hidayah untuk dicari...bergeraklah ke arahnya
Bismillahirrahmanirrahim,
Dalam hidup ini kita diberi dua pilihan; mahu yang baik atau ikut yang buruk. Di antara dua pilihan itu ada perasaan ragu, sangsi dan was-was. Hakikat penciptaan manusia perlukan petunjuk atau hidayah dari Allah. Tidak akan mampu untuk kita meneruskan kehidupan tanpanya. Hidayah sering diberi gambaran sebagai kompas penunjuk jalan, layar peneraju kapal atau tongkat buat si buta.
Hidayah: perlukah dicari?
Allah Rabbu Izzati yang menjadi pemilik sekalian hati. Setiap detik Dia Maha Mengetahui. Hidayah itu hak Allah, namun kita sebagai hamba mampu berusaha untuk bergerak mendapatkan hidayah. Seumpama magnet yang menarik besi, begitulah kita perlu bertindak untuk mendapatkan hidayah. Sebagai permulaan, sentiasalah berdoa agar setiap langkah kita dalam redha-Nya bukan semata-mata gerak hati yang mungkin tesasar.
Bagaimana mahu mendapatkan hidayah?
Cara terbaik ialah meniru cara Nabi SAW mendekatkan dirinya kepada Allah. Betapa Nabi SAW selalu memohon keampunan sedangkan baginda terhindar dari dosa. Baginda SAW selalu berzikir dan mengingati Allah dalam setiap tindakannya. Andai kita fikir kembali, di mana kita? Sudah cukupkah kita mengingati Allah. Sudah cukupkah rasa sedar kita terhadap setiap salah silap yang kita lakukan?
Solat istikharah
Jika semasa zaman remaja, solat istikharah sering dikaitkan dengan soal mencari jodoh. Namun, dengan peningkatan usia, sedarlah saya bahawa bukan hanya boleh diamalkan sebagai penentu jodoh, tapi mencakupi semua urusan kehidupan. Bila kita melihat makna dalam doa solat istikharah, jelaslah bahawa sangat barakah andai setiap tindakan kita berpandukan petunjuk Allah. Di sini saya kongsikan pengisian dari blog Doa Harian:
Doa Istikharah bererti:
Memohon semoga Allah menunjukkan keputusan yang terbaik untuk dilaksanakan.
Kata Jabir bin Abdullah: Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami satu surah dari Al-Quran, sabdanya: "Apabila seseorang kamu mempunyai rancangan untuk melakukan sesuatu hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat, kemudian bacalah doa ini:
"Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahu segala perkara yang ghaib.
Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan..) adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya da seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini (sebutkan..) mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya".
(sebutkan urusan yang dimaksudkan di tempat yang bertitik).
Gerak hati mungkin menipu, tetapi bimbingan Allah itu jitu dan menambah keyakinan kita. Jadi, saya ingin mengingatkan diri sendiri juga supaya menggunakan istikharah sebagai petunjuk dalam setiap urusan hidup. Moga ada barakah, moga ada manfaat dan kebaikan buat kita semua, InsyaAllah.
Wallahua'alam
berangin tanda autumn
No comments:
Post a Comment