapa hari Yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu Yang sakit, atau Dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari Yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; …”


Penerangan ayat ini ialah:

  • Allah membenarkan individu yang sakit untuk berbuka puasa.
  • Allah membenarkan individu bermusafir untuk berbuka puasa untuk menjaga dan memelihara kesihatan dan kekuatan diri semasa bermusafir.
  • Hikmahnya: bermusafir menggunakan banyak tenaga dan memerlukan pemakanan yang baik untuk kekalkan tenaga, jadi ada pengecualian kepada mereka.

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah (2:196):

“….maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu Yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam…”

Ayat ini menunjukkan kebenaran Allah bagi orang yang mengalami masalah di kepala untuk mencukur kepala yang sebenarnya dilarang semasa ihram.

Hikmah: untuk menyingkirkan bahan berbahaya dan membenarkan individu yang sakit untuk menghilangkan apa jua yang menyebabkan penyakit mereka berlaku dan membantu penyembuhan. Ini menunjukkan aplikasi prinsip menyingkirkan bahan berbahaya dari tubuh adalah lebih utama berbanding peraturan umum.

Terdapat 10 perkara yang boleh membahayakan tubuh apabila tertahan kecuali jika ia disingkirkan iaitu;

· Darah apabila menyakitkan (irritated)

· Sperma jika berlebihan

· Bahan buangan tubuh seperti najis, air kencing, hingus, peluh

· Angin

· Muntah

· Keperluan untuk bersin

· Tidur

· Lapar

· Dahaga


Jika kesemua 10 perkara ini tidak ditangani dengan baik ia akan membawa kepada penyakit tertentu.

Firman Allah dalam Surah An-Nisa’ (4:43):

“…dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh Dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum Dengan tanah - debu, Yang suci, Iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.”

Ayat ini menunjukkan Allah membenarkan orang sakit menggunakan tanah atau debu suci berbanding air untuk mengambil wudhu’ bagi mengelakkan mudarat jika menggunakan air semasa sakit.

Hati akan menjadi bersih apabila mendapat petunjuk atau ilmu dari Allah.

Hati akan menjadi bersih apabila kita mengutamakan apa yang Allah suruh dan meninggalkan larangan-Nya.

Nabi dan Rasul menjadi contoh bagaimana hati yang bersih dapat merawat penyakit hati (spiritual dan emosi).

Sebab-sebab penyakit hati:

  • Hati keliru kerana memenuhi nafsu kebinatangan dan kehendak diri. Ini menyebabkan hati jauh dari kebaikan dan kekuatan. Jika berterusan akan membahayakan diri.
  • Individu yang tidak dapat membezakan antara 2 jalan iaitu baik dan buruk sepatutnya berasa sedih atas jangka hayat hati dan kesihatan secara keseluruhannya. Ini kerana mereka kurang mendapat petunjuk Allah dan berada dalam kegelapan.

InsyaAllah saya akan menyambung lagi perkongsian dalam tajuk ini. Moga kita dapat sama-sama membersihkan hati sebagai asas penting dalam mendapat petunjuk dari Allah, tanpa petunjuk-Nya, bagaimanakah kita?....sama-samalah kita bermuhasabah diri.

Wallahua’lam